Wednesday 19 November 2008

Bagaimana Kalau Dr Mahathir Sertai PAS?

Kritikan Dr Mahathir kepada Pak Lah beransur reda berikutan dengan persetujuan Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO menjelang Mac tahun depan. Bagaimanapun, Dr Mahathir terus mengkritik UMNO dan kadangkala bakal pengganti Pak Lah, Najib Tun Razak. Sudah beberapa kali beliau menyatakan bahawa UMNO sudah tidak lagi relevan disebabkan amalan politik wangnya dan kelemahan kepimpinannya. Malah beliau turut menyatakan bahawa kemungkinan UMNO akan kalah teruk dalam PRU ke 13 akan datang seperti tidak lagi dapat dielakkan.

Tindakan beliau yang terus mengkritik UMNO ini telah dibuat pelbagai tafsiran oleh pemerhati-pemerhati politik. Ada kalangan pemerhati-pemerhati politik melihat Dr Mahathir mahu melakukan 'come back' setelah melihat kelemahan UMNO yang begitu ketara, di samping menghadapi kemaraan Anwar Ibrahim. Terdapat juga pandangan yang melihat tindakan beliau sebagai 'silent campaign' untuk anaknya yang bertanding Ketua Pemuda UMNO. Demikianlah juga, terdapat pemerhati politik yang melihat beliau cuba mengimbangi ancaman terhadap proksinya Najib yang sedang menghadapi pelbagai isu berkaitan peribadinya.

Bagaimanapun, tidak juga harus ditolak bahawa kemungkinan beliau benar-benar telah hilang keyakinan dengan UMNO untuk terus menerajui negara. Dikatakan kekecewaan inilah yang telah diluahkan kepada seorang pimpinan veteran PAS dalam pertemuan tertutup antara mereka berdua. Dr Mahathir dikatakan telah meletakkan harapan yang tinggi kepada PAS sebagai alternatif kepada tonggak politik Melayu-Islam di negara ini. Sekiranya benarlah pengkhabaran ini, adakah Dr Mahathir akhirnya akan menyertai PAS? Dan sekiranya beliau menyertai PAS, bagaimanakah kesannya terhadap politik negara?

Keputusan politik Dr Mahathir sememangnya sukar diduga. Beliau kadangkala bertindak di luar perkiraan politik umum, sebaliknya lebih berpandukan perkiraan politiknya sendiri. Beliau pernah mengambil beberapa tindakan nekad sepanjang kareer politiknya. Malah semasa memerintah Malaysia, beliau telah mengambil beberapa tindakan berani berkaitan polisi pembangunan negara. Meskipun tindakan nekad dan berani beliau ada yang positif dan tidak kurang juga yang negatif, sekurang-kurangnya beliau tidak terkongkong dengan orang lain dalam membuat keputusannya.

Oleh sebab itu, keputusan Dr Mahathir untuk menyertai PAS bukanlah sesuatu yang mustahil. Betapa pula PAS dilihat umum sebagai sebuah parti politik berteraskan Islam dan turut memperjuangkan kepentingan Melayu. Sepanjang tiga dekad yang lalu, selepas penyingkiran daripada BN, PAS begitu konsisten dari segi pendirian dan pencapaiannya. Kesemua faktor-faktor menjadikan PAS sebagai pilihan yang terbaik bagi vateran politik seperti Dr Mahathir. PAS pula dilihat begitu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja sebelum ini, justeru kemungkinan keputusan Dr Mahathir menyertai PAS tidak menimbulkan masalah dalam parti.

Kemungkinan ini akan menjadi lebih kencang sekiranya Mukhriz tidak mendapat tempat dalam pemilihan UMNO akan datang. Demikianlah juga, sekiranya Pak Lah atau kemnya terus menerajui kepimpinan UMNO, maka dorongan untuk bertindak sedemikian menjadi lebih kuat. Perhimpunan Agung UMNO Mac akan datang seperti 'menang jadi abu kalah jadi arang', yang mungkin lebih hebat daripada kesan pertembungan tahun 1987 dan 1998. Kesemua natijah ini dipercayai akan mempengaruhi Dr Mahathir untuk membuat satu lagi kejutan politik meskipun ketika usianya semakin lanjut.

Sekiranya Dr Mahathir mengambil keputusan seperti ini, kesannya terhadap politik tanahair adalah cukup signifikan. Keputusan Dr Mahathir untuk keluar daripada UMNO sekiranya diteliti telah memberi kesan besar kepada kerjaya politik Pak Lah sehingga hampir sampai ke penghujung. Demikian juga tindakan Dr Mahathir untuk mengkritik kerajaan Pak Lah turut memberi kesan kepada pencapaian BN dalam pilihanraya baru-baru ini. Oleh kerana itu, sekiranya beliau mengambil sikap menyertai PAS, kesannya terhadap politik tanahair juga tidak kurang hebatnya.

Paling tidak keputusan itu akan dirasai dalam Pakatan Rakyat (PR) sendiri yang kini 'berketuakan' Anwar Ibrahim. Kemungkinan berlaku satu episod persaingan baru antara Dr Mahathir dan Anwar dalam politik negara dan secara khususnya dalam PR. Dr Mahathir mungkin tidak sebegitu bebas bertindak sekiranya beliau menjadi ahli PAS kerana tertakluk kepada disiplin parti, tetapi beliau mempunyai pendengar yang tidak sekadar dari kalangan ahli PAS pada ketika itu. Beliau ada akses dengan beberapa institusi strategik di Putrajaya yang memungkinkan beliau bebas bersuara.

Beliau boleh bersuara sebagai seorang negarawan bukannya sebagai ahli PAS ketika itu. Keterikatannya dengan PAS sebagai ahli biasa akan menyebabkan beliau lebih mudah untuk melebarkan pengaruhnya dalam PAS dan PR. Sekiranya pengaruhnya semakin meluas, maka apakah natijahnya tidak akan bertembung semula dengan Anwar? Yang diperlukan oleh Dr Mahathir ialah platform dan pendengar yang berpengaruh dan beriwabawa. Kedua-dua platforrm dan pendengar yang berpengaruh dan berwibawa itu pada masa kini terdapat pada PAS. Maka tindakan nekad Dr Mahathir kali ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Friday 7 November 2008

Khairy Layu Sebelum Berkembang

Khairy Jamaluddin atau KJ tidaklah begitu dikenali sebelum ini, sehinggalah hubungan persemendaannya dengan Pak Lah melalui perkahwinan dengan anak perempuannya telah meluncurkan dirinya ke persada politik tanah air. Malaysia bukanlah baru mempunyai seorang lepasan Oxford, tetapi telah beratus atau mungkin beribu yang telah graduate daripada universiti tersebut. Status graduan Oxford tidak sedikitpun membantu KJ naik dalam politik UMNO, kerana kejayaan naik dalam UMNO lebih banyak bergantung kepada politik mentor dan politik wang.

Ketika KJ baru mula berjinak dengan politik di pejabat Pak Lah dan mendiami sebuah kondomonium berhampiran Bangsar, tiada siapapun mengenalinya. Beliau cuba menyelitkan dirinya dalam kelompok yang mendapat pengaruh daripada mahasiswa terutama ketika reformisi sedang memuncak pada tahun 1999. Namun begitu tiada seorangpun pemimpin mahasiswa yang berminat untuk bernaungkan kepada KJ. Hanya seorang mereka yang terlibat dengan mahasiswa yang berjaya dipengaruhinya pada ketika itu, iaitu Stephen Doss yang pada ketika itu cenderung kepada Anwar Ibrahim.

Stephen Doss itu sebenarnya bukanlah mahasiswa tetapi pelajar ijazah Sarjana yang ada hubungan dengan Ezam Mohd Noor, tetapi kemudiannya berpaling tadah mengampu KJ. Selain daripada beliau, mahasiswa ketika itu tidaklah dapat dipengaruhi oleh KJ, walaupun KJ berjaya mengemukakan satu badan perunding antara mahasiswa dan kerajaan yang dinamakan MPPK. Kejayaan menasihati Pak Lah menubuhkan MPPK itu tidak cukup untuk menaikkan namanya dalam politik apa lagi dalam politik UMNO yang penuh dengan dengki khianat dan politik kotor.

Bintang KJ dalam politik hanya cerah selepas perkahwinannya dengan Nori, anak Pak Lah. Tidak diketahui sejauh mana cintanya pada Nori, adakah lebih tinggi daripada cintakan jawatan dalam UMNO atau lebih kurang. Perkahwinan inilah yang telah menyebabkan beliau mulai naik dalam UMNO dan mula mendapat kepercayaan tidak berbelah bahagi Pak Lah. Kesempatan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh KJ untuk menempatkan rakan-rakannya di tempat-tempat yang strategik dalam politik UMNO seperti tingkat empat dan akhbar.

Kelicikan politik KJ yang paling terserlah ialah apabila beliau selalu dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab membebaskan Anwar Ibrahim dan kemudiannya menawarkan kemudahan kepada Anwar dari segi urusan imegresen semasa beliau berubat di Jerman. Beliau juga dilihat selalu berdamping dengan Pak Lah dengan lagak seorang penasihat terutama ketika Pilihanraya 2004 yang lalu. Kejayaan besar BN dalam pilihanraya itu secara tidak langsung dilihat sebagai kejayaan besar Pak Lah dan KJ. Dengan kejayaan itu beliau telah berjaya meluaskan pengaruhnya dengan lebih baik.

Dalam UMNO beliau mula naik dengan mendadak, dan mula memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam usianya yang begitu muda. Ketua Pemuda yang selalunya dilihat lemah oleh parti pembangkang, kelihatan menjadi boneka sewaktu KJ menjadi naibnya. Pergerakan Pemuda UMNO dilihat berketuakan KJ, manakalah Hishamuddin Tun Hussien lebih dilihat sebagai sedang dalam transisi untuk melepaskan jawatannya. KJ cuba mencantas sesiapa sahaja yang cuba menghampiran takhta itu sepertimana apa yang pernah dialami oleh Dr Khir Toyo.

Bagaimanapun bintang politik KJ tidak bersinar untuk selamanya. Kekalahan BN dalam pilihanraya baru-baru ini telah menyebabkan kemalapan. Serangan Dr Mahathir selepas pilihanraya tersebut yang ditujukan langsung kepada Pak Lah akhirnya telah memaksa Pak Lah untuk meletak jawatan lebih awal. Keputusan itu secara tidak langsung telah menjejaskan peluang KJ. Seperti yang dijangka KJ hanya kuat kerana adanya Pak Lah, walaupun Pak Lah seorang yang lemah. KJ kuat bukan kerana batang tubuh Pak Lah, tetapi jawatan Pak Lah. Walaupun Pak Lah masih selepas jawatannya hilang, KJ tetap akan layu bersama dengan impiannya dalam UMNO.

Tuesday 28 October 2008

Harapan Baru Kepada Pemuda PAS

"Ketepikan dahulu sentimen perkauman yang menjadi nyawa politik UMNO". "Mulakan satu era baru politik Malaysia yang benar-benar berteraskan kepada Islam". "Terjemahkan slogan PAS Untuk Semua". "Bina keyakinan orang Melayu bahawa hanya Islam yang boleh menjamin survival mereka". Demikianlah beberapa ungkapan yang meletakkan harapan setinggi gunung kepada PAS untuk merealisasikan keadilan Islam. Harapan itu datang dari semua lapisan rakyat sama ada Melayu, Cina atau India. Tidak dapat dinafikan bahawa PAS lah satu-satunya parti politik di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, justeru harapan untuk melihat keadilan Islam itu terletak di bahu PAS.

Bagaimanapun setelah lebih setengah setahun diberi kesempatan yang agak terbatas itu, PAS kelihatan masih teragak-agak untuk melaksanakan Islam yang diperjuangkan olehnya. Sebaliknya PAS mengambil alih peranan UMNO yang terbawa-bawa dengan politik perkauman yang tidak mempunyai asal-usulnya daripada Islam. Sebelum PAS memperolehi kesempatan ini, pimpinan-pimpinan PAS selalu menyebut "sekiranya Islam memerintah, maka Malayu, Cina dan India akan selamat". Malangnya prinsip politik seperti itu sehingga kini masih dihantui oleh keresahan politik perkauman ala UMNO. Sehingga kini rakyat masih tertunggu-tunggu di mana janji-janji manis PAS itu untuk melaksanakan keadilan Islam.

Sebelum mempunyai kuasa yang terbatas ini, PAS sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa Islam pada bila-bila masa sesuai dengan masyarakat majmuk. Model masyarakat majmuk di Madinah ketika pemerintahan Rasulullah saw dijadikan sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu ini. Sebaliknya selepas PAS berkuasa penuh sekurang-kurangnya di dua negeri dan berkongsi kuasa di dua buah negeri yang lain, jawapan yang dikemukakan sebelum ini seperti dirasakan tidak lagi sesuai. PAS kelihatan terus tertekan dengan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO sehingga teragak-agak untuk melaksanakan model masyarakat Madinah tersebut.

Masyarakat bukan Islam tiada masalah apabila Pemuda PAS Selangor menentang konsert Ella semasa sambutan 100 hari Pakatan Rakyat. Mereka juga tiada masalah ketika Kerajaan Kelantan mengharamkan premis judi suatu ketika dahulu. Kaum Cina tiada masalah ketika PAS memperjuangkan supaya mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Kaum India tiada masalah sewaktu PAS memperjuangkan nasib sekolah agama rakyat yang ditekan oleh UMNO. Kesemua isu-isu ini adalah selari dengan perjuangan PAS dan mereka menghormati prinsip perjuangan PAS tersebut. Mereka cuba memahami bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip-prinsip Islam.

Bagaimanapun mereka mula mempersoalkan, mengapa Kerajaan Kedah menetapkan kuota 50% untuk bumiputera bagi projek-projek perumahan. Mereka mula bertanya mengapa Exco Negeri Selangor daripada PAS menentang perlantikan seorang wanita Cina memangku pengurusan PKNS. Apakah pendirian PAS tentang perkara-perkara ini berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang didukung oleh mereka. Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan keperluan perumahan rakyat dalam isu kuota 50%? Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan perlantikan bukan Islam dalam perkara yang berkaitan wilayah al-tanfiz seperti dalam isu PKNS?

Sistem politik Islam sememangnya syumul dan adil. Islam telah mendahului Barat dalam memastikan hak-hak kemanusiaan dan hak-hak rakyat dalam bernegara. Kesemua pekara itu telah dihadam oleh pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli PAS dalam program-program usrah, tamrin, liqa dan sebagainya. Hari ini prinsip-prinsip yang telah dihadamkan itu menuntut kepada pelaksanaan. PAS perlu yakin dengan keadilan prinsip-prinsip itu dan melaksanakan 'without fear and favor'. Biarkan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO mati bersama-sama dengan UMNO yang sudah siap sedia untuk dikuburkan. Yakinlah, sekiranya Islam dilaksanakan semua kaum akan terjamin hak-hak mereka.

Kesempatan yang tidak sampai lima tahun ini perlu direbut oleh PAS untuk menunjukkan keadilan sistem politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. Usaha ini akan menjadi dakwah bil hal yang terpenting, yang akan membuka hati-hati golongan bukan Islam untuk memeluk Islam. Sejarah telah membuktikan khususnya ketika Islam memerintah di Andalus, manusia berbondong-bondong memeluk Islam setelah melihat sistem sendiri sistem politik yang adil. Setelah lebih 50 tahun UMNO menghijabkan hati golongan bukan Islam terhadap Islam, maka kesempatan 5 tahun ini sangat-sangat perlu dimanfaatkan oleh PAS. Sekiranya tidak, kemungkinan PAS akan kembali semula kepada 'zero' selepas ini.

Seminar berkaitan dengan Siyasah Shar`iyyah yang diusahakan oleh Pemuda PAS baru-baru ini diharapkan bakal menjadi 'turning point' kepada usaha ini. Pemuda PAS merupakan harapan baru untuk mendesak pelaksanaan sistem politik Islam dalam negeri-negeri yang PAS mempunyai kuasa. Setiap tindakan kerajaan Negeri perlu disuluh dengan Siyasah Shar`iyyah, bukannya bisikan 'hantu raya' politik perkauman UMNO. Sesungguhnya sistem politik Islam telah terbukti lebih 1400 tahun yang lalu memberi keadilan kepada semua manusia. Beban untuk memperlihatkan keadilan itu kini terletak di bahu PAS, manakala Pemuda PAS adalah tulang belakangnya.

Thursday 16 October 2008

Mengapa PAS Kedah Lebih Nasionalis Dari UMNO

Sekonyong-konyong kita dikejutkan dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk menaikkan kouta bumiputera dalam projek perumahan di negeri itu sebanyak 50%. Tindakan itu sukar difahami adakah berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang menjadi teras perjuangan PAS atau berdasarkan prinsip-prinsip nasionalis yang menjadi teras perjuangan UMNO. Yang jelas tindakan itu menunjukkan kerajaan yang diterajui oleh PAS lebih nasionalis daripada UMNO, yang sebelum ini hanya menetapkan kouta sebanyak 30% sebagaimana semangat DEB. Jika begitu apa perbezaannya antara UMNO dengan PAS dalam politik?

Kalaulah PAS Kedah mendakwa bahawa mereka berbeza dengan UMNO kerana ketelusan pentadbirannya, maka apa pula perbezaannya dengan DAP? Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP juga mementingkan ketelusan, malah mungkin lebih telus daripada kerajaan negeri Kedah. Kehidupan Ketua Menterinya juga amat sederhana seperti juga kehidupan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi Menteri Besar Kelantan. Kalau begitu, apa bezanya kerajaan PAS Kedah yang mendukung prinsip-prinsip Islam dengan kerajaan DAP yang mendukung prinsip-prinsip sosial-demokratik. Maka PAS Kedah dilihat menyerupai UMNO dalam Nasionalisme dan menyerupai DAP dalam semangat Sosial-demoktarik.

Setelah hampir setengah tahun PAS mendapat kemenangan hasil daripada kurniaan ALlah melembutkan hati orang-orang bukan Islam, sehingga hari ini PAS masih gagal untuk menonjolkan kebaikan prinsip-prinsip Islam yang didukunginya. Sebaliknya rakyat di negara ini dikejutkan pula oleh tindakan PAS Kedah yang lebih nasionalis daripada UMNO. Adakah keputusan PAS Kedah ini didorong oleh keputusan yang berdasarkan kepada Fiqh Islami atau semangat perkauman yang ditiru daripada UMNO. YAB Menteri Besar Kedah merupakan seorang yang alim dalam bidang Usul al-Fiqh, maka apakah tindakan kerajaannya menurut ilmu yang dipelajarinya?

Dalam Usul al-Fiqh, ada satu kaedah yang menyebut "tindakan ketua negara ke atas rakyatnya perlu dipertimbangkan menurut maslahah". Maka adakah tindakan menaikkan kouta ini berteraskan kepada maslahah untuk kepentingan rakyat yang turut meliputi orang Melayu dan bukan Melayu. Dalam Usul al-Fiqh juga ada menggariskan Maqasid al-Shariah yang antara lain bertujuan untuk menjaga kepentingan dan keperluan manusia. Persoalan keperluan perumahan ini dalam Islam boleh diketegorikan kepada Dharuriyyat dalam perkara menjaga kepentingan harta atau sekurang-kurangnya Hajiyyat. Kalau menurut PBB pula keperluan perumahan dikategorikan sebagai 'basic needs'.

Sekiranya keperluan perumahan itu termasuk dalam Dharuriyyat atau sekurang-kurangnya Hajiyyat, maka sesebuah kerajaan yang berteraskan Islam perlu mangmbil kira kepentingan itu untuk memenuhi keperluan rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama. Sebagaimana juga dalam persoalan menjaga nyawa, nasab, akal dan maruah, sesebuah kerajaan Islam turut bertanggungjawab terhadap rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama, maka demikianlah juga keperluan perumahan yang termasuk dalam persoalan menjaga harta. Jadi, apakah kerajaan PAS Kedah boleh menjawab di hadapan ALlah swt nanti, adakah mereka telah menunaikan tanggungjawab itu terhadap rakyat negeri Kedah.

Sepatutnya kerajaan PAS Kedah membuat kajian berapa ramaikah lagi rakyat di Kedah yang tidak mempunyai rumah kediaman? Berapa ramaikah rakyat Kedah yang rumah kediaman mereka tidak sesuai dengan saiz keluarga? Berapa ramaikah rakyat Kedah yang masih menumpang di tanah saudara-mara atau menjadi penghuni-penghuni setinggan? Berapakah kemampuan rakyat Kedah untuk membeli sesebuah rumah? Apakah kategori rumah yang mampu-beli bagi rakyat yang tiada rumah kediaman? Persoalan-persoalan seperti ini yang sepatutnya di terokai oleh kerajaan PAS Kedah sebelum menentapkan sesuatu dasar berkaitan dengan perumahan. Kesemua persoalan ini ada kaitan dengan menjaga maslahah rakyat dan menunaikan keperluan dharuriyyat.

Setelah adanya kajian tersebut, kerajaan Negeri Kedah boleh menetapkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat Kedah. Sebagai contoh, kerajaan PAS Kedah boleh menetapkan kouta 50% bagi setiap projek perumahan hendaklah rumah kos sederhana, atau kouta 30% untuk rumah yang mampu-beli dengan kos RM 30,000 ringgit. Kerajaan PAS Kedah juga boleh menetapkan umpamanya kouta 30% diberikan kepada rakyat yang tidak memiliki rumah tanpa mengira kaum dan agama. Sekiranya kaum Melayulah yang ramai tidak memiliki rumah dan tidak mampu memiliki rumah dengan kos yang tertentu, maka kouta itu secara tidak langsung memberi kebaikan kepada mereka. Dasar-dasar seperti inilah yang menepati prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sebaliknya pertimbangan Fiqh seperti ini diketepikan mungkin kerana mahu bersaing dengan UMNO siapakah yang lebih nasionalis. Sepatutnya kerajaan PAS Kedah yang diberi peluang oleh ALlah swt melalui undi orang-orang bukan Islam menonjolkan keadilan pemerintahan Islam, mengambil kesempatan yang tidak sampai lima tahun ini untuk tujuan tersebut. Tempoh lima tahun ini tidak sepatutnya digunakan untuk menonjolkan mereka lebih nasionalis daripada UMNO. Masih belum terlambat untuk kerajaan PAS Kedah menarik balik dasar ini. Sekiranya tidak, percayalah rakyat khususnya yang bukan Islam akan melihat PAS dan UMNO tiada beza.

Monday 13 October 2008

Kalaulah Endon Masih Hidup

Sepertimana Dr Mahathir, ramai juga pemerhati politik Malaysia yang agak terkejut dengan keputusan Pak Lah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sekiranya Pak Lah terus berpendirian untuk mempertahankan jawatan tersebut, hampir pasti beliau akan dicalonkan semula oleh bahagian-bahagian UMNO yang mula bersidang sehari selepas beliau meletakkan jawatan. Bahagian-bahagian UMNO akan menyokong mereka yang sedang berkuasa. Sekuat-kuat pengaruh Dr Mahathir, selepas beliau meletakkan jawatan tidak seorangpun yang menyokongnya melainkan mereka yang memang kagum dengan kelicikan politiknya dan cengkaman kediktatorannya.

Kedudukan Pak Lah sebenarnya masih kukuh kerana kebanyakan ahli MT UMNO dan kabinet masih bersama-sama dengannya. Kecuali Zaid Ibrahim, apa sahaja tindakannya yang tidak popular seperti menaikkan harga petrol dan diesel serta penangkapan ISA tetap disokong oleh MT UMNO dan kabinet. Beliau dan teamnya dipercayai masih lagi menguasai media yang menjadi faktor terpenting menentukan pengaruh seseorang dalam UMNO dan BN. Beliau juga masih mendapat sokongan ahli-ahli komponen BN sehingga hari ini Anwar dan PR masih sukar untuk merampas teraju kerajaan. Oleh sebab itu, agak mengejutkan bila Pak Lah memilih untuk berundur.

Pak Lah sememangnya lebih toleran berbanding dengan Dr Mahathir. Kalaulah Dr Mahathir berada ditempat Pak Lah kemungkinan Muhyidin Yassin sekarang sedang menghadapi tuduhan liwat atau apa-apa lagi tuduhan yang pelik. Kemungkinan juga pekung Muhyidin akan mula dibongkar sedikit demi sedikit oleh pihak media. Muhyidin dikatakan sebagai orang yang membangkitkan kemungkinan Pak Lah tidak akan mendapat sokongan bahagian-bahagian UMNO dalam Mesyuarat MT. Kalau Pak Lah bertindak seperti ini dipercayai Muhyidin dan mereka yang senadanya dengannya akan bersegera kembali mencium tangan Pak Lah.

Lebih daripada itu Pak Lah begitu lembut dengan musuh politiknya dan kadangkala membelakangkan rakannya yang sebenar. Kesilapan Pak Lah ini dapat dilihat apabila beliau tidak memberi jawatan kabinet kepada Radzi Sheikh Ahmad sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO. Pak Lah kemudiannya melantik 'musuh' politiknya Tengku Adnan Tengku Mansor memegang jawatan tersebut. Perlantikan Tengku Adnan tersebut sebenarnya meletakkan pisau ke tengkuk Pak Lah, kerena Tengku Adnan sememangnya dikenali rapat dengan Dr Mahathir. Hubungan mereka terserlah dalam kes VK Linggam.

Selain daripada itu, Pak Lah juga tidak bijak dalam strategi politiknya, apabila menganggap Ku Li sebagai musuh politik utama. Ku Li dan Pak Lah pernah berada satu team untuk menghadapi Dr Mahathir, tetapi Pak Lah seperti langsung tidak kembali membina jambatan dengan Ku Li. Kalaulah selepas pilihanraya baru-baru ini, Pak Lah melantik Ku Li sebagai menteri kabinet, dipercayai Ku Li boleh menjadi saingan yang rapat terhadap Najib kerana kekananannya. Kalau Ku Li berada dalam kabinet, setidak-tidaknya MT UMNO dan Kabinet tidak didominasikan oleh team Najib. Kembalinya Ku Li dalam kabinet merupakan ancaman besar kepada Najib, bukanlah Pak Lah.

Tidak diketahui secara jelas siapakan penasihat sebenar Pak Lah dalam percaturan politik ini. Kemungkinan Khairy Jamaluddin sebagai penasihat dalam tindakan-tindakan ini adalah tipis. Pak Lah kelihatan menjadi paranoid setelah Dr Mahathir menyerangnya habisan-habisan kerana mengikut nasihat menantunya. Walaupun Khairy masih mentah dalam politik, setidak-tidaknya nasihat beliau telah berjaya mempengaruhi Pak Lah untuk membebaskan mahkamah dalam perbicaraan rayuan kes Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya Khairy telah berjaya memperkukuhkan pengaruh Pak Lah menguasai media.

Kekuatan Pak Lah sebenarnya memang terletak kepada Khairy dan teamnya. Manakala Khairy dan teamnya pula sangat bergantung kepada kedudukan Pak Lah untuk terus naik dalam UMNO. Bagaimanapun selepas PRU Mac yang lalu Pak Lah seperti diserang paranoid untuk terus mendengar nasihat menantutnya disebabkan tuduhan-tuduhan Dr Mahathir dan konco-konconya. Situasi ini menyebabkan kedudukan Pak Lah makin goyah ditambah pula dengan ramainya 'gunting dalam lipatan' di kalangan angggota MT UMNO dan Kabinet. Apabila Pak Lah menyatakan hasratnya untuk berundur, maka dengan sendiri kedudukan Khairy sangat terancam dalam Pemuda UMNO.

Kelihatan Khairy dan mereka di sekeliling Pak Lah tidak lagi berupaya untuk menasihati Pak Lah berhubung dengan tindakan-tindakannya dalam politik. Pak Lah benar-benar merasai kehilangan Endon yang menjadi tulang belakangnya dalam kerjaya politik. Ketika Endon masih hidup, beliau banyak memberi sokongan yang padu di samping nasihat yang tepat terhadap kedudukan politik Pak Lah. Dikatakan atas nasihat Endon, Pak Lah tidak menyertai Semangat 46 sebaliknya kembali semula dalam UMNO. Nasihat itulah yang kemudiannya memungkinkan Pak Lah berada di kedudukan PM sekarang. Kalaulah Endon masih hidup mungkin keadaan politik Pak Lah sekarang berubah.

Monday 15 September 2008

Giliran Anwar Menunjukkan Kesetiaan

Sebelum ini kami pernah menyatakan, setelah Pak Lah gagal mendapatkan sokongan padu daripada PAS bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam percaturan tiga penjuru politik negara, beliau dijangkakan akan beralih pula kepada Anwar Ibrahim. Apa yang dijangkakan itu semakin memperlihatkan kebenarannya setelah melihat senario politik pasca 16 September 2008. Seperti wujud faktor pendorong bagi kedua-dua belah pihak Pak Lah dan Anwar untuk bertemu bagi mencapai kesepakatan 'win-win' antara kedua-dua mereka. Kesemuanya akan terjawab setidak-tidaknya sebelum bermulanya mesyuarat bahagian-bahagian UMNO yang bulan Oktober nanti.

Sebelum ini, sewaktu menghadapi persaingan tiga penjuru antara Pak Lah, Dr Mahathir dan Anwar, Pak Lah cuba mendapatkan sokongan PAS. Demi menarik sokongan PAS itu Pak Lah menggunakan isu survival Islam dan Melayu pasca Pilihanraya Umum bulan Mac yang lalu. Pak Lah memberikan berbagai tawaran kepada PAS yang sememangnya berjuang untuk survival politik Islam dan dalam konteks negara ini tidak dapat dipisahkan dengan politik Melayu. Sekiranya PAS boleh memberi sokongan paling tidak menyertai BN, sudah pasti Pak Lah mempunyai kekuatan untuk menghadapi Anwar dan yang lebih penting seteru utamanya Dr Mahathir. Tawaran yang diberikan kepada PAS sangat menarik.

Bagaimanapun, PAS tetap setia dengan PR khususnya Anwar meskipun apa yang ditawarkan oleh Pak Lah lebih menguntungkan. Pimpinan tertinggi PAS yang membuat keputusan secara kolektif mendengar tawaran UMNO dan menguji kesungguhan Pak Lah dengan mengemukakan beberapa tuntutan. Pak Lah menyahut dengan menunaikan dahulu dua tuntutan tersebut iaitu mengembalikan semula hak penerbitan Harakah dan hak royalti Petroleum di Terengganu. Bagaimanapun, PAS tidak menyertai BN sebaliknya memberi komitmen akan menyokong tindakan-tindakan Pak Lah yang akan memperkukuhkan kedudukan Islam dan Melayu. Sebaliknya PAS terus setia dengan PR dan menunggu seterusnya perubahan Pak Lah.

Setelah gagal mendapatkan sokongan PAS, maka kedudukan politik Pak Lah terus tidak stabil. Ketika Pak Lah melihat saingannya Najib semakin dikehendaki, maka Pak Lah menyediakan pelan peralihan kuasa yang akan berlangsung pada 2010. Sebagaimana biasa Najib sentiasa 'akur' dengan Pak Lah, sedangkan mentornya Dr Mahathir melihatnya sebagai satu perangkap. Dr Mahathir mengambil langkah yang lebih drastik dengan mengisytiharkan keluar dari UMNO sebagai usaha memberi tekanan yang lebih kepada Pak Lah. Namun demikian langkah politikus vateran itu tersilap kerana dengan keluar dari UMNO, seteru politiknya Pak Lah akan menjadi lebih stabil.

Buat seketika tanpa desakan Dr Mahathir yang berada di luar UMNO, Pak Lah lebih tenang dalam menumpukan perhatian politiknya untuk menghadapi Anwar. Ketika itu Anwar sudah mula mensasarkan 16 September sebagai tarikh untuk beliau mengambil alih teraju kerajaan. Usaha Anwar ini bukan sesuatu yang mustahil, namun Pak Lah lebih merasa tenang berbanding serangan Dr Mahathir terhadapnya. Dengan pendirian Najib serta teamnya menunjukkan 'setia', Pak Lah tidak begitu merasa tergugat dengan cabaran Anwar kerana jumlah majoriti yang diperolehi adalah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Pak Lah juga yakin jentera kerajaan yang diterajui BN tidak mungkin memberikan laluan mudah kepada Anwar.

Namun begitu menjelang bulan Oktober yang getir baginya, musuh-musuhnya dalam selimut telah mula menunjukkan pengkhianatan. Bermula dengan Muhyiddin yang mengadakan muqabalah secara sulit dengan Dr Mahathir dalam usaha untuk membawanya semula kepada UMNO, sehinggalah kepada Najib sendiri yang menyarankan isu peralihan kuasa diserahkan kepada akar-umbi UMNO. Cadangan Najib ini yang kemudian disokong oleh Ali Rustam dan sepupunya Hishamuddin Hussien merupakan satu tindakan tikam dari belakang. Dengan erti kata lain, Najib tidak lagi berpegang kepada pelan peralihan kuasa 2010, sebaliknya meminta supaya mesyuarat bahagian-bahagian UMNO yang menentukannya.

Pak Lah sekarang benar-benar tersepit dengan pengkhianat musuh-musuh dalam selimut UMNO. Sekiranya Dr Mahathir akan menyertai semula UMNO, dan beliau berkempen ke seluruh bahagian, tidak mustahil nyawa politik Pak Lah akan tercabut lebih awal sebelum 2010. Tidak diketahui siapa proksi Dr Mahathir kali ini, kemungkinan beliau berjaya menjadi broker politik yang baik untuk menyatukan Najib dan Muhyiddin. Sekiranya Najib dan Muhyiddin bergabung, boleh dikatakan pegangan akar-umbi mereka lebih dominan dan amat mudah bagi mereka setidak-tidaknya mempercepatkan peralihan kuasa pada Disember ini. Bila Najib naik, bermakna Dr Mahathir kembali 'berkuasa'.

Manakala bagi Anwar pula, bukan mudah baginya untuk menumbangkan kerajaan yang ada sekarang. Mereka yang berada dalam BN sekarang sememangnya tidak puashati dengan Pak Lah yang dianggap lemah menerajui negara. Memang ada sebahagian ahli-ahli parlimen yang tidak puashati ini sanggup memberi komitmen untuk menyertai Anwar sekiranya Anwar berjaya menerajui negara. Pengikut-pengikut setia Anwar dalam UMNO sememangnya masih ramai termasuklah Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah dan tidak mustahil juga Shabery Chik dan Dr Fuad Zarkasyi. Oleh sebab itu cita-cita Anwar untuk menerajui kerajaan bukanlah mustahil tetapi sukar untuk dicapai.

Bagaimanapun ahli-ahli MP BN dan UMNO ini juga terpaksa tunggu dan lihat siapakah yang akan jadi dominan; Pak Lah, Anwar atau Dr Mahathir. Sekiranya Pak Lah menunjukkan tanda-tanda menjadi dominan kemungkinan mereka tidak akan berubah fikiran untuk menyeberang. Demikianlah juga sekiranya Anwar yang menunjukkan tanda-tanda menjadi dominan maka mereka kemungkinan akan menyeberang. Tetapi bagaimana pula kalau Dr Mahathir yang menjadi dominan? Kemungkinan besar ada kalangan mereka yang kekal dalam BN dan kemungkinan ada yang akan menyeberang. Setiap ahli parlimen BN sedang memerhatikan senario ini sebagai mengambil jalan yang selamat kepada kerjaya politik mereka.

Percaturan politik Dr Mahathir tidak boleh diketepikan. Siapakah yang bertanggungjawab mencetuskan isu-isu perkauman melalui seorang Ketua Bahagian yang tidak pernah dikenali sebelum ini, iaitu Ahmad Ismail? Siapa yang mengarahkan penahanan ISA seumpama Operasi Lalang II baru-baru ini? Siapakah yang merancang kes liwat Saiful yang menggemparkan negara buat seketika? Agak sukar untuk meletakkan kesemua ini ke atas Pak Lah, sebaliknya kemungkinan ada pihak lain yang masih berpengaruh ke atas jentera-jentera kerajaan melakukan perancangan ini. Kalau benar kesemua ini bukan dari Pak Lah, maka kedudukan politik Anwar begitu terancam.

Anwar mungkin tidak begitu sukar menghadapi Pak Lah kerana atas keterbukaan Pak Lah Anwar dibebaskan dari penjara. Dengan kelembutan Pak Lah, Anwar masih bebas meskipun sedang disabitkan dengan satu lagi kes liwat. Sekiranya perkara ini berlaku di zaman Dr Mahathir, kemungkinan Anwar tidak akan bebas lagi berceramah malah bertanding dalam pilihanraya baru-baru ini. Oleh sebab itu, halangan sebenar jalan untuk Anwar menuju ke puncak ialah datang dari Dr Mahathir dan proksi-proksinya. Kebelakangan ini, golongan inilah yang telah menimbulkan seribu satu masalah besar kepada Anwar sehingga Anwar hampir-hampir tewas untuk kali kedua.

Pasca 16 September ini sehingga Disember benar-benar merupakan tahap kritikal kepada Pak Lah dan Anwar. Apabila Anwar ingin bersemuka dengan Pak Lah bagi membincangkan masa depan politik negara, seolah-olah menunjukkan kemungkinan ada satu usaha baru untuk berkompromi antara kedua-duanya. Pak Lah menghadapi masalah besar dalam UMNO dan begitu mengharapkan ada satu tangan yang boleh menyokongnya. Anwar pula menghadapi serangan yang bertali arus daripada mereka yang menguasai jentera kerajaan, dan mengharapkan ada satu kuasa yang boleh melindunginya. Kesemua ini akan menjadi faktor-faktor pendorong untuk mereka bermuqabalah.

Tawaran Pak Lah kepada Anwar untuk bermuqabalah bukanlah baru tetapi telah wujud sebaik sahaja Anwar dibebaskan daripada penjara. Tetapi sebagai anak jantan, Anwar tidak mahu berdiri atas naungan dan mentor politik orang lain. Anwar ingin membuktikan bahawa beliau boleh naik semula dengan daya usahanya sendiri. Kini terbukti bahawa Anwar semakin menuju ke puncak walaupun belum lagi berada di atas persadanya. Akan tetapi Anwar boleh jatuh semula bila-bila masa sebagaimana beliau jatuh pada tahun 1998 walaupun hanya satu langkah sahaja lagi akan sampai ke puncak. Oleh sebab itu, keadaan getir hari ini boleh mendorong Anwar untuk bermuqabalah semula dengan Pak Lah dan Khairy menantunya.

Sekiranya pelan muqabalah ini berlaku, maka adakah sekali lagi PAS yang akan ditimpa kesan politik ini. PAS sememangnya setia dengan mana-mana pihak yang telah berjanji setia dengannya. Pihak-pihak lainlah yang telah mengkhianati PAS, bermula dengan UMNO sendiri, kemudian Semangat 46 dan kini mungkin PKR. Benarkah Anwar akan mengajak PAS turut bersemuka dengan Pak Lah sedangkan sebelum ini segala perancangan yang diatur, pimpinan tertinggi PAS tidak diajak berunding. PAS terpinga-pinga ketika Anwar mencanangkan cadangan penubuhan kerajaan baru. Dalam keadaan sekarang mungkinkah Anwar akan terus setia dengan PAS atau mungkin Anwar akan memberikan satu lagi pengalaman pahit kepada PAS?

Friday 12 September 2008

Antara Cikgu Pa dan Khalid Samad

Memang ramai khususnya dari kalangan rakyat terutama yang sangat mengharapkan perubahan tidak boleh menerima pandangan Cikgu Pa (Hj Mustafa Ali). Termasuklah antara mereka ahli perlimen Shah Alam, Khalid Samad. Pandangan Cikgu Pa ini disebut oleh Khalid sebagai pandangan yang terkongkong dalam tempurung politik Terengganu. Bagaimanapun dalam tempoh yang tidak sampai seminggu ini, pandangan tokoh politik vateran seperti Cikgu Pa semakin menampakkan kebenarannya. Sehingga kini tidak ada sesuatu yang benar-benar signifikan boleh dijadikan sebagai riak permulaan ke arah penubuhan kerajaan baru itu. Yang ada hanyalah khabar-khabar angin yang tidak dapat dipastikan.

Perubahan atau pertukaran kerajaan melalui proses bukan pilihanraya di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Sememangnya di Malaysia pernah ada sejarah seperti itu berlaku tetapi tidak melibatkan Kerajaan Persekutuan. Malah kes yang pernah berlaku sebelum ini adalah melibatkan pertukaran kepada sebuah kerajaan yang disokong oleh Kerajaan Persekutuan. Dengan erti kata lain pertukaran dari sebuah kerajaan pembangkang kepada kerajaan yang disokong oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan di Malaysia bukan hanya Barisan Nasional (BN), sebaliknya Kerajaan Persekutuan turut melibatkan pegawai-pegawai kerajaan dan pihak keselamatan, malah tidak salah juga ia turut melibatkan pihak Istana.

Sekiranya memang benar ada ahli-ahli parlimen BN melompat parti, adakah semudah itu kerajaan akan bertukar. Lebih daripada itu, sekiranya pembangkang menang dalam Pilihanraya Umum bulan Mac yang lalu, belum tentu pembangkang akan berjaya menerajui Kerajaan Persekutuan. Pembangkang diyakini akan menghadapi seribu satu macam halangan ke arah pembentukan kerajaan. Betapa pula salah satu daripada parti pembangkang itu ialah PAS yang terkenal mendukung cita-cita politik Islam. Tidak mungkin Khalid patut melupakan pengalaman parti-parti politik yang sehaluan dengan PAS di negara-negara lain.

Sekiranya penubuhan kerajaan baru itu berlaku melalui cara melompat parti, sudah tetu prosesnya akan menjadi lebih sukar melainkan jika PAS langsung tidak terlibat dalam proses menubuhkan kerajaan. Kalau PAS tidak terlibatpun bukan bermakna laluan itu sebegitu mudah. Pembangkang akan menghadapi seribu satu karenah dan tipu helah yang bukan hanya dibuat oleh BN tetapi pihak-pihak lain yang telah selesa dengan kerajaan sekarang. Kalau benarlah ada yang akan melompat parti, tidak mungkin pihak-pihak yang tugasnya sentiasa mengekori ahli-ahli politik tidak tahu. Sekiranya mereka tahu tidak mungkin mereka akan berlepas tangan begitu sahaja.

Peluang Anwar menjadi Perdana Menteri sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu sebenarnya lebih cerah daripada sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang sekarang. Dalam keadaan peluang yang begitu cerah seperti itupun akhirnya hasrat Anwar berkubur, betapa pula sekarang. Kali ini Anwar bukan hanya berhadapan dengan Pak Lah sebagai Perdana Menteri tetapi ada pihak ketiga. Kalaupun Pak Lah boleh jatuh dengan adanya ahli parlimen melompat parti, apakah pihak ketiga itu akan berdiam diri. Pertarungan Anwar kali ini sebenarnya lebih kompleks kerana ia melibatkan paling kurang tiga penjuru. Dengan senario seperti ini peluangnya tidaklah lebih cerah daripada apa yang pernah diperolehi oleh Anwar sebelum ini.

Kesemua perkara ini tidak mungkin terlepas daripada pengamatan seseorang ahli politik yang berpengalaman seperti Cikgu Pa. Berbanding dengan Khalid yang sememangnya begitu mengharapkan boleh berlaku perubahan, Cikgu Pa tidak dipengaruhi dengan harapan itu untuk membuat pandangan politik yang lebih objektif. Pandangan Cikgu Pa bukanlah bermakna beliau rela membiarkan BN terus memerintah, tetapi beliau tidak mahu satu perkiraan mudah dibuat oleh parti pembangkang tentang perubahan kerajaan pada 16 September ini. Sebagai seorang ahli politik, perkiraan perubahan sebuah kerajaan itu tidak boleh dilihat semudah matematik campur dan tolak sebaliknya begitu rumit dan penuh dengan tipu helah.
Cikgu Pa memberi pandangan berdasarkan maklumat yang beliau terima sama ada daripada dalaman parti atau luaran parti. Masalahnya kalau benar rancangan untuk membentuk Kerajaan Baru dan peralihan kuasa oleh pihak pembangkang, mengapa sehingga kini pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden langsung tidak dibawa berunding dan diberi maklumat tentang usaha itu. Apakah mereka semua hanya diberi peranan tunggu dan lihat oleh PR khususnya Anwar Ibrahim? Oleh yang demikian, sememang wajar Cikgu Pa dan pimpinan tertinggi PAS mengambil sikap pasif dan paling tidak seperti kata Mat Sabu "kita tunggu dan lihat" kerana demikianlah cara PAS dilayan.

Apakah yang diperlukan daripada PAS hanya undi ahli-ahli parlimennya bukan berkongsi pandangan dan strategi dalam membuat perubahan yang bakal menjadi sejarah. Adakah Presiden PAS dan lain-lain hanya diseret oleh PR dan Anwar untuk menghadiri Press Conference, beri ceramah dan lain-lain seperti Pak Turut. Manakala menentukan bentuk kerajaan yang akan memerintah, kedudukan Islam dan Melayu dalam pemerintahan itu, bilakah Pilihanraya Umum akan diadakan dan lain-lain, hanya dibincang oleh Anwar dan segelintir daripada mereka? Demikiankah cara berpakat dalam PR. Kalau begini cara PAS dilayan, sememangnya wajar Cikgu Pa melontarkan 'buah keras' sebagai satu peringatan kepada Anwar.

Sunday 31 August 2008

Sehingga Sumpahpun Tidak Lagi Dipercayai

Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh sememangnya diduga, tetapi pertambahan majoriti yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang biasa. Secara keseluruhannya keputusan pilihanraya ini menandakan rakyat sudah tidak lagi mempercayai apa sahaja sumber yang datang daripada pihak berkuasa. Rakyat Malaysia sudah menjadi seperti rakyat negeri Kelantan yang tidak mempercayai apa sahaja pengkhabaran yang dibawa dari saluran pihak berkuasa melalui media massa. Perkara ini sebenarnya telah ditunjukkan pada Pilihanraya Umum yang lalu lagi, sehingga rakyat mula beralih kepada media-media alternatif seperti internet dan blogger.

Sepasukan pengkaji dari Universiti Malaya telah membuat kajian tentang trend penerimaan pengundi terhadap pengkhabatan yang dibuat oleh media-media perdana. Keputusannya lebih 40% daripada pengundi telah beralih kepada pengkhabaran maya yang lebih diyakini kebenarannya. Peratusan ini sebenarnya diterjemahkan kepada peratusan undi popular pembangkang yang hampir mencapai 50% dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Dari segi politik nasional, trend penerimaan rakyat seperti ini akan menjadikan pihak yang berkuasa akan semakin sukar memperkukuhkan kedudukan dan jauh sekali untuk menstabilkan politik dalam negara ini.

Sekiranya rakyat sesebuah negara mempunyai trend seperti ini, bermakna apa sahaja propaganda dan penerangan yang dilakukan oleh kerajaan akan dianggap palsu. Secara langsung menunjukkan tiada lagi tali penghubung antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan tidak lagi dapat menyampaikan dasar dan pendirian mereka untuk disebarkan kepada rakyat. Media yang sepatutnya menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat telah lumpuh. Sebaliknya rakyat lebih senang mempercayai sumber-sumber yang tidak diketahui sumbernya, walaupun mereka sedar sumber itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka dalam situasi seperti ini mana-mana kerajaanpun akan goyang.

Berkemungkinan bila menyedari senario seperti ini, maka pihak berkuasa menggunakan pula satu kaedah untuk meyakinkan masyarakat Islam iaitu dengan bersumpah. Bersumpah ini adalah sebagai satu kaedah bagi meyakinkan mana-mana pihak setelah seseorang itu tiada bukti lain yang boleh menyokong dakwaannya. Sumpah dalam Islam ini ada beberapa kategori termasuklah yang paling ringan seperti qasam sehingga yang paling berat seperti mubahalah. Menyedari bahawa trend rakyat sekarang sudah tidak lagi menerima propaganda media-media perdana, maka beberapa pihak telah mengambil langkah bersumpah. Sumpah yang dilakukan oleh mereka sehinggalah ke tahap yang paling berat.

Begitu mengejutkan apabila rakyat tidak juga boleh menerima perakuan oleh mereka-mereka yang bersumpah ini. Rakyat yang beragama Islam diyakini bukanlah tidak mempercayai kaedah bersumpah ini tetapi tidak mempercayai orang yang dianggap menyalahgunakan kaedah ini. Perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang baru kerana dalam al-Quran sendiri menukilkan ada golongan yang menjadi sumpah-sumpah ini sebagai perisai bagi melindungi kesalahan diri mereka. Episod sumpah ini seharusnya dilihat oleh semua pihak bahawa rakyat Malaysia hari ini bukan lagi mereka yang boleh diperbodohkan, sebaliknya mereka telah mempunyai anjakan kefahaman politik yang lebih baik.

Wednesday 20 August 2008

Sekali Lagi UMNO Perak Ikut Pintu Belakang

Penahanan dua Exco Kerajaan Negeri Perak dilihat sebagai satu lagi percubaan UMNO Perak untuk meragut kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri tersebut. Sehingga kini masih tidak diketahui apakah peranan BPR Perak sama ada dipergunakan oleh UMNO Perak atau turut memainkan peranan penting. Samsiah Abu Bakar yang menerajui BPR Perak sememangnya mempunyai 'track record' yang meragukan di kalangan pihak-pihak tertentu di negeri itu. Tuduhan rasuah terhadap seorang hakim Mahkamah Syariah Perak masih lagi menjadi bualan mulut masyarakat negeri ini khususnya, iaitu sejauh mana kebenaran BPR turut terlibat untuk memerangkap hakim tersebut?

Sebelum ini UMNO Perak telah melakukan tawar menawar terhadap PAS Perak untuk menggagalkan pembentukan kerajaan PR sejurus selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu. Bermacam saluran digunakan oleh UMNO Perak bermula dengan meminta Mufti Perak sebagai orang tengah untuk mempelawa PAS bekerjasama dengan UMNO. Mufti ini dikatakan menghubungi pimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri untuk tujuan tersebut. UMNO Perak juga menggunakan Ziyad menantu Tajul Rosli yang pernah bergiat dengan PAS di luar negara untuk mengemukakan tawaran tersebut. Tawaran yang cuba diberikan kepada pimpinan PAS Perak bukan 'kecil-kecil anak'.

Bagaimanapun PAS menunjukkan kesetiaan yang tinggi bersama PR walaupun tawaran yang dikemukakan oleh UMNO Perak sebenarnya lebih lumayan. Setelah melalui episod tarik menarik yang panjang, akhirnya kerajaan PR di Perak berjaya juga dibentuk dan usaha UMNO Perak untuk masuk melalui pintu belakang gagal. Tindakan UMNO Perak menggunakan saluran Mufti Perak tersebut bukan sahaja memburukkan nama UMNO Perak sebaliknya turut memalit nama Mufti tersebut. Beliau yang pernah mendapat tempat di hati pencinta-pencinta Islam sebelum ini, sekarang tidak lagi boleh dipercayai kerana terlibat dengan satu usaha kotor bersama UMNO Perak.

Setelah gagal memancing PAS, UMNO Perak cuba pula memancing ADUN-ADUN dari PKR dan DAP. Sebagaimana yang di dakwa oleh pimpinan DAP, Perak tawaran yang dikemukakan kepada ADUN-ADUN tersebut cukup besar, berkali ganda lebih besar daripada tawaran kontraktor yang sekadar bernilai lebih sedikit RM 100 ribu. Bagaimanapun ADUN-ADUN tersebut menunjukkan setiakawan yang tinggi dan tidak sanggup mengkhianati amanah rakyat yang mengundi mereka. Dikhabarkan antara ADUN yang ditawarkan sogokan lumayan itu termasuklah dua Exco yang ditahan oleh BPR. Sekali lagi cubaan UMNO untuk masuk ikut pintu belakang gagal.

Laporan terhadap BPR telah dibuat dengan butiran yang lengkap termasuklah nombor telefon penyogok dan SMS yang terlibat dalam sogokan tersebut. Sehingga hari ini Samsiah Abu Bakar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan aduan rasuah oleh pimpinan PR itu. Kepantasan beliau jauh berbeza dengan apa yang beliau lakukan dalam kes penahanan dua Exco Perak ini. Beliau yang beridolakan Rafidah Aziz turut meneladani idola tersebut yang diragui oleh banyak pihak tentang kesuciannya. Nama Samsiah Abu Bakar dan BPR Perak kini turut disenarai hitam bersama Mufti Perak oleh pihak-pihak yang mempejuangkan nasib rakyat dan kerajaan yang telus.

Penahan dua Exco Perak ini merupakan satu lagi episod UMNO Perak untuk menumbangkan Kerajaan PR melalui pintu belakang. Dikatakan Exco Perak yang merupakan ADUN Changkat Jering ditahan bersama seorang lelaki yang ingin bertemu beliau di sebuah restoran. Lelaki tersebut datang bersama sebuah beg. Baru sahaja dua tiga minit bercakap BPR telah bertindak menahan Exco tersebut dan beg lelaki tersebut telah dirampas. Menurut satu sumber kesemua wang dalam beg tersebut telahpun siap 'ditanda' untuk dijadikan bahan bukti sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah. Kes seperti mengingatkan kepada perangkap yang dibuat oleh PAS Johor terhadap wakil UMNO yang menyogok calon PAS pada PRU tahun 2004 yang lalu supaya menarik diri. Sampai sekarang kes yang dilaporkan kepada BPR itu senyap sunyi.

Manakala Exco Perak yang nerupakan ADUN Behrang pula ditahan di pejabatnya. Tidak diketahui adakah ditahan atas kes yang sama. Sekiranya dilihat kepada maklumat yang dikemukakan oleh BPR kepada Mahkamah bagi tujuan menahan reman beliau, seolah-olah kesnya berlainan. Beliau dikatakan meminta wang sejumlah RM 5000 daripada seorang yang tidak dikenali. Kelihatan kes beliau ini menyamai kes sogokan terhadap Hakim Mahkamah Syariah Perak sekiranya dilihat dari segi modus operandi pihak yang terlibat. Jumlah RM 5000 bukanlah satu jumlah yang besar berbanding sogokan yang pernah ditawarkan kepada beliau untuk melompat parti.

Isu penahanan Exco Perak ini bersama bekas ADUN Bota dari PKR mungkin bersifat serampang dua mata, iaitu menjatuhkan Kerajaan Perak melalui pintu belakang dan menjejaskan peluang Anwar Ibrahim dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Sebab itulah individu PKR yang dilibatkan bukannya DAP. Sekali lagi media cuba memainkan peranannya untuk mencapai maksud ini. Sepatutnya BPR tidak mengheboh-hebohkan penahanan tersebut termasuklah memasukkan unsur-unsur yang belum pasti seperti rasuah seks. Dalam kes binaan runtuh di Gerik akhir tahun lalu, ketika BPR ditanya adakah kemungkinan Tajul Rosli akan turut disiasat, BPR dilihat sangat menjaga kerahsiaan siasatan. Mengapa tidak pada kali ini?

Saturday 16 August 2008

Dr Asri kah Penasihat Saiful?

Sekiranya benar tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) adalah konspirasi, maka mungkinkah Dr Asri salah seorang daripada konspiratornya? Tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari yang 'kebetulan' dibuat sehari sebelum penamaan calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah atas pandangan Dr Asri. Sekiranya Dr Asri jadi bertanding bagi merebut kerusi tersebut atas tiket BN, maka kesangsian atas kemungkinan tersebut amat tipis sekali. Malah kalau beliaulah calon BN sudah pasti isu sumpah Saiful itu akan menjadi isu beliau yang utama dalam kempen tersebut. Nasib baiklah beliau tidak terdorong untuk menerima pelawaan BN tersebut sekaligus memperlihatkan beliau masih 'setia'.

Tindakan Dr Asri mencadangkan supaya Saiful dan DSAI bermubahalah benar-benar menimbulkan lagi kecelaruan dalam senario politik Malaysia. Cadangan tersebut telah digunakan sebaik mungkin oleh BN untuk dijadikan isu politik bagi menghadapi DSAI dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Meskipun Saiful menyatakan tindakannya bukan atas dorongan politik, tetapi tindakan beliau telah digunakan sebaik mungkin oleh pimpinan UMNO termasuklah bekas ahli UMNO Dr Mahathir. Peranan yang dimainkan oleh pihak media pula telah menjadikan rakyat semakin keliru terhadap penyelesaian Islam tentang isu tersebut. Kesemua ini adalah hasil daripada pandangan Dr Asri.

Sumpah yang dilakukan oleh Saiful ini sukar ditentukan untuk dikategorikan di bawah peruntukan hukum yang mana. Adakah sumpah boleh ini dikategorikan di bawah Mubahalah, al-Yamin atau Li`an. Sekiranya sumpah Saiful ini hendak dikategorikan di bawah Mubahalah, maka banyak keraguan yang boleh ditimbulkan. Demikianlah juga sekiranya hendak dikategorikan di bawah al-Yamin seperti pandangan Presiden Persatuan Peguam Syari`e, pun banyak pertikaian yang boleh ditimbulkan. Jika hendak dikategorikan sebagai Li`an, lagilah banyak pertikaiannya.

Mubahalah seperti yang terdapat dalam Islam adalah bersandarkan kepada ayat 61 Surah Ali Imran. Para ulama tafsir seperti Ibn Katsir telah merujukkan ayat ini kepada peristiwa Rasulullah s.a.w. didatangi oleh sekumpulan Kristian daripada Najran berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang kuat. Setelah berlaku pertikaian terhadap dakwaan mereka bahawa Isa a.s. adalah Tuhan atau anak Tuhan dan juga tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini mencabar golongan Kristian tersebut bermubahalah. Diriwayatkan Rasulullah s.a.w. membawa Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain r.a. ke sebuah tempat bagi menunggu golongan Kristian itu bermubahalah, tetapi akhirnya mereka enggan.

Sekiranya Mubahalah ini hendak dijadikan sandaran, maka tuduhan liwat ini tidak sesuai dibandingkan dengannya. Mubahalah yang dikehendaki oleh ayat al-Qur'an ini adalah berkaitan dengan persoalan yang begitu besar iaitu `aqidah seperti persoalan benarkan Isa a.s. anak Tuhan yang ditimbulkan oleh golongan Kristian dari Najran tersebut. Demikianlah juga berkaitan dengan sama ada Ibn `Arabi sesat ataupun tidak seperti contoh yang diberikan oleh Dr Asri. Pertikaian-pertikaian seperti ini tiada jalan lain untuk diselesaikan melainkan kemuncak kepada pertikaian atau perdebatan tersebut bolehlah dilakukan mubahalah. Manakala pertuduhan liwat mempunyai jalan yang tertentu seperti yang terdapat dalam hukum hudud.

Berkenaan dengan al-Yamin pula, sumpah Saiful ini tidak bertepatan langsung dengan hukum al-Yamin seperti dalam prosedur mahkamah yang terdapat dalam hukum-hukum Islam. Ulasan Presiden Persatuan Peguam Syar`ie bahawa sumpah Saiful mempunyai Taghliz boleh dipertikaikan kerana al-Yamin sepatutnya dilakukan di hadapan hakim atau Qadhi atas tuntutan beliau. Dengan pengertian lain al-Yamin ini dilakukan dalam perbicaraan mahkamah bukannya seperti dilakukan oleh Saiful yang kemudiannya diikuti dengan sidang akhbar. Malah hukum asal al-Yamin itu sebenarnya dituntut ke atas mereka yang didakwa setelah mereka tiada bukti dan saksi untuk menafikan dakwaan itu, dan dalam kes ini yang didakwa ialah DSAI.

Lebih daripada itu al-Yamin tidak terpakai dalam kes-kes yang berkaitan dengan hudud dan Qisas. Menurut Wahbah al-Zuhayli dalam kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Fuqaha bersepakat terhadap enam syarat al-Yamin dan beliau menyebut syarat yang kelimanya ialah ia tidak berlaku dalam kes-kes hudud dan Qisas. Dalam melakukan al-Yamin ini tidak terdapat kalimah la`nat seperti yang terdapat dalam li`an, sebaliknya cukup dengan bersumpah atas nama Allah s.w.t atau sifat-sifatNya. Maka sumpah yang dilakukan oleh Saiful tidak langsung menepati syarat-syarat al-Yamin seperti yang terdapat dalam hukum Islam, malah dilakukan sebelum bermulanya perbicaraan mahkamah.

Manakala sekiranya hendak dikaitkan sumpah Saiful ini dengan hukum Li`an, lagilah tidak mempunyai asas langsung. Seperti yang diulas oleh Utusan Malaysia sumpah Saiful ini berkaitan dengan ayat 4-9 Surah al-Nur, jelas sekali ayat-ayat ini berkaitan dengan hukum Qazaf dan Li`an. Dalam ayat-ayat tersebut khususnya ayat 6 menyebutkan dengan terang sekali tentang hukum Li`an adalah berkaitan dengan kes suami-isteri. Pendirian Tuan Guru Abdul Hadi tentang perkara ini adalah tepat, iaitu hukum Li`an langsung tidak terpakai dalam kes tuduhan Saiful ini. Oleh sebab itu, sumpah Saiful ini walaupun hampir menyamai lafaz Li`an tidak boleh dikategorikan sebagai Li`an.

Sumpah Li`an seperti yang terdapat dalam ayat ini bukan dilakukan sekali sepertimana yang dibuat oleh Saiful. Dalam ayat-ayat Surah al-Nur itu menyebut bahawa Li`an adalah untuk menggantikan empat saksi yang adil seperti yang dikehendaki dalam kes yang mensabitkan perlakuan zina. Maka sesorang yang mendakwa pasangannya berzina hendaklah bersumpah empat kali dan diikuti yang kelima la`nat Allah s.w.t. ke atasnya sekiranya dia berdusta. Oleh kerana itu, sumpah yang dilakukan oleh Saiful ini bukan sahaja tidak tepat dari segi dasarnya malah teknikal melakukannya pun tidak bertepatan dengan kehendak Islam. Jelas sekali sumpah tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai Li`an.

Maka sumpah Saiful ini tidak diketahui dalam kategori mana, Mubahalah, al-Yamin atau Li`an. Tindakannya bersumpah dilihat lebih didorong oleh motif politik sekiranya dilihat dari segi masanya. Kalaulah benar beliau ingin menjadikan sumpahnya sebagai Mubahalah, maka beliau perlu menunggu bila DSAI boleh bersumpah sekali dengannya di suatu masa dan tempat yang tertentu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. DSAI juga pernah menyebut sekiranya ulama yang dipercayai berpendapat wajar bermubahalah, maka beliau sanggup menyahut cabaran. Mengapa Saiful tidak boleh menunggu masa dan tempat yang ditetapkan sehingga Mubahalah itu benar-benar mengikut seperti yang dilakukan Rasulullah s.a.w.

Siapakah penasihat agama Saiful dalam melakukan sumpah ini?

Wednesday 30 July 2008

Muzakarah Matangkan Politik Malaysia

Pembentukan kerajaan campuran sememangnya merupakan satu fenomena baru dalam politik Malaysia. Selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, sekurang-kurangnya 3 buah negeri telah di perintah atas muafakat parti-parti politik untuk membentuk kerajaan campuran. Sebelum daripada ini, Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi oleh UMNO telah memerintah dengan selesa di bawah satu parti gabungan. Walaupun BN adalah gabungan parti-parti politik, tetapi setiap parti politik itu tidak bebas untuk membuat keputusan. Malah dalam perkara-perkara yang bersabit dengan kepentingan rakyat, MP dan ADUN mereka tiada kebebasan melainkan menyokong apa sahaja yang telah ditentukan oleh kerajaan BN.

Pembentukan sebuah kerajaan campuran sudah tentulah berbeza dengan amalan politik BN dalam membentuk kerajaan. Kerajaan campuran yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat (PR) seharusnya membawa satu kematangan politik yang baru, iaitu setiap parti yang membentuk pakatan itu mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat. Setiap parti juga mempunyai hak untuk bersetuju dan tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan yang dibentuk oleh kerajaan campuran dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Kebebasan yang seperti inilah yang akan menghalang komplot-komplot di kalangan parti-parti yang memerintah untuk mengkhianati rakyat.

Dalam situasi yang lebih ideal, setiap MP dan ADUN dalam parti-parti yang membentuk kerajaan campuran itu juga mempunyai kebebasan politik. Mereka boleh menyuarakan apa sahaja yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat, walaupun suara mereka itu tidak selari dengan kehendak parti yang diwakili ataupun kerajaan campuran yang dibentuk. Maka setiap MP dan ADUN tidak akan menjadi burung kakak tua yang mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh kerajaan campuran, sebaliknya keputusan kerajaan campuran itu akan terpaksa melepasi tapisan-tapisan yang banyak. MP dan ADUN itu bertindak bebas untuk kebaikan rakyat secara umum.

Sememangnya sukar parti-parti politik yang membentuk kerajaan campuran dan ahli-ahli mereka untuk menerima kematangan politik seperti ini. Setelah lebih 50 tahun politik Malaysia dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN, maka sangatlah sukar untuk setiap parti politik dan ahli-ahlinya menerokai satu tahap kematangan politik tersebut. Demikianlah sukar untuk menerima bagaimana Dewan Pemuda PAS Selangor boleh menentang program-program hiburan tidak bermoral yang dianjurkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang mereka dukungi. Malah paling sukar untuk menerima kesediaan PAS untuk berbincang dengan UMNO dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu.

Satu perkara yang paling menghantui mereka ialah bagaimana kestabilan politik boleh terjamin dengan adanya kebebasan seperti ini? Sekiranya setiap parti mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan tanpa terikat dengan pakatan politik, maka bolehkah kerajaan campuran yang dibentuk itu stabil? Jika setiap MP dan ADUN bebas bersuara untuk menyokong dan membangkang, maka bolehkan kerajaan campuran itu memerintah dengan selesa? Persoalan-persoalan seperti ini pastinya menghambat mereka yang telah 50 tahun dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN. Sedangkan semua mereka mengakui gaya pemerintahan BN itulah yang telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran dan pakatan politik yang dibentuk akan terjamin selama mana wujudnya persefahaman yang tinggi di dalam kerajaan campuran dan pakatan politik tersebut. Persefahaman yang tinggi ini akan tercapai sekiranya setiap parti meletakkan asas kebersamaan yang kukuh. Dalam konteks Pakatan Rakyat asas yang telah dibentuk ialah bersama menegakkan keadilan, menolak kezaliman, menghapuskan rasuan dan lain-lain. Pada masa yang sama setiap parti perlu menghormati dasar perjuangan yang didukung oleh parti-parti masing-masing sebagai satu perbezaan yang tidak mungkin dielakkan. Di sinilah dapat dilihat kepentingan dialog yang berterusan dan hidup.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran juga terletak di atas tindakan kerajaan memenuhi tuntutan masyarakat madani (civil society) yang mewakili rakyat teramai. Sebaliknya yang berlaku hari ini, parti-parti dalam PR bertindak memenuhi tuntutan masyarakat madani yang mewakili golongan penyokong tegar mereka. Golongan penyokong tegar ini hanyalah mewakili tidak lebih dari 30% para pengundi yang menyokong PAS, PKR dan DAP. Selebihnya adalah rakyat yang mengundi atas dasar menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan lain-lain janji yang disepakati bersama oleh PR. Malangnya setiap parti dalam PR ini hanya cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka sahaja.

PAS sememangnya cuba memenuhi setiap tuntutan penyokong tegar mereka khususnya di kalangan orang Melayu. Mereka diwakili oleh kumpulan masyarakat madani seperti TERAS, ABIM dan lain-lain. Manakala DAP pula akan cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka seperti Suaram, Aliran dan lain-lain. Sedangkan golongan yang majoriti menyokong PR atas dasar menyokong asas kebersamaan PR tidak diwakili oleh mana-mana pihak. Hakikatnya golongan inilah yang sepatutnya ditonjolkan dan dipenuhi tuntutan mereka. Usaha-usaha perlu dibuat untuk memberi platform kepada golongan ini melalui forum-forum sehingga ke peringkat akar-umbi.

Menyedari hakikat tersebut, tindakan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan UMNO merupakan satu langkah menerokai kematangan politik di negara ini. Perbincangan dengan UMNO bukan untuk menghasilkan penyatuan sebaliknya untuk membincangkan perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat. Pada ketika yang sama PAS tetap terus bersama PR selama mana PR meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Perkara inilah yang disentuh oleh Presiden PAS dalam temuramah dengan Harakah baru-baru ini, iaitu PAS mempunyai hak untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja. Beliau juga menyebut dalam PR tiada siapa yang menjadi ketua, sebagai menggambar PR bukanlah BN.

Kebijakan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan tertinggi PAS ini sememangnya sukar diterima pada masa kini. Akan tetapi apabila minda politik rakyat akan menganjak dalam memahami sebuah sistem demokrasi, maka kebijakan politik seperti ini akan diperakui. Garisan penamat ini mungkin masih jauh kerana di kalangan saf kepimpinan PAS sendiri masih belum menerima kebijakan politik yang diterokai, sebaliknya mengharapkan PR akan memerintah sepertimana amalan pemerintahan BN. Gaya pemerintahan BN yang mengongkong setiap parti komponen, MP dan ADUN nya untuk membuat keputusan dan bertindak seharusnya disimpan di muzium sebagai bahan kenangan sejarah.

Tuesday 29 July 2008

Berlakukah Tsunami Politik Dalam PAS?

Kepada generasi baru PAS, isu-isu mutakhir berkaitan dengan muzakarah dan muqabalah ini seakan-akan membawa satu tsunami politik kepada parti tersebut. Kelihatannya saf kepimpinan PAS pusat sendiri seolah-olah tiada kesepakatan berkaitan dengan perbincangan dan pertemuan dengan UMNO tersebut. Paling akhir, Ketua Penerangan PAS Pusat saudara Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Saudara Hanifah Maidin telah bertindak agak agresif menyalahkan individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi PAS yang dikatakan tidak telus dalam berterus-terang. Sebelum inipun telah ada polemik yang tersembunyi atau terserlah di kalangan saf pimpinan PAS pusat tentang isu tersebut.

Sekiranya di peringkat saf kepimpinan PAS pusatpun telah wujud kegelisahan, betapa pula saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi. Rata-rata di kalangan mereka begitu gelisah untuk melihat perkembangan seterusnya, adakah kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan UMNO atau terus bersama Pakatan Rakyat (PR). Ahli-ahli di peringkat akar umbi sememangnya gelisah untuk bersatu dengan UMNO kerana merekalah pada hakikatnya berhadapan dengan UMNO sejak lebih 50 tahun yang lalu. Setelah beberapa dekad bersinsing lengan dengan akar-umbi UMNO, tiba-tiba wujud kemungkinan PAS dan UMNO akan bekerjasama. Faktor inilah yang menyebabkan kegelisahan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi.

Selain daripada faktor pertama berkaitan dengan hubungan yang tidak harmoni dengan UMNO di peringkat akar-umbi, PAS juga tidak mungkin boleh menerima UMNO yang penuh dengan sejarah busuk dan hanyir. Sejak mencapai kemerdekaan UMNO yang menerajui kepimpinan negara telah terpalit dengan amalan-amalan yang tidak demokratik, menindas rakyat, menzalimi seteru politik, korupsi, nepotisme dan lain-lain lagi. Manakala PAS secara konsisten mengkritik UMNO disebabkan amalan-amalan tersebut atas dasar mencegah kemunkaran. Setelah lebih 50 tahun jatuh-bangun berhadapan dengan UMNO yang melakukan dosa-dosa ini, amatlah sukar bagi ahli-ahli PAS bersekongkol dengan mereka.

Faktor ketiga yang menyebabkan ahli-ahli PAS gelisah ialah kebimbangan terhadap tuduhan PAS sebagai pengkhianat dalam PR. Keputusan PRU yang lalu jelas menunjukkan PAS mendapat undi yang begitu besar dari kalangan bukan Islam. Kepercayaan yang ditunjukkan melalui kertas undi oleh masyarakat bukan Islam ini merupakan satu lembaran baru kepada dakwah PAS. Sepatutnya kesempatan yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan dakwah kepada mereka, antaranya dengan menunjukkan kesetiaan kepada PR. Malah sepanjang sejarah PAS tidak pernah berkhianat dalam berkerjasama dengan parti lain.

Ketiga-tiga faktor inilah yang menyukarkan ahli-ahli PAS dan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi untuk bekerjasama dengan UMNO. Bagi beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sepeti Mahfuz dan Hanifah, mereka berhasrat menyuarakan suara akar-umbi PAS yang begitu gelisah dengan tindakan-tindakan beberapa pimpinan di peringkat kepimpinan tertinggi PAS. Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Nasharuddin, Timbalan Presiden, yang selalu di anggap sebagai golongan elit dalam PAS yang tidak begitu turun ke peringkat akar-umbi. Beliau juga sering dianggap sebagai lebih mesra dengan golongan kelas elit dalam masyarakat sesuai dengan 'life-style' nya.

Situasi yang berlaku hari ini sebenarnya bukanlah satu fenomena baru dalam PAS, sebaliknya telah berlaku berulang-ulang kali. Kegelisahan di peringkat akar-umbi terhadap keputusan kepimpinan PAS paling ketara pernah berlaku ketika PAS menyertai UMNO dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional (BN) pada tahun 1970-an. Penyertaan PAS ini telah mendapat banyak tentangan di peringkat akar-umbi, malah terdapat juga pimpinan-pimpinan PAS yang meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar daripada PAS. Sebahagian daripada mereka tawaquf (tidak lagi aktif) walaupun masih menjadi ahli. Kesemua mereka hanya kembali kepada sediakala apabila PAS disingkirkan oleh BN.

Ketika PAS berura-ura untuk berkerjasama dengan Parti Semangat 46 (S46), sekali lagi berlaku kegelisahan di peringkat akar-umbi khususnya di Kelantan. Hasil daripada kegelisahan tersebut, lahirlah golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islah, yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan ulama. Mereka telah mengambil sikap untuk menentang PAS dalam PRU tahun 1990. Akhirnya golongan inilah pula bersekongkol dengan UMNO yang pernah ditohmahkan dengan label yang tidak sanggup didengar oleh telinga. Bagaimanapun situasi ini agak lebih ringan kerana Parti Semangat 46 tidak dilihat sebagai UMNO dan mereka sanggup menerima Islam sebagai al-Din.

Yang paling terakhir ialah pada tahun 1998, ketika almarhum Ustaz Fadzil mengambil pendirian untuk menziarahi Anwar Ibrahim ketika beliau diambang kejatuhan. Tindakan almarhum tidak begitu disenangi oleh beberapa pimpinan PAS dan mewujudkan kegelisahan di peringkat akar-umbi. Mujurlah, selepas itu berlaku pemecatan Anwar yang seterusnya menyatukan kaum Melayu sehingga tidak memungkinkan kegelisahan dalam PAS itu terus berkembang. Pimpinan PAS dan ahli-ahli yang gelisah sebelum itupun turut sama bersimpati dengan Anwar, lalu membenarkan tindakan almarhum yang dibuat atas kebijakan politiknya sendiri. Sekiranya episod reformasi tidak berlaku kemungkinan sejarah 1990 akan turut berulang.

Sebenarnya banyak lagi episod-episod seumpama ini berlaku dalam PAS semenjak daripada almarhum Ustaz Ahmad Fuad sehinggalah hari ini. Kesemua ini berlaku atas dasar kecintaan semua pimpinan dan ahli kepada dasar perjuangan PAS untuk meninggikan kalimah Allah swt. Oleh sebab itu, isu muzakarah atau muqabalah ini tidaklah begitu besar sekiranya dibandingkan dengan beberapa peristiwa yang pernah berlaku dalam PAS. Yang penting ialah kesetiaan ahli kepada PAS sebagai wadah menegakkan Islam di samping keterbukaan mereka terhadap kebijakan politik yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi. Mereka perlu memberi kepercayaan kepada pimpinan yang mereka lantik sendiri melalui forum yang sah dalam parti.

Setiap kepimpinan yang bersilih-ganti mempunyai kebijakan politik mereka masing-masing. Almarhum Ustaz Fadzil yang begitu dikagumi dari segi kebijakan politiknya, turut mendapat kritikan hebat khususnya di awal-awal beliau menerajui PAS. Ketika itu usia kepimpinan beliau masih terlalu muda ketika keputusan di buat untuk bergabung dengan S46. Jika dibandingkan usia kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi hari inipun yang baru menjangkau enam tahun, masih terlalu awal untuk kita menilai kebijakan politik beliau. Demikian jugalah dengan Ustaz Nasharuddin yang baru menjangkau empat tahun menjawat Timbalan Presiden, sudah tentu memerlukan kematangan yang lebih dalam usianya yang masih muda.

Dalam situasi ini, sudah pastilah yang sangat dituntut ialah kematangan politik supaya setiap tindakan pimpinan dan ahli PAS tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menghancurkan parti dan hubungan dengan PR. Sayyidina Ali ketika ditanya tentang kekalutan yang belaku dalam kepimpinan beliau menjawab: "Sewaktu Abu Bakar dan Umar memerintah, pengikut-pengikutnya seperti aku, manakala sewaktu aku memerintah, pengikut-pengikutnya adalah seperti kamu". Sekiranya ahli-ahli PAS seperti penarik beca dan lain-lain meneladani kata-kata Saiyyidina Ali ini, maka situasi yang berlaku dalam PAS tidak akan menjadi tsunami, sebaliknya hanyalah ombak besar yang terjahannya hanya sampai ke tepian pantai.

Wednesday 23 July 2008

Bagaimana Kalau UMNO Mahu Bertaubat?

Ketika blog ini mengulas tentang khabar-khabar angin pertemuan pimpinan tertinggi PAS dan pimpinan tertinggi UMNO sebulan yang lalu, seorang moderator akhbar internet Tranungkite menyatakan ulasan tersebut tersasar. Hari ini, jelaslah ulasan tersebut bukan berasaskan kepada berita-berita tepi jalan, sebaliknya daripada sumber maklumat yang boleh dipercayai. Seperti yang dijangkakan pertemuan (muqabalah) ini telah menimbulkan pandangan pro dan kontra, malah dianggap boleh menyebabkan perpecahan di dalam PAS sendiri. Beberapa pemerhati politik temasuk dari kalangan ahli PAS seperti blog penarik beca telah begitu ghairah memainkan isu ini walaupun terdapat banyak maklumat yang salah dipaparkan seperti berkaitan dengan pemergian pimpinan PAS ke London.

Sebagai sebuah parti yang mendukung Islam sebagai matlamat perjuangan, PAS sudah semestinya tidak harus terikat dengan mana-mana pihak dalam memastikan teras perjuangannya tercapai. Persefahaman PAS dengan PKR dan DAP adalah atas dasar untuk sama-sama menolak kezaliman yang dilakukan oleh BN bukannya untuk menghancurkan teras Islam dan Melayu yang menjadi asas pembinaan negara Malaysia. Tindak-tanduk pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR tidak menghormati asas-asas ini, seperti berdemontarasi meminta azan tidak dilaungkan ke luar masjid dan menghalang pembinaan surau adalah satu tindakan yang melampau.

Sememangnya kemenangan PAS turut disumbang oleh golongan bukan Islam, tetapi kemenangan DAP dan PKR juga turut disumbang oleh golongan Islam termasuk ahli-ahli PAS yang berada di seluruh negara. Sekiranya PAS boleh bersabar untuk tidak bermain dengan isu-isu sensitif seperti Negara Islam dan Hukum Hudud, mengapa DAP dan PKR tidak boleh turut berbuat demikian? Sekiranya PAS boleh bertolak ansur untuk tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya buat masa ini, mengapa DAP dan PKR tidak boleh bertolak ansur untuk turut tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya pula? Keadaan yang tidak memihak kepada PAS ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Setiap parti politik seperti PAS, DAP dan PKR mempunyai penyokong tegar masing-masing. Bagaimanapun jumlah penyokong tegar ini sekitar 30% daripada keseluruhan pengundi, selebihnya adalah pengundi yang tidak berparti. Sememangnya penyokong tegar ini mempunyai tuntutan masing-masing yang mahu parti yang mereka sokong menunaikan tuntutan itu. Penyokong tegar PAS sudah tentu menuntut dilaksanakan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya hukum-hukum Islam sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan PAS. Manakala penyokong tegar DAP pula menuntut konsep Malaysian Malaysia yang telah lama diperjuangkan. Jelas PAS boleh bertolak-ansur dalam memenuhi kehendak penyokong tegar mereka tetapi tidak bagi DAP dan PKR.

Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) juga semakin terpinggir sepertimana yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Dalam keadaan PR belum memerintah negara, kedudukan PAS telah dipencilkan, betapa pula selepas kemasukan 30 orang MP yang disebut-sebut oleh Anwar Ibrahim selepas ini. Mereka ini besar kemungkinan terdiri daripada golongan bukan Islam Sabah dan Sarawak. Sekaligus golongan bukan Islam ini akan menjadi majoriti di kalangan MP PR. Bagaimana pula nasib PAS dan agenda politik Islam yang diperjuangkan olehnya. Dengan kedudukan yang tidak seimbang ini, mungkinkan tuntutan supaya azan tidak dilaungkan ke luar masjid akhirnya akan tertunai.

Kesemua perkiraan dan kemungkinan ini tidak boleh dipandang kecil, maka saf kepimpinan tertinggi PAS tidak boleh berdiam diri. PAS memerlukan alternatif-alternatif lain sekiranya perkiraan dan kemungkinan tersebut berlaku. Bibit-bibitnya mulai kelihatan berdasarkan gelagat yang ditunjukkan oleh pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR. Oleh sebab itu, tindakan pimpinan tertinggi PAS bertemu dengan pimpinan tertinggi UMNO adalah sebagai persediaan sekiranya bibit-bibit tersebut menjadi kenyataan. Apakah selepas agenda politik Islam dipencilkan sebaliknya konsep Malaysian Malaysia dijulang, barulah pimpinan tertinggi mencari alternatif secara gelabah?

Sekiranya PAS boleh memaafkan Anwar, mengapa tidak PAS tidak boleh memaafkan Pak Lah. Semasa Anwar dalam UMNO serangan-serangan PAS tertuju kepadanya, tetapi kemudian dosa-dosa Anwar itu dimaafkan selepas beliau tersingkir daripada UMNO. Sekiranya Pak Lah tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS, maka dosa-dosanya turut akan dimaafkan oleh PAS sebagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn dahulu. Malah kalau Dr Mahathir bersekutu dengan PAS, diyakini PAS turut akan memaafkan Dr Mahathir. Dari segi rekod politik, sehingga kini tindakan Pak Lah terhadap PAS adalah yang paling ringan berbanding dengan Tunku, Tun Hussien, Dr Mahathir dan Anwar sendiri.

Pada zaman Tunku lah ramai pimpinan-pimpinan PAS dipenjarakan termasuklah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada zaman Tun Hussien pula, PAS disingkirkan dari BN dan Kelantan ditawan dengan cara politik Gestapo. Pada zaman Dr Mahathir, berlakunya Tragedi Memali dan lain-lain penindasan terhadap PAS. Anwar yang ketika itu berada dalam kerajaan UMNO langsung tidak bersuara ketika kawan lamanya Ustaz Ibrahim Libya dibunuh. Akan tetapi kesemua dosa-dosa mereka boleh dimaafkan oleh PAS selepas mereka tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS. Mengapa pula apabila dengan Pak Lah, PAS tidak boleh berlapang dada untuk memaafkannya.

Pak Lah telah memulakan inisiatif awal dengan mewujudkan suasana kondusif kepada hubungan PAS dan UMNO dengan membenarkan harakah diterbit dua kali semingggu dan mengembalikan royalti petroleum negeri Trengganu. Sekiranya Pak Lah mencadangkan persempadanan semula bagi mengembalikan dominasi politik Melayu-Islam sebelum PRU akan datang apakah PAS tidak perlu menyokongnya? Hubungan PAS dan UMNO tidak semestinya duduk satu parti, sebaliknya hubungan kedua-dua parti seumpama hubungan MCA dan DAP. Meskipun mereka berlainan parti tetapi saling bersinergi untuk menjulang agenda politik mereka. Maka mengapa tidak PAS dan UMNO? Apakah apabila Pak Lah dan UMNO ingin bertaubat, maka PAS tidak boleh memaafkannya?

Tuesday 1 July 2008

Kes Liwat: Konspirasi Najib atau Konspirasi Anwar?

Buat kali kedua rakyat Malaysia dipersaksikan dengan satu lagi peristiwa dakwaan kes liwat, kali ini sekali lagi membabitkan Anwar Ibrahim. Bagaimanapun dakwaan kali ini benar-benar menjadi penentu kepada keadaan politik negara yang begitu meruncing, iaitu ketika teraju kepimpinan negara tidak diketahui akan beralih ke tangan siapa. Empat individu yang dilihat berpotensi untuk berada di tempat tertinggi teraju kepimpinan negara ialah Pak Lah, Najib Tun Razak, Anwar dan Tengku Razaliegh. Keempat-empat mereka mempunyai peluang yang begitu seimbang untuk menerajui negara. Apa-apa senario yang berlaku dalam tempoh terdekat ini mampu mengubah senario politik negara dan menabalkan salah seorang mereka.

Oleh sebab itu, kes dakwaan liwat ini merupakan satu faktor yang begitu penting boleh menentukan senario politik itu. Pak Lah awal-awal lagi menafikan beliau terlibat dengan konspirasi tersebut. Manakala Tengku Razaliegh pula tidak mungkin terbabit dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar kerana setakat yang diketahui beliau tidak mempunyai orang-orang kuat yang boleh bertindak ala-gestapo dan mafia. Malah kedua-dua Pak Lah dan Tengku Razaliegh dilihat tidak akan mendapat kesan langsung dari segi politik sekiranya isu dakwaan itu akan menjadi isu penentu dalam politik negara. Maka tinggal dua individu yang akan terkesan secara langsung iaitu Anwar dan Najib.

Selepas tersebarnya dakwaan itu senario politik negara kelihatan mengimbau semula kepada simpati rakyat terhadap peristiwa pemecatan Anwar hampir satu dekad yang lalu. Peristiwa itulah yang telah menyebabkan majoriti kaum Melayu bersimpati dengan Anwar sehingga simpati itu diterjemahkan ke dalam bentuk sekongan politik dalam Pilihanraya Umum 1999. Sokongan itu bagaimanapun mulai berkurangan dengan tertabalnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Sokongan majoriti kaum Melayu pada tahun 1999 sememangnya diakui berpunca daripada simpati terhadap Anwar dan boleh dikatakan ketika itulah pembangkang mendapat sokongan majoriti kaum Melayu.

Faktor Anwar ini mulai merosot selepas Pilihanraya Umum 1999 dan berterusan sehinggalah Anwar disumbat ke dalam penjara. Seruan reformasi Anwar yang bercampur-baur dengan simpati terhadapnya bagaimanapun terus ditiup oleh penyokong-penyokong kuat Anwar seperti Ezam dan rakan-rakannya. Bagaimanapun menjelang tahun 2004 setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan sokongan terhadap Anwar itu semakin merosot. Fenomena kemerosotan ini dibuktikan melalui peti-peti undi pada Pilihanraya Umum 2004. Kemungkinan selepas menyedari bahawa Anwar tidak lagi menjadi faktor politik yang penting dalam senario politik, terdapat usaha-usaha untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan yang dilemparkan.

Tidak dinafikan selepas pembebasan itu pengaruh Anwar kembali meningkat sedikit tetapi tidaklah seperti yang berlaku seperti sejurus selepas pemecatannya pada tahun 1998. Sokongan terhadap Anwar ini dengan seruan reformasinya mulai mendapat tempat di kalangan kaum bukan Melayu, manakala kaum Melayu tidaklah begitu banyak berubah. Malah agak menghairankan juga apabila rakan-rakan lama Anwar dalam ABIM, PKPIM, JIM dan lain-lain juga turut meragui masa depan Anwar dalam politik. Keputusan Pilihanraya Umum 1999, merupakan antara petunjuk yang penting kepada sokongan kaum Melayu dan bukan Melayu kepada Anwar.

Dengan tercetusnya isu terbaru tentang liwat ini, dilihat telah mengimbau semula sokongan masyarakat Melayu kepada Anwar. Rakan-rakan lama Anwar mulai menzahirkan simpati termasuklah melalui proksi mereka seperti PKPIM. Akhbar internet Malaysiakini pula menyatakan bahawa isu ini akan menaikkan semula reputasi Anwar dalam senario politik negara. Sememangnya sukar dan tidak bertanggungjawab untuk menuduh Anwar merancang ini semua untuk tujuan itu sebagaimana tuduhan Dr Mahathir bahawa Anwar menumbuk dirinya sendiri. Bagaimanapun kemungkinan itu tidak seharusnya diketepikan betapa pula tiada telahan dibuat oleh kebanyakan pemerhati politik tentang itu.

Tuduhan liwat terhadap Anwar ini sememangnya satu perbuatan yang melampau kerana cuba membunuh nama baik lawan politik dengan cara yang begitu jijik. Pandangan majoriti rakyat terhadap imej baik Anwar boleh tergugat sekiranya pihak pendakwa benar-benar berjaya menunjukkan dakwaan itu berlaku. Menyedari hakikat tersebut kemungkinan untuk Anwar merancang sendiri konspirasi itu agaklah kecil kerana isu ini amat berisiko terhadap Anwar. Sekiranya kita menerima tanggapan ini maka, tidak boleh tidak pihak yang merancang itu sebagaimana tuduhan Anwar ialah Najib. Jika benar Najib yang terlibat sebagai dalang, maka telahan kebanyakan pemerhati politik ada kebenarannya.

Berdasarkan kemungkinan-kemungkinan tersebut, maka isu berkaitan dengan gambar budak yang diliwat dengan Pegawai Khas Najib ini mungkin boleh menjadi penentu yang terbaik. Pegawai Khas Najib itu ialah Khairil Anas Jusoh. Beliau sebenarnya bekas lulusan UIA dan University of Cambridge dalam bidang undang-undang. Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Edward De Bono yang terkenal sebagai tokoh yang memperkenalkan banyak kaedah berfikir. Khairil Anas ini seorang yang agak Islamik yang mendapat tarbiyah ABIM dan dipercayai beliaulah antara yang membantu Najib dalam memperkenalkan beberapa idea seperti Melayu Glokal.

Bagaimanapun Khairil Anas ini pula sememangnya merupakan penyokong Anwar yang agak kuat. Gambar-gambar beliau di rumah Anwar semasa pemecatan Anwar tahun 1998 boleh menjadi bukti keterlibatannya menyokong Anwar semasa reformasi dahulu. Semasa di kampuspun beliau merupakan antara pengkagum Anwar serta mengenali ramai pembantu-pembantu rapat Anwar seperti Khalid Jaafar. Persoalannya sekarang kepada siapakah kesetiaannya diberi. Adakah Khairil Anas masih setia kepada Anwar atau beliau telah berpaling kepada Najib. Hanya beliau yang tahu di mana kesetiaannya dan kemungkinan beliaulah lebih mengetahui siapakah berkonspirasi.

Thursday 26 June 2008

Pakatan Rakyat Berkubur Menjelang September

Bulan September 2008 khususnya pada tanggal 16, sedang ditunggu oleh semua pihak kerana tarikh itu akan menjadi noktah sejarah yang begitu penting dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN). Janji Anwar Ibrahim untuk merintis jalan ke Putrajaya selewat-lewatnya September ini semakin dilihat bukan janji kosong. Sebagaimana Anwar pernah berjanji bahawa dia akan menjejak jawatan tertinggi dalam UMNO dan kerajaan dalam tempoh yang singkat sewaktu beliau mula menyertai UMNO, terbukti beliau hampir melakukannya sehinggalah akhirnya taktik kotor Dr. Mahathir merencatkan cita-cita tersebut. Demikianlah janjinya untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara menjelang September ini.

Janji Anwar itu sudah mula menampakkan riaknya apabila SAPP mula bertindak untuk menyokong undi tidak percaya kepada Pak Lah. Bagaimanapun, sebenarnya masih terlalu banyak halangan yang harus ditempuh oleh Anwar untuk sampai ke puncak sama ada dari luaran atau dalaman Pakatan Rakyat (PR). Antara halangan yang paling besar ialah kerapuhan muafakat dalam PR. Oleh sebab itu, kemungkinan bulan September ini menyaksikan peristiwa sebaliknya berlaku kepada Anwar tidak boleh diperkecilkan. Tidak mustahil tarikh keramat kerajaan BN dijangka tumbang berpusing 180 darjah kepada tarikh berkuburnya PR.

Dengan tidak menafikan peranan media massa mengadu-domba untuk mewujudkan keretakan dalam PR, pada ketika yang sama tiada satu inisiatif besar dilakukan oleh Anwar untuk menemukan ideologi kedua-dua parti yang berbeza dalam PR iaitu PAS dan DAP. Anwar yang sebelum ini begitu dikenali antara pencetus dialog antara peradaban kelihatan gagal untuk mendialogkan PAS dan DAP. Wawasan Anwar di peringkat antarabangsa begitu besar iaitu untuk mendialogkan Islam dan Barat. Disebabkan wawasan yang besar itu Anwar selalu dilihat manusia berwajah dua. Beliau dilihat sebagai golongan pro Islam kerana hubungannya yang rapat dengan gerakan Islam dan ulama-ulama tersohor seperti al-Qaradhawi. Beliau juga dilihat pro Barat kerana hubungannya dengan Barat melalui beberapa tokoh seperti Kessingger.

Ketokohan Anwar dalam usahanya mendialogkan Islam dan Barat ini diperakui sehingga beliau diundang ke sana dan ke mari. Beliau selalu mengkhabarkan dalam blognya sekejap beliau ke US, sekejap beliau ke Semenanjung Arab. Minggu ini beliau bersidang bersama para Kapitalis, minggu hadapan beliau berwacana bersama cendikiawan Islam. Populariti beliau mungkin lebih tinggi berbanding bekas Presiden Iran Muhammad Khatami yang mempelopori dialog antara peradaban di Persidangan Agung PBB tahun 2002 yang lalu. Kalaulah Anwar tidak berada di penjara pada waktu tersebut, kemungkinan beliaulah juara yang akan mengusulkan idea dialog antara peradaban itu.

Malangnya Anwar yang berwawasan begitu besar itu tidak mampu untuk mendialogkan antara PAS dan DAP. Sebaliknya dalam beberapa keadaan PAS semakin merasa terpinggir apatah lagi selepas ini mereka bukan sahaja berhadapan dengan DAP dalam PR tetapi jika terlaksana janji Anwar PAS akan turut berhadapan dengan parti-parti dari Malaysia Timur yang sebahagian besarnya diterajui oleh pimpinan-pimpinan beragama Kristian. Dengan erti kata yang lain, sememangnya wajar PAS memikirkan survival mereka dalam PR sekiranya agenda Islam yang di bawa oleh PAS akan terus dipinggirkan. PAS sebelum ini telah begitu toleran sehingga menggugurkan istilah 'Negara Islam' dalam manifestonya demi menjayakan persefahaman.

Sikap lunak PAS telah tidak dihargai oleh rakan-rakan yang lain sehingga persoalan sekecil konsert sambutan 100 hari kemenangan PR di Selangor, pandangan Pemuda PAS tidak diendahkan. Dewan Pemuda PAS Selangor sekadar mahu peraturan penganjuran konsert seperti yang dicadangkan oleh JAKIM dan pandangan Mufti Selangor dijadikan panduan, tetapi hasrat itu disanggah. PKR dan DAP hari ini benar-benar seumpama 'kadok naik junjung'. Survival dasar perjuangan PAS dalam PR semakin terumbang-ambing betapa lagi selepas ini kemasukan parti-parti lain yang pendirian mereka terhadap Islam tidak jauh berbeza dengan pendirian DAP.

PAS bukanlah parti kecil yang boleh diperkotak-katikkan seperti itu. Kalaulah bukan disebabkan tindakan tidak demokratik BN terhadap PAS sebelum dan semasa pilihanraya, PAS boleh menang lebih besar berbanding PKR dan DAP. Semenjak PRU ke-8 tahun 1990, undi popular PAS di peringkat Nasional begitu konsisten iaitu sekitar 16% - 17%. Konsistensi peratusan tersebut menggambarkan kekuatan akar-umbi PAS dalam politik Malaysia. Sekiranya peratusan undi popular PAS itu diterjemahkan di Parlimen, PAS sepatutnya memperolehi sekitar 40 kerusi parlimen. Oleh kerana itu, PAS tidak seharusnya dilihat parti nyamuk oleh PKR dan DAP.

Meskipun sehingga semalam PAS masih tetap mendukung PR sebagaimana kenyataan akhbar Timbalan Presiden PAS, ruang untuk PAS bekerjasama dengan UMNO masih terbuka luas. UMNO telah menunaikan salah satu syarat untuk mewujudkan suasana kondusif bagi melangsungkan perbincangan dengan PAS, iaitu mengembalikan penerbitan Harakah kepada dua kali seminggu. Apakah PAS akan teragak-agak untuk berkerjasama dengan UMNO sekiranya UMNO memberi ruang yang lebih besar dalam BN untuk PAS melaksanakan agenda Islamnya? Bagaimana kalau UMNO memberi ruang kepada pelaksanaan Hukum Hudud, Qisas dan Ta'zir di Kelantan dan Terengganu setelah enakmennya hanya menunggu untuk dilaksanakan? Bagaimana pula kalau Pak Lah bersetuju menterbalikkan Islam Hadhari kepada Hadharah Islamiyah? Bagaimana kalau Pak Lah memberi ruang yang begitu besar untuk PAS melaksanakan agenda Amar Makruf dan Nahi Mungkar?

PAS tidak perlu menyertai BN untuk ditawarkan janji-janji itu, cukup sekadar keluar dari PR dan tidak menyokong sebarang undi tidak percaya kepada Pak Lah. Sememangnya sukar bagi ahli-ahli PAS menerima kerjasama dengan UMNO dalam BN, tetapi tidak sukar bagi ahli-ahli PAS untuk menerima keluar dari PR. Apa perlu PAS berada dalam dalam PR sekiranya dasar dan agenda perjuangan Islam tidak dihormati terutama oleh DAP setelah PAS begitu toleran sebelum ini? PAS bukan mahu memaksa agenda dan dasarnya kepada golongan bukan Islam. Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu bukannya dikenakan ke atas golongan bukan Islam. Jelas sekali PKR dan DAP tidak mahu memahami perjuangan PAS.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh Anwar, sekadar mengharapkan rakan-rakan lamanya dalam PAS seperti Kamaruddin Jaafar akan terus memastikan jalinan kerjasama dalam PR. Anwar sepatutnya telah mendialogkan PAS dan DAP bukan sekadar bercakap dengan nada retorik tentang dialog antara peradaban hampir satu dekad yang lalu. Demikian juga NGO-NGO yang pro PR sepatutnya telah berusaha untuk mendialogkan PAS dan DAP sebagaimana yang dilakukan oleh NGO-NGO yang pro UMNO. Sekiranya usaha ini tidak diberi perhatian, menjelang bulan September ini menyaksikan PR akan berkubur bukannya PR akan menggantikan BN menerajui negara.

Friday 13 June 2008

Mengapa Pak Lah Memilih Untuk Tidak Popular?

Tindakan Pak Lah untuk menaikkan harga minyak telah menimbulkan satu lagi ketidaktentuan politik di Malaysia. Kenaikan yang begitu besar sudah pasti mengejutkan sesiapa termasuk musuh politik nombor satu Pak Lah iaitu Dr Mahathir. Kejutan itu menyebabkan Dr Mahathir juga turut mengkritik tindakan tersebut sebagaimana yang difahami daripada tulisan beliau di blognya. Secara jelas boleh disimpulkan bahawa Pak Lah bertindak dengan satu tindakan yang boleh membuka lebih banyak serangan ke atas pentadbirannya ataupun paling tidak tindakannya itu seperti memilih untuk tidak popular. Di sini timbul persoalan mengapa beliau bertindak sedemikian dalam keadaan iklim politik dirinya dan UMNO tidak menentu?

Sememangnya senang untuk kita mencari jawapannya sekiranya berdasarkan kepada logik yang mudah, iaitu Pak Lah benar-benar terdesak disebabkan kantung negara untuk melangsungkan pembangunan benar-benar telah kontang. Malah ada juga yang turut menambah, iaitu apabila BN dan UMNO kalah di lima buah negeri khususnya Selangor dan Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan telah kekurangan sumber pendapatan daripada berpuluh-puluh GLC di negeri-negeri tersebut. Jawapan berdasarkan logik yang mudah itu boleh jadi ada kebenarannya. Betapa pula Pak Lah telah merombak dan memotong perbelanjaan termasuk dalam RM ke-9 yang selalu dilabelkan sebagai pelan pembangunan Pak Lah yang pertama.

Bagaimanapun, masih ada keraguan terhadap jawapan tersebut kerana sepertimana yang dimaklumi antara sumber kewangan utama jentera Kerajaan Persekutuan ialah keuntungan hasil petroleum negara melalui Petronas. Kenaikan harga minyak dunia sehingga ke paras yang paling tinggi dalam sejarah sudah tentu membanjirkan semula kantung negara. Pendapatan negara hasil daripada petroleum ini dijangka meningkat lebih sekali ganda berbanding tahun 2007. Tiada yang dapat menghalang pertambahan kantung negara ini melainkan jika benarlah tanggapan bahawa simpanan petroleum negara telah dipajakkan kepada pihak asing sebagaimana yang didakwa oleh beberapa tokoh parti pembangkang.

Berdasarkan kepada alasan tersebut, kemungkinan ada satu lagi agenda politik yang sedang diatur oleh Pak Lah dan Khairy di sebalik tindakan memilih untuk tidak popular ini. Agenda ini adalah susulan dengan kemasukan semula 'Mr Ombudsman' Ezam ke dalam UMNO. Malah, sewajarnya dilihat dalam keadaan sekarang sehingga Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, tindakan Pak Lah tidak dapat dipisahkan daripada agenda menghadapi Dr Mahathir dan proksinya. Oleh sebab itu, tindakan Pak Lah memilih untuk tidak popular dengan menaikkan harga minyak secara melampau ini tidak mungkin dapat dipisahkan dengan agenda menghadapi Dr Mahathir tersebut.

Pak Lah sebenarnya sedang menggunakan 'senjata-senjata pemusnah besar' untuk menghadapi Dr Mahathir. Antara senjata pemusnah besar Pak Lah menghadapi Dr Mahathir ialah isu kehakiman, isu ketelusan Petronas, isu kegagalan penswastaan, isu rasuah dan isu kemerosotan sektor pertanian. Kesemua isu ini telah disembunyikan dengan sempurnanya semasa Dr Mahathir berkuasa sehingga pekungnya seperti tidak lagi dapat dicium kebusukannya. Bagaimanapun pekung itu telah dibuka satu demi satu sebagai usaha untuk menutup mulut Dr Mahathir dan seterusnya memastikan Pak Lah terus berkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini.

Lihat sahaja isu kehakiman, tindakan Pak Lah membuka pekung ini telah menyebabkan Dr Mahathir seperti cacing kepanasan untuk menangkis satu demi satu serangan Pak Lah tersebut. Setakat ini isu kehakiman yang berkaitan dengan surat yang ditulis oleh Hakim Syed Ahmad Aidid belum lagi dibangkitkan. Sekiranya surat ini disiasat semula, pasti Dr Mahathir semakin kepanasan. Kemuncak tindakan Pak Lah berkaitan dengan isu kehakiman ini ialah menyiasat semula ketelusan perbicaraan Anwar Ibrahim yang berkemungkinan merupakan senjata pemusnah besar terakhir yang digunakan untuk menghadapi Dr Mahathir. Kesemua tindakan berkaitan isu kehakiman ini akan berhenti sekiranya Dr Mahathir tidak lagi menjadi ancaman.

Kenaikan harga minyak baru-baru ini dilihat satu lagi agenda untuk melancarkan satu lagi senjata pemusnah besar terhadap Dr Mahathir. Mengapa Pak Lah menaikkan sekarang tidak seperti yang disebut-sebut pada bulan Ogos? Mengapa peningkatannya begitu besar? Mengapa selepas Ezam masuk semula ke dalam UMNO? Sekiranya persoalan-persoalan tersebut disingkap maka dapat dilihat kemungkinan tindakan ini adalah untuk menghadapi Dr Mahathir menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Peningkatan harga minyak yang begitu besar akan menyebabkan desakan rakyat menjadi semakin kuat. Berkemungkinan inilah yang diharapkan oleh Pak Lah.

Bagi meningkatkan lagi desakan rakyat, pihak pembangkang akan diberi ruang yang lebih luas untuk menyatakan bantahan termasuk melalui forum-forum di media massa sebagai yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini. Kemungkinan juga perhimpunan-perhimpunan rakyat di jalanan tidak di ganggu sangat bagi menarik lebih ramai lagi rakyat berhimpun. Sasaran utama rakyat dalam isu kenaikan harga minyak ini ialah Petronas. Dalam debat yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini, beliau turut membangkitkan tentang ketelusan Petronas. Desakan demi desakan oleh rakyat akan berterusan sehinggalah kemuncaknya rakyat mendesak disiasat perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya.

Sekiranya Pak Lah bersetuju dengan desakan rakyat untuk mendedahkan perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya, maka sejarah Sujuruhanjaya DiRaja menyiasat video V K Linggam sekali lagi berulang. Sama ada disedari atau tidak, 22 tahun daripada kurang lebih 33 tahun perbelanjaan Petronas adalah di bawah pentadbiran Dr Mahathir, iaitu dua pertiga. Rakyat pasti lebih teruja sekiranya Pak Lah meminta 'Mr Ombudsman' barunya mengetuai siasatan terhadap perbelanjaan Petronas ini. Natijah akhirnya akan menyebabkan Dr Mahathir semakin kepanasan melainkan beliau mengambil pendirian untuk mengotakan janjinya sebelum bersara iaitu menumpukan hari-hari tua beribadat di masjid.

Pak Lah adalah orang politik, maka tindakannya sebagai Perdana Menteri tidak dapat lari daripada agenda politik. Sukar difahami sekiranya orang politik mengambil tindakan untuk tidak popular melainkan sekiranya beliau benar-benar terdesak. Kedudukan ekonomi negara dengan kenaikan harga minyak dunia yang begitu mendadak sebenarnya menjadikan kantung negara lebih selesa bukannya lebih terdesak. Oleh sebab itu, tindakan untuk memilih tidak popular ini sudah pasti mempunyai agenda politik yang lain, khususnya di saat Pak Lah dan Khairi sedang melakukan 'count down' menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Kenaikan harga minyak tidak boleh menunggu sehingga Ogos kerana bahagian-bahagian UMNO telah mula bermesyuarat. Sedarlah kita kini mengapa rancangan menaikkan harga minyak Ogos ini tiba-tiba berubah.

Wednesday 28 May 2008

Selepas Ezam PAS Menyusul?

Kemasukan Ezam Md Nor ke dalam UMNO semula bukanlah satu berita yang mengejutkan. Ezam hanyalah satu susuk kecil yang tidak pernah dikenali oleh rakyat teramai melainkan selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Sekiranya tiada peristiwa pemecatan itu mungkin sehingga hari ini Ezam tidak begitu dikenali. Beliau bukanlah dikenali sebagai tokoh yang hebat semasa di kampus dan demikian juga semasa dalam UMNO sebelum ini. Dengan tidak menafikan kemasukan semula Ezam itu akan memberi sedikit suntikan kepada UMNO, tetapi ia tidak cukup untuk meledakkan kejutan sehingga dianggap kemasukannya boleh merubah landskap politik Malaysia.

Terdapat satu lagi berita yang akan memberi kejutan berlipat ganda besarnya sekiranya ia benar-benar berlaku, iaitu PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan menyertai UMNO atau BN. Komentar yang diberikan oleh Ong Kian Ming dan Onn Yeoh dalam realpolitik bahawa kemungkinan PAS dan UMNO bersatu selepas ini, tidak boleh dipandang remeh. Kedua-dua mereka membuat pemerhatian bahawa kemungkinan untuk PAS dan UMNO bersatu adalah tidak kecil, sekiranya kesepakatan wujud atas nama kepentingan Melayu-Islam. Tambahan pula seperti tidak kelihatan penghujungnya perbezaan pandangan antara PAS, PKR dan DAP tentang isu-isu sensitif berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Telahan kedua-dua mereka juga berasaskan khabar-khabar angin, wujudnya kecenderungan di kalangan beberapa pimpinan tertinggi PAS untuk duduk semeja dengan UMNO membincangkan isu-isu Melayu dan Islam. Malah sebelum Ezam memasuki UMNO beliau juga dikatakan membuat 'pemakluman' kepada beberapa pimpinan PAS bagi menjelaskan alasan mengapa beliau bertindak sedemikian. Sebelum inipun telah ada beberapa pinangan oleh pihak UMNO kepada beberapa pimpinan PAS di peringkat negeri berhubung dengan kemungkinan untuk bersatu bagi mengekang kemaraan kemenangan PKR dan DAP. Oleh sebab itu, telahan kedua-dua pemerhati politik itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Bagi UMNO tidaklah sukar untuk mengumpan PAS, cukup dengan memberikan janji atau komitmen ke arah melaksanakan agenda politik berteraskan Islam. Kata-kata Tuan Guru Nik Aziz bahawa PAS sedia dibubarkan sekiranya UMNO mahu meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara, akan berhadapan dengan realiti sedikit masa nanti. Sekiranya UMNO bersedia menyahut seruan itu, maka apakah pilihan yang ada lagi pada PAS? Sebenarnya perkara inilah yang sedang diusahakan oleh NGO-NGO Melayu dan Islam yang begitu bersungguh-sungguh menyatukan PAS dan UMNO. Sekiranya perkara ini berlaku, maka kedudukan Pak Lah akan menjadi kembali kukuh.

Mengadakan pilihanraya semula adalah langkah yang terakhir bagi Pak Lah setelah beberapa pelan alternatif gagal. Pak Lah lebih yakin untuk mendapatkan sokongan PAS bagi memperkukuhkan kedudukannya berbanding dengan pelan-pelan yang lain. Sekiranya Pak Lah berjaya membawa PAS bersatu dengan UMNO atau sekurang-kurangnya menyertai BN, maka tidak timbul lagi masalah ketidakstabilan politik. Kedudukan politik Pak Lah akan kembali selesa biarpun Dr Mahathir dan pengikutnya terus menerus menyerang Pak Lah daripada dalam ataupun daripada luar. Mendapatkan sokongan PAS ini adalah mudah kerana PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan kepentingan Islam lebih utama dari segalanya.

Sebagaimana juga beberapa alasan Ezam berhubung dengan kemasukannya ke dalam UMNO, maka isu-isu yang sama juga turut boleh diumpan kepada PAS. Ezam dikatakan turut memberi alasan tentang wujudnya elemen-elemen anti Islam dan Islam Liberal dalam PR. Oleh sebab itu, semenjak selepas PRU yang lalu isu-isu tentang ketuanan Melayu, Negara Islam dan lain-lain telah dimainkan oleh media massa, antara lain bertujuan menimbulkan keraguan kepada PAS tentang pakatannya dengan PKR dan DAP. Bilamana PAS mulai ragu-ragu tentang agenda politik Islam dalam PR, maka lebih mudahlah Pak Lah dan UMNO mengumpan mereka dengan janji dan komitmen yang lebih tinggi terhadap kepentingan Islam.

Beberapa hari yang mendatang PAS akan melalui satu cabaran yang paling getir untuk membuat keputusan sama ada terus bersama PR atau bersatu dengan UMNO. Sekiranya PAS terus bersama PR maka kelihatannya ruang untuk melaksanakan agenda politik Islam masih sempit. Sebaliknya Pak Lah dan UMNO pula memberi komitmen untuk membuka ruang seluasnya bagi pelaksanaan agenda politik Islam yang dijunjung oleh PAS. Sekiranya PAS keluar daripada PR maka dari segi suri teladan dakwah, PAS telah mungkir janji bukan sekadar dengan PKR dan DAP tetapi dengan majoriti para pengundi non-muslim yang mengundi PAS dalam PRU yang lalu. Sebaliknya jika PAS menolak tawaran UMNO, PAS bukan sahaja dikatakan memungkiri kata-kata Tuan Guru Nik Aziz tetapi juga tidak ikhlas memperjuangkan Islam.

Keputusan yang dicapai oleh PAS sama ada terus kekal bersama PR atau bersatu dengan UMNO inilah yang akan lebih besar dampaknya terhadap landskap politik. Malah dalam membuat keputusan, PAS juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa sekiranya Pak Lah gagal memancing PAS kemungkinan pelan berikutnya akan dilakukan. Pelan yang berikutnya ialah Pak Lah memancing Anwar sendiri untuk kembali semula kepada UMNO. Kematangan PAS dalam membuat keputusan berasaskan kepada prinsip-prinsip Fiqh Siyasah benar-benar diperlukan pada kali ini. Selebihnya pimpinan PAS perlu bermunajat meminta petunjuk daripada Allah swt termasuklah mengadapNya di tanah suci Mekah.