Wednesday 28 May 2008

Selepas Ezam PAS Menyusul?

Kemasukan Ezam Md Nor ke dalam UMNO semula bukanlah satu berita yang mengejutkan. Ezam hanyalah satu susuk kecil yang tidak pernah dikenali oleh rakyat teramai melainkan selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Sekiranya tiada peristiwa pemecatan itu mungkin sehingga hari ini Ezam tidak begitu dikenali. Beliau bukanlah dikenali sebagai tokoh yang hebat semasa di kampus dan demikian juga semasa dalam UMNO sebelum ini. Dengan tidak menafikan kemasukan semula Ezam itu akan memberi sedikit suntikan kepada UMNO, tetapi ia tidak cukup untuk meledakkan kejutan sehingga dianggap kemasukannya boleh merubah landskap politik Malaysia.

Terdapat satu lagi berita yang akan memberi kejutan berlipat ganda besarnya sekiranya ia benar-benar berlaku, iaitu PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan menyertai UMNO atau BN. Komentar yang diberikan oleh Ong Kian Ming dan Onn Yeoh dalam realpolitik bahawa kemungkinan PAS dan UMNO bersatu selepas ini, tidak boleh dipandang remeh. Kedua-dua mereka membuat pemerhatian bahawa kemungkinan untuk PAS dan UMNO bersatu adalah tidak kecil, sekiranya kesepakatan wujud atas nama kepentingan Melayu-Islam. Tambahan pula seperti tidak kelihatan penghujungnya perbezaan pandangan antara PAS, PKR dan DAP tentang isu-isu sensitif berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Telahan kedua-dua mereka juga berasaskan khabar-khabar angin, wujudnya kecenderungan di kalangan beberapa pimpinan tertinggi PAS untuk duduk semeja dengan UMNO membincangkan isu-isu Melayu dan Islam. Malah sebelum Ezam memasuki UMNO beliau juga dikatakan membuat 'pemakluman' kepada beberapa pimpinan PAS bagi menjelaskan alasan mengapa beliau bertindak sedemikian. Sebelum inipun telah ada beberapa pinangan oleh pihak UMNO kepada beberapa pimpinan PAS di peringkat negeri berhubung dengan kemungkinan untuk bersatu bagi mengekang kemaraan kemenangan PKR dan DAP. Oleh sebab itu, telahan kedua-dua pemerhati politik itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Bagi UMNO tidaklah sukar untuk mengumpan PAS, cukup dengan memberikan janji atau komitmen ke arah melaksanakan agenda politik berteraskan Islam. Kata-kata Tuan Guru Nik Aziz bahawa PAS sedia dibubarkan sekiranya UMNO mahu meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara, akan berhadapan dengan realiti sedikit masa nanti. Sekiranya UMNO bersedia menyahut seruan itu, maka apakah pilihan yang ada lagi pada PAS? Sebenarnya perkara inilah yang sedang diusahakan oleh NGO-NGO Melayu dan Islam yang begitu bersungguh-sungguh menyatukan PAS dan UMNO. Sekiranya perkara ini berlaku, maka kedudukan Pak Lah akan menjadi kembali kukuh.

Mengadakan pilihanraya semula adalah langkah yang terakhir bagi Pak Lah setelah beberapa pelan alternatif gagal. Pak Lah lebih yakin untuk mendapatkan sokongan PAS bagi memperkukuhkan kedudukannya berbanding dengan pelan-pelan yang lain. Sekiranya Pak Lah berjaya membawa PAS bersatu dengan UMNO atau sekurang-kurangnya menyertai BN, maka tidak timbul lagi masalah ketidakstabilan politik. Kedudukan politik Pak Lah akan kembali selesa biarpun Dr Mahathir dan pengikutnya terus menerus menyerang Pak Lah daripada dalam ataupun daripada luar. Mendapatkan sokongan PAS ini adalah mudah kerana PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan kepentingan Islam lebih utama dari segalanya.

Sebagaimana juga beberapa alasan Ezam berhubung dengan kemasukannya ke dalam UMNO, maka isu-isu yang sama juga turut boleh diumpan kepada PAS. Ezam dikatakan turut memberi alasan tentang wujudnya elemen-elemen anti Islam dan Islam Liberal dalam PR. Oleh sebab itu, semenjak selepas PRU yang lalu isu-isu tentang ketuanan Melayu, Negara Islam dan lain-lain telah dimainkan oleh media massa, antara lain bertujuan menimbulkan keraguan kepada PAS tentang pakatannya dengan PKR dan DAP. Bilamana PAS mulai ragu-ragu tentang agenda politik Islam dalam PR, maka lebih mudahlah Pak Lah dan UMNO mengumpan mereka dengan janji dan komitmen yang lebih tinggi terhadap kepentingan Islam.

Beberapa hari yang mendatang PAS akan melalui satu cabaran yang paling getir untuk membuat keputusan sama ada terus bersama PR atau bersatu dengan UMNO. Sekiranya PAS terus bersama PR maka kelihatannya ruang untuk melaksanakan agenda politik Islam masih sempit. Sebaliknya Pak Lah dan UMNO pula memberi komitmen untuk membuka ruang seluasnya bagi pelaksanaan agenda politik Islam yang dijunjung oleh PAS. Sekiranya PAS keluar daripada PR maka dari segi suri teladan dakwah, PAS telah mungkir janji bukan sekadar dengan PKR dan DAP tetapi dengan majoriti para pengundi non-muslim yang mengundi PAS dalam PRU yang lalu. Sebaliknya jika PAS menolak tawaran UMNO, PAS bukan sahaja dikatakan memungkiri kata-kata Tuan Guru Nik Aziz tetapi juga tidak ikhlas memperjuangkan Islam.

Keputusan yang dicapai oleh PAS sama ada terus kekal bersama PR atau bersatu dengan UMNO inilah yang akan lebih besar dampaknya terhadap landskap politik. Malah dalam membuat keputusan, PAS juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa sekiranya Pak Lah gagal memancing PAS kemungkinan pelan berikutnya akan dilakukan. Pelan yang berikutnya ialah Pak Lah memancing Anwar sendiri untuk kembali semula kepada UMNO. Kematangan PAS dalam membuat keputusan berasaskan kepada prinsip-prinsip Fiqh Siyasah benar-benar diperlukan pada kali ini. Selebihnya pimpinan PAS perlu bermunajat meminta petunjuk daripada Allah swt termasuklah mengadapNya di tanah suci Mekah.

Monday 19 May 2008

Dr Mahathir Masuk Perangkap

Perisytiharan Dr Mahathir keluar daripada UMNO berkemungkinan di dorong oleh cadangan Laporan Suruhanjaya DiRaja berkaitan dengan video V.K. Linggam yang mencadangkan supaya beliau disiasat. Bagaimanapun kemungkinan tersebut sangatlah kecil kerana bakal para penyiasat dan pendakwa yang pasukannya diketuai oleh Musa Hassan dan Abdul Ghani Patail tidak mungkin akan mensabitkan Dr Mahathir walaupun ia tidak mustahil. Bukan senang untuk mensabitkan Dr Mahathir dengan tuduhan seumpama salahguna kuasa kerana Dr Mahathir sendiri dipercayai mempunyai seribu satu bukti salah guna kuasa pimpinan-pimpinan UMNO yang lain serta salahguna kuasa pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Sekiranya Dr Mahathir terkesan oleh gertakan Pak Lah berikutan daripada Laporan Suruhanjaya DiRaja tersebut, tindakan keluar daripada parti bukanlah jalan keluar yang terbaik. Dr Mahathir akan lebih selesa membela diri sekiranya beliau berada dalam UMNO, berbanding jika beliau bertindak sebagai pembangkang di luar UMNO. Keluar daripada UMNO sebenarnya lebih mendedahkan Dr Mahathir dengan kemungkinan untuk diambil tindakan kerana lazimnya ahli-ahli UMNO lebih berani membela bekas pimpinan yang masih berada dalam parti berbanding dengan mereka yang berada di luar parti. Kecuali Anwar Ibrahim, kebanyakan bekas-bekas pimpinan UMNO yang berada di luar parti akan berakhir dengan dimuziumkan.

Menyedari hakikat tersebut, dipercayai Laporan Suruhanjaya DiRaja ini bukanlah faktor yang mendorong Dr Mahathir bertindak sedemikian. Ada satu lagi peristiwa penting yang berkemungkinan menjadi dorongan kepada tindakan Dr Mahathir iaitu pertemuannya dengan Timbalan Presiden UMNO, Najib. Pertemuan Dr Mahathir dan Najib bukan dibuat tanpa pengetahuan Pak Lah, justeru tidak mungkin Pak Lah tidak mengetahui apa-apa perkara yang akan dibincangkan oleh Najib dan apakah pula natijah perbincangan tersebut. Betapa pula pendirian politik Najib mutakhir ini seperti yang diperakui sendiri oleh Dr Mahathir telah berubah 360 darjah.

Berkemungkinan besar perkara yang diperbincangkan oleh Dr Mahathir dan Najib berkisar tentang 'Pelan Peralihan Kuasa' sebagai penjelasan kepada Dr Mahathir tentang mengapakah berlakunya perubahan sikap Najib tersebut. Najib dilihat cuba meyakinkan Dr Mahathir tentang pelan tersebut, manakala Dr Mahathir pula melihat ia sebagai satu helah untuk Pak Lah terus menerajui UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Najib sendiri pastinya tidak boleh memberikan jawapan bilakah perubahan tersebut akan berlaku? Oleh sebab itu, sesuatu perlu dilakukan untuk mewujudkan pemangkin yang boleh mempercepatkan berlakunya pelan tersebut.

Tindakan Dr Mahathir keluar daripada UMNO merupakan satu usaha untuk menjadikan ia sebagai pemangkin. Sukar untuk dipastikan sama ada keputusan ini dibuat oleh Dr Mahathir secara unilateral atau selepas mencapai persetujuan dengan Najib. Yang pastinya tindakan Dr Mahathir ini dilakukan dengan keyakinan bahawa pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO akan menuruti jejaknya, seterusnya mewujudkan dorongan besar supaya Pelan Peralihan Kuasa itu disegerakan. Dr Mahathir memang seorang tokoh yang berkeyakinan tinggi, tetapi tidak mungkin sikap beliau mendorongnya senekad itu. Beliau mungkin dijanjikan pembelaan sekiranya beliau bertindak sedemikian.

Bagaimanapun sepanjang sejarah politik UMNO, sangat sukar bagi mereka yang keluar daripada parti akan mendapat pembelaan daripada pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO. Anwar Ibrahim, Ku Li, Hussien Onn, Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn pernah melalui pengalaman-pengalaman tersebut. Sememangnya pada peringkat awal kelihatan mereka akan mendapat pembelaan dan sokongan, tetapi lama-kelamaan mereka tinggal sendirian. Kesemua mereka termasuk Dr Mahathir sendiri yang pernah berada di luar UMNO akhirnya mendapat pembelaan dan sokongan daripada pembangkang khususnya PAS. Manakala pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak mungkin meninggalkan zon selesa mereka.

Siapakah yang akan menuruti Dr Mahathir keluar daripada UMNO kali ini? Paling tinggipun yang akan menurutinya ialah Tengku Adnan. Yang lain hanyalah tokoh-tokoh yang telah sampai tarikh lupusnya seperti Sanusi Junid, Aziz Shamsuddin, Rahim Tambi Chik dan lain-lain. Anaknya, Mukhriz yang bakal dicalonkan Ketua Pemuda UMNO sendiri dipercayai sukar untuk menuruti langkah Dr Mahathir. Demikian juga dengan Najib, beliau juga tidak mungkin akan meninggalkan kerusi nombor dua tersebut. Dengan erti kata yang lain, tindakan Dr Mahathir tersebut akan menjadikan beliau terus terpinggir daripada arus politik negara.

Sebagaimana lazim tokoh-tokoh UMNO yang terpinggir seperti ini akhirnya akan cuba meraih pembelaan dan sokongan daripada pembangkang. Bagaimanapun, pembangkang pada kali ini berada dalam zon selesa malah telah mengikat janji setia dalam Pakatan Rakyat (PR). Ketua De Facto PR ialah Anwar Ibrahim yang merupakan musuh politik Dr Mahathir yang sehingga kini sukar berdamai. Maka apakah lagi pilihan yang ada pada Dr Mahathir sekiranya sejarah yang berlaku kepada Ku Li, Hussien Onn, Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn akan berulang menimpa dirinya. Beliau hanya akan dimuziumkan dan tinggal sebagai tokoh yang pernah wujud dalam lipatan sejarah UMNO.

Siapakah yang telah menjadikan Dr Mahathir senekad itu? Siapakah yang telah menjanjikan Dr Mahathir bahawa beliau akan mendapat pembelaan dan sokongan sekiranya beliau bertindak sedemikian? Tidak sukar untuk kita mencari jawapannya kerana tindakan Dr Mahathir tersebut dilakukan tidak beberapa lama selepas pertemuannya dengan Najib. Sekiranya apa yang diramalkan ini berlaku, maka jelas kelihatan Dr Mahathir telah memasuki perangkap lawannya. Tunggulah sahaja talkin dibaca untuk kerjaya politik Dr Mahathir melainkan beliau berjaya pula meraih pembelaan dan sokongan daripada pembangkang, mengulangi semula sejarah politik Malaysia.

Sunday 11 May 2008

Berulangkah Tragedi 13 Mei?

Bagi sesiapa yang rasional pastinya dapat melihat tiada perbezaan antara pandangan Pak Lah di Utusan Malaysia 24 Mac 2008 dan pandangan Karpal Singh di The Star 5 May 2008. Pada 24 Mac 2008 Pak Lah menyatakan di Utusan Malaysia:

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempertahankan tindakannya melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu berdasarkan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Perdana Menteri berkata, pelantikan itu tidak akan berubah kerana ia dibuat berasaskan sokongan padu yang diterima oleh Idris daripada ADUN negeri itu. “Sebarang lantikan dibuat terhadap orang lain tidak kena dari segi Perlembagaan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kemelut pelantikan Menteri Besar di negeri Pantai Timur itu di sini hari ini."

Manakala Karpal pula menyatakan pendiriannya dalam The Star pada 5 May 2008 seperti berikut:

"Perak Sultan Azlan Shah has no jurisdiction over the transfer of Datuk Jamry Sury from the Perak Religious Department, Bukit Gelugor MP Karpal Singh said. “The constitution of Perak clearly provides that the Rulers must act on executive advice. “Sultan Azlan Shah did not have any say, as the Ruler of Perak, in the decision made by the state government and, by law, the palace cannot order the state government to reinstate Jamry,” Karpal Singh said, citing the case of the Federal Territory Education Director and Others vs Loot Ting Yee which was decided in the Federal Court in 1982".

Jelas sekali tiada perbezaan yang ketara daripada kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut dalam mengulas tentang bidang kuasa pihak Istana.

Bagaimanapun selepas PRU ke-12, UMNO melalui media yang dikuasai oleh mereka tidak putus-putus memainkan isu-isu berbau perkauman. Keputusan PRU ke-12 jelas menunjukkan bahawa BN dan UMNO khususnya, mengalami sedikit kekalahan disebabkan perubahan undi kaum Cina dan India. Manakala kaum Melayu pula, tidak kurang daripada 60% masih memberi sokongan kepada BN dan UMNO. Ketika MCA dan MIC berusaha sedaya upaya menarik semula sokongan kaum Cina dan India, isu-isu perkauman yang dimainkan oleh media-media pro-UMNO ini pula sudah tentu akan merenggangkan lagi sokongan kaum Cina dan India daripada BN dan UMNO.

Berikutan dengan itu, UMNO kelihatan tidak lagi memerlukan sokongan kaum Cina dan India dalam PRU akan datang. Isu-isu berkaitan ketuanan Melayu sehinggalah yang terakhir laporan polis terhadap Karpal sememangnya akan mendorong kaum Cina dan India terus menyokong pembangkang dalam PRU ke-13. Sekiranya kedua-dua kaum ini masih mengekalkan pendirian seperti ini amat sukar untuk BN dan UMNO merampas kembali 5 buah negeri yang terlepas ke tangan pembangkang. Bagaimanapun UMNO dan proksi-proksinya seperti berpatah arang untuk memujuk semula kedua-dua kaum ini, tidak sepertimana yang dilakukan oleh mereka selepas PRU ke-8 pada tahun 1990.

Sokongan kaum Cina dan India begitu penting bagi menentukan kemenangan mana-mana pihak dalam pilihanraya umum di Malaysia, paling tidakpun di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Persempadanan semula kawasan pilihanraya sebelum PRU ke-11 yang lalu oleh SPR dengan restu UMNO telah memberikan kedua-dua kaum tersebut kuasa penentu politik di Malaysia. Dijangkakan SPR akan mengalami kesukaran untuk merubah semula sempadan kawasan pilihanraya sebelum PRU yang akan datang dengan kekurangan majoriti dua pertiga yang diperolehi oleh BN pada kali ini. Oleh sebab itu, tindakan UMNO membesarkan isu-isu perkauman umpama 'menggali kubur sendiri'.

Dalam sejarah politik Malaysia sebelum PRU ke-12 baru-baru ini, BN atau Perikatan pernah kehilangan sokongan kaum bukan Melayu secara besar-besaran sebanyak dua kali. Kali pertama berlaku pada PRU ke-3 pada tahun 1969 dan kali kedua ialah pada PRU ke-8 tahun 1990. Sebahagian besar kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina telah mengundi pembangkang pada kedua-dua PRU ini sehingga menyebabkan parti pembangkang seperti DAP mendapat banyak kerusi terutama di kawasan-kawasan bandar. Perubahan undi kaum bukan Melayu ini adalah disebabkan rentetan beberapa isu perkauman sebelum PRU ke-3 1969 dan isu Operasi Lalang sebelum PRU ke-8 1990.

Selepas kehilangan sokongan kaum bukan Melayu pada kedua-dua PRU tersebut, BN dan UMNO telah mengambil langkah-langkah yang berbeza untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Selepas PRU ke-3 tahun 1969, BN dan UMNO telah menggunakan kesempatan daripada Tragedi 13 Mei 1969 untuk terus berkuasa di negara ini. Peristiwa Tragedi 13 Mei ini telah membuka ruang kepada UMNO untuk meraih sokongan parti-parti Melayu seperti PAS dan juga parti-parti pembangkang multiracial seperti Gerakan untuk bersama-sama UMNO membentuk Barisan Nasional (BN). Dengan sokongan parti-parti tersebut di samping pelaksanaan beberapa polisi pasca darurat telah memungkinkan UMNO terus berkuasa selepas itu.

Manakala selepas PRU ke-8 tahun 1990 pula, BN dan UMNO mengambil pendekatan yang agak berbeza untuk meraih semula sokongan bukan Melayu khususnya kaum Cina. BN dan UMNO pada ketika itu mengambil sikap berlembut dengan menunaikan tuntuntan-tuntutan kaum Cina yang dianggap sensetif sebelum daripada itu. Sebagai contohnya agenda liberalisasi pendidikan oleh BN dan UMNO pada pertengahan dekad 1990-an telah mengizinkan bukan sekadar satu 'Universiti Merdeka' ditubuhkan, tetapi berpuluh-puluh universiti seumpamanya. Sikap memujuk yang dilakukan oleh BN dan UMNO ini dilihat telah menarik semula sokongan kaum Cina untuk terus menyokong BN.

Meskipun sebahagian besar kaum Melayu telah melakukan perubahan untuk mengundi pembangkang pada PRU ke-10 tahun 1999, sokongan kedua-dua kaum Cina dan India telah menyelamatkan BN dan UMNO daripada Tsunami Politik pada tahun tersebut. Kuasa penentu politik yang ada pada kaum Melayu hanya berkesan di negeri-negeri lingkaran Melayu (Malay Belt) iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan sedikit di Pahang. Menyedari peralihan undi kaum Melayu ini, maka kesempatan persempadanan semula kawasan pilihanraya sebelum PRU ke-11 tahun 2004 telah dipergunakan untuk menghakis kuasa penentu politik Melayu ini. Di negeri-negeri Pantai Barat pula kuasa penentu politik bukan Melayu diperkukuhkan ekoran persempadanan semula tersebut.

Menyedari hakikat tersebut, tindakan UMNO dan proksi-proksinya memainkan isu-isu berbau perkauman seolah-olah menunjukkan UMNO tidak akan mengambil pendekatan berlembut memujuk kaum Cina dan India kembali menyokong mereka pada PRU ke-13 akan datang. Sekiranya ini berlaku maka apakah pilihan lain yang ada pada mereka? Pihak-pihak media terutama yang berbahasa Melayu bertali arus memainkan isu-isu perkauman bermula daripada DEB, penternakan babi, ketuanan Melayu dan yang terakhir penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu. Resolusi daripada Kongres Pemuafakatan Melayu pula dikatakan akan diakar-umbikan, malah sudah ada rancangan untuk membuat perhimpunan besar-besaran Melayu.

Bagi mereka yang mementingkan kestabilan politik dan perpaduan kaum senario mutakhir ini sangatlah membimbangkan. Persoalan yang begitu dipersoalkan sekarang ialah, adakah UMNO memilih pendekatan pasca PRU ke-3 tahun 1969 untuk terus mengekalkan kuasa mereka? Jika pendekatan ini yang dipilih, maka seolah-olah ada komplot rahsia yang sedang dilakukan untuk memastikan seumpama Tragedi 13 Mei berulang. Sekiranya telahan ini tidak tepat, maka BN dan UMNO yang memerintah hendaklah memadamkan segera api sentimen perkauman yang dimarakkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab khususnya media-media berbahasa Melayu. Masih belum terlambat untuk bertindak sedemikian sebelum tragedi itu berulang.

Wednesday 7 May 2008

Tangan Ghaib di Sebalik Tabir Istana

Tindakan Paduka Seri Sultan Perak dan Raja Muda Perak menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepadanya merupakan satu perkembangan yang sangat positif kepada pembentukan kerajaan yang baik. Sebelum ini tindakan Raja Perlis dan pihak Istana Terengganu dalam perlantikan Menteri Besar di negeri masing-masing juga dilihat menuju kepada perkembangan positif tersebut. Kesemua tindakan pihak istana ini dilakukan dalam ruang lingkup tafsiran yang luas terhadap undang-undang bertulis di peringkat pusat atau negeri. Namun begitu, yang lebih penting tindakan tersebut merupakan perkembangan baru pasca PRU ke-12 ke arah mengembalikan sistem 'separation of power' dalam politik negara.

Kerajaan yang baik (good governance) sememangnya memerlukan sistem pemisahan kuasa seperti ini sehingga tiada satu pihak yang mempunyai kuasa mutlak. Sekiranya kuasa mutlak dipusatkan kepada pihak atau individu tertentu, kemungkinan untuk berlakunya kezaliman adalah lebih tinggi. Bagaimanapun sistem pemisahan kuasa ini hancur musnah semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir, sehingga kuasa Raja-raja Melayu yang sememangnya sangat kecil diperkecilkan lagi, diikuti pula dengan melumpuhkan kuasa Badan Kehakiman (judiciary). Tindakan pihak istana sejak akhir-akhir ini kelihatan cuba mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa tersebut demi pembentukan sebuah kerajaan yang baik.

Sekiranya Karpal Singh melihat tindakan Sultan Perak dan Raja Muda Perak dari kacamata seperti ini, pasti beliau bersetuju dengan tindakan tersebut. Tindakan pihak Istana Perak ini sekiranya dilakukan sewaktu Perak di bawah teraju BN pastinya akan mendapat sokongan pihak pembangkang. Sayang sekali sewaktu Almarhum Ustaz Ishak Baharom di'pecat', pihak Istana Selangor tidak bertindak dalam lingkungan tafsiran undang-undang yang diperuntukkan kepadanya. Sekiranya pihak Istana Selangor bertindak sebagaimana tindakan pihak Istana Perak hari ini, pastinya tindakan itu dilihat sebagai memperkukuhkan sistem pengasingan kuasa.

Sultan Perak dan Raja Muda Perak telah bertindak menurut tafsiran luas daripada semangat peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa budi bicara kepada mereka. Dalam satu kes yang lebih mikro, baginda berdua pernah bertindak untuk 'campurtangan' terhadap kuasa eksekutif pentadbiran Universiti Malaya yang tidak membenarkan seorang pensyarah berbangsa India untuk dipinjamkan ke sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu oleh Naib Canselor UM sebelum ini. Tindakan Naib Canselor tersebut menyebabkan pensyarah berkenaan hampir-hampir meletakkan jawatan sehinggalah mendapat pembelaan oleh 'campurtangan' pihak baginda berdua sebagai Canselor dan Pro-Canselor.

Oleh sebab itu, tindakan Sultan Perak dan Raja Muda ini seharusnya dilihat secara positif oleh semua pihak termasuk Karpal Singh yang sebelum ini begitu menuntut keadilan dilaksanakan dalam negara ini. Karpal tidak sepatutnya melihat keadilan tersebut dengan merujuk hanya kepada undang-undang di atas kertas yang beku, sebaliknya perlu juga melihat kepada keluasan tafsiran undang-undang yang memberi ruang untuk keadilan itu ditegakkan. Berkemungkinan juga Karpal mahu memberi signal supaya kepada semua pihak melihat bahawa akar-umbi masalah campurtangan pihak Istana ini, adalah berpunca daripada UMNO sendiri yang telah menghadkan kuasa pihak Istana melalui dua pindaan perlembagaan semasa era Dr Mahathir.

Bagaimanapun tindakan pihak Istana sewajarnya pula bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama pihak parti politik. Sekiranya pihak Istana tidak bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, maka hasrat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa itu tidak dapat dicapai. Dalam erti kata yang lebih jelas, pihak Istana semestinya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak pemerintah atau pembangkang. Keterlibatan pihak Istana dengan mana-mana agenda parti politik sememangnya satu gejala yang tidak sihat. Malah dalam PRU ke-11 tahun 2004 yang lalu ada Sultan yang mengisytiharkan secara terbuka supaya rakyat mengundi BN. Situasi ini menyebabkan pihak Istana dilihat tidak lagi bebas.

Dalam konteks isu pertukaran Pengarah JAIP baru-baru ini, dilihat ada usaha-usaha dilakukan untuk mempengaruhi pendirian bebas pihak Istana Perak. Perkara ini paling ketara bermula dengan bocornya perbualan telefon antara MB Perak yang mengarahkan pertukaran Pengarah JAIP. Laporan akhbar yang membocorkan perkara ini bersumberkan daripada seorang ADUN yang tidak disebut namanya. Sedangkan pemakluman telefon tersebut merupakan satu langkah prosedur yang di buat oleh MB Perak sebelum meminta perkenan ke Bawah Duli Paduka Sultan untuk menukarkan Pengarah JAIP tersebut. Diyakini selepas pemakluman tersebut, MB akan menasihati dan mendapatkan perkenan untuk membuat pertukaran tersebut secara rasmi.

Satu lagi petunjuk yang memperlihatkan ada pihak yang cuba mempengaruhi pihak Istana Perak untuk motif politik mereka ialah dengan tersiarnya kenyataan akhbar pihak Istana. Keseluruhan isi kenyataan akhbar tersebut adalah mengandungi titah perintah baginda kepada MB Perak. Satu demi satu isi kenyataan akhbar tersebut merupakan nasihat Baginda kepada MB untuk melangsungkan sebuah kerajaan negeri yang baik. Tidak kelihatan di mana perlunya nasihat-nasihat Sultan kepada MB itu diketahui oleh semua rakyat jelata. Yang jelas sekiranya nasihat-nasihat itu disiarkan kepada rakyat, pastinya memberi gambaran buruk kepada MB Perak sekarang. Adakah terdapat motif politik pihak tertentu di sebalik kenyataan ini?

Menyedari hakikat tersebut, tindakan pihak Istana ke arah mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa sememang dialu-alukan. Bagaimanapun pihak Istana yang menjadi naungan seluruh rakyat seharusnya bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama UMNO. Sokongan secara terbuka atau tidak terbuka kepada UMNO sebagaimana yang berlaku dalam PRU ke-11 2004 yang lalu sepatutnya tidak berlaku. Pihak Istana juga harus memastikan mereka yang bertindak mewakili pihak istana seperti Setiausaha Sulit, Penasihat Agama dan lain-lain turut bebas dari dipergunakan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Sekiranya tidak, semangat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa tidak bermakna.

Monday 5 May 2008

Kejayaan Besar Kerajaan PR Selepas 50 Hari

Tanggal 28 April yang lalu, genaplah 50 hari Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan di lima buah negeri. 50 hari pertama ini merupakan satu fasa yang paling penting bagi sesebuah kerajaan, kerana dalam tempoh inilah kestabilan sesebuah kerajaan itu akan dinilai. Manakala selepas 100 hari pula, perfomance atau pencapaian sesebuah kerajaan boleh diunjurkan. Selepas 50 hari pertama ini, kerajaan negeri yang diterajui oleh PR jelas telah mencapai kejayaan besar dalam mengekalkan kestabilan sesebuah kerajaan sekaligus mengekalkan keharmonian rakyat di negeri-negeri tersebut. Sekiranya kayu ukur ini menjadi penanda aras untuk menilai kejayaan PR dalam 5 tahun berikutnya, maka PR telah lulus untuk permulaan 50 hari ini.

Kestabilan sesebuah kerajaan yang dibentuk oleh parti selain BN selalu dijadikan mimpi ngeri oleh BN untuk menakut-nakutkan rakyat. Dengan menjadikan Tragedi 13 Mei 1969 sebagai asas, BN mengingatkan rakyat perlunya BN dikekalkan malah tidak boleh dikurangi majoriti dua pertiga yang diperolehinya di Parlimen. Tragedi 13 Mei 1969 berlaku selepas PRU ke-3 pada 10 Mei 1969. PRU tersebut memperlihatkan Perikatan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala Pulau Pinang jatuh kepada Gerakan. Di negeri Selangor dan Perak pula Perikatan menghadapi kesukaran untuk membentuk kerajaan. Lalu diwarwarkan jika BN tidak boleh mencapai kemenangan selesa, maka kemungkinan berulangnya tragedi ini adalah besar.

Mitos politik ini menjadi bahan propaganda BN dalam pendidikan formal termasuk kursus-kursus ketatanegaraan yang dianjurkan oleh BTN. Kursus-kursus BTN ini kadangkala turut dihadiri oleh para ahli akademik dan pegawai tinggi kerajaan, lalu disumbatkan dengan mitos politik seperti ini. Kalau mereka seperti inipun cuba diperdaya, betapa pula masyarakat yang tidak berpendidikan tinggi. Disebabkan propaganda seperti ini, terdengarlah suara kebimbangan sekiranya BN kalah, rakyat akan terpaksa memakan ubi kayu seperti di zaman penjajahan Jepun. Demikianlah berjaya propaganda oleh BN sehingga mitos politik ini telah berjaya mengekalkan pemerintahan BN lebih daripada 25 tahun sesudah Tragedi 13 Mei.

Kemenangan PR dalam PRU ke-12 yang lalu, begitu mirip dengan keputusan PRU ke-3 tahun 1969. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan teraju 4 buah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kekalahan di Pulau Pinang hampir sama seperti kekalahan Perikatan di tangan parti pembangkang Gerakan pada ketika itu. Manakala kekalahan di Selangor dan Perak lebih teruk daripada kekalahan yang diterima pada PRU ke-3 tahun 1969. Punca kekalahan itu pula disebabkan kaum bukan Melayu tidak lagi mengundi BN. Isu-isu perkauman seperti Hindraf, Keris Ketua Pemuda dan lain-lain menjadi perencah awal kepada kempen PRU ke-12 baru-baru ini.

Dengan kata lain, resepi untuk berlakunya mitos politik BN atau berulangnya Tragedi 13 Mei itu telah sedia wujud sebelum dan selepas PRU ke-12. Sekiranya PR gagal mengekalkan kestabilan politik yang ada maka terbukti benarlah mitos politik yang dipropagandakan oleh BN. Elemen-elemen untuk menjayakan mitos politik itu sememangnya telah diwujudkan sebaik sahaja PR hendak membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Demostrasi yang dianjurkan oleh UMNO di bangunan KOMTAR, tindakan membesar-besarkan isu pemulauan majlis angkat sumpah MB Perak dan menyalah laporkan berita ladang babi di Selangor hampir memercikkan sentimen perkauman. Bagaimanapun pimpinan PR benar-benar telah matang kali ini.

Walaupun berlaku juga sedikit pertelingkahan di kalangan pimpinan PR tentang beberapa perkara, tetapi ia masih dalam lingkungan mencari persefahaman antara satu sama lain. Kadang-kadang terdapat tindakan yang tidak terkawal dilakukan oleh ahli-ahli bawahan PR seperti mengepung bangunan pentadbiran negeri sebaik sahaja mencapai kemenangan, merampas hak milik pengurusan dewan orang ramai di desa dan tulisan-tulisan berbau perkauman di ruang maya, tetapi semuanya dapat dibendung oleh ketenangan pimpinan-pimpinan PR. Dari sehari ke sehari persefahaman di kalangan pimpinan semakin mantap sekaligus kerjasama untuk menerajui kelima-lima negeri semakin kukuh.

Selepas 50 hari pertama pemerintahan PR, inilah kejayaan yang paling besar diperolehi. Mitos politik BN tentang berulangnya Tragedi 13 Mei tidak menjadi kenyataan, sebaliknya akan tinggal sebagai bahan arkib pemikiran politik BN dan BTN. Ketenangan berhadapan dengan sentimen perkauman serta kematangan untuk bertolenrasi termasuk membuat kenyataan maaf secara terbuka merupakan satu ramuan yang baik untuk PR terus menjadi alternatif kepada BN. Selepas kejayaan 50 hari pertama ini, maka 50 hari berikutnya seharusnya dipergunakan untuk menyedian prinsip dan polisi bagi menunaikan manifesto yang telah dikemukakan dalam PRU ke-12 yang lalu. 'Selamat Maju Jaya' kepada PR.

Saturday 3 May 2008

Politik Artis Faizal Tahir

Tidaklah diketahui apakah motif sebenar Faizal Tahir membuka bajunya dikhalayak ramai sewaktu membuat persembahan di Konsert Ulangtahun 8TV. Kalau beliau seorang sasterawan seperti Shahnon Ahmad, sudah pasti orang akan mengetahui bahawa Novel 'Shit' nya sebagai satu sindiran terhadap situasi politik negara yang korup. Paling kurangpun kalau beliau seperti seniman agung P. Ramlee, sudah tentu orang akan melihat filem-filemnya yang turut memuatkan adegan-adegan bertentangan dengan syara' sebagai satu sindiran terhadap ketidakadilan sosial dalam masyarakat. Namun Faizal hanya seorang artis muda mentah yang sering dilihat sedang berusaha mencari glamour dan populariti.

Kesan daripada tindakannya telah menjadikan namanya begitu glamour dan popular sehingga mengatasi Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang mengharamkannya datang ke Perlis untuk membuat persembahan di Jom Heboh. Nama beliau telah tercatat dalam wikipedia berbahasa Inggeris berbanding dengan Dr Mohd Asri yang hanya tercatat dalam wikipedia berbahasa Melayu. Berita tentang adegan membuka baju ini telah mendapat perhatian media antarabangsa termasuk BBC. Ada antara media ini mengulas bahawa tindakan Faizal ini sebagai satu usaha 'to break the rules' dalam masyarakat Malaysia yang dikatakan konservatif. Kalau benar telahan itu, 'rules' yang mana cuba disanggahi oleh Faizal.

Sekiranya 'rules' yang dimaksudkan itu Syariat Islam, kelihatannya tidak. Tindakan Faizal membuka baju di khalayak ramai tidaklah terang-terangan melanggar Syariat Islam. Beliau masih menutup lebih 90% aurat yang ditentukan bagi seorang lelaki oleh Mazhab Shafie. Sekiranya berdasarkan Mazhab Maliki pula beliau masih tidak mendedahkan auratnya. Seseorang lelaki yang tidak berbaju di khalayak ramai bukan satu fenomena pelik dalam masyarakat Malaysia. Fenomena ini selalu kelihatan di pantai, tepi kolam renang dan padang bola. Kadang-kadang fenomena di kawasan ini lebih tidak bersopan daripada Faizal kerana mereka hanya berseluar pendek malah ada yang berseluar 'superman'.

Sekiranya di bandingkan dengan pakaian artis-artis wanita pula, aurat Faizal ketika adegan ini berlaku jauh lebih menepati tuntutan aurat yang dikehendaki oleh Islam. Artis-artis wanita yang terdedah inilah menjadi tontonan umum di dada-dada akhbar dan papan-papan iklan di seluruh negara. Akan tetapi perbuatan ini seolah-olah tidak mendapat perhatian masyarakat, bahawa ia amat bertentangan dengan Syariat Islam. Hanya Tuan Guru Nik Aziz yang menyedari perkara ini, lalu papan-papan iklan di Kelantan dipastikan modelnya menepati Syariat Islam. Artis-artis wanita inilah yang menjadi ikutan anak-anak perempuan di bangku sekolah, malah turut diburu oleh jerung-jerung politik di Malaysia.

Oleh kerana itu, adegan Faizal ini tidaklah ketara melanggar Syariat Islam sebaliknya konsert seumpama itu yang jelas melanggar Syariat Islam. Kesalahan sebenar Faizal ialah terlibat dengan konsert seumpama itu. Dengan pengertian lain Faizal telah hanyut dalam budaya artis Malaysia yang begitu jauh daripada Syariat. Budaya artis seperti ini bukan hanya memalitkan Faizal, tetapi juga memalitkan Mawi, Rabbani, Raihan dan yang terakhir Akil Hayy. Ada kalangan artis yang boleh bertahan mengekalkan jatidirinya menghadapi budaya seperti ini, tetapi ramai juga yang hanyut dalam gelombang budaya ini. Tindakan Faizal ini hanyalah adegan yang kelihatan daripada seribu satu adegan tersembunyi yang terdapat dalam budaya artis yang terpesong.

Sekiranya tindakan membuka baju itu dikatakan tidak senonoh berdasarkan tatasusila Melayu, ia juga sukar diterima. Dalam filem-filem Melayu klasik dan moden, lelaki yang tidak memakai baju bukanlah satu fenomena ganjil. Dalam filem P. Ramlee 'Sumpah Orang Minyak', ada adegan P. Ramlee membuka baju dan seluarnya sekali. Drama-drama di televisyen juga, begitu banyak adegan yang melibatkan lelaki tidak berbaju. Akan tetapi tiada pula rungutan yang menyifatkan adegan-adegan ini melanggar tatasusila Melayu. Malah mereka yang melakukan turut diberi penghargaan dengan bintang-bintang kebesaran seperti Datuk dan Tan Sri. Tidak mustahil satu masa nanti Faizal juga boleh mendapat penghargaan seperti ini.

Demikian juga, sekiranya tindakan Faizal ini membuka bajunya satu demi satu dianggap sebagai menonjolkan budaya 'stripping' yang melanggar tatasusila Melayu, maka perkara yang sama juga bukanlah fenomena ganjil dalam dunia hiburan di Malaysia. Malah terdapat adegan yang lebih cabul daripada itu. Beberapa artis seperti Imuda dan Amy (semasa zaman jahiliahnya) turut pernah terlibat dengan isu-isu panas seperti ini. Malah budaya pergaulan bebas yang melampaui batas ini turut melibatkan ahli-ahli politik termasuklah yang terakhir seorang bekas Menteri melakukan gangguan seks terhadap seorang pelayan bar. Sekali lagi masyarakat perlu membuka mata terhadap perkembangan pergaulan keji yang semakin menular di kalangan mereka kini.

Hanya Faizal yang tahu apakah motif dan rasionalnya beliau berbuat demikian. Yang pasti beliau bukan membuka bajunya atas sebab tidak sedarkan diri. Beliau telah merancang sedari awal untuk berbuat demikian seraya menunjukkan simbol seumpama 'superman' di dadanya. Apakah makna di sebalik perbuatan dan simbol itu, hanya ALlah dan Faizal yang tahu. Faizal bukanlah seorang yang tiada latarbelakang pendidikan Islam. Bapanya pula adalah seorang yang terhormat dari segi keterlibatan dengan dakwah dan pencapaian akademik. Dipercayai masih belum terlambat untuk Faizal didekati sekurang-kurangnya beliau boleh menjadi seumpama Ito dan Amy, kalaupun bukan seumpama Akil Hayy.

Bila Pula Kongres Pemuafakatan Rakyat?

Seperti yang dijangkakan, Kongres Pemuafakatan Melayu yang dianjurkan di Johor Bahru adalah satu usaha untuk memberi nafas baru kepada UMNO. Malah tanpa berselindung lagi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, Ketua I Gapena Dr Ismail Hussien "mengajak orang Melayu mengambil pengajaran di atas kemenangan dan kekalahan sebuah parti Melayu yang telah lama berjasa kepada orang Melayu kerana kini terdapat parti Melayu yang tidak mempunyai pengalaman memerintah masyarakat berbilang kaum yang kompleks". Jelas sekali beliau cuba berselindung dengan lengggok bahasa sastera sebagai merujuk kepada parti UMNO dan PAS.

Kebanyakan tokoh-tokoh Melayu yang terlibat sebagai penganjur seperti Dr Zainal Kling, Zainal Abidin Borhan dan lain-lain adalah pendukung kuat UMNO. Ada kalangan mereka yang pernah menjadi anggota panel menyediakan ucapan dasar Presiden UMNO dan juga menasihati pimpinan UMNO dalam isu-isu yang berkaitan dengan sosio-ekonomi Melayu. Hakikat sebenarnya, mereka ini tokoh yang berdarah cap keris dan nafas mereka berbau UMNO, meminjam ungkapan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu. Oleh sebab itu, Kongres Pemuafakatan Melayu ini rendah sedikit darjatnya di sisi UMNO berbanding Perhimpunan Agung Khas (EGM) yang diwarwarkan oleh Tengku Razaliegh baru-baru ini.

Paling tidakpun, kongres ini adalah suara-suara NGO Melayu yang pro-UMNO sebagai reaksi kepada kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 12 baru-baru ini. Survival kaum Melayu pasca PRU 12 dilihat begitu membimbangkan mereka, sedangkan survival itu telah lama digugat sepanjang 50 tahun pemerintahan UMNO. Survival apakah lagi yang masih tinggal bagi kaum Melayu setelah kuasa Raja-raja Melayu dihakis, peranan bahasa Melayu diperkecil, Bank Bumiputera yang mewakili kepentingan ekonomi Melayu ditelan dan suratkhabar yang menyuarakan suara Melayu dibisukan. Kesemua ini berlaku dalam tempoh 50 tahun UMNO memerintah sehingga kedudukan orang Melayu umpama merempat di kampung sendiri.

Nasib kaum Melayu ini tidaklah lebih baik daripada kaum-kaum yang lain sepanjang pemerintahan UMNO dan BN. Seperti juga kaum-kaum yang lain, hanya sedikit dari kalangan kaum Melayu yang merasai 'nikmat' pemerintahan UMNO dan BN. Mereka adalah dari kalangan UMNOputera. Demikian juga sedikit dari kalangan kaum India dan Cina merasai 'nikmat' pemerintahan MIC, MCA dan BN, iaitu dari kalangan MICputera dan MCAputera. Yang tidak termasuk dalam kalangan UMNOputera, MICputera dan MCAputera hanya memerhatikan putera-putera ini membolot hasil kekayaan negara yang melimpah ruah, justeru mereka melakukan perubahan untuk tidak lagi mengundi UMNO, MIC dan MCA dalam PRU baru-baru ini.

Keputusan PRU ke-12 baru-baru ini sebenarnya mewakili suara golongan yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera. Golongan ini mahukan keadilan untuk rakyat tanpa mengira kaum. Mereka tidak mahu melihat ada orang Melayu yang masih duduk di pondok-pondok buruk. Demikian juga mereka tidak ingin melihat ada lagi kaum India yang menjadi pencuci kereta berbasikal mencari kereta yang hendak dicuci di bandar-bandar besar. Mereka juga tidak mahu melihat ada kaum Cina yang terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran di IPTA disebabkan tidak cukup wang. Kesemua ini adalah rintihan rakyat pelbagai kaum yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera.

Rintihan rakyat atau bahasa yang digunakan oleh sasterawan Azizi Abdullah sebagai 'luka rakyat' ini disuarakan melalui peti-peti undi. Nasib baik SPR dan pilihanraya di Malaysia masih tidak bersih, kalau tidak bukan sekadar tsunami politik tetapi dunia politik di Malaysia akan terbalik. Dalam gelombang suara rakyat yang dinafikan hak istimewa mereka telah merubah landskap politik Malaysia, timbullah pula suara yang hendak mengembalikan semula 'Hak Istimewa' UMNOputera. Selepas ini mungkin akan dianjurkan pula kongres-kongres untuk mengembalikan 'Hak Istimewa' MICputera dan MCAputera. Jurucakap-jurucakap mereka ialah tokoh-tokoh seumpama Dr Ismail Hussien, Dr Zainal Kling dan Zainal Abidin Borhan.

Suara-suara mereka ini sebenarnya telah lama basi. Situasi pasca PRU ini seharusnya digemakan oleh suara-suara golongan yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera. Sebenarnya suara golongan inilah yang hendak didengar dan perlu didengar oleh kerajaan yang diterajui oleh BN lebih-lebih lagi kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat. Ketika inilah yang paling sesuai untuk rakyat yang telah dilukai sepanjang 50 tahun pemerintahan UMNO dan BN menyuarakan kehendak mereka bersama. Malah ketika inilah paling sesuai untuk mewujudkan pula satu KONTRAK SOSIAL baru yang memberi keadilan kepada semua kaum sepertimana tuntutan ajaran Islam sebenar.

Menyedari hakikat itu, suara mereka tidak seharusnya sekadar terhenti di peti-peti undi yang menatijahkan tsunami politik. Sebaliknya suara ini perlu dipanjangkan melalui forum-forum yang sihat seumpama Kongres Pemuafakatan Rakyat. Kongres ini dianjurkan NGO-NGO dan tokoh-tokoh yang memahami rintihan rakyat. Kemudian dinaungi oleh putera Raja yang sememangnya prihatin dengan luka rakyat. Resolusi kongres ini diserahkan kepada Sultan dan Raja yang berjiwa rakyat. Suara rasmi kongres ini akan disebarkan oleh mana-mana akhbar yang menjadi lidah rakyat. Akhir sekali, kongres ini perlu diperluaskan ke daerah-daerah supaya selepas ini rakyat boleh memilih sama ada mereka mahu Kongres Pemuafakatan Rakyat atau Kongres Pemuafakatan Melayu.