Wednesday 28 May 2008

Selepas Ezam PAS Menyusul?

Kemasukan Ezam Md Nor ke dalam UMNO semula bukanlah satu berita yang mengejutkan. Ezam hanyalah satu susuk kecil yang tidak pernah dikenali oleh rakyat teramai melainkan selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Sekiranya tiada peristiwa pemecatan itu mungkin sehingga hari ini Ezam tidak begitu dikenali. Beliau bukanlah dikenali sebagai tokoh yang hebat semasa di kampus dan demikian juga semasa dalam UMNO sebelum ini. Dengan tidak menafikan kemasukan semula Ezam itu akan memberi sedikit suntikan kepada UMNO, tetapi ia tidak cukup untuk meledakkan kejutan sehingga dianggap kemasukannya boleh merubah landskap politik Malaysia.

Terdapat satu lagi berita yang akan memberi kejutan berlipat ganda besarnya sekiranya ia benar-benar berlaku, iaitu PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan menyertai UMNO atau BN. Komentar yang diberikan oleh Ong Kian Ming dan Onn Yeoh dalam realpolitik bahawa kemungkinan PAS dan UMNO bersatu selepas ini, tidak boleh dipandang remeh. Kedua-dua mereka membuat pemerhatian bahawa kemungkinan untuk PAS dan UMNO bersatu adalah tidak kecil, sekiranya kesepakatan wujud atas nama kepentingan Melayu-Islam. Tambahan pula seperti tidak kelihatan penghujungnya perbezaan pandangan antara PAS, PKR dan DAP tentang isu-isu sensitif berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Telahan kedua-dua mereka juga berasaskan khabar-khabar angin, wujudnya kecenderungan di kalangan beberapa pimpinan tertinggi PAS untuk duduk semeja dengan UMNO membincangkan isu-isu Melayu dan Islam. Malah sebelum Ezam memasuki UMNO beliau juga dikatakan membuat 'pemakluman' kepada beberapa pimpinan PAS bagi menjelaskan alasan mengapa beliau bertindak sedemikian. Sebelum inipun telah ada beberapa pinangan oleh pihak UMNO kepada beberapa pimpinan PAS di peringkat negeri berhubung dengan kemungkinan untuk bersatu bagi mengekang kemaraan kemenangan PKR dan DAP. Oleh sebab itu, telahan kedua-dua pemerhati politik itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Bagi UMNO tidaklah sukar untuk mengumpan PAS, cukup dengan memberikan janji atau komitmen ke arah melaksanakan agenda politik berteraskan Islam. Kata-kata Tuan Guru Nik Aziz bahawa PAS sedia dibubarkan sekiranya UMNO mahu meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara, akan berhadapan dengan realiti sedikit masa nanti. Sekiranya UMNO bersedia menyahut seruan itu, maka apakah pilihan yang ada lagi pada PAS? Sebenarnya perkara inilah yang sedang diusahakan oleh NGO-NGO Melayu dan Islam yang begitu bersungguh-sungguh menyatukan PAS dan UMNO. Sekiranya perkara ini berlaku, maka kedudukan Pak Lah akan menjadi kembali kukuh.

Mengadakan pilihanraya semula adalah langkah yang terakhir bagi Pak Lah setelah beberapa pelan alternatif gagal. Pak Lah lebih yakin untuk mendapatkan sokongan PAS bagi memperkukuhkan kedudukannya berbanding dengan pelan-pelan yang lain. Sekiranya Pak Lah berjaya membawa PAS bersatu dengan UMNO atau sekurang-kurangnya menyertai BN, maka tidak timbul lagi masalah ketidakstabilan politik. Kedudukan politik Pak Lah akan kembali selesa biarpun Dr Mahathir dan pengikutnya terus menerus menyerang Pak Lah daripada dalam ataupun daripada luar. Mendapatkan sokongan PAS ini adalah mudah kerana PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan kepentingan Islam lebih utama dari segalanya.

Sebagaimana juga beberapa alasan Ezam berhubung dengan kemasukannya ke dalam UMNO, maka isu-isu yang sama juga turut boleh diumpan kepada PAS. Ezam dikatakan turut memberi alasan tentang wujudnya elemen-elemen anti Islam dan Islam Liberal dalam PR. Oleh sebab itu, semenjak selepas PRU yang lalu isu-isu tentang ketuanan Melayu, Negara Islam dan lain-lain telah dimainkan oleh media massa, antara lain bertujuan menimbulkan keraguan kepada PAS tentang pakatannya dengan PKR dan DAP. Bilamana PAS mulai ragu-ragu tentang agenda politik Islam dalam PR, maka lebih mudahlah Pak Lah dan UMNO mengumpan mereka dengan janji dan komitmen yang lebih tinggi terhadap kepentingan Islam.

Beberapa hari yang mendatang PAS akan melalui satu cabaran yang paling getir untuk membuat keputusan sama ada terus bersama PR atau bersatu dengan UMNO. Sekiranya PAS terus bersama PR maka kelihatannya ruang untuk melaksanakan agenda politik Islam masih sempit. Sebaliknya Pak Lah dan UMNO pula memberi komitmen untuk membuka ruang seluasnya bagi pelaksanaan agenda politik Islam yang dijunjung oleh PAS. Sekiranya PAS keluar daripada PR maka dari segi suri teladan dakwah, PAS telah mungkir janji bukan sekadar dengan PKR dan DAP tetapi dengan majoriti para pengundi non-muslim yang mengundi PAS dalam PRU yang lalu. Sebaliknya jika PAS menolak tawaran UMNO, PAS bukan sahaja dikatakan memungkiri kata-kata Tuan Guru Nik Aziz tetapi juga tidak ikhlas memperjuangkan Islam.

Keputusan yang dicapai oleh PAS sama ada terus kekal bersama PR atau bersatu dengan UMNO inilah yang akan lebih besar dampaknya terhadap landskap politik. Malah dalam membuat keputusan, PAS juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa sekiranya Pak Lah gagal memancing PAS kemungkinan pelan berikutnya akan dilakukan. Pelan yang berikutnya ialah Pak Lah memancing Anwar sendiri untuk kembali semula kepada UMNO. Kematangan PAS dalam membuat keputusan berasaskan kepada prinsip-prinsip Fiqh Siyasah benar-benar diperlukan pada kali ini. Selebihnya pimpinan PAS perlu bermunajat meminta petunjuk daripada Allah swt termasuklah mengadapNya di tanah suci Mekah.

1 comment:

infogue said...

Artikel di Blog ini bagus dan berguna bagi para pembaca.Anda bisa lebih mempromosikan artikel anda di www.infogue.com dan jadikan artikel anda topik yang terbaik bagi para pembaca di seluruh Indonesia.Telah tersedia plugin/widget.Kirim artikel dan vote yang terintegrasi dengan instalasi mudah dan singkat.Salam Blogger!!!

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/selepas_ezam_pas_menyusul_