Wednesday 7 May 2008

Tangan Ghaib di Sebalik Tabir Istana

Tindakan Paduka Seri Sultan Perak dan Raja Muda Perak menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepadanya merupakan satu perkembangan yang sangat positif kepada pembentukan kerajaan yang baik. Sebelum ini tindakan Raja Perlis dan pihak Istana Terengganu dalam perlantikan Menteri Besar di negeri masing-masing juga dilihat menuju kepada perkembangan positif tersebut. Kesemua tindakan pihak istana ini dilakukan dalam ruang lingkup tafsiran yang luas terhadap undang-undang bertulis di peringkat pusat atau negeri. Namun begitu, yang lebih penting tindakan tersebut merupakan perkembangan baru pasca PRU ke-12 ke arah mengembalikan sistem 'separation of power' dalam politik negara.

Kerajaan yang baik (good governance) sememangnya memerlukan sistem pemisahan kuasa seperti ini sehingga tiada satu pihak yang mempunyai kuasa mutlak. Sekiranya kuasa mutlak dipusatkan kepada pihak atau individu tertentu, kemungkinan untuk berlakunya kezaliman adalah lebih tinggi. Bagaimanapun sistem pemisahan kuasa ini hancur musnah semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir, sehingga kuasa Raja-raja Melayu yang sememangnya sangat kecil diperkecilkan lagi, diikuti pula dengan melumpuhkan kuasa Badan Kehakiman (judiciary). Tindakan pihak istana sejak akhir-akhir ini kelihatan cuba mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa tersebut demi pembentukan sebuah kerajaan yang baik.

Sekiranya Karpal Singh melihat tindakan Sultan Perak dan Raja Muda Perak dari kacamata seperti ini, pasti beliau bersetuju dengan tindakan tersebut. Tindakan pihak Istana Perak ini sekiranya dilakukan sewaktu Perak di bawah teraju BN pastinya akan mendapat sokongan pihak pembangkang. Sayang sekali sewaktu Almarhum Ustaz Ishak Baharom di'pecat', pihak Istana Selangor tidak bertindak dalam lingkungan tafsiran undang-undang yang diperuntukkan kepadanya. Sekiranya pihak Istana Selangor bertindak sebagaimana tindakan pihak Istana Perak hari ini, pastinya tindakan itu dilihat sebagai memperkukuhkan sistem pengasingan kuasa.

Sultan Perak dan Raja Muda Perak telah bertindak menurut tafsiran luas daripada semangat peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa budi bicara kepada mereka. Dalam satu kes yang lebih mikro, baginda berdua pernah bertindak untuk 'campurtangan' terhadap kuasa eksekutif pentadbiran Universiti Malaya yang tidak membenarkan seorang pensyarah berbangsa India untuk dipinjamkan ke sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu oleh Naib Canselor UM sebelum ini. Tindakan Naib Canselor tersebut menyebabkan pensyarah berkenaan hampir-hampir meletakkan jawatan sehinggalah mendapat pembelaan oleh 'campurtangan' pihak baginda berdua sebagai Canselor dan Pro-Canselor.

Oleh sebab itu, tindakan Sultan Perak dan Raja Muda ini seharusnya dilihat secara positif oleh semua pihak termasuk Karpal Singh yang sebelum ini begitu menuntut keadilan dilaksanakan dalam negara ini. Karpal tidak sepatutnya melihat keadilan tersebut dengan merujuk hanya kepada undang-undang di atas kertas yang beku, sebaliknya perlu juga melihat kepada keluasan tafsiran undang-undang yang memberi ruang untuk keadilan itu ditegakkan. Berkemungkinan juga Karpal mahu memberi signal supaya kepada semua pihak melihat bahawa akar-umbi masalah campurtangan pihak Istana ini, adalah berpunca daripada UMNO sendiri yang telah menghadkan kuasa pihak Istana melalui dua pindaan perlembagaan semasa era Dr Mahathir.

Bagaimanapun tindakan pihak Istana sewajarnya pula bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama pihak parti politik. Sekiranya pihak Istana tidak bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, maka hasrat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa itu tidak dapat dicapai. Dalam erti kata yang lebih jelas, pihak Istana semestinya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak pemerintah atau pembangkang. Keterlibatan pihak Istana dengan mana-mana agenda parti politik sememangnya satu gejala yang tidak sihat. Malah dalam PRU ke-11 tahun 2004 yang lalu ada Sultan yang mengisytiharkan secara terbuka supaya rakyat mengundi BN. Situasi ini menyebabkan pihak Istana dilihat tidak lagi bebas.

Dalam konteks isu pertukaran Pengarah JAIP baru-baru ini, dilihat ada usaha-usaha dilakukan untuk mempengaruhi pendirian bebas pihak Istana Perak. Perkara ini paling ketara bermula dengan bocornya perbualan telefon antara MB Perak yang mengarahkan pertukaran Pengarah JAIP. Laporan akhbar yang membocorkan perkara ini bersumberkan daripada seorang ADUN yang tidak disebut namanya. Sedangkan pemakluman telefon tersebut merupakan satu langkah prosedur yang di buat oleh MB Perak sebelum meminta perkenan ke Bawah Duli Paduka Sultan untuk menukarkan Pengarah JAIP tersebut. Diyakini selepas pemakluman tersebut, MB akan menasihati dan mendapatkan perkenan untuk membuat pertukaran tersebut secara rasmi.

Satu lagi petunjuk yang memperlihatkan ada pihak yang cuba mempengaruhi pihak Istana Perak untuk motif politik mereka ialah dengan tersiarnya kenyataan akhbar pihak Istana. Keseluruhan isi kenyataan akhbar tersebut adalah mengandungi titah perintah baginda kepada MB Perak. Satu demi satu isi kenyataan akhbar tersebut merupakan nasihat Baginda kepada MB untuk melangsungkan sebuah kerajaan negeri yang baik. Tidak kelihatan di mana perlunya nasihat-nasihat Sultan kepada MB itu diketahui oleh semua rakyat jelata. Yang jelas sekiranya nasihat-nasihat itu disiarkan kepada rakyat, pastinya memberi gambaran buruk kepada MB Perak sekarang. Adakah terdapat motif politik pihak tertentu di sebalik kenyataan ini?

Menyedari hakikat tersebut, tindakan pihak Istana ke arah mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa sememang dialu-alukan. Bagaimanapun pihak Istana yang menjadi naungan seluruh rakyat seharusnya bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama UMNO. Sokongan secara terbuka atau tidak terbuka kepada UMNO sebagaimana yang berlaku dalam PRU ke-11 2004 yang lalu sepatutnya tidak berlaku. Pihak Istana juga harus memastikan mereka yang bertindak mewakili pihak istana seperti Setiausaha Sulit, Penasihat Agama dan lain-lain turut bebas dari dipergunakan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Sekiranya tidak, semangat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa tidak bermakna.

No comments: