Monday, 5 May 2008

Kejayaan Besar Kerajaan PR Selepas 50 Hari

Tanggal 28 April yang lalu, genaplah 50 hari Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan di lima buah negeri. 50 hari pertama ini merupakan satu fasa yang paling penting bagi sesebuah kerajaan, kerana dalam tempoh inilah kestabilan sesebuah kerajaan itu akan dinilai. Manakala selepas 100 hari pula, perfomance atau pencapaian sesebuah kerajaan boleh diunjurkan. Selepas 50 hari pertama ini, kerajaan negeri yang diterajui oleh PR jelas telah mencapai kejayaan besar dalam mengekalkan kestabilan sesebuah kerajaan sekaligus mengekalkan keharmonian rakyat di negeri-negeri tersebut. Sekiranya kayu ukur ini menjadi penanda aras untuk menilai kejayaan PR dalam 5 tahun berikutnya, maka PR telah lulus untuk permulaan 50 hari ini.

Kestabilan sesebuah kerajaan yang dibentuk oleh parti selain BN selalu dijadikan mimpi ngeri oleh BN untuk menakut-nakutkan rakyat. Dengan menjadikan Tragedi 13 Mei 1969 sebagai asas, BN mengingatkan rakyat perlunya BN dikekalkan malah tidak boleh dikurangi majoriti dua pertiga yang diperolehinya di Parlimen. Tragedi 13 Mei 1969 berlaku selepas PRU ke-3 pada 10 Mei 1969. PRU tersebut memperlihatkan Perikatan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala Pulau Pinang jatuh kepada Gerakan. Di negeri Selangor dan Perak pula Perikatan menghadapi kesukaran untuk membentuk kerajaan. Lalu diwarwarkan jika BN tidak boleh mencapai kemenangan selesa, maka kemungkinan berulangnya tragedi ini adalah besar.

Mitos politik ini menjadi bahan propaganda BN dalam pendidikan formal termasuk kursus-kursus ketatanegaraan yang dianjurkan oleh BTN. Kursus-kursus BTN ini kadangkala turut dihadiri oleh para ahli akademik dan pegawai tinggi kerajaan, lalu disumbatkan dengan mitos politik seperti ini. Kalau mereka seperti inipun cuba diperdaya, betapa pula masyarakat yang tidak berpendidikan tinggi. Disebabkan propaganda seperti ini, terdengarlah suara kebimbangan sekiranya BN kalah, rakyat akan terpaksa memakan ubi kayu seperti di zaman penjajahan Jepun. Demikianlah berjaya propaganda oleh BN sehingga mitos politik ini telah berjaya mengekalkan pemerintahan BN lebih daripada 25 tahun sesudah Tragedi 13 Mei.

Kemenangan PR dalam PRU ke-12 yang lalu, begitu mirip dengan keputusan PRU ke-3 tahun 1969. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan teraju 4 buah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kekalahan di Pulau Pinang hampir sama seperti kekalahan Perikatan di tangan parti pembangkang Gerakan pada ketika itu. Manakala kekalahan di Selangor dan Perak lebih teruk daripada kekalahan yang diterima pada PRU ke-3 tahun 1969. Punca kekalahan itu pula disebabkan kaum bukan Melayu tidak lagi mengundi BN. Isu-isu perkauman seperti Hindraf, Keris Ketua Pemuda dan lain-lain menjadi perencah awal kepada kempen PRU ke-12 baru-baru ini.

Dengan kata lain, resepi untuk berlakunya mitos politik BN atau berulangnya Tragedi 13 Mei itu telah sedia wujud sebelum dan selepas PRU ke-12. Sekiranya PR gagal mengekalkan kestabilan politik yang ada maka terbukti benarlah mitos politik yang dipropagandakan oleh BN. Elemen-elemen untuk menjayakan mitos politik itu sememangnya telah diwujudkan sebaik sahaja PR hendak membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Demostrasi yang dianjurkan oleh UMNO di bangunan KOMTAR, tindakan membesar-besarkan isu pemulauan majlis angkat sumpah MB Perak dan menyalah laporkan berita ladang babi di Selangor hampir memercikkan sentimen perkauman. Bagaimanapun pimpinan PR benar-benar telah matang kali ini.

Walaupun berlaku juga sedikit pertelingkahan di kalangan pimpinan PR tentang beberapa perkara, tetapi ia masih dalam lingkungan mencari persefahaman antara satu sama lain. Kadang-kadang terdapat tindakan yang tidak terkawal dilakukan oleh ahli-ahli bawahan PR seperti mengepung bangunan pentadbiran negeri sebaik sahaja mencapai kemenangan, merampas hak milik pengurusan dewan orang ramai di desa dan tulisan-tulisan berbau perkauman di ruang maya, tetapi semuanya dapat dibendung oleh ketenangan pimpinan-pimpinan PR. Dari sehari ke sehari persefahaman di kalangan pimpinan semakin mantap sekaligus kerjasama untuk menerajui kelima-lima negeri semakin kukuh.

Selepas 50 hari pertama pemerintahan PR, inilah kejayaan yang paling besar diperolehi. Mitos politik BN tentang berulangnya Tragedi 13 Mei tidak menjadi kenyataan, sebaliknya akan tinggal sebagai bahan arkib pemikiran politik BN dan BTN. Ketenangan berhadapan dengan sentimen perkauman serta kematangan untuk bertolenrasi termasuk membuat kenyataan maaf secara terbuka merupakan satu ramuan yang baik untuk PR terus menjadi alternatif kepada BN. Selepas kejayaan 50 hari pertama ini, maka 50 hari berikutnya seharusnya dipergunakan untuk menyedian prinsip dan polisi bagi menunaikan manifesto yang telah dikemukakan dalam PRU ke-12 yang lalu. 'Selamat Maju Jaya' kepada PR.

No comments: