Sunday, 1 November 2009

Tangkapan Dr Asri: Satu Lagi Perangkap?

Apabila Najib mengisytiharkan bahawa BN akan merampas semula kerajaan negeri Selangor, maka perisytiharan itu bukanlah kosong. Najib pasti mengarahkan seluruh jentera, termasuklah golongan 'intelligence' untuk mencapai hasrat tersebut. Sama ada disedari atau tidak pelbagai isu mula dilalui oleh kerajaan PR Selangor sehingga perpaduan di kalangan parti-parti semakin retak. Malah bukan sekadar perpaduan antara parti, sebaliknya perpaduan dalam parti-parti komponen PR seperti PAS Selangor juga turut goyah. Dengan pengertian lain, cakap Najib bukan cakap kosong.

Salah satu laluan yang diguna oleh Najib dan UMNO ialah memanfaatkan para pengikut setia mereka yang menjawat jawatan penting dalam jabatan-jabatan kerajaan di negeri Selangor. Dalam isu rampasan bir yang dilakukan oleh pegawai-pegawai MBSA, rampasan itu dilakukan tanpa mendapat terlebih dahulu persetujuan ahli-ahli majlis. Sebaliknya pegawai yang bertindak dilaporkan mendapat arahan langsung daripada pimpinan UMNO negeri. Berikutan dengan itu, berlakulah pertelingkahan antara dua Exco, iaitu Dr Hassan Ali yang mewakili PAS dan Ronnie Liu yang mewakili DAP.

Dalam kes perobohan binaan yang didakwa kuil oleh MBSA, sekali lagi modus operandi yang sama digunakan. Pegawai itu bertindak tanpa mendapat persetujuan ahli-ahli majlis, sedangkan isu seumpama ini adalah merupakan isu sensetiviti perkauman. Dalam isu-isu seumpama ini, seharusnya persetujuan ahli-ahli majlis diambil perhatian oleh pegawai-pegawai MBSA. Tindakan yang dilakukan telah dimanipulasi semaksima mungkin oleh MIC dengan mendakwa kerajaan PR Selangor merobohkan kuil. Seorang Exco negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan rumah penyembahan bukan Islam telah menyelar MBSA.

Kini yang terbaru ialah isu penangkapan Dr Asri, bekas Mufti negeri Perlis oleh JAIS. Beliau telah ditangkap malam tadi ketika menyampaikan kuliah yang turut dihadiri oleh YB Saari Sungip dan YB Zuraidah Kamaruddin. Penguatkuasa agama telah melakukan penyerbuan dan tangkapan secara tidak beradab seperti Dr Asri seorang pesalah jenayah dan benar-benar seperti pemimpin ajaran sesat. Siapakah sebenarnya yang mengarahkan penguatkuasa JAIS membuat tindakan yang tidak rasional seperti itu. Dikhabarkan bahawa tindakan mereka ini adalah atas desakan UMNO Ulu Kelang, kalaupun ia bukanlah arahan.

Mengulas perkara ini Harakahdaily telah mendapatkan maklumbalas YB Saari dan YB Zuraidah, yang kedua-duanya kelihatan tidak senang dengan tindakan JAIS tersebut. Namun begitu apabila ditanya pandangan Dr Hassan Ali, beliau telah menyokong tindakan JAIS dengan mengatakan bahawa setiap yang berceramah mestilah mempunyai tauliah. Kenyataan beliau kelihatan menyebut bahawa Dr Asri mengengkari undang-undang berkaitan dengan agama Islam di Selangor. Respon dari kedua-dua pihak tanpa diselidungkan lagi memaparkan bibit perpecahan yang ketara dalam kerajaan PR Selengor.

Tangkapan yang dibuat terhadap Dr Asri oleh JAIS akan menjadi isu besar yang akan dimanipulasikan oleh UMNO. Sewaktu hadir di Mahkamah Syariah, Dr Asri turut diiringi oleh beberapa tokoh-tokoh UMNO termasuklah Shamsuddin Moner dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JEK), selain daripada tokoh-tokoh SIS seperti Marina Mahathir. Dr Asri dikatakan akan bertemu dengan Jamil Khir selepas ini, dan diyakini para pimpinan UMNO akan bertindak mengecam JAIS disebabkan serbuan dan tangkapan tersebut. Sekali lagi kerajaan PR Selangor dijangkakan akan menghadapi kemelut berhubung isu tersebut.

Sehingga rencana ini ditulis, belum ada apa-apa pertuduhan dibuat terhadap Dr Asri. Sekiranya tiada pertuduhan dibuat seolah-olah tindakan mereka yang menyerbu dan menangkap seumpama 'baling batu sembunyi tangan'. Sekiranya dibuat pertuduhan JAIS dan kerajaan PR Selangor akan mendapat kecaman termasuk pimpinan UMNO yang akan menggunakan media mereka semaksima mungkin. Situasi ini benar-benar menjadikan kerajaan PR Selangor tersepit, lebih-lebih lagi Dr Hassan Ali sejak akhir-akhir ini sering ditanggap sebagai bermasalah. Dengan demikian, isu penangkapan Dr Asri ini merupakan saty lagi perangap UMNO.

Peranan yang dimainkan oleh pegawai kerajaan di negeri Selangor benar-benar berkesan. Golongan inilah yang menyalurkan maklumat tentang isu korban lembu di Bandar Tun Razak, membuat tindakan sendiri terhadap isu-isu yang berkaitan sensetiviti perkauman, mendesak dilakukan penilaian terhadap SELCAT dan yang terakhir bertindak untuk menangkap bekas Mufti Perlis. Setiap kali mereka bertindak akan bertambah lagi keretakan dalam PR Selangor, sehinggalah akhirnya hasrat Najib untuk merampas kembali Selangor akan tercapai. Bukankah kesemua ini satu parancangan yang teliti.

Wednesday, 28 October 2009

Tok Guru Nik Aziz Selamatkan Prof Aziz

Dalam dunia akademik, seseorang ahli akademik akan dinilai kewibaannya berdasarkan kepakarannya yang mendalam, pandangannya yang tajam dan analisisnya yang tamam. Kesemuanya aspek ini selalunya akan diterjemahkan dalam bentuk bicara dan pena. Bagaimanapun, biasanya bicara seseorang ahli akademik itu kurang pemberatnya berbanding penanya. Hasil penanya kadang-kadang dipersembahkan dalam bentuk buku akademik, artikel ilmiah, kertas kerja dan rencana popular. Lazimnya, buku akademik yang diterbitkan oleh penerbit berautoriti dan artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal yang berwasit mempunyai nilai yang tinggi dalam dunia akademik.

Demikianlah kaedahnya untuk menilai kewibawaan seseorang ahli atau tokoh akademik, termasuklah Prof Aziz Bari. Beliau telah menempa nama yang hebat dalam dunia akademik di Malaysia. Prof Aziz telah menulis begitu banyak buku-buku akademik yang telah diterbitkan oleh penerbit yang berautoriti di dalam bidang Undang-undang Perlembagaan Malaysia. Demikian juga artikel-artikel ilmiah beliau telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal berwasit. Penerbitan beliau ini telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Professor, iaitu tahap tertinggi kepakaran dalam dunia akademik. Kewibawaan Prof Aziz dalam dunia akademik khususnya Perlembagaan Malaysia sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun kehebatan seseorang dalam dunia akademik tidak semestinya melayakkan dia turut menjadi hebat dalam dunia politik. Seorang tokoh akademik British pada kurun ke 16 - 17, Francis Bacon, boleh menjadi contoh dalam isu ini. Bacon sememangnya dikenali kehebatannya termasuk dalam bidang perundangan dan falsafah. Beliau telah menceburi dunia perundangan dan kemudiannya mengaplikasikan kaedah-kaedah perundangan itu dalam metodologi sains. Sungguhpun kehebatannya dalam dunia akademik, tetapi beliau tidak menyerlah dalam politik, malah boleh dikatakan beliau gagal dalam kerjaya politiknya.

Demikianlah juga, Bertrand Russell, seorang lagi tokoh akademik Britain pada kurun ke 19 - 20, turut melalui pengalaman yang sama dalam politik. Russell adalah tokoh sains sosial dan falsafah yang terkenal pada zamannya. Buku-buku dan artikel-artikel ilmiahnya sehingga hari ini masih mendapat tempat yang penting dalam dunia akademik. Beliau juga telah dianugerahkan Nobel Prize dalam bidang kesusasteraan sebagai anugerah berprestij dalam bidang tersebut. Beliau turut menguasai falafah politik. Bagaimanapun kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membawanya turut cemerlang dalam kegiatan dunia politik.

Badi yang sama mungkin terkena kepada Prof Aziz, sebagaimana yang pernah dihinggapi oleh tokoh-tokoh akademik Malaysia yang lain seperti Dr Syed Hussin al-Attas dan Chandra Muzaffar. Sesiapa yang membaca artikel beliau dalam Harian Sinar khususnya artikelnya yang mengulas tentang kekalahan PAS di Bagan Pinang boleh menilai kedangkalan analisisnya dalam dunia politik. Kalaulah Harian Sinar tidak menulis nama Prof Aziz sebagai penulisnya, sebagaimana kaedah 'blind review' yang selalu digunakan oleh jurnal-jurnal berwasit, pasti para pembaca akan menganggap artikelnya sebagai sampah.

Dengan menjadikan kekalahan di Bagan Pinang sebagai alasan memaksa PAS melakukan reformasi kepimpinan, jelas sekali menunjukkan kedangkalan analisis politik Prof Aziz. Dalam kaedah logik induktif yang turut juga digunakan dalam Falsafah Perundangan, satu premis (bukti) tidak cukup untuk dibuat satu generalisasi (kesimpulan umum) sebagaimana yang beliau lakukan. Betapa pula sebelum itu PAS telah memenangi kesemua siri pilihanraya kecil (PRK) yang berhadapan dengan UMNO, yang secara langsung melemahkan premis kekalahan di Bagan Pinang. Sepatutnya dalam mempertimbangkan gesaannya, Prof Aziz perlu melihat kerelevanan siri PRK tersebut.

Tidak diketahui apakah kaedah yang digunakan oleh Prof Aziz dalam membuat gesaan itu, adakah kaedah kuantitatif atau kualitatif. Diyakini beliau tidak menggunakan kuantitatif, kerana tiada satu argumen statistikpun dikemukakan untuk mengesahkan kepimpinan sekarang telah ditolak. Keputusan pengundian bukanlah satu kaedah kuantitaif yang tepat menggambarkan kehendak tersebut. Kalau beliau menggunakan kaedah kualitatif, sepatutnya ia dilakukan dengan membuat cerapan lapangan(observation) sebagaimana yang sering dilakukan oleh ahli akademik yang menggunakan kaedah ini. Besar kemungkinan beliau tidak turun ke Bagan Pinang untuk tujuan itu.

Tanpa mempunyai kaedah jitu berkaitan dengan penghujahan akademik, tiba-tiba sahaja beliau menulis mengulas senario politik yang berlaku. Dengan sebab itu, dari segi akademik artikel Prof Aziz itu tiada nilai ilmiahnya, sebaliknya dipersembahkan dengan menggunakan bahasa politik bukannya bahasa retorik. Sayang sekali artikel itu ditulis oleh seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia akademik, sedangkan nilai artikel itu seperti sampah dari sudut ilmiahnya. Demi sangkaan baik, bolehlah disebut bahawa artikel itu ditulis oleh Prof Aziz sebagai artikel popular di luar bidang kepakarannya.

Sekiranya tidak, nama baik Prof Aziz pasti tercalar dengan terbitnya artikel itu. Bagaimanapun nasib Prof Aziz agak baik, kerana artikel itu telah diberi perhatian penting oleh Tok Guru Nik Aziz, seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia politik. Tok Guru Nik Aziz telah bertindak menghargai artikel tersebut dengan mengusulkan PAS mengadakan EGM. Kalau tidak, pasti artikel Prof Aziz ini menjadi nila kepada susu sebelanga. Setelah begitu banyak buku-buku dan artikel-artikelnya yang hebat, kesemuanya telah tercemar dengan terbitnya artikel seperti sampah yang disiarkan oleh Harian Sinar. Seharusnya Prof Aziz berterima kasih pada Tok Guru.

Saturday, 12 September 2009

UMNO Menghantar Pengkaji ke Jepun

Tanpa diduga Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah memerintah Jepun secara berterusan selama 54 tahun, telah kecundang dalam Pilihanraya Kebangsaan Jepun akhir bulan lalu. Parti LDP begitu banyak berjasa untuk membawa negara matahari terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Bagaimanapun dalam pilihanraya baru-baru ini parti itu kecundang kepada sebuah parti pembangkang baru, iaitu Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti yang cenderung kepada haluan sederhana-kiri.

Kekalahan mengejut LDP ini telah mencatatkan sejarah baru dalam politik Jepun apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang langsung tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah. Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada krisis dalaman LDP yang memuncak ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum ini Junichiro Koizumi pada tahun 2006. Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri Jepun Taro Aso, yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan perletakan jawatan bagi memikul tanggungjawab kekalahan teruk LDP.

Berikutan dengan kekalahan LDP itu, UMNO sebagai tunjang BN yang memerintah Malaysia telah menghantar sebuah kumpulan untuk mengkaji faktor-faktor kekalahan LDP tersebut. UMNO benar-benar bimbang nasib LDP ini akan menimpa mereka berkebetulan umur pemerintahan UMNO akan genap 54 tahun menjelang ulangtahun kemerdekaan negara pada tahun 2011 kelak, iaitu beberapa bulan sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Malah bukan sekadar umur, faktor-faktor kekalahan LDP yang lain juga telah ada pada UMNO.

Ramai pemerhati politik melihat dasar liberalisasi LDP sejak tahun 1990 an menyumbang kepada kekalahan besar parti itu. Dasar liberalisasi tersebut telah memberi tumpuan kepada golongan peniaga dan korporat dan mengabaikan rakyat teramai. Kesannya dasar tersebut telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Jepun. Dasar yang sama telah dilaksanakan oleh Malaysia sejak era pemerintahan Dr Mahathir pada dekad 1980 an. Bagaimanapun pelaksanaannya pada ketika itu secara terpilih.

Pada dekad 1990 an, Dr Mahathir melonggarkan sedikit lagi dasar kawalannya terutama dalam sektor tertentu seperti pendidikan dan teknologi komunikasi sehinggalah berlakunya krisis kewangan tahun 1997. Semasa era pemerintahan Pak Lah, dasar liberalisasi ini diperluaskan kembali oleh penasihat-penasihat Pak Lah di tingkat empat. Salah satu bukti yang jelas ialah perkongsian kepentingan asing di Wilayah Iskandar di samping beberapa dasar yang lebih liberal seperti dasar yang berkaitan dengan teknologi automatif.

Semasa era Najib hari ini, beliau dilihat lebih agresif memperkenalkan dasar liberalisasi ini. Baru-baru ini, beliau telah bertindak melonggarkan kawalan pemilikan saham asing. Beliau juga telah memberikan komitmen untuk meneruskan dasar perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat yang masing tergantung sehingga hari ini. Malah dalam ucapan beliau melancarkan program 1 Malaysia, dasar liberalisasi kelihatan turut diberikan penekanan penting. Kesan dasar ini akan melebarkan lagi jurang golongan kaya dan miskin yang telah sedia lebar sebelum ini.

Sepertimana LDP, UMNO masih mengharapkan kesetiaan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus menyokong mereka. Kesetiaan orang Jepun kepada pemerintah sememangnya dikenali dunia, sehingga dianggap sebagai ciri-ciri tamadun mereka yang penting. Sehingga kini institusi raja di Jepun masih dikekalkan disebabkan semangat kesetiaan itu, walaupun peranan Maharaja Jepun itu tidaklah sepenting dahulu. Kesetiaan mereka itulah turut menjadi faktor LDP kekal begitu lama sejak 54 tahun lalu.

Selain daripada itu, kepimpinan LDP yang kerap bertukar khususnya semasa dekad 1990 an turut menyumbang rakyat terus meletakkan harapan kepada mereka. Setiap kali berlakunya pertukaran kepimpinan, maka rakyat akan meletakkan harapan baru kepada parti itu. Perdana Menteri Jepun sebelum ini, Junichiro Koizumi, adalah antara yang paling lama memegang jawatan iaitu dari tahun 2001 hingga 2006. Sepertimana LDP, UMNO juga sedang menggunakan pendekatan yang sama untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Penolakan rakyat terhadap LDP, turut diwarnai oleh kemunculan parti yang berhaluan sederhana-kiri seperti DPJ. Parti seperti ini lebih dilihat pro rakyat, bukannya pro korporat. Penolakan kepada parti-parti yang pro korporat seperti telah menjadi trend mutakhir ini bermula di Amerika Latin, dan yang terkahir di Jepun. Menarik sekali, lawan UMNO iaitu PAS, PKR, DAP, PRM dan PSM turut mempunyai ciri-ciri sederhana-kiri tersebut. Malah parti-parti itu telah mendapat tempat di kalangan golongan kelas menengah.

Fenomena-fenomena ini telah menyebabkan UMNO benar-benar bimbang. Diberitakan mereka telah menghantar para pengkaji untuk mengkaji kekalahan LDP di Jepun.

Monday, 31 August 2009

Merdeka Kian Dilupakan

Hari ulangtahun ke 52 kemerdekaan Malaysia telah semakin dilupakan. Suasana Bulan Kemerdekaan yang disambut setiap tahun begitu hambar seperti tiada memberi erti lagi kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun kehambaran itu dikaitkan dengan kedatangan Ramadan yang dijadikan alasan oleh Kerajaan Malaysia sebagai faktor untuk tidak menyambut ulangtahun kemerdekaan secara besar-besaran dan meriah. Benarkah kehadiran bulan Ramadan itu menyebabkan Bulan Kemerdekaan itu disambut hambar?

Hakikatnya, tiada sebab untuk meletakkan kesalahan kepada bulan Ramadan. Sambutan Bulan Kemerdekaan boleh menjadi ibadat, sekiranya disambut dengan cara dan gaya yang menepati Islam. Sekiranya dengan menyambut Bulan Kemerdekaan boleh dikategorikan ibadat, maka setiap pahala yang dilakukan di bulan ini akan dilipat gandakan oleh Allah swt. Dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan, maka jelas sekali sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini tidak boleh dikategorikan sebagai ibadat.

Sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini seringkali diwarnai dengan program-program maksiat sehingga kegiatan itu jika dilakukan oleh kita pada bulan Ramadan dibimbangi akan mencemarkan kesucian bulan tersebut. Lebih daripada itu, sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini turut diwarnai dengan pembohongan, iaitu dalam menampilkan fakta-fakta sejarah berkaitan kemerdekaan. Kesemua itu tidak sayugia dilakukan dalam Ramadan kerana bulan itu adalah suci.

Demikianlah cara golongan sekular berfikir dalam melihat bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Larangan-larangan Allah swt itu hanya dijaga pada bulan Ramadan, di dalam masjid atau ketika berada di Tanah Suci. Di ketika dan tempat yang lain, larangan itu tidak dikuatkuasakan. Dalam sambutan ulangtahun kemerdekaan sebelum-sebelum ini, larangan-larangan Allah swt itu tidak dikuatkuasakan sehingga menyebabkan bila ulangtahun kemerdekaan disambut pada bulan Ramadan, kegiatan-kegiatannya dibimbangi mencemarkan bulan itu.

Thursday, 27 August 2009

Isu Kartika: Dakwah Didahulukan, Shari`ah Didaulatkan

(Artikel dipertik dari blog http://mzuhdi.blogspot.com)
Sememangnya isu hukuman sebatan ke atas model Kartika Sari sekali lagi mengundang polemik di kalangan masyarakat Malaysia khususnya antara golongan pendakwah Islam dan golongan liberal. Keruncingan polemik ini bertambah dengan tindakan YB Dr Hassan Ali untuk memberi kuasa kepada pegawai-pegawai masjid di Negeri Selangor bagi menguatkuasakan enakmen-enakmen yang berkaitan dengan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Seperti biasa, NGOs yang cenderung kepada idealisme liberal seperti Sister in Islam (SIS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) akan bersuara.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan ini kadang-kadang bertindak disebabkan kejahilan mereka terhadap hukum-hukum Islam, malah berkemungkinan juga mempunyai agenda lain yang tersirat. Bagaimanapun, terdapat juga pandangan-pandangan mereka yang perlu dihargai oleh kita sebagai golongan pendakwah yang berjiwa besar. Karya peninggalan Sheikh Hasan al-Hudaibi, ‘Du`at La Quda’’ sewajarnya diterokai semula sebagai memberi panduan kepada PAS khususnya dalam berhadapan dengan isu-isu seumpama ini, betapa pula PAS telah diberi peranan penting di beberapa buah negeri.

Sebagai reaksi kepada hukuman sebat yang dikenakan kepada Kartika Sari, SIS telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

“"SIS percaya bahwa Islam adalah agama yang penuh kasih sayang yang memanggil manusia ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana seperti disampaikan dalam Surah al-Nahl ayat 16. Kartika telah menyatakan penyesalan seharusnya pihak berkuasa Malaysia berusaha menunjukkan bahwa Tuhan itu maha pengasih dan penyayang khususnya memasuki bulan puasa Ramadan."

Secara umum reaksi seperti ini sememangnya mengguris hati para pendukung dakwah apalagi melihat reaksi-reaksi sebelum daripada ini. Namun demikian, bila kita merenung semula tinta Sheikh Hasan al-Hudaibi dan kedudukan PAS sebagai ‘Government in Waiting’, maka kita juga boleh mengambil reaksi SIS ini sebagai panduan penting bila kita diberi amanah memerintah.

Di dalam ‘Du’at La Quda’’, Sheikh Hasan al-Hudaibi telah menyarankan supaya pendakwah Islam menggunakan kaedah-kaedah Shari`ah yang tepat dan pertimbangan Islam yang mendalam dalam menghadapi manusia (sasaran dakwah). Beliau menegaskan bahawa peranan utama kita ialah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah swt dan berpegang dengan manhaj Islam, justeru kita perlu menghadapi golongan yang pelbagai pemikiran ini dengan penjelasan yang sahih dan menghindarkan kekeliruan. Ringkasnya, pendakwah Islam sepatutnya mendahulukan dakwah sebelum menghukum.

Dalam kes Kartika Sari ini, sememangnya hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh ditarik balik sebagaimana yang dituntut oleh SIS. Lebih daripada itu, Kartika Sari sendiri telah merelakan dirinya dihukum dengan tujuan ia menjadi pengajaran pula kepada orang lain. Tindakan Kartika Sari ini seharusnya dihargai sebagai satu usaha dakwah beliau. Para Fuqaha’ telah menulis tajuk yang khusus tentang topic ‘Adakah Bertaubat Menggugurkan Hukuman Hudud’. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Fiqh al-Islami:

Telah sepakat ulama bahawa apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Pemerintah atau Hakim, kemudian bertaubat pelakunya, maka hukum hudud tidak gugur malah wajib ditegakkan hukuman itu.

Malah Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’:

اذا بلغت الحدود السلطان فلعن الله الشافع والمشفع

Maksudnya: Apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Sultan, maka Allah swt melaknat sesiapa yang hendak melepaskan pesalah dan yang meminta supaya dilepaskan.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pesalah telah bertaubat sebelum perkara itu diangkat kepada mahkamah, maka hukuman hudud itu boleh gugur kecuali jika ia berkaitan dengan hak manusia (hukum Qisas). Sebagai contoh dalam kes Hirabah (rompakan), para ulama bersepakat sekiranya perompak itu mendatangi hakim dengan sukarela dan pilihan sendiri untuk bertaubat dari kesalahannya maka gugurlah darinya hukuman dengan bersandarkan ayat ke 34 Surah al-Maidah:

إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Kecuali mereka yang bertaubat sebelum ditentukan (hukuman) ke atas mereka, ketahuilah sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Meskipun ayat ini menyentuh tentang kesalahan Hirabah, ia juga menjadi hujah kepada kesalahan-kesalahan hudud yang lain.

Menyedari hakikat tersebut, tidaklah menjadi kesalahan malah dituntut, sekiranya seseorang Muhtasib (penguatkuasa) berdakwah terlebih dahulu kepada pesalah (khususnya yang melakukan kesalahan pertama) dengan memintanya bertaubat tidak mengulangi perbuatan tersebut. Tidak juga menjadi kesalahan kepada Muhtasib untuk tidak mengangkat kesalahan tersebut kepada mahkamah setelah pesalah yang melakukan kesalahan hudud itu bertaubat, kerana apabila kesalahan itu diangkat kepada mahkamah maka hukuman hudud tidak boleh lagi ditarik balik.

Dalam isu seumpama ini Rasulullah saw telah memberikan satu teladan yang sangat baik iaitu dalam kes ikrar seseorang penzina. Dalam sebuah hadis yang riwayat dari Abu Hurairah ra oleh al-Bukhari dalam membicarakan persoalan Hudud:

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Dan mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya seperti diriwayatkan oleh Muslim dalam persoalan Hudud:

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu." Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Dari satu perspektif, kesemua kes pengakuan pengakuan ini telah cuba tidak diangkat oleh Rasulullah saw untuk dihukum, sebaliknya baginda menyuruh mereka bertaubat. Sehinggalah pesalah itu sendiri meminta supaya dirinya dihukum setelah membuat beberapa kali pengakuan, maka hukuman itu dijatuhkan. Di dalam Subul al-Salam, al-San`ani menyatakan terdapat riwayat yang menyatakan: “Ditinggalkan dia, moga-moga dia bertaubat dan Allah swt mengampunkan dosanya”. Menurut al-San`ani lagi, riwayat ini menjadi sandaran, sekiranya pesalah menarik balik pengakuannya (kerana mahu bertaubat) maka penarikannya diterima.

Berdasarkan kepada argumen-argumen di atas, para Muhtasib atau penguatkuasa sewajarnya mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan meminta pesalah bertaubat. Sewajarnya mereka perlu melakukan dakwah terlebih dahulu sebelum mengangkat perkara itu kepada mahkamah. Semoga dengan dakwah tersebut, pesalah akan bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dan diampunkan dosanya oleh Allah swt. Pada pandangan saya, reaksi SIS dari perspektif positifnya boleh dilihat dari sudut itu, meskipun dari perspektif negatifnya mungkin lebih besar.

Demikianlah juga, kenyataan Dr Hasan Ali tentang perlantikan pegawai masjid sebagai penguatkuasa, sepatutnya menekankan aspek dakwah daripada aspek menghukum. Pada pandangan saya, lebih baik jika diumumkan bahawa pegawai masjid diberi tauliah untuk berdakwah kepada pesalah jenayah Shari`ah termasuk peminum arak dan mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan sekiranya tindakan itu perlu. Sebenarnya tiadalah perbezaan yang ketara dari segi ‘subtance’ nya tetapi ada perbezaan dari segi penampilannya. Hikmah seperti inilah yang cuba diketengahkan oleh Sheikh Hasan al-Hudaibi. Wallahu`alam.

Tuesday, 30 June 2009

Rancangan Jahat UMNO ‘Makan Tuan’

Di dalam Sains Politik, konsep Kerajaan Perpaduan adalah merujuk kepada National Unity Government atau kadangkala disebut juga Unity Government. Konsep ini bermaksud kesemua parti politik dalam sesebuah negara bergabung membentuk sebuah kerajaan bersama bagi menghadapi situasi yang mendesak seumpama serangan musuh, bencana alam dan lain-lain. Dengan pengertian lain konsep Kerajaan Perpaduan itu berbeza daripada Kerajaan Campuran (Coalation Government).

Dalam sejarah politik moden, pembentukan sesebuah Kerajaan Perpaduan jarang-jarang sekali berlaku, berbeza dengan pembentukan Kerajaan Campuran. Dunia politik hari ini kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran terutama di negara-negara yang mengamalkan perwakilan berasaskan peratusan undi. Negara Indonesia merupakan antara contoh negara yang kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran mutakhir ini.

Gagasan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah merujuk kepada keterlibatan semua parti politik di Malaysia demi menghadapi situasi ekonomi global yang merudum. Dalam sebuah ucapannya di Parlimen, beliau menggagaskan perkara tersebut. Ketika gagasan ini dicetuskan UMNO sedang merancang peralihan kuasa daripada Abdullah Badawi kepada Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini seharusnya tidak berlaku ketika negara mula menghadapi kegawatan tersebut.

Kemelut politik dalam UMNO sepatutnya tidak mengheret negara dan rakyat untuk menerima apa-apa sahaja kehendak perwakilan UMNO termasuklah menukar taraju kepimpinan ketika negara dalam situasi tidak menentu. Betapa pula, bakal pengganti Abdullah Badawi adalah seorang yang kelihatan tidak bersih daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dengan kesedaran itu, Tuan Guru Presiden menyarankkan supaya kepentingan negara dan rakyat diutamakan melalui gagasan Kerajaan Perpaduan.

Dengan gagasan tersebut peralihan teraju kepimpinan negara tidak seharusnya berlaku, sebaliknya semua parti politik sama ada dalam PR dan BN bersama-sama membentuk kerajaan demi menghadapi kemelesetan. Sekiranya UMNO tetap meneruskan hasrat mereka menukar Presiden, keputusan ini tidak akan menjejaskan kerajaan, kerana kerajaan didukung oleh semua parti-parti politik. Sekiranya kesemua ahli-ahli Perlimen UMNO tetap mahukan Najib Tun Razak,, Abdullah Badawi masih mendapat sokongan majority dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Sikap UMNO yang ingin memaksakan hasrat mereka ke atas seluruh rakyat Malaysia ketika negara sedang menghadapi kegawatan jelas merupakan satu tindakan tidak patriotik. Kemelut dalaman UMNO tidak seharusnya dipikul oleh negara dan seluruh rakyat. UMNO seperti sebuah parti diktator untuk menentukan perjalanan politik negara secara unilateral. Maka, gagasan Tuan Guru Presiden memberikan satu alternative supaya masalah negara diselesaikan secara perundingan.

Bagaimanapun, ketika gagasan itu dicadangkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, tiada seorangun pimpinan UMNO yang berminat, jauh sekali untuk mengatakan Presiden PAS seorang yang ikhlas. Tidak ada sokongan padu daripada pihak-pihak lain termasuklah Mufti Perak. Malah ketika itu, UMNO terus mempertahankan pencabulan hak rakyat dan hak parti-parti politik lain melalui rampasan kuasa di Perak.

Secara tiba-tiba isu Kerajaan Perpaduan ini dibangkitkan semula oleh media menjelang Muktamar PAS dan berterusan sehingga selepas muktamar. Bukan sekadar itu, konsep Kerajaan Perpaduan itu disempitkan ruang-lingkupnya kepada pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dan BN. Gagasan Tuan Guru Presiden PAS tiada kait-mengait dengan kerjasama dua hala seperti yang difahami oleh UMNO. Namun demikian perkara inilah yang digembar-gemburkan.

Tindakan UMNO dan media-media yang pro kepadanya tidak sukar dibaca. Berdasarkan latar belakang bermulanya isu gagasan Kerajaan Perpaduan, jelas sekali sambutan pimpinan UMNO terhadap gagasan tersebut adalah untuk memecahkan PR dan menghakis kepercayaan terhadap pimpinan PAS yang baru dipilih. Tidak dapat dinafikan, fitnah jahat UMNO itu sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan baik dalam PR.

Bagaimanapun UMNO lupa bahawa para pimpinan PAS seperti Tuann Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden adalah golongan ulama. Mereka bertindak tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Oleh sebab itu, mereka pada bila-bila masa boleh menarik balik pendirian mereka demi kepentingan perjuangan Islam dan menegakkan keadilan. Maka,, apabila Tuan Guru Mursyidul Am menarik balik kenyataannya dan Tuan Guru Presiden bertindak menghentikan cadangan beliau, fitnah jahat UMNO itu mulai tidak berkesan.

Seperti ‘biduk lalu kiambang bertaut’ persaudaraan Islam dalam PAS kembali bertaut dan hubungan dalam PR kembali pulih. Kini UMNO terus memainkan isu tersebut dengan sekali lagi cuba menyuburkan politik perkauman. Percakapan mereka tentang perkauman tersebut sekali lagi mencurigakan rakan-rakan mereka dalam BN. MCA mula mempersoalkan, bagaimana kalau mereka pula mengemukakan gagasan kesatuan Cina. Kini fitnah jahat UMNO itu telah ‘makan tuan’.

Friday, 19 June 2009

Strategi Pecah dan Perintah UMNO

Dalam politik strategi ‘Devide and Rule’ atau ‘Pecah dan Perintah’ bukanlah sesuatu yang hanya baru digunakan di zaman moden ini. Sekiranya ditelusuri sejarah, strategi ini bukan hanya bermula setelah Machiavelli membincangkannya dalam The Art of War, tetapi berkemungkinan telah diaplikasikan sejak manusia mula bersengketa secara berkumpulan. Pemerintah Rom, Ceaser, dikatakan telah menggunakan strategi ini untuk menghadapi dan menguasai kaum Yahudi.

Semasa zaman Rasulullah saw, strategi ini juga digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan keutuhan umat Islam. Satu peristiwa yang dinukilkan sendiri oleh al-Quran berkaitan perkara ini ialah tindakan kaum Yahudi melaga-lagakan kaum `Aus dan Khazraj. Hasutan kaum Yahudi ini talah hampir-hampir mencetuskan peperangan di kalangan kedua-dua kabilah itu sehinggalah Rasulullah saw dengan pantas telah berjaya memadamkan api kemarahan tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat al-Quran surah Ali Imran, ayat 100 hingga 103 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus). Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

Sememangnya dimaklumi bahawa kaum Ansar dari kalangan kabilah `Aus dan Khazraj adalah tunjang kekukuhan negara Madinah pada ketika itu. Merekalah yang telah memberi kesanggupan yang tidak berbelah bahagi membela Rasulullah saw dan menolong saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Menyedari perkara tersebut kaum Yahudi dan golongan munafik melihat bahawa tidak ada strategi lain untuk melemahkan negara yang diperintah oleh Rasulullah saw selain daripada melemahkan kaum Ansar.

Lalu merekapun mengaplikasikan strategi pecah dan perintah dengan mengapi-apikan semangat perkauman antara `Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah hampir-hampir mencetuskan peperangan baru, yang kesannya akan melemahkan kekuatan negara Islam Madinah pada ketika itu. Rasulullah saw sebagai seorang Rasul menerima wahyu dan sebagai seorang pemimpin yang bijaksana cepat-cepat mencium strategi pecah dan perintah pihak musuh ini, lalu persengketaan itu dapat diselesaikan.

Ketika kuasa-kuasa imperialis Eropah menjajah dunia Islam, strategi yang sama digunakan. Mereka mengkaji dan mengenal pasti isu-isu sensetif yang dengan begitu mudah dicucuh untuk membakar api perpecahan di kalangan umat Islam. Antara isu-isu yang digunakan termasuklah semangat kebangsaan (nasionalisme) dan perbezaan mazhab. Dengan memenipulasikan isu-isu ini, umat Islam mula bersengketa dan akibat persengketaan itu, dengan mudah kuasa-kuasa ini menjajah dunia Islam.

Demi menyedari hakikat tersebut, Imam Hassan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimin atau Persaudaraan Islam. Jelas sekali, antara tujuan terpenting beliau ialah menyatukan para pencintan Islam di bawah satu tujuan dan mengelakkan persengketaan yang tidak perlu sesama mereka. Visi dan misi Hassan al-Banna berkaitan persoalan ini termuat dalam Usul al-`Ishrin (Usul Duapuluh). Bagaimanapun, hari ini Ikhwan al-Muslimin turut tidak terkecuali daripada serangan yang berstrategikan pecah dan perintah oleh musuh-musuh mereka.

Demikianlah juga dengan PAS, tidak sunyi daripada menghadapi strategi ini. Hari ini, ramai pihak mengakui bahawa PAS adalah antara parti politik yang paling konsisten dan pengaruhnya semakin hari semakin bertambah. Dalam konteks senario politik terkini, PAS dianggap sebagai ‘King Maker’ yang mencorakkan politik Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sendi kekuatan PAS ialah kesatuan fikrah dan kesatuan bertindak di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Semenjak era Kepimpinan Ulama, hampir tiada satu perselisihan pandangan yang mampu menggugat keutuhan PAS. Meskipun berlaku beberapa peristiwa perselisihan pandangan seperti kewujudan kumpulan Islah yang menentang kerjasama dengan Parti Melayu Semanngat 46, keretakan itu tidak berpanjangan. Sebaliknya, perselisihan tersebut telah menapis golongan yang sebelum ini menjadi bebanan kepada PAS disebabkan tindakan mereka yang dikaitkan dengan takfir.

Setelah hampir 40 tahun era Kepimpinan Ulama, sekali lagi PAS menghadapi perselisihan pandangan khususnya di kalangan pimpinan. Lazimnya perselisihan seumpama ini akan dapat diselesaikan melalui semangat syura sama ada di peringkat Majlis Syura Ulama atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Bagaimanapun ada sedikit kelainan pada kali ini, iaitu UMNO telah cuba menyuntik strategi pecah dan perintahnnya. Peranan ini dibantu oleh media-media massa yang pro-UMNO dan BN.

Cetusan idea Kerajaan Perpaduan oleh Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang tidak pernah langsung mengaitkan hanya hubungan PAS dan UMNO. Tuan Guru Presiden PAS telah menjelaskan bahawa gagasan itu akan melibatkan semua parti. Bagaimanapun, pimpinan-pimpinan UMNO dan media-media mereka mengelirukan rakyat termasuk ahli-ahli PAS sendiri dengan menyogokkan gagasan itu adalah antara PAS dan UMNO. Sehingga artikel ini ditulis, mereka terus menerus menyempitkan pengertian itu.

Strategi UMNO ini sememangnya sedikit sebanyak telah mewujudkan perselisihan yang agak runcing dalam PAS. Namun begitu sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa mengembalikan segala urusannya kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan dipimpin oleh para ulama. Saya percaya, strategi UMNO kali ini akan gagal, sebaliknya PAS akan bangkit semula dengan lebih kuat untuk menumbangkan mereka khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.