Saturday, 3 May 2008

Bila Pula Kongres Pemuafakatan Rakyat?

Seperti yang dijangkakan, Kongres Pemuafakatan Melayu yang dianjurkan di Johor Bahru adalah satu usaha untuk memberi nafas baru kepada UMNO. Malah tanpa berselindung lagi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, Ketua I Gapena Dr Ismail Hussien "mengajak orang Melayu mengambil pengajaran di atas kemenangan dan kekalahan sebuah parti Melayu yang telah lama berjasa kepada orang Melayu kerana kini terdapat parti Melayu yang tidak mempunyai pengalaman memerintah masyarakat berbilang kaum yang kompleks". Jelas sekali beliau cuba berselindung dengan lengggok bahasa sastera sebagai merujuk kepada parti UMNO dan PAS.

Kebanyakan tokoh-tokoh Melayu yang terlibat sebagai penganjur seperti Dr Zainal Kling, Zainal Abidin Borhan dan lain-lain adalah pendukung kuat UMNO. Ada kalangan mereka yang pernah menjadi anggota panel menyediakan ucapan dasar Presiden UMNO dan juga menasihati pimpinan UMNO dalam isu-isu yang berkaitan dengan sosio-ekonomi Melayu. Hakikat sebenarnya, mereka ini tokoh yang berdarah cap keris dan nafas mereka berbau UMNO, meminjam ungkapan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu. Oleh sebab itu, Kongres Pemuafakatan Melayu ini rendah sedikit darjatnya di sisi UMNO berbanding Perhimpunan Agung Khas (EGM) yang diwarwarkan oleh Tengku Razaliegh baru-baru ini.

Paling tidakpun, kongres ini adalah suara-suara NGO Melayu yang pro-UMNO sebagai reaksi kepada kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 12 baru-baru ini. Survival kaum Melayu pasca PRU 12 dilihat begitu membimbangkan mereka, sedangkan survival itu telah lama digugat sepanjang 50 tahun pemerintahan UMNO. Survival apakah lagi yang masih tinggal bagi kaum Melayu setelah kuasa Raja-raja Melayu dihakis, peranan bahasa Melayu diperkecil, Bank Bumiputera yang mewakili kepentingan ekonomi Melayu ditelan dan suratkhabar yang menyuarakan suara Melayu dibisukan. Kesemua ini berlaku dalam tempoh 50 tahun UMNO memerintah sehingga kedudukan orang Melayu umpama merempat di kampung sendiri.

Nasib kaum Melayu ini tidaklah lebih baik daripada kaum-kaum yang lain sepanjang pemerintahan UMNO dan BN. Seperti juga kaum-kaum yang lain, hanya sedikit dari kalangan kaum Melayu yang merasai 'nikmat' pemerintahan UMNO dan BN. Mereka adalah dari kalangan UMNOputera. Demikian juga sedikit dari kalangan kaum India dan Cina merasai 'nikmat' pemerintahan MIC, MCA dan BN, iaitu dari kalangan MICputera dan MCAputera. Yang tidak termasuk dalam kalangan UMNOputera, MICputera dan MCAputera hanya memerhatikan putera-putera ini membolot hasil kekayaan negara yang melimpah ruah, justeru mereka melakukan perubahan untuk tidak lagi mengundi UMNO, MIC dan MCA dalam PRU baru-baru ini.

Keputusan PRU ke-12 baru-baru ini sebenarnya mewakili suara golongan yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera. Golongan ini mahukan keadilan untuk rakyat tanpa mengira kaum. Mereka tidak mahu melihat ada orang Melayu yang masih duduk di pondok-pondok buruk. Demikian juga mereka tidak ingin melihat ada lagi kaum India yang menjadi pencuci kereta berbasikal mencari kereta yang hendak dicuci di bandar-bandar besar. Mereka juga tidak mahu melihat ada kaum Cina yang terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran di IPTA disebabkan tidak cukup wang. Kesemua ini adalah rintihan rakyat pelbagai kaum yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera.

Rintihan rakyat atau bahasa yang digunakan oleh sasterawan Azizi Abdullah sebagai 'luka rakyat' ini disuarakan melalui peti-peti undi. Nasib baik SPR dan pilihanraya di Malaysia masih tidak bersih, kalau tidak bukan sekadar tsunami politik tetapi dunia politik di Malaysia akan terbalik. Dalam gelombang suara rakyat yang dinafikan hak istimewa mereka telah merubah landskap politik Malaysia, timbullah pula suara yang hendak mengembalikan semula 'Hak Istimewa' UMNOputera. Selepas ini mungkin akan dianjurkan pula kongres-kongres untuk mengembalikan 'Hak Istimewa' MICputera dan MCAputera. Jurucakap-jurucakap mereka ialah tokoh-tokoh seumpama Dr Ismail Hussien, Dr Zainal Kling dan Zainal Abidin Borhan.

Suara-suara mereka ini sebenarnya telah lama basi. Situasi pasca PRU ini seharusnya digemakan oleh suara-suara golongan yang tidak mendapat 'Hak Istimewa' UMNOputera, MICputera dan MCAputera. Sebenarnya suara golongan inilah yang hendak didengar dan perlu didengar oleh kerajaan yang diterajui oleh BN lebih-lebih lagi kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat. Ketika inilah yang paling sesuai untuk rakyat yang telah dilukai sepanjang 50 tahun pemerintahan UMNO dan BN menyuarakan kehendak mereka bersama. Malah ketika inilah paling sesuai untuk mewujudkan pula satu KONTRAK SOSIAL baru yang memberi keadilan kepada semua kaum sepertimana tuntutan ajaran Islam sebenar.

Menyedari hakikat itu, suara mereka tidak seharusnya sekadar terhenti di peti-peti undi yang menatijahkan tsunami politik. Sebaliknya suara ini perlu dipanjangkan melalui forum-forum yang sihat seumpama Kongres Pemuafakatan Rakyat. Kongres ini dianjurkan NGO-NGO dan tokoh-tokoh yang memahami rintihan rakyat. Kemudian dinaungi oleh putera Raja yang sememangnya prihatin dengan luka rakyat. Resolusi kongres ini diserahkan kepada Sultan dan Raja yang berjiwa rakyat. Suara rasmi kongres ini akan disebarkan oleh mana-mana akhbar yang menjadi lidah rakyat. Akhir sekali, kongres ini perlu diperluaskan ke daerah-daerah supaya selepas ini rakyat boleh memilih sama ada mereka mahu Kongres Pemuafakatan Rakyat atau Kongres Pemuafakatan Melayu.

No comments: