Monday 19 May 2008

Dr Mahathir Masuk Perangkap

Perisytiharan Dr Mahathir keluar daripada UMNO berkemungkinan di dorong oleh cadangan Laporan Suruhanjaya DiRaja berkaitan dengan video V.K. Linggam yang mencadangkan supaya beliau disiasat. Bagaimanapun kemungkinan tersebut sangatlah kecil kerana bakal para penyiasat dan pendakwa yang pasukannya diketuai oleh Musa Hassan dan Abdul Ghani Patail tidak mungkin akan mensabitkan Dr Mahathir walaupun ia tidak mustahil. Bukan senang untuk mensabitkan Dr Mahathir dengan tuduhan seumpama salahguna kuasa kerana Dr Mahathir sendiri dipercayai mempunyai seribu satu bukti salah guna kuasa pimpinan-pimpinan UMNO yang lain serta salahguna kuasa pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Sekiranya Dr Mahathir terkesan oleh gertakan Pak Lah berikutan daripada Laporan Suruhanjaya DiRaja tersebut, tindakan keluar daripada parti bukanlah jalan keluar yang terbaik. Dr Mahathir akan lebih selesa membela diri sekiranya beliau berada dalam UMNO, berbanding jika beliau bertindak sebagai pembangkang di luar UMNO. Keluar daripada UMNO sebenarnya lebih mendedahkan Dr Mahathir dengan kemungkinan untuk diambil tindakan kerana lazimnya ahli-ahli UMNO lebih berani membela bekas pimpinan yang masih berada dalam parti berbanding dengan mereka yang berada di luar parti. Kecuali Anwar Ibrahim, kebanyakan bekas-bekas pimpinan UMNO yang berada di luar parti akan berakhir dengan dimuziumkan.

Menyedari hakikat tersebut, dipercayai Laporan Suruhanjaya DiRaja ini bukanlah faktor yang mendorong Dr Mahathir bertindak sedemikian. Ada satu lagi peristiwa penting yang berkemungkinan menjadi dorongan kepada tindakan Dr Mahathir iaitu pertemuannya dengan Timbalan Presiden UMNO, Najib. Pertemuan Dr Mahathir dan Najib bukan dibuat tanpa pengetahuan Pak Lah, justeru tidak mungkin Pak Lah tidak mengetahui apa-apa perkara yang akan dibincangkan oleh Najib dan apakah pula natijah perbincangan tersebut. Betapa pula pendirian politik Najib mutakhir ini seperti yang diperakui sendiri oleh Dr Mahathir telah berubah 360 darjah.

Berkemungkinan besar perkara yang diperbincangkan oleh Dr Mahathir dan Najib berkisar tentang 'Pelan Peralihan Kuasa' sebagai penjelasan kepada Dr Mahathir tentang mengapakah berlakunya perubahan sikap Najib tersebut. Najib dilihat cuba meyakinkan Dr Mahathir tentang pelan tersebut, manakala Dr Mahathir pula melihat ia sebagai satu helah untuk Pak Lah terus menerajui UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Najib sendiri pastinya tidak boleh memberikan jawapan bilakah perubahan tersebut akan berlaku? Oleh sebab itu, sesuatu perlu dilakukan untuk mewujudkan pemangkin yang boleh mempercepatkan berlakunya pelan tersebut.

Tindakan Dr Mahathir keluar daripada UMNO merupakan satu usaha untuk menjadikan ia sebagai pemangkin. Sukar untuk dipastikan sama ada keputusan ini dibuat oleh Dr Mahathir secara unilateral atau selepas mencapai persetujuan dengan Najib. Yang pastinya tindakan Dr Mahathir ini dilakukan dengan keyakinan bahawa pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO akan menuruti jejaknya, seterusnya mewujudkan dorongan besar supaya Pelan Peralihan Kuasa itu disegerakan. Dr Mahathir memang seorang tokoh yang berkeyakinan tinggi, tetapi tidak mungkin sikap beliau mendorongnya senekad itu. Beliau mungkin dijanjikan pembelaan sekiranya beliau bertindak sedemikian.

Bagaimanapun sepanjang sejarah politik UMNO, sangat sukar bagi mereka yang keluar daripada parti akan mendapat pembelaan daripada pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO. Anwar Ibrahim, Ku Li, Hussien Onn, Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn pernah melalui pengalaman-pengalaman tersebut. Sememangnya pada peringkat awal kelihatan mereka akan mendapat pembelaan dan sokongan, tetapi lama-kelamaan mereka tinggal sendirian. Kesemua mereka termasuk Dr Mahathir sendiri yang pernah berada di luar UMNO akhirnya mendapat pembelaan dan sokongan daripada pembangkang khususnya PAS. Manakala pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak mungkin meninggalkan zon selesa mereka.

Siapakah yang akan menuruti Dr Mahathir keluar daripada UMNO kali ini? Paling tinggipun yang akan menurutinya ialah Tengku Adnan. Yang lain hanyalah tokoh-tokoh yang telah sampai tarikh lupusnya seperti Sanusi Junid, Aziz Shamsuddin, Rahim Tambi Chik dan lain-lain. Anaknya, Mukhriz yang bakal dicalonkan Ketua Pemuda UMNO sendiri dipercayai sukar untuk menuruti langkah Dr Mahathir. Demikian juga dengan Najib, beliau juga tidak mungkin akan meninggalkan kerusi nombor dua tersebut. Dengan erti kata yang lain, tindakan Dr Mahathir tersebut akan menjadikan beliau terus terpinggir daripada arus politik negara.

Sebagaimana lazim tokoh-tokoh UMNO yang terpinggir seperti ini akhirnya akan cuba meraih pembelaan dan sokongan daripada pembangkang. Bagaimanapun, pembangkang pada kali ini berada dalam zon selesa malah telah mengikat janji setia dalam Pakatan Rakyat (PR). Ketua De Facto PR ialah Anwar Ibrahim yang merupakan musuh politik Dr Mahathir yang sehingga kini sukar berdamai. Maka apakah lagi pilihan yang ada pada Dr Mahathir sekiranya sejarah yang berlaku kepada Ku Li, Hussien Onn, Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn akan berulang menimpa dirinya. Beliau hanya akan dimuziumkan dan tinggal sebagai tokoh yang pernah wujud dalam lipatan sejarah UMNO.

Siapakah yang telah menjadikan Dr Mahathir senekad itu? Siapakah yang telah menjanjikan Dr Mahathir bahawa beliau akan mendapat pembelaan dan sokongan sekiranya beliau bertindak sedemikian? Tidak sukar untuk kita mencari jawapannya kerana tindakan Dr Mahathir tersebut dilakukan tidak beberapa lama selepas pertemuannya dengan Najib. Sekiranya apa yang diramalkan ini berlaku, maka jelas kelihatan Dr Mahathir telah memasuki perangkap lawannya. Tunggulah sahaja talkin dibaca untuk kerjaya politik Dr Mahathir melainkan beliau berjaya pula meraih pembelaan dan sokongan daripada pembangkang, mengulangi semula sejarah politik Malaysia.

No comments: