Wednesday 23 April 2008

PAS Kerajaan Berwatak Pembangkang

Sekiranya kita menonton filem 'Ali Baba Bujang Lapok' arahan ALlahyarham P. Ramlee, ada satu slot yang sangat menarik untuk dijadikan teladan dalam politik. Slot itu berkaitan dengan Ali Baba yang telah mendapat harta berusaha untuk merubah watak dirinya daripada watak seorang miskin kepada watak seorang kaya. Beliau mencuba dengan menggayakan cara orang kaya berjalan dan batuk bagi menunjukkan kepentingan beliau merubahkan watak dirinya. Dalam filem tersebut akhirnya memaparkan bagaimana Ali Baba kemudian menjadi seorang kaya yang pemurah dan baik. Mungkin ALlahyarham P. Ramlee cuba menggambarkan betapa pentingnya merubah watak diri seseorang apabila kedudukan dirinya telah berubah.

Telah lebih dari sebulan, PAS berjaya membentuk kerajaan di beberapa buah negeri. PAS berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, menjadi peneraju utama di Kedah, menjadi ketua kerajaan campuran di Perak dan berkongsi kuasa di Selangor. Dengan pencapaian yang seperti itu PAS bukanlah lagi sebuah parti pembangkang sebagaimana watak yang dimainkannya sebelum ini, sebaliknya merupakan sebuah parti yang memerintah atau sekurang-kurangnya 'government in waiting'. Boleh jadi hikmah ALlah swt tidak memberikan kemenangan sekaligus, adalah untuk memberi senggang masa yang selesa untuk PAS berubah watak daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan.

Transisi daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan ini sebenarnya sangat penting memandangkan persekitaran politik Malaysia yang agak unik dengan wujudnya kepelbagaian kaum, sistem politik federalisme, monarki berpelembagaan dan wajah sosial masyarakat Malaysia kesan daripada pemerintahan BN dalam tempoh yang agak lama. Sebagai contohnya, dasar-dasar tentang hiburan dan budaya yang wujud dalam negara Malaysia sekarang sudah pasti memerlukan kepada dasar-dasar alternatif. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Dzulkifli Ahmad pernah menyatakan, nasib baik PAS tidak menang dalam PRU yang lalu (merujuk PRU 1999), kalau tidak bagaimana PAS hendak berhadapan dengan amalan hiburan dan budaya yang melampau di Malaysia sekarang.

Demikianlah pentingnya PAS mengambil peluang dalam suasana yang ada sekarang, untuk mereka melakukan perubahan watak daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan. Malangnya setelah lebih sebulan, perubahan itu masih begitu lambat. Di peringkat ahli-ahli bawahan tidak begitu kelihatan perubahan tersebut. Sepatutnya ahli-ahli di peringkat 'grassroots' bukan lagi bertindak sebagai penghentam BN sebaliknya menjadi agen penerangan kerajaan Pakatan Rakyat yang berkesan. Mereka juga perlu bersedia dengan minda masyarakat madani (civil society) demi untuk melaksanakan agenda Negara Kebajikan yang diwarwarkan. Sebenarnya mereka inilah yang menjadi tunggak pelaksanaan agenda Negara Kebajikan tersebut sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Malangnya yang begitu dibesar-besarkan sekarang melibatkan ahli-ahli PAS ialah ceramah besar-besaran di stadium-stadium, meneruskan tradisi PAS mengkritik UMNO sepertimana ungkapan 'Umno akan dimuziumkan di Johor'. Demikian jugalah ceramah-ceramah di ceruk-ceruk desa, watak yang hampir sama diteruskan malah sehingga ke peringkat menjaga tepi kain UMNO, berkaitan dengan isu-isu dalaman yang mereka hadapi. Kesemua ini tidak banyak membantu transisi perubahan watak politik PAS daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan. Pimpinan PAS perlu memikirkan satu pendekatan untuk melonjakkan minda ahli-ahli mereka setelah lebih 50 tahun terbudaya dengan watak pembangkang.

Lidah rasmi PAS iaitu Harakah atau Harakahdaily juga tidak terkecuali, kebanyakan berita-berita yang dipaparkan masih mengekalkan watak yang sama. Harakah menyiarkan kenyataan kepimpinan PAS tentang rumahtangga UMNO dan pandangan balas mereka terhadap polisi dan amalan kerajaan BN. Jarang kedengaran kenyataan kepimpinan PAS mengulas panjang lebar tentang polisi dan amalan kerajaan negeri yang mereka terajui. Sebagai contoh, apabila MB Perak mengisytiharkan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dipilih sebahagiannya terdiri dari kalangan bukan ahli politik, tiada ulasan lanjut oleh kepimpinan PAS. Bolehlah dianggap lidah rasmi PAS ini lebih sibuk dengan apa yang BN buat daripada menerangkan apa yang PAS buat.

Yang lebih malang lagi, lidah rasmi PAS lebih cenderung untuk menjaga tepi kain 'rumahtangga' UMNO. Pada ketika ini lidah rasmi PAS seperti menjadi suara penyambung kepada desakan-desakan dalam UMNO meminta Presiden mereka meletakkan jawatan. Apa perlunya lidah rasmi PAS terlibat dengan masalah dalaman UMNO ini? Bukankah siapa sahaja yang menerajui UMNO pendirian mereka terhadap PAS tetap sama dan sukar berubah? Oleh sebab itu, lidah rasmi PAS perlu melakukan anjakan paradigma daripada sekadar menjadi agen 'check and balance' terhadap kerajaan BN kepada agen propaganda PAS sebagai kerajaan. Harakah sepatutnya menjadi penyampai kepada polisi dan amalan PAS sebagai kerajaan untuk meyakinkan rakyat terus menerima dan menyokong PAS.

Di peringkat pimpinan tertinggi PAS juga tidak menunjukkan perubahan yang memberansangkan. Pada masa ini, rakyat sedang ternanti-nanti apakah seterusnya (what's next) berkaitan dengan manifesto Negara Kebajikan. Boleh dikatakan keseluruhan pimpinan tertinggi PAS tidak bersuara tentang apakah langkah seterusnya untuk merealisasikan manifesto Negara Kebajikan dengan kuasa terbatas di peringkat kerajaan negeri? Rakyat sudah tentu tidak puashati sekadar diberikan 'gula-gula' tiket bola percuma, penghapusan saman tertunggak PBT dan tarif air percuma untuk sejumlah tertentu. Menyedari hakikat tersebut, pimpinan tertinggi PAS seharusnya menerajui penerangan tentang pelaksanaan agenda Negara Kebajikan untuk memastikan sokongan rakyat kekal dan bertambah.

Dengan menerajui 5 buah negeri, Pakatan Rakyat sebenarnya berada dalam posisi yang seimbang dengan BN, malah mungkin lebih kuat sekiranya dilihat kepada kekuatan negeri yang mereka kuasai. Tetapi kekuatan tersebut tidak pergunakan, sebaliknya mereka masih berwatak pembangkang seperti Kerajaan PAS Kelantan 18 tahun yang lalu. Apabila Kerajaan Pusat membatalkan beberapa MOU dan menarik balik beberapa projek, kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat menggelabah merasai tergugat. Pergantungan terhadap Kerajaan Pusat begitu kuat sehingga kelima-lima negeri itu seperti tidak boleh berdiri sendiri. Setelah lebih sebulan berlalu inilah watak yang masih tebal pada Pakatan Rakyat khususnya PAS menjadikan mereka sebagai kerajaan berwatak pembangkang.

No comments: