Friday, 15 April 2011

Tsunami 2008 Berulang di Sarawak?

Kecenderungan rakyat ketika suasana kempen di Sarawak dalam Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini, kelihatan seperti apa yang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung semasa Pilihanraya Umum (PRU) 2008 yang lalu. PRN kali ini benar-benar berbeza dengan PRN-PRN yang telah berlangsung sebelum ini, apabila rata-rata rakyat di Sarawak terutama golongan muda memperlihatkan kecenderungan untuk berubah. Masyarakat bandar pula begitu ketara kecenderungan mereka untuk 'menghumban' BN sepertimana kecenderungan pengundi-pengundi bandar di Semenanjung. Manakala golongan bukan Islam termasuk golongan pribumi tidak lagi fobia untuk menaikkan lambang PAS sama ada baju atau bendera.

PRN Sarawak kali ini bolehlah dianggap sebagai permulaan PRN generasi kedua Sarawak selepas menyertai Malaysia pada tahun 1963. Golongan muda yang lahir sekitar 1980 an merupakan antara golongan teramai menjadi pengundi. Generasi yang lahir selepas 1980 an ini atau Generasi Y selalu dilihat sebagai golongan yang sedar politik walaupun tidak menyertai mana-mana parti. Mereka bersedia untuk membuat perubahan apabila dirasakan perlu, tidak seperti generasi sebelumnya yang lazimnya berpolitik berasaskan ketaatan (loyalty politics). Mereka adalah generasi yang celik maklumat, yang tidak mudah dimomokkan hanya dengan satu aliran penyebaran maklumat.

Semasa PRU 2008 yang lalu, generasi seperti inilah yang telah membuat tsunami politik di pantai barat Semenanjung. Maka tidak hairanlah, keberadaan mereka yang seumpamanya di bumi kenyalang pada PRN kali ini, boleh membawa impak yang sama kepada negeri Sarawak. Suasana di kalangan generasi muda terutama bahagian pantai utara Sarawak begitu berbeza sekali apabila mereka yang tanpa mengira golongan, daripada golongan terpelajar sehingga mat rempit, rata-rata menzahirkan kecenderungan politik mereka menyokong pembangkang tanpa rasa takut. Sekiranya fenomena ini diterjemah kepada kertas undi, BN Sarawak mungkin boleh tumbang dalam PRN kali ini.

Bagi para pengundi bandar pula, kecenderungan menyokong pembangkang sangat ketara sepertimana yang berlaku di Semenanjung pada PRU 2008 yang lalu. Dengan komposisi terbesar pengundi bandar dari kalangan kaum Cina, mereka telah memberi sambutan yang luar biasa kepada kempen-kempen yang dianjurkan oleh pembangkang. Gelombang perubahan pengundi-pengundi di kawasan bandar di Sarawak seperti menggambarkan berlaku perubahan besar di negeri tersebut. Parti komponen BN yang mewakili kaum Cina, SUPP, kelihatan begitu mundur pada kali ini sepertimana nasib yang menimpa MCA pada PRU yang lalu.

Para pengundi Cina, selalunya akan 'bersepakat' melakukan perubahan secara bersama dalam sesuatu pilihanraya besar sepertimana yang berlaku di Semenanjung 2008 yang lalu. Sepertimana juga masyarakat Melayu Kelantan, para pengundi Cina boleh membuat sesuatu keputusan di luar dugaan. Suasana yang menunjukkan boleh berlakunya keputusan di luar dugaan ini semakin ketara di kalangan para pengundi Cina di Sarawak. Sekiranya ini berlaku, DAP dijangka akan menyapu bersih kerusi-kerusi kawasan bandar, dan menjadikan nasib SUPP sama seperti nasib MCA di Semenanjung semasa Tsunami 2008.

Satu lagi fenomena luar biasa yang sedang berlaku di Sarawak ialah fobia terhadap PAS sebagai sebuah parti Islam, seperti telah terhapus. PAS yang sebelum ini begitu ditakuti dengan momokan sebagai golongan ekstrim oleh BN, tidak mendapat tempat di kalangan para pengundi bukan Islam dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Sebelum ini, PAS selalunya sangat sukar menang di kawasan-kawasan yang komposisi pengundi bukan Islamnya lebih 25%. Dengan sebab itu, PAS lebih selesa bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu khususnya di negeri-negeri lingkaran Melayu di Semenanjung.

Bagaimanapun, pada PRU 2008 yang lalu, situasi ini telah berubah. Dalam PRN Sarawak kali ini, suasana yang sama telah berlaku, iaitu para pengundi bukan Islam termasuk kaum peribumi Iban tidak lagi segan-silu dan takut-takut untuk bersama-sama dengan kempen PAS. Bendera PAS telah dikibarkan di rumah-rumah panjang, manakala pengundi-pengundi bukan Islam tidak lagi takut untuk membawa lambang-lambang PAS. Suasana ini begitu jauh berbeza dengan pilihanraya-pilihanraya di Sarawak sebelum ini. Melihat kepada perubahan tersebut, tidak mustahil BN Sarawak akan 'digulingkan', iaitu perkataan yang kerap keluar di kalangan peribumi Sarawak mutakhir ini.

Perubahan-perubahan yang berlaku memperlihatkan PRN Sarawak kali ini lain daripada yang lain. Dengan sasaran PR untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRN kali ini, sasaran tersebut kemungkinan besar boleh tercapai. Malah dari sumber-sumber yang rapat dengan Anwar Ibrahim, sasaran tersebut mungkin menjadi lebih jauh, iaitu ke arah menumbangkan BN Sarawak. Meskipun PR dan Anwar sendiri begitu berhati-hati mensasarkan sasaran untuk menguasai Sarawak, persiapan ke arah itu telah mula difikirkan. Kini seluruh pemerhati politik sedang menunggu-nunggu detik itu; Apakah gelombang kecil atau tsunami besar akan berlaku pada 16 April ini?

Monday, 31 January 2011

Tenang: UMNO 'Tidak Menang' PAS 'Tidak Kalah'

Keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Tenang semalam tidak begitu memperlihatkan perubahan yang ketara kepada trend pengundian di DUN Tenang berbanding Pilihanraya Umum (2008) yang lalu. BN atau UMNO hanya mampu menambah 332 undi sahaja. Manakala calon PAS kekurangan 883 undi yang hampir 65% jumlah kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi disebabkan hujan lebat dan banjir. Sekiranya berdasarkan kepada angka peratusan secara rambang ini, majoriti yang diperolehi oleh UMNO hanya bertambah sedikit sekitar 2700 hingga 2900. Pertambahan seumpama ini dalam sesebuah PRK bagi BN yang mengerahkan seluruh jentera kerajaan, bolehlah dikatakan tidak begitu membanggakan.

Berdasarkan kepada analisis terhadap jumlah undi yang diperolehi oleh calon dari setiap peti undi, jelas membuktikan trend seperti ini. Faktor kekalahan utama calon PAS ialah golongan atas pagar terutama pengundi Cina tidak dapat keluar mengundi. Peti undi yang paling ketara menunjukkan fenomena ini ialah Bandar Labis Timur. Di peti undi ini calon PAS hanya memperolehi 144 undi daripada 740 undi yang diperolehi pada PRU 2008, iaitu kurang 600 undi. Kekurangan 600 undi ini disebabkan mereka yang menyokong PAS dahulu tidak keluar mengundi bukannya beralih kepada UMNO. Pertambahan undi UMNO di peti undi ini hanya 2 undi iaitu dari 669 semasa PRU 2008 kepada 671 dalam PRK semalam.

Sekiranya 600 undi itu diterjemahkan sebagai mengundi PAS sebagaimana persepsi pengundi Cina yang dilihat tidak jauh berubah, bermakna calon PAS berkemungkinan mendapat tambahan undi sekitar 3500 dan majoriti kemenangan BN berdasarkan peti undi ini sahaja boleh berkurangan sehingga 3000 sahaja. Demikian juga kawaasan-kawasan peti undi yang PAS menanginya semasa PRU 2008 yang lalu, jumlah yang keluar mengundi jauh berkurangan sehingga menyebabkan PAS memperolehi kekurangan undi tersebut. Sebagai contoh di Bandar Labis Tengah PAS kekurangan 212 undi dan peti undi Labis PAS kekurangan 202. Kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi.

Manakala kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO seperti Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat, situasi sebaliknya berlaku. Di peti undi Felda Tenang jumlah pengundi yang keluar mengundi bertambah 30 orang, di Felda Chemplak Barat juga bertambah seramai 30 orang, manakala di Felda Chemplak berkurangan sedikit hanya kepada 22 orang. Berdasarkan angka-angka tersebut, boleh dikatakan keadaan hujan lebat dan banjir yang berlaku di DUN Tenang ini tidak langsung menjejaskan kawasan kubu UMNO dari segi peratus pengundi keluar mengundi sekiranya dibandingkan dengan PRU 2008.

Secara keseluruhan, melihat kepada pencapaian UMNO di setiap peti-peti UMNO, tidak kelihatan UMNO membuat peratusan penambahan secara berlipat ganda melainkan undi pos. Di kubu-kubu kuat UMNO sendiri pertambahannya sangat sedikit, seperti di Felda Chemplak, undi UMNO bertambah 49 undi, di Felda Chemplak Barat bertambah hanya 64 undi dan di Felda Tenang bertambah 90 undi. Pertambahan undi UMNO di kawasan-kawasan kampung tradisi Melayu juga dalam lingkungan bawah 100 undi. Malah di peti undi Sawah Bahru UMNO kekurangan undi 6 undi berbanding PRU 2008, sedangkan di peti undi yang sama PAS menambah 3 undi.

Berdasarkan analisis terhadap peti-peti undi itu, dapat disimpulkan mementum PRU 2008 masih kekal. Peningkatan majoriti kemenangan UMNO banyak dibantu oleh para pengundi atas pagar dan penyokong PR pada PRU 2008 yang lalu tidak dapat keluar mengundi disebabkan hujan lebat dan banjir. Oleh sebab itu, sekiranya peratusan pengundi keluar mengundi kekal seperti PRU 2008 atau lebih sedikit, majority yang diperolehi oleh BN atau UMNO seperti pada PRU 2008 akan kekal atau mungkin semakin berkurangan. Diyakini PAS sangat menyedari perkara ini, justeru para pimpinan kanan PAS menuntut supaya PRK semalam ditangguh disebabkan factor cuaca.

Strategi UMNO yang paling berjaya dalam PRK semalam ialah membuat bantuan kepada mangsa hujan lebat dan banjir secara terpilih. Sebagai yang dijelaskan oleh Zulkifli Sulong, Editor Harakahdaily, bantuan secara besar-besaran telah diberikan untuk mengerahkan pengundi kawasan kubu kuat UMNO keluar mengundi seperti di Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat. Kawasan-kawasan yang lain seperti ‘didiskriminasi’ sehingga peratusannya menurun mendadaj. Dengan perkataan lain UMNO menggunakan strategi bantuan terpilih ini untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi di kubu kuatnya dan mengurangkan peratusan keluar mengundi di kubu kuat PR.

Wednesday, 3 November 2010

IPS Ramal PAS sehingga 55 % Menang di Galas

Berdasarkan laporan lengkap kajian yang telah dilakukan oleh ILHAM Centre dari 29 - 31 Oktober baru-baru ini dan setelah melakukan analisis ringkas terhadap dapatan itu, saya berpandangan PAS ada harapan untuk menang dengan peratusan 55% berbanding BN 45%. Walaupun laporan yang dikeluarkan oleh ILHAM Centre di Harakahdaily dan Malaysian Insider menyatakan BN mendahului tipis, tetapi sekiranya merujuk kepada penilaian terhadap dapatan (frekuensi) kesemua (enambelas) soalan menunjukkan PAS sedang mendahului. Berikut adalah penilaian saya terhadap perkara-perkara yang dikemukakan.

a. Calon PAS mempunyai sedikit kelebihan dari segi personaliti dan dikenali oleh para pengundi. Usaha untuk mempopularkan calon perlu dilakukan lagi. Saya melihat Kerajaan Negeri Kelantan perlu menjanjikan satu jawatan khusus kepada beliau, malah mungkin ke jawatan EXCO bagi tugas-tugas khas (pembangunan kawasan-kawasan pedalaman). Kewujudan satu potfolio Exco berkaitan kawasan-kawasan mundur seperti ini dirasakan amat perlu memandangkan setelah sekian lama di bawah wakil rakyat BN, kawasan ini jauh tertinggal. Dengan adanya potfolio khusus seperti ini menunjukkan kerajaan Kelantan benar-benar serius untuk membangunkan kawasan-kawasan seumpamanya.

b. Berdasarkan soalan B2, dapat dilihat bahawa tidak kurang 14% ahli UMNO sendiri tidak akan mengundi mengikut ketaksuban parti, dengan erti kata yang lain mereka masih terbuka untuk dipengaruhi. Faktor isu-isu semasa dan faktor janji-janji yang meyakinkan di saat-saat akhir masih boleh mempengaruhi pengundi terutamanya pengundi-pengundi atas pagar.

c. Berdasarkan soalan B3 dan B4, sebahagian ahli UMNO dan penyokong BN tidak berpuashati dengan peruntukan jentera pilihanraya UMNO yang tidak turun sampai ke akar umbi. Isu ini jika dijadikan peluru bagi perang saraf PAS boleh membantu sedikit pertambahan undi.

d. Berhubung dengan persoalan B11 dan B12, isu yang boleh berpihak kepada PAS ialah isu 1 Malaysia dan isu royalti. Isu 1 Malaysia ini boleh dimainkan di kedua-dua pihak pengundi Melayu (iaitu 1 Malaysia mengancam survival Melayu) dan Cina (Muhyiddin kata Melayu no 1, Malaysia no 2). Manakala isu yang PAS defensif ialah isu tanah dan isu infrasturuktur. Isu ini hanya mampu ditangani di peringkat Kerajaan Negeri termasuk seperti yang saya cadangkan sebelum ini supaya Kerajaan Negeri mewujudkan potfolio Jawatankuasa (Exco) khusus untuk kawasan-kawasan terpinggir seperti di Galas ini.

e. Bagi soalan B13 dan B14, walaupun pengundi Galas banyak menerima maklumat daripada TV dan Media utama, tetapi darjah keberkesanannya ke atas pengundi Galas tidaklah begitu tinggi. Ziarah rumah ke rumah dilihat memberi kesan yang lebih tinggi kepada pengundi, begitu juga dengan risalah-risalah yang meyakinkan dan juga menggunakan pengaruh saudara-mara pengundi.

f. Bagi soalan B15, menunjukkan masih ramai pengundi yang belum membuat keputusan dan menunggu saat-saat akhir untuk membuat keputusan.

g. Soalan B16 yang paling menarik dan menjadi hujah saya mengapa PAS ada harapan untuk menang. Peratus yang hendak mengundi UMNO hanya 31.3% sedangkan jumlah responden dari kalangan ahli ialah UMNO 45 %. Angka ini menunjukkan di kalangan ahli UMNO sendiri tidak akan mengundi UMNO (seperti ada sesuatu yang mereka tidak puas hati). Manakala peratus responden yang akan mengundi PAS ialah 27% sedangkan responden di kalangan ahli PAS hanya 15 %. Angka ini menunjukkan PAS boleh memperolehi undi tidak kurang dari 12% dari kalangan bukan ahlinya. Trend negatif pada UMNO dan positif pada PAS ini merupakan satu petunjuk yang penting bahawa PAS ada harapan yang lebih baik untuk menang. Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan oleh ILHAM Centre lebih kurang 41 % lagi belum membuat keputusan. Pada pandangan saya sebahagian besar responden yang tidak memberi maklumbalas dan berkata tidak pasti ini adalah golongan yang memilih jalan selamat (playsafe) sebagaimana yang lazim berlaku kepada survey persepsi politik, sebahagian besar mereka mungkin kakitangan kerajaan (15.2 % dari keseluruhan responden) dan petani/penternak/peneroka (29.7% dari keseluruhan responden). Logik yang boleh diterima, mereka yang menyembunyikan pendirian politik seperti ini biasanya kerana mahu mengundi pembangkang. Bagi mereka yang mahu mengundi BN/UMNO, sindrom 'playsafe' ini tidak wujud. Jika begitu kedudukannya saya berpandangan PAS berpeluang cerah sekiranya mood ini berkekalan atau lebih meningkat di saat-saat akhir.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Institut Kajian Polisi (IPS)
Dewan Pemuda PAS Pusat

Thursday, 7 October 2010

Persimpangan Terakhir buat Kuli?

Esok Ku Li akan sampai ke tanahair, tetapi bukan ketibaannya yang dinantikan. Sebelum inipun Ku Li telah keluar masuk dari bumi Malaysia, namun kegiatannya jarang diberi perhatian rakyat Malaysia. Sejarah politik Ku Li yang gemilang di zaman mudanya telah dicantas dengan jayanya oleh Dr Mahathir. Beliau yang lebih dilihat kekananannya berbanding Dr Mahathir, telah dilangkaui gara-gara pemilihan yang dilakukan oleh Tun Hussien Onn. Selepas itu Ku Li beberapa kali cuba mencabar, tetapi hanya hampir-hampir mencapai kejayaan pada tahun 1987. Selepas itu kerjaya politiknya semakin malap.

Kalaulah Ku Li tidak membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1995, sudah pasti gabungannya dengan Anwar akan memberi kesan berbeza semasa era reformasi. Selepas kembali kepada UMNO Ku Li sering melakukan tindakan 'play safe' takut-takut dia tersilap langkah sekali lagi. Di ketika itulah Ku Li dipermain-mainkan oleh Dr Mahathir sehingga rakan-rakan di sekelilingnya termasuklah 'budak' setia beliau Ahmad Shabery Chik sendiri mulai merenggangkan diri daripadanya. Kini tinggallah Ku Li terkontang-kanting berpencak dalam UMNO.

Ku Li cuba mencabar beberapa kali, yang cabarannya bukan dengan mereka yang kecil-kecil politik. Beliau cuba mencabar bertanding sebagai Presiden UMNO, tetapi pencalonannya sangat sedikit. Kawasan yang begitu setia mencalonkannya ialah Gua Musang. Itupun dalam pemilihan yang lalu Gua Musang sendiri hampir-hampir tidak mencalonkan Ku Li. Dari segi politik, kerjaya politik Ku Li hampir berkubur melainkan kubu politiknya di Gua Musang. Hadirnya Ku Li dalam politik UMNO dan politik Malaysia seumpama 'melukut di tepi gantang'. Ku Li benar-benar mengharapkan lampu ajaib Aladdin untuk kembali semula ke persada politik tanahair.

Kali terakhir usaha yang dilakukan oleh Ku Li sebagai lampu ajaib ialah menggagaskan Kerajaan perpaduan. Menurut sumber-sumber tertentu, hampir-hampir gagasan itu akan mengangkat semula Ku Li ke persada politik, tetapi sekali lagi musuh tradisinya Dr Mahathir menjadi batu penghalang. Kemudian Ku Li cuba pula menjadi tokoh politik yang diterima semua pihak termasuk menyokong usaha Kelantan untuk mendapatkan royalti petroleum. Sedikit sebanyak usaha ini menaikkan semula martabat politik Ku Li, setidak-tidaknya sejarah penglibatan politik beliau diimbaukan semula.

Bagaimanapun, tiba-tiba UMNO mencadangkan beliau sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas, malah kemungkinan pula menjadi calon. Cadangan ini bukanlah satu penghormatan kepada Ku Li, sebaliknya satu penunjuk arah untuk Ku Li sampai ke garisan penamat politiknya. Ku Li benar-benar berada di penjuru gelagang yang dihimpit oleh kepentingan politik UMNO dan PR khususnya PAS. Tujuan UMNO melantik beliau adalah untuk menamatkan karier politiknya. Berdasarkan PRU 2008, UMNO dan Ku Li sendiri kalah di DUN Galas. Bayangkan kalau keputusan yang sama berulang. Secara tidak langsung pengaruh Ku Li akan dilihat pupus di kubunya sendiri. Sekiranya keputusan sebaliknya, Ku Li tidak mendapat apa-apa merit yang lebih.

Sekiranya beliau menerima pencalonan sebagai Pengarah tersebut, dengan sendirinya pengaruhnya terhadap PR dan PAS khususnya akan putus. Beliau tidak lagi disandarkan harapan oleh PR dan PAS dalam isu royalti dan kemungkinan selepas ini beliau akan benar-benar keseorangan dalam politik. Oleh sebab itu, perkiraan yang dibuat oleh Ku Li seumpama telan mati emak, luah mati ayah. Beliau kini benar-benar telah di Checkmate oleh Najib dan Muhyiddin. Hanya satu pilihan terbaik Ku Li, iaitu menyertai pembangkang pada ketika keemasan begini. Potensi untuk beliau muncul semula dalam politik akan lebih cerah

Sunday, 28 March 2010

PKR Mungkin Kalah di Hulu Selangor

Kawasan parlimen Hulu Selangor sebenarnya adalah kubu BN dan UMNO yang paling kuat di negeri Selangor. Sejarah penguasaan BN ke atas kawasan ini tercacat sedikit dengan kemenangan tipis almarhum Dr Zainal Abidin Ahmad dalam PRU ke 12 yang lalu. Walaupun Dr Zainal menang di parlimen, tetapi ketiga-tiga kawasan DUN dimenangi oleh BN. Daripada ketiga kawasan DUN itu UMNO memenangi dua daripadanya iaitu di Hulu Bernam dengan majoriti 3459 dan Batang Kali dengan majoriti 2179. Manakala MCA menang tipis di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 448.

Sekiranya dijumlahkan keseluruhan majoriti kemenangan UMNO dan MCA di kawasan-kawasan DUN ini, seperti tidak masuk akal Dr Zainal akan menang di kawasan parlimen Hulu Selangor. Jelas sekali kemenangan Dr Zainal ini disebabkan oleh undi protes para pengundi Melayu yang telah memilih BN di peringkat DUN tetapi tidak memilih BN di peringkat parlimen. Kawasan DUN Hulu Bernam adalah kawasan yang paling ramai pengundi Melayu dan di sini terletaknya gugusan FELDA Gedangsa dan FELDA Seoharto. Dengan sebab itu tidaklah menghairankan bila calon UMNO, Datuk Idris, menang dengan agak selesa di sini.

Selain daripada kawasan DUN yang diwakili Dr Khir Toyo, kawasan DUN Hulu Bernam adalah majoriti yang tertinggi diperolehi oleh UMNO dan BN di negeri Selangor. Bagaimanapun ramai pengundi Melayu di kawasan ini telah berpaling mengundi Dr Zainal di peringkat parlimen. Semasa persempadanan semula kawasan pilihanraya 2003, UMNO kawasan Hulu Selangor telah menuntut dikembalikan kawasan itu kepada UMNO pada PRU ke 11 2004. Tuntutan UMNO kawasan bagaimanapun telah tidak dipenuhi, tetapi dijanjikan mereka akan mendapatnya semula dalam PRU ke 12 2008.

Dalam PRU ke 12 pula, janji itu tidak ditepati menyebabkan UMNO kawasan telah berkonspirasi untuk membuat undi protes terhadap calon MIC. Dengan undi protes tersebut, mereka mengharapkan calon MIC akan kalah dan dengan sendirinya kawasan itu akan diberikan kepada UMNO. Modus operandi undi protes yang dilakukan di Hulu Bernam ini hampir sama dengan kawasan jiran sempadan mereka di kawasan DUN Behrang Perak. Di kawasan DUN Behrang ini, para pengundi Melayu membuat undi protes tehadap calon MIC sehingga memenangkan Jamaluddin dari PKR.

Oleh sebab itu, tanpa undi protes ini amatlah sukar untuk PKR yang diwakili oleh Dr Zainal ketika itu untuk menang di kawasan parlimen Hulu Selangor. Dalam PRU ke 11 2004, calon pembangkang bagi kawasan itu ialah Dato' Ismail Kamus. Beliau bukanlah orang asing bagi para pengundi kawasan itu, sebaliknya mempunyai ramai saudara-mara dan sahabat-handai terutamanya di kawasan DUN Hulu Bernam. Dengan pengertian lain beliau adalah calon anak tempatan. Akan tetapi, disebabkan tiada undi protes pada ketika itu, Dato' Ismail Kamus kalah teruk pada PRU tersebut.

Mentaliti pengundi Melayu di kawasan parlimen ini tidak jauh berubah berbanding dengan pengundi-pengundi Melayu yang lebih celik politik di kawasan yang berhampiran Lembah Klang. Bagi mereka calon tidaklah begitu penting, sebaliknya sekiranya calon itu daripada UMNO atau BN pasti mereka akan menyokongnya. Sehinggalah PRU ke 12 2008 yang lalu, apabila adanya konspirasi membuat undi protes oleh UMNO Kawasan Hulu Selangor, barulah mereka beralih sementara untuk mengundi pembangkang. Jika tidak kemungkinan Dr Zainal juga akan menerima nasib yang sama seperti Dato' Ismail Kamus.

Menjelang PRK kawasan Hulu Selangor yang akan datang, UMNO kelihatan menuntut semula kawasan parlimen itu. Sekiranya tuntutan itu tidak dilayan, berkemungkinan undi protes akan dilangsungkan sekali lagi. Bagaimanapun tidak sukar lagi bagi pimpinan tertinggi UMNO untuk melayan pimpinan UMNO kawasan ini. Mulut mereka boleh ditutup dengan pelbagai pujukan dan tawaran yang akan melunakkan hati mereka. Para pengundi Melayu yang membuat undi protes tempohari akan mudah kembali mengundi MIC jika pimpinan UMNO kawasan boleh dilunakkan kembali. Maka undi protes mungkin tiada lagi.

Sunday, 1 November 2009

Tangkapan Dr Asri: Satu Lagi Perangkap?

Apabila Najib mengisytiharkan bahawa BN akan merampas semula kerajaan negeri Selangor, maka perisytiharan itu bukanlah kosong. Najib pasti mengarahkan seluruh jentera, termasuklah golongan 'intelligence' untuk mencapai hasrat tersebut. Sama ada disedari atau tidak pelbagai isu mula dilalui oleh kerajaan PR Selangor sehingga perpaduan di kalangan parti-parti semakin retak. Malah bukan sekadar perpaduan antara parti, sebaliknya perpaduan dalam parti-parti komponen PR seperti PAS Selangor juga turut goyah. Dengan pengertian lain, cakap Najib bukan cakap kosong.

Salah satu laluan yang diguna oleh Najib dan UMNO ialah memanfaatkan para pengikut setia mereka yang menjawat jawatan penting dalam jabatan-jabatan kerajaan di negeri Selangor. Dalam isu rampasan bir yang dilakukan oleh pegawai-pegawai MBSA, rampasan itu dilakukan tanpa mendapat terlebih dahulu persetujuan ahli-ahli majlis. Sebaliknya pegawai yang bertindak dilaporkan mendapat arahan langsung daripada pimpinan UMNO negeri. Berikutan dengan itu, berlakulah pertelingkahan antara dua Exco, iaitu Dr Hassan Ali yang mewakili PAS dan Ronnie Liu yang mewakili DAP.

Dalam kes perobohan binaan yang didakwa kuil oleh MBSA, sekali lagi modus operandi yang sama digunakan. Pegawai itu bertindak tanpa mendapat persetujuan ahli-ahli majlis, sedangkan isu seumpama ini adalah merupakan isu sensetiviti perkauman. Dalam isu-isu seumpama ini, seharusnya persetujuan ahli-ahli majlis diambil perhatian oleh pegawai-pegawai MBSA. Tindakan yang dilakukan telah dimanipulasi semaksima mungkin oleh MIC dengan mendakwa kerajaan PR Selangor merobohkan kuil. Seorang Exco negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan rumah penyembahan bukan Islam telah menyelar MBSA.

Kini yang terbaru ialah isu penangkapan Dr Asri, bekas Mufti negeri Perlis oleh JAIS. Beliau telah ditangkap malam tadi ketika menyampaikan kuliah yang turut dihadiri oleh YB Saari Sungip dan YB Zuraidah Kamaruddin. Penguatkuasa agama telah melakukan penyerbuan dan tangkapan secara tidak beradab seperti Dr Asri seorang pesalah jenayah dan benar-benar seperti pemimpin ajaran sesat. Siapakah sebenarnya yang mengarahkan penguatkuasa JAIS membuat tindakan yang tidak rasional seperti itu. Dikhabarkan bahawa tindakan mereka ini adalah atas desakan UMNO Ulu Kelang, kalaupun ia bukanlah arahan.

Mengulas perkara ini Harakahdaily telah mendapatkan maklumbalas YB Saari dan YB Zuraidah, yang kedua-duanya kelihatan tidak senang dengan tindakan JAIS tersebut. Namun begitu apabila ditanya pandangan Dr Hassan Ali, beliau telah menyokong tindakan JAIS dengan mengatakan bahawa setiap yang berceramah mestilah mempunyai tauliah. Kenyataan beliau kelihatan menyebut bahawa Dr Asri mengengkari undang-undang berkaitan dengan agama Islam di Selangor. Respon dari kedua-dua pihak tanpa diselidungkan lagi memaparkan bibit perpecahan yang ketara dalam kerajaan PR Selengor.

Tangkapan yang dibuat terhadap Dr Asri oleh JAIS akan menjadi isu besar yang akan dimanipulasikan oleh UMNO. Sewaktu hadir di Mahkamah Syariah, Dr Asri turut diiringi oleh beberapa tokoh-tokoh UMNO termasuklah Shamsuddin Moner dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JEK), selain daripada tokoh-tokoh SIS seperti Marina Mahathir. Dr Asri dikatakan akan bertemu dengan Jamil Khir selepas ini, dan diyakini para pimpinan UMNO akan bertindak mengecam JAIS disebabkan serbuan dan tangkapan tersebut. Sekali lagi kerajaan PR Selangor dijangkakan akan menghadapi kemelut berhubung isu tersebut.

Sehingga rencana ini ditulis, belum ada apa-apa pertuduhan dibuat terhadap Dr Asri. Sekiranya tiada pertuduhan dibuat seolah-olah tindakan mereka yang menyerbu dan menangkap seumpama 'baling batu sembunyi tangan'. Sekiranya dibuat pertuduhan JAIS dan kerajaan PR Selangor akan mendapat kecaman termasuk pimpinan UMNO yang akan menggunakan media mereka semaksima mungkin. Situasi ini benar-benar menjadikan kerajaan PR Selangor tersepit, lebih-lebih lagi Dr Hassan Ali sejak akhir-akhir ini sering ditanggap sebagai bermasalah. Dengan demikian, isu penangkapan Dr Asri ini merupakan saty lagi perangap UMNO.

Peranan yang dimainkan oleh pegawai kerajaan di negeri Selangor benar-benar berkesan. Golongan inilah yang menyalurkan maklumat tentang isu korban lembu di Bandar Tun Razak, membuat tindakan sendiri terhadap isu-isu yang berkaitan sensetiviti perkauman, mendesak dilakukan penilaian terhadap SELCAT dan yang terakhir bertindak untuk menangkap bekas Mufti Perlis. Setiap kali mereka bertindak akan bertambah lagi keretakan dalam PR Selangor, sehinggalah akhirnya hasrat Najib untuk merampas kembali Selangor akan tercapai. Bukankah kesemua ini satu parancangan yang teliti.

Wednesday, 28 October 2009

Tok Guru Nik Aziz Selamatkan Prof Aziz

Dalam dunia akademik, seseorang ahli akademik akan dinilai kewibaannya berdasarkan kepakarannya yang mendalam, pandangannya yang tajam dan analisisnya yang tamam. Kesemuanya aspek ini selalunya akan diterjemahkan dalam bentuk bicara dan pena. Bagaimanapun, biasanya bicara seseorang ahli akademik itu kurang pemberatnya berbanding penanya. Hasil penanya kadang-kadang dipersembahkan dalam bentuk buku akademik, artikel ilmiah, kertas kerja dan rencana popular. Lazimnya, buku akademik yang diterbitkan oleh penerbit berautoriti dan artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal yang berwasit mempunyai nilai yang tinggi dalam dunia akademik.

Demikianlah kaedahnya untuk menilai kewibawaan seseorang ahli atau tokoh akademik, termasuklah Prof Aziz Bari. Beliau telah menempa nama yang hebat dalam dunia akademik di Malaysia. Prof Aziz telah menulis begitu banyak buku-buku akademik yang telah diterbitkan oleh penerbit yang berautoriti di dalam bidang Undang-undang Perlembagaan Malaysia. Demikian juga artikel-artikel ilmiah beliau telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal berwasit. Penerbitan beliau ini telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Professor, iaitu tahap tertinggi kepakaran dalam dunia akademik. Kewibawaan Prof Aziz dalam dunia akademik khususnya Perlembagaan Malaysia sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun kehebatan seseorang dalam dunia akademik tidak semestinya melayakkan dia turut menjadi hebat dalam dunia politik. Seorang tokoh akademik British pada kurun ke 16 - 17, Francis Bacon, boleh menjadi contoh dalam isu ini. Bacon sememangnya dikenali kehebatannya termasuk dalam bidang perundangan dan falsafah. Beliau telah menceburi dunia perundangan dan kemudiannya mengaplikasikan kaedah-kaedah perundangan itu dalam metodologi sains. Sungguhpun kehebatannya dalam dunia akademik, tetapi beliau tidak menyerlah dalam politik, malah boleh dikatakan beliau gagal dalam kerjaya politiknya.

Demikianlah juga, Bertrand Russell, seorang lagi tokoh akademik Britain pada kurun ke 19 - 20, turut melalui pengalaman yang sama dalam politik. Russell adalah tokoh sains sosial dan falsafah yang terkenal pada zamannya. Buku-buku dan artikel-artikel ilmiahnya sehingga hari ini masih mendapat tempat yang penting dalam dunia akademik. Beliau juga telah dianugerahkan Nobel Prize dalam bidang kesusasteraan sebagai anugerah berprestij dalam bidang tersebut. Beliau turut menguasai falafah politik. Bagaimanapun kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membawanya turut cemerlang dalam kegiatan dunia politik.

Badi yang sama mungkin terkena kepada Prof Aziz, sebagaimana yang pernah dihinggapi oleh tokoh-tokoh akademik Malaysia yang lain seperti Dr Syed Hussin al-Attas dan Chandra Muzaffar. Sesiapa yang membaca artikel beliau dalam Harian Sinar khususnya artikelnya yang mengulas tentang kekalahan PAS di Bagan Pinang boleh menilai kedangkalan analisisnya dalam dunia politik. Kalaulah Harian Sinar tidak menulis nama Prof Aziz sebagai penulisnya, sebagaimana kaedah 'blind review' yang selalu digunakan oleh jurnal-jurnal berwasit, pasti para pembaca akan menganggap artikelnya sebagai sampah.

Dengan menjadikan kekalahan di Bagan Pinang sebagai alasan memaksa PAS melakukan reformasi kepimpinan, jelas sekali menunjukkan kedangkalan analisis politik Prof Aziz. Dalam kaedah logik induktif yang turut juga digunakan dalam Falsafah Perundangan, satu premis (bukti) tidak cukup untuk dibuat satu generalisasi (kesimpulan umum) sebagaimana yang beliau lakukan. Betapa pula sebelum itu PAS telah memenangi kesemua siri pilihanraya kecil (PRK) yang berhadapan dengan UMNO, yang secara langsung melemahkan premis kekalahan di Bagan Pinang. Sepatutnya dalam mempertimbangkan gesaannya, Prof Aziz perlu melihat kerelevanan siri PRK tersebut.

Tidak diketahui apakah kaedah yang digunakan oleh Prof Aziz dalam membuat gesaan itu, adakah kaedah kuantitatif atau kualitatif. Diyakini beliau tidak menggunakan kuantitatif, kerana tiada satu argumen statistikpun dikemukakan untuk mengesahkan kepimpinan sekarang telah ditolak. Keputusan pengundian bukanlah satu kaedah kuantitaif yang tepat menggambarkan kehendak tersebut. Kalau beliau menggunakan kaedah kualitatif, sepatutnya ia dilakukan dengan membuat cerapan lapangan(observation) sebagaimana yang sering dilakukan oleh ahli akademik yang menggunakan kaedah ini. Besar kemungkinan beliau tidak turun ke Bagan Pinang untuk tujuan itu.

Tanpa mempunyai kaedah jitu berkaitan dengan penghujahan akademik, tiba-tiba sahaja beliau menulis mengulas senario politik yang berlaku. Dengan sebab itu, dari segi akademik artikel Prof Aziz itu tiada nilai ilmiahnya, sebaliknya dipersembahkan dengan menggunakan bahasa politik bukannya bahasa retorik. Sayang sekali artikel itu ditulis oleh seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia akademik, sedangkan nilai artikel itu seperti sampah dari sudut ilmiahnya. Demi sangkaan baik, bolehlah disebut bahawa artikel itu ditulis oleh Prof Aziz sebagai artikel popular di luar bidang kepakarannya.

Sekiranya tidak, nama baik Prof Aziz pasti tercalar dengan terbitnya artikel itu. Bagaimanapun nasib Prof Aziz agak baik, kerana artikel itu telah diberi perhatian penting oleh Tok Guru Nik Aziz, seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia politik. Tok Guru Nik Aziz telah bertindak menghargai artikel tersebut dengan mengusulkan PAS mengadakan EGM. Kalau tidak, pasti artikel Prof Aziz ini menjadi nila kepada susu sebelanga. Setelah begitu banyak buku-buku dan artikel-artikelnya yang hebat, kesemuanya telah tercemar dengan terbitnya artikel seperti sampah yang disiarkan oleh Harian Sinar. Seharusnya Prof Aziz berterima kasih pada Tok Guru.

Saturday, 12 September 2009

UMNO Menghantar Pengkaji ke Jepun

Tanpa diduga Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah memerintah Jepun secara berterusan selama 54 tahun, telah kecundang dalam Pilihanraya Kebangsaan Jepun akhir bulan lalu. Parti LDP begitu banyak berjasa untuk membawa negara matahari terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Bagaimanapun dalam pilihanraya baru-baru ini parti itu kecundang kepada sebuah parti pembangkang baru, iaitu Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti yang cenderung kepada haluan sederhana-kiri.

Kekalahan mengejut LDP ini telah mencatatkan sejarah baru dalam politik Jepun apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang langsung tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah. Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada krisis dalaman LDP yang memuncak ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum ini Junichiro Koizumi pada tahun 2006. Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri Jepun Taro Aso, yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan perletakan jawatan bagi memikul tanggungjawab kekalahan teruk LDP.

Berikutan dengan kekalahan LDP itu, UMNO sebagai tunjang BN yang memerintah Malaysia telah menghantar sebuah kumpulan untuk mengkaji faktor-faktor kekalahan LDP tersebut. UMNO benar-benar bimbang nasib LDP ini akan menimpa mereka berkebetulan umur pemerintahan UMNO akan genap 54 tahun menjelang ulangtahun kemerdekaan negara pada tahun 2011 kelak, iaitu beberapa bulan sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Malah bukan sekadar umur, faktor-faktor kekalahan LDP yang lain juga telah ada pada UMNO.

Ramai pemerhati politik melihat dasar liberalisasi LDP sejak tahun 1990 an menyumbang kepada kekalahan besar parti itu. Dasar liberalisasi tersebut telah memberi tumpuan kepada golongan peniaga dan korporat dan mengabaikan rakyat teramai. Kesannya dasar tersebut telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Jepun. Dasar yang sama telah dilaksanakan oleh Malaysia sejak era pemerintahan Dr Mahathir pada dekad 1980 an. Bagaimanapun pelaksanaannya pada ketika itu secara terpilih.

Pada dekad 1990 an, Dr Mahathir melonggarkan sedikit lagi dasar kawalannya terutama dalam sektor tertentu seperti pendidikan dan teknologi komunikasi sehinggalah berlakunya krisis kewangan tahun 1997. Semasa era pemerintahan Pak Lah, dasar liberalisasi ini diperluaskan kembali oleh penasihat-penasihat Pak Lah di tingkat empat. Salah satu bukti yang jelas ialah perkongsian kepentingan asing di Wilayah Iskandar di samping beberapa dasar yang lebih liberal seperti dasar yang berkaitan dengan teknologi automatif.

Semasa era Najib hari ini, beliau dilihat lebih agresif memperkenalkan dasar liberalisasi ini. Baru-baru ini, beliau telah bertindak melonggarkan kawalan pemilikan saham asing. Beliau juga telah memberikan komitmen untuk meneruskan dasar perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat yang masing tergantung sehingga hari ini. Malah dalam ucapan beliau melancarkan program 1 Malaysia, dasar liberalisasi kelihatan turut diberikan penekanan penting. Kesan dasar ini akan melebarkan lagi jurang golongan kaya dan miskin yang telah sedia lebar sebelum ini.

Sepertimana LDP, UMNO masih mengharapkan kesetiaan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus menyokong mereka. Kesetiaan orang Jepun kepada pemerintah sememangnya dikenali dunia, sehingga dianggap sebagai ciri-ciri tamadun mereka yang penting. Sehingga kini institusi raja di Jepun masih dikekalkan disebabkan semangat kesetiaan itu, walaupun peranan Maharaja Jepun itu tidaklah sepenting dahulu. Kesetiaan mereka itulah turut menjadi faktor LDP kekal begitu lama sejak 54 tahun lalu.

Selain daripada itu, kepimpinan LDP yang kerap bertukar khususnya semasa dekad 1990 an turut menyumbang rakyat terus meletakkan harapan kepada mereka. Setiap kali berlakunya pertukaran kepimpinan, maka rakyat akan meletakkan harapan baru kepada parti itu. Perdana Menteri Jepun sebelum ini, Junichiro Koizumi, adalah antara yang paling lama memegang jawatan iaitu dari tahun 2001 hingga 2006. Sepertimana LDP, UMNO juga sedang menggunakan pendekatan yang sama untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Penolakan rakyat terhadap LDP, turut diwarnai oleh kemunculan parti yang berhaluan sederhana-kiri seperti DPJ. Parti seperti ini lebih dilihat pro rakyat, bukannya pro korporat. Penolakan kepada parti-parti yang pro korporat seperti telah menjadi trend mutakhir ini bermula di Amerika Latin, dan yang terkahir di Jepun. Menarik sekali, lawan UMNO iaitu PAS, PKR, DAP, PRM dan PSM turut mempunyai ciri-ciri sederhana-kiri tersebut. Malah parti-parti itu telah mendapat tempat di kalangan golongan kelas menengah.

Fenomena-fenomena ini telah menyebabkan UMNO benar-benar bimbang. Diberitakan mereka telah menghantar para pengkaji untuk mengkaji kekalahan LDP di Jepun.

Monday, 31 August 2009

Merdeka Kian Dilupakan

Hari ulangtahun ke 52 kemerdekaan Malaysia telah semakin dilupakan. Suasana Bulan Kemerdekaan yang disambut setiap tahun begitu hambar seperti tiada memberi erti lagi kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun kehambaran itu dikaitkan dengan kedatangan Ramadan yang dijadikan alasan oleh Kerajaan Malaysia sebagai faktor untuk tidak menyambut ulangtahun kemerdekaan secara besar-besaran dan meriah. Benarkah kehadiran bulan Ramadan itu menyebabkan Bulan Kemerdekaan itu disambut hambar?

Hakikatnya, tiada sebab untuk meletakkan kesalahan kepada bulan Ramadan. Sambutan Bulan Kemerdekaan boleh menjadi ibadat, sekiranya disambut dengan cara dan gaya yang menepati Islam. Sekiranya dengan menyambut Bulan Kemerdekaan boleh dikategorikan ibadat, maka setiap pahala yang dilakukan di bulan ini akan dilipat gandakan oleh Allah swt. Dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan, maka jelas sekali sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini tidak boleh dikategorikan sebagai ibadat.

Sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini seringkali diwarnai dengan program-program maksiat sehingga kegiatan itu jika dilakukan oleh kita pada bulan Ramadan dibimbangi akan mencemarkan kesucian bulan tersebut. Lebih daripada itu, sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini turut diwarnai dengan pembohongan, iaitu dalam menampilkan fakta-fakta sejarah berkaitan kemerdekaan. Kesemua itu tidak sayugia dilakukan dalam Ramadan kerana bulan itu adalah suci.

Demikianlah cara golongan sekular berfikir dalam melihat bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Larangan-larangan Allah swt itu hanya dijaga pada bulan Ramadan, di dalam masjid atau ketika berada di Tanah Suci. Di ketika dan tempat yang lain, larangan itu tidak dikuatkuasakan. Dalam sambutan ulangtahun kemerdekaan sebelum-sebelum ini, larangan-larangan Allah swt itu tidak dikuatkuasakan sehingga menyebabkan bila ulangtahun kemerdekaan disambut pada bulan Ramadan, kegiatan-kegiatannya dibimbangi mencemarkan bulan itu.

Thursday, 27 August 2009

Isu Kartika: Dakwah Didahulukan, Shari`ah Didaulatkan

(Artikel dipertik dari blog http://mzuhdi.blogspot.com)
Sememangnya isu hukuman sebatan ke atas model Kartika Sari sekali lagi mengundang polemik di kalangan masyarakat Malaysia khususnya antara golongan pendakwah Islam dan golongan liberal. Keruncingan polemik ini bertambah dengan tindakan YB Dr Hassan Ali untuk memberi kuasa kepada pegawai-pegawai masjid di Negeri Selangor bagi menguatkuasakan enakmen-enakmen yang berkaitan dengan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Seperti biasa, NGOs yang cenderung kepada idealisme liberal seperti Sister in Islam (SIS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) akan bersuara.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan ini kadang-kadang bertindak disebabkan kejahilan mereka terhadap hukum-hukum Islam, malah berkemungkinan juga mempunyai agenda lain yang tersirat. Bagaimanapun, terdapat juga pandangan-pandangan mereka yang perlu dihargai oleh kita sebagai golongan pendakwah yang berjiwa besar. Karya peninggalan Sheikh Hasan al-Hudaibi, ‘Du`at La Quda’’ sewajarnya diterokai semula sebagai memberi panduan kepada PAS khususnya dalam berhadapan dengan isu-isu seumpama ini, betapa pula PAS telah diberi peranan penting di beberapa buah negeri.

Sebagai reaksi kepada hukuman sebat yang dikenakan kepada Kartika Sari, SIS telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

“"SIS percaya bahwa Islam adalah agama yang penuh kasih sayang yang memanggil manusia ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana seperti disampaikan dalam Surah al-Nahl ayat 16. Kartika telah menyatakan penyesalan seharusnya pihak berkuasa Malaysia berusaha menunjukkan bahwa Tuhan itu maha pengasih dan penyayang khususnya memasuki bulan puasa Ramadan."

Secara umum reaksi seperti ini sememangnya mengguris hati para pendukung dakwah apalagi melihat reaksi-reaksi sebelum daripada ini. Namun demikian, bila kita merenung semula tinta Sheikh Hasan al-Hudaibi dan kedudukan PAS sebagai ‘Government in Waiting’, maka kita juga boleh mengambil reaksi SIS ini sebagai panduan penting bila kita diberi amanah memerintah.

Di dalam ‘Du’at La Quda’’, Sheikh Hasan al-Hudaibi telah menyarankan supaya pendakwah Islam menggunakan kaedah-kaedah Shari`ah yang tepat dan pertimbangan Islam yang mendalam dalam menghadapi manusia (sasaran dakwah). Beliau menegaskan bahawa peranan utama kita ialah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah swt dan berpegang dengan manhaj Islam, justeru kita perlu menghadapi golongan yang pelbagai pemikiran ini dengan penjelasan yang sahih dan menghindarkan kekeliruan. Ringkasnya, pendakwah Islam sepatutnya mendahulukan dakwah sebelum menghukum.

Dalam kes Kartika Sari ini, sememangnya hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh ditarik balik sebagaimana yang dituntut oleh SIS. Lebih daripada itu, Kartika Sari sendiri telah merelakan dirinya dihukum dengan tujuan ia menjadi pengajaran pula kepada orang lain. Tindakan Kartika Sari ini seharusnya dihargai sebagai satu usaha dakwah beliau. Para Fuqaha’ telah menulis tajuk yang khusus tentang topic ‘Adakah Bertaubat Menggugurkan Hukuman Hudud’. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Fiqh al-Islami:

Telah sepakat ulama bahawa apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Pemerintah atau Hakim, kemudian bertaubat pelakunya, maka hukum hudud tidak gugur malah wajib ditegakkan hukuman itu.

Malah Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’:

اذا بلغت الحدود السلطان فلعن الله الشافع والمشفع

Maksudnya: Apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Sultan, maka Allah swt melaknat sesiapa yang hendak melepaskan pesalah dan yang meminta supaya dilepaskan.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pesalah telah bertaubat sebelum perkara itu diangkat kepada mahkamah, maka hukuman hudud itu boleh gugur kecuali jika ia berkaitan dengan hak manusia (hukum Qisas). Sebagai contoh dalam kes Hirabah (rompakan), para ulama bersepakat sekiranya perompak itu mendatangi hakim dengan sukarela dan pilihan sendiri untuk bertaubat dari kesalahannya maka gugurlah darinya hukuman dengan bersandarkan ayat ke 34 Surah al-Maidah:

إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Kecuali mereka yang bertaubat sebelum ditentukan (hukuman) ke atas mereka, ketahuilah sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Meskipun ayat ini menyentuh tentang kesalahan Hirabah, ia juga menjadi hujah kepada kesalahan-kesalahan hudud yang lain.

Menyedari hakikat tersebut, tidaklah menjadi kesalahan malah dituntut, sekiranya seseorang Muhtasib (penguatkuasa) berdakwah terlebih dahulu kepada pesalah (khususnya yang melakukan kesalahan pertama) dengan memintanya bertaubat tidak mengulangi perbuatan tersebut. Tidak juga menjadi kesalahan kepada Muhtasib untuk tidak mengangkat kesalahan tersebut kepada mahkamah setelah pesalah yang melakukan kesalahan hudud itu bertaubat, kerana apabila kesalahan itu diangkat kepada mahkamah maka hukuman hudud tidak boleh lagi ditarik balik.

Dalam isu seumpama ini Rasulullah saw telah memberikan satu teladan yang sangat baik iaitu dalam kes ikrar seseorang penzina. Dalam sebuah hadis yang riwayat dari Abu Hurairah ra oleh al-Bukhari dalam membicarakan persoalan Hudud:

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Dan mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya seperti diriwayatkan oleh Muslim dalam persoalan Hudud:

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu." Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Dari satu perspektif, kesemua kes pengakuan pengakuan ini telah cuba tidak diangkat oleh Rasulullah saw untuk dihukum, sebaliknya baginda menyuruh mereka bertaubat. Sehinggalah pesalah itu sendiri meminta supaya dirinya dihukum setelah membuat beberapa kali pengakuan, maka hukuman itu dijatuhkan. Di dalam Subul al-Salam, al-San`ani menyatakan terdapat riwayat yang menyatakan: “Ditinggalkan dia, moga-moga dia bertaubat dan Allah swt mengampunkan dosanya”. Menurut al-San`ani lagi, riwayat ini menjadi sandaran, sekiranya pesalah menarik balik pengakuannya (kerana mahu bertaubat) maka penarikannya diterima.

Berdasarkan kepada argumen-argumen di atas, para Muhtasib atau penguatkuasa sewajarnya mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan meminta pesalah bertaubat. Sewajarnya mereka perlu melakukan dakwah terlebih dahulu sebelum mengangkat perkara itu kepada mahkamah. Semoga dengan dakwah tersebut, pesalah akan bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dan diampunkan dosanya oleh Allah swt. Pada pandangan saya, reaksi SIS dari perspektif positifnya boleh dilihat dari sudut itu, meskipun dari perspektif negatifnya mungkin lebih besar.

Demikianlah juga, kenyataan Dr Hasan Ali tentang perlantikan pegawai masjid sebagai penguatkuasa, sepatutnya menekankan aspek dakwah daripada aspek menghukum. Pada pandangan saya, lebih baik jika diumumkan bahawa pegawai masjid diberi tauliah untuk berdakwah kepada pesalah jenayah Shari`ah termasuk peminum arak dan mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan sekiranya tindakan itu perlu. Sebenarnya tiadalah perbezaan yang ketara dari segi ‘subtance’ nya tetapi ada perbezaan dari segi penampilannya. Hikmah seperti inilah yang cuba diketengahkan oleh Sheikh Hasan al-Hudaibi. Wallahu`alam.

Tuesday, 30 June 2009

Rancangan Jahat UMNO ‘Makan Tuan’

Di dalam Sains Politik, konsep Kerajaan Perpaduan adalah merujuk kepada National Unity Government atau kadangkala disebut juga Unity Government. Konsep ini bermaksud kesemua parti politik dalam sesebuah negara bergabung membentuk sebuah kerajaan bersama bagi menghadapi situasi yang mendesak seumpama serangan musuh, bencana alam dan lain-lain. Dengan pengertian lain konsep Kerajaan Perpaduan itu berbeza daripada Kerajaan Campuran (Coalation Government).

Dalam sejarah politik moden, pembentukan sesebuah Kerajaan Perpaduan jarang-jarang sekali berlaku, berbeza dengan pembentukan Kerajaan Campuran. Dunia politik hari ini kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran terutama di negara-negara yang mengamalkan perwakilan berasaskan peratusan undi. Negara Indonesia merupakan antara contoh negara yang kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran mutakhir ini.

Gagasan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah merujuk kepada keterlibatan semua parti politik di Malaysia demi menghadapi situasi ekonomi global yang merudum. Dalam sebuah ucapannya di Parlimen, beliau menggagaskan perkara tersebut. Ketika gagasan ini dicetuskan UMNO sedang merancang peralihan kuasa daripada Abdullah Badawi kepada Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini seharusnya tidak berlaku ketika negara mula menghadapi kegawatan tersebut.

Kemelut politik dalam UMNO sepatutnya tidak mengheret negara dan rakyat untuk menerima apa-apa sahaja kehendak perwakilan UMNO termasuklah menukar taraju kepimpinan ketika negara dalam situasi tidak menentu. Betapa pula, bakal pengganti Abdullah Badawi adalah seorang yang kelihatan tidak bersih daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dengan kesedaran itu, Tuan Guru Presiden menyarankkan supaya kepentingan negara dan rakyat diutamakan melalui gagasan Kerajaan Perpaduan.

Dengan gagasan tersebut peralihan teraju kepimpinan negara tidak seharusnya berlaku, sebaliknya semua parti politik sama ada dalam PR dan BN bersama-sama membentuk kerajaan demi menghadapi kemelesetan. Sekiranya UMNO tetap meneruskan hasrat mereka menukar Presiden, keputusan ini tidak akan menjejaskan kerajaan, kerana kerajaan didukung oleh semua parti-parti politik. Sekiranya kesemua ahli-ahli Perlimen UMNO tetap mahukan Najib Tun Razak,, Abdullah Badawi masih mendapat sokongan majority dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Sikap UMNO yang ingin memaksakan hasrat mereka ke atas seluruh rakyat Malaysia ketika negara sedang menghadapi kegawatan jelas merupakan satu tindakan tidak patriotik. Kemelut dalaman UMNO tidak seharusnya dipikul oleh negara dan seluruh rakyat. UMNO seperti sebuah parti diktator untuk menentukan perjalanan politik negara secara unilateral. Maka, gagasan Tuan Guru Presiden memberikan satu alternative supaya masalah negara diselesaikan secara perundingan.

Bagaimanapun, ketika gagasan itu dicadangkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, tiada seorangun pimpinan UMNO yang berminat, jauh sekali untuk mengatakan Presiden PAS seorang yang ikhlas. Tidak ada sokongan padu daripada pihak-pihak lain termasuklah Mufti Perak. Malah ketika itu, UMNO terus mempertahankan pencabulan hak rakyat dan hak parti-parti politik lain melalui rampasan kuasa di Perak.

Secara tiba-tiba isu Kerajaan Perpaduan ini dibangkitkan semula oleh media menjelang Muktamar PAS dan berterusan sehingga selepas muktamar. Bukan sekadar itu, konsep Kerajaan Perpaduan itu disempitkan ruang-lingkupnya kepada pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dan BN. Gagasan Tuan Guru Presiden PAS tiada kait-mengait dengan kerjasama dua hala seperti yang difahami oleh UMNO. Namun demikian perkara inilah yang digembar-gemburkan.

Tindakan UMNO dan media-media yang pro kepadanya tidak sukar dibaca. Berdasarkan latar belakang bermulanya isu gagasan Kerajaan Perpaduan, jelas sekali sambutan pimpinan UMNO terhadap gagasan tersebut adalah untuk memecahkan PR dan menghakis kepercayaan terhadap pimpinan PAS yang baru dipilih. Tidak dapat dinafikan, fitnah jahat UMNO itu sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan baik dalam PR.

Bagaimanapun UMNO lupa bahawa para pimpinan PAS seperti Tuann Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden adalah golongan ulama. Mereka bertindak tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Oleh sebab itu, mereka pada bila-bila masa boleh menarik balik pendirian mereka demi kepentingan perjuangan Islam dan menegakkan keadilan. Maka,, apabila Tuan Guru Mursyidul Am menarik balik kenyataannya dan Tuan Guru Presiden bertindak menghentikan cadangan beliau, fitnah jahat UMNO itu mulai tidak berkesan.

Seperti ‘biduk lalu kiambang bertaut’ persaudaraan Islam dalam PAS kembali bertaut dan hubungan dalam PR kembali pulih. Kini UMNO terus memainkan isu tersebut dengan sekali lagi cuba menyuburkan politik perkauman. Percakapan mereka tentang perkauman tersebut sekali lagi mencurigakan rakan-rakan mereka dalam BN. MCA mula mempersoalkan, bagaimana kalau mereka pula mengemukakan gagasan kesatuan Cina. Kini fitnah jahat UMNO itu telah ‘makan tuan’.

Friday, 19 June 2009

Strategi Pecah dan Perintah UMNO

Dalam politik strategi ‘Devide and Rule’ atau ‘Pecah dan Perintah’ bukanlah sesuatu yang hanya baru digunakan di zaman moden ini. Sekiranya ditelusuri sejarah, strategi ini bukan hanya bermula setelah Machiavelli membincangkannya dalam The Art of War, tetapi berkemungkinan telah diaplikasikan sejak manusia mula bersengketa secara berkumpulan. Pemerintah Rom, Ceaser, dikatakan telah menggunakan strategi ini untuk menghadapi dan menguasai kaum Yahudi.

Semasa zaman Rasulullah saw, strategi ini juga digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan keutuhan umat Islam. Satu peristiwa yang dinukilkan sendiri oleh al-Quran berkaitan perkara ini ialah tindakan kaum Yahudi melaga-lagakan kaum `Aus dan Khazraj. Hasutan kaum Yahudi ini talah hampir-hampir mencetuskan peperangan di kalangan kedua-dua kabilah itu sehinggalah Rasulullah saw dengan pantas telah berjaya memadamkan api kemarahan tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat al-Quran surah Ali Imran, ayat 100 hingga 103 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus). Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

Sememangnya dimaklumi bahawa kaum Ansar dari kalangan kabilah `Aus dan Khazraj adalah tunjang kekukuhan negara Madinah pada ketika itu. Merekalah yang telah memberi kesanggupan yang tidak berbelah bahagi membela Rasulullah saw dan menolong saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Menyedari perkara tersebut kaum Yahudi dan golongan munafik melihat bahawa tidak ada strategi lain untuk melemahkan negara yang diperintah oleh Rasulullah saw selain daripada melemahkan kaum Ansar.

Lalu merekapun mengaplikasikan strategi pecah dan perintah dengan mengapi-apikan semangat perkauman antara `Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah hampir-hampir mencetuskan peperangan baru, yang kesannya akan melemahkan kekuatan negara Islam Madinah pada ketika itu. Rasulullah saw sebagai seorang Rasul menerima wahyu dan sebagai seorang pemimpin yang bijaksana cepat-cepat mencium strategi pecah dan perintah pihak musuh ini, lalu persengketaan itu dapat diselesaikan.

Ketika kuasa-kuasa imperialis Eropah menjajah dunia Islam, strategi yang sama digunakan. Mereka mengkaji dan mengenal pasti isu-isu sensetif yang dengan begitu mudah dicucuh untuk membakar api perpecahan di kalangan umat Islam. Antara isu-isu yang digunakan termasuklah semangat kebangsaan (nasionalisme) dan perbezaan mazhab. Dengan memenipulasikan isu-isu ini, umat Islam mula bersengketa dan akibat persengketaan itu, dengan mudah kuasa-kuasa ini menjajah dunia Islam.

Demi menyedari hakikat tersebut, Imam Hassan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimin atau Persaudaraan Islam. Jelas sekali, antara tujuan terpenting beliau ialah menyatukan para pencintan Islam di bawah satu tujuan dan mengelakkan persengketaan yang tidak perlu sesama mereka. Visi dan misi Hassan al-Banna berkaitan persoalan ini termuat dalam Usul al-`Ishrin (Usul Duapuluh). Bagaimanapun, hari ini Ikhwan al-Muslimin turut tidak terkecuali daripada serangan yang berstrategikan pecah dan perintah oleh musuh-musuh mereka.

Demikianlah juga dengan PAS, tidak sunyi daripada menghadapi strategi ini. Hari ini, ramai pihak mengakui bahawa PAS adalah antara parti politik yang paling konsisten dan pengaruhnya semakin hari semakin bertambah. Dalam konteks senario politik terkini, PAS dianggap sebagai ‘King Maker’ yang mencorakkan politik Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sendi kekuatan PAS ialah kesatuan fikrah dan kesatuan bertindak di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Semenjak era Kepimpinan Ulama, hampir tiada satu perselisihan pandangan yang mampu menggugat keutuhan PAS. Meskipun berlaku beberapa peristiwa perselisihan pandangan seperti kewujudan kumpulan Islah yang menentang kerjasama dengan Parti Melayu Semanngat 46, keretakan itu tidak berpanjangan. Sebaliknya, perselisihan tersebut telah menapis golongan yang sebelum ini menjadi bebanan kepada PAS disebabkan tindakan mereka yang dikaitkan dengan takfir.

Setelah hampir 40 tahun era Kepimpinan Ulama, sekali lagi PAS menghadapi perselisihan pandangan khususnya di kalangan pimpinan. Lazimnya perselisihan seumpama ini akan dapat diselesaikan melalui semangat syura sama ada di peringkat Majlis Syura Ulama atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Bagaimanapun ada sedikit kelainan pada kali ini, iaitu UMNO telah cuba menyuntik strategi pecah dan perintahnnya. Peranan ini dibantu oleh media-media massa yang pro-UMNO dan BN.

Cetusan idea Kerajaan Perpaduan oleh Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang tidak pernah langsung mengaitkan hanya hubungan PAS dan UMNO. Tuan Guru Presiden PAS telah menjelaskan bahawa gagasan itu akan melibatkan semua parti. Bagaimanapun, pimpinan-pimpinan UMNO dan media-media mereka mengelirukan rakyat termasuk ahli-ahli PAS sendiri dengan menyogokkan gagasan itu adalah antara PAS dan UMNO. Sehingga artikel ini ditulis, mereka terus menerus menyempitkan pengertian itu.

Strategi UMNO ini sememangnya sedikit sebanyak telah mewujudkan perselisihan yang agak runcing dalam PAS. Namun begitu sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa mengembalikan segala urusannya kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan dipimpin oleh para ulama. Saya percaya, strategi UMNO kali ini akan gagal, sebaliknya PAS akan bangkit semula dengan lebih kuat untuk menumbangkan mereka khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Wednesday, 10 June 2009

Keutamaan Perpaduan Bagi PAS

Kemelut berkaitan dengan isu Kerajaan Perpaduan benar-benar telah dipergunakan oleh media-media Pro-Umno untuk menggugat keutuhan perpaduan dalam PAS. Tidak dapat dinafikan isu tersebut telah mewujudkan perselisihan pandangan bukan sahaja di kalangan ahli, tetapi juga di kalangan pimpinan. Bagaimanapun, perselisihan pandangan (khilaf) adalah merupakan perkara normal bagi sesebuah gerakan Islam yang kini telah menjangkau lebih 50 tahun usianya. Yang sangat dituntut dalam menghadapi situasi ini ialah adab al-ikhftilaf sehingga perselisihan pandangan itu membawa kebaikan kepada PAS.

Hukum perpaduan dalam Islam boleh jadi wajib dan boleh jadi haram. Dengan pengertian lain, dalam situasi tertentu perpaduan adalah wajib dan dalam situasi yang lain perpaduan itu boleh jadi haram. Hakikat ini dapat difahami daripada firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 2 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Jelas sekali ayat tersebut menyuruh supaya bekerjasama dalam perkara yang dikehendaki oleh Allah dan melarang diwujudkan kerjasama pada perkara yang dimurkai olehNya.

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa bertindak berpandukan kepada tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, prinsip perpaduan seperti di atas akan menjadi dasar yang paling penting dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak di luar PAS. Seperti satu bidalan yang pernah diungkapkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, “PAS boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menegakkan tuntutan Allah swt malah sekiranya syaitanpun sanggup berbuat demikian PAS boleh berbincang.”

Selain daripada prinsip tersebut, PAS juga bertindak mengikut Fiqh al-Awlawiyat (Fiqh Keutamaan) dalam menilai pihak-pihak yang boleh dijalinkan kerjasama. Antara kesemua perpaduan itu, sudah pasti perpaduan dalam jamaah menjadi keutamaan yang tertinggi. Sebagai sebuah harakah Islamiyah yang berjuang mendaulatkan tuntutan Allah swt, perpaduan dalam harakah adalah terlebih utama. Keutuhan perpaduan yang ada dalam PAS menjadi faktor terpenting bagi melangsungkan perjuangan meninggikan kalimah Allah swt. Sehubungan dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Saff ayat 4 bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Keutamaan perpaduan seperti ini dapat dilihat bilamana Rasulullah saw terlebih mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar, sebelum baginda mengambil tindakan untuk mewujudkan kerjasama dengan golongan bukan Islam di Madinah termasuklah kaum Yahudi. Peristiwa ini menjelaskan bahawa perpaduan di kalangan para pendukung Islam menjadi teras terpenting kepada kerjasama-kerjasama dengan pihak yang lain. Menyedari hakikat itu, perpaduan dalam PAS sewajarnya menjadi perkara paling utama bagi pimpinan dan ahli.

Dengan wujudnya perpaduan dalam PAS, maka para pimpinan telah menerokai pula kategori perpaduan peringkat kedua iaitu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima prinsip-prinsip perjuangan PAS, antara prinsip yang terpenting ialah menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Secara lebih khusus, PAS menamakan perpaduan kategori ini sebagai Tahalluf Siyasi (persepakatan politik). Penerokaan terhadap perpaduan kategori ini adalah memenuhi tuntutan al-Quran, antaranya firman Allah swt dalam surah al-Mumtahinah ayat 8 dan 9 bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman juga adalah sebagai mengikuti tindakan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw yang menyukai Hilf al-Fudul (persepakatan fudul). Meskipun persepakatan itu berlaku semasa zaman jahiliyah, Rasulullah saw sangat menyukainya dan baginda diriwayatkan menyebut “sekiranya sewaktu Islam aku diajak kepada persepakatan seumpama itu, nescaya aku menyahutnya”. Dalam sebuah hadis sahih, baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud:
Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama-sama bapa-bapa saudaraku satu persepakatan di rumah Abdullah bin Jad`an, yang amat aku sukai lebih daripada unta yang merah. (riwayat Ahmad).

Bersandarkan kepada nas-nas tersebut, maka PAS membentuk persepakatan politik dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka bersama-sama mendukung perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Malah PAS juga mewujudkan persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang turut memperjuangkan perkara tersebut. Sehingga hari ini PAS terus komited dengan agenda menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman seperti yang dipertegaskan dalam Muktamar Tahunan di Ipoh tahun lalu.

Setelah berjaya menerokai perpaduan peringkat kedua tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi Awang melontarkan pula satu lagi pandangan kehadapan iaitu Kerajaan Perpaduan. Lontaran itu bukanlah satu ketetapan dalam PAS kerana pandangan itu belum diputuskan secara matang di dalam PAS sendiri dan juga PR. Seperti yang dilihat hari ini, pandangan tersebut mencetuskan pro dan kontra termasuklah di kalangan pimpinan PAS. Bagaimanapun perselisihan pandangan ini merupakan sesuatu yang normal bagi PAS yang merupakan ‘Government in Waiting’.

Konsep Kerajaan Perpaduan atau National Unity Government sememangnya telah dikupas panjang lebar dalam buku-buku teks sains politik. Bagaimanapun adakah itu yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Presiden PAS? Saya percaya, beliau akan memberikan penjelasan tentang perkara itu tidak beberapa lama lagi. Yang pasti, cetusan Tuan Guru Presiden itu berkait rapat dengan pihak yang selama ini menceroboh keadilan dan melakukan kezaliman terhadap rakyat dan terhadap PAS sendiri, iaitu Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Seperti yang disebut oleh Mursyidul Am, BN dan UMNO telah melakukan pelbagai kezaliman terhadap rakyat termasuklah kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin olehnya sejak hampir 20 tahun yang lalu. Menurut beliau lagi, UMNO bertanggungjawab menindas para ulama dan melakukan penyiksaan terhadap mereka terutamanya pada dekad 1960-an. BN dan UMNO juga mewujudkan pelbagai akta draconian dan menyuburkan budaya rasuah. Yang terbaru, melakukan rampasan kuasa yang tidak demokratik di Perak. Pendek kata, BN dan UMNO adalah paksi kejahatan dan kezaliman dalam negara ini.

Bagaimanapun PAS sejak dahulu lagi membuka pintu perbincangan dengan sesiapa sahaja berdasarkan prinsip-prinsip yang diperjuangkan oleh PAS. Semasa almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS turut membuka pintu perbincangan dengan BN dan UMNO tetapi mestilah diwujudkan suasana kondusif. Hari ini, Presiden PAS turut mengambil sikap yang sama iaitu membuka perbincangan dalam isu-isu yang berkaitan dengan pencabulan demokrasi, salahguna kuasa, keruntuhan kehakiman dan lain-lain.

Berdasarkan pandangan Presiden PAS, saya melihat pintu perpaduan yang dicetuskan adalah bersumber sebuah hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
Tolonglah saudaramu yang zalim (penzalim) dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: Kami menolongnya apabila dia dizalimi, sedangkan sekiranya dia zalim bagaimana kami menolongnya? Rasulullah bersabda: Jauhkan dia atau halangnya dari melakukan kezaliman, itulah pertolongan kepadanya.

Hadith di atas mengajar kita supaya membuka pintu perbincangan dengan golongan pendukung kezaliman seperti Bn dan UMNO dengan matlamat untuk menghindarkan mereka daripada melakukan kezaliman. Seperti yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden baru-baru ini, pintu perbincangan itu diterokai dengan mendahulukan perkara-perkara yang UMNO dan BN begitu ketara melakukan pencerobohan terhadapnya seperti isu demokrasi, rasuah dan kehakiman.

Jelas sekali perpaduan kategori ini kurang keutamaannya daripada perpaduan kategori pertama dan perpaduan kategori kedua. Sekiranya jalan kepada perpaduan untuk menolong golongan penzalim ini akan merosakkan perpaduan dalam PAS dan persepakatan dengan PR, sudah pasti PAS akan mendahulukan perpaduan yang lebih awla (utama). Yang penting setiap ahli perlu memberi keyakinan kepada pimpinan tertinggi PAS, yang sudah pasti tidak akan terlepas pandangan kepada Fiqh Keutamaan seperti ini.

Wednesday, 4 March 2009

Mahkamah Menyatakan Sidang DUN Bawah Pokok Sah

Biarpun banyak dipersoalkan tentang kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim mengeluarkan perintah terhadap Speaker DUN Perak disebabkan tempoh kontrak beliau telah tamat 28 Februari yang lalu, perintahnya terhadap Speaker sedikitpun tidak menyentuh status persidangan DUN bawah pokok semalam. Malah keputusan Ridwan tersebut seperti menyebut bahawa persidangan semalam adalah sah. Demikianlah tafsiran yang diberikan terhadap perintah yang disampaikan kepada Speaker DUN Perak hari ini. Dengan merujuk kepada kandungan perintah itu, maka krisis politik, perlembagaan dan perundangan di Perak semakin bertambah rumit.

Perintah menghalang yang dikeluarkan oleh Ridwan berbunyi "Dengan ini diperintahkan bahawa defendan yang pertama YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu adalah dihalang dari memanggil sebarang persidangan yang melanggar undang-undang (unlawful) yang bertujuan menjadikannya sebagai persidangan Dewan Undangan Negeri". Kandungan perintah tersebut tidak langsung memutuskan bahawa persidangan bawah pokok semalam sebagai tidak sah. Perintah itu juga bermaksud bahawa Sivakumar boleh memanggil mana-mana persidangan yang sah menepati undang-undang. Dengan sebab itu perintah Ridwan tidak menjawab sama ada persidangan bawah pokok semalam sah atau tidak.

Sebenarnya Ridwan mungkin menyedari sekiranya beliau menyebut bahawa Sivakumar diperintahkan tidak boleh memanggil sebarang persidangan DUN maka dengan sendirinya perintahnya terbatal. Sebagaimana yang disebut oleh Karpal Singh, hakim tidak boleh mengeluarkan perintah injunksi menghalang mana-mana persidangan Parlimen atau DUN diadakan kerana doktrin pemisahan kuasa yang telah jelas termaktub dalam perlembagaan. Sekiranya hakim bertindak sedemikian, menurut Karpal beliau boleh disabitkan sebagai menghina Parlimen atau DUN. Dengan sebab itu, Karpal menyarankan supaya tidak melayan perintah itu yang dikatakan olehnya sebagai tidak sah (void and null).

Oleh sebab itu, Ridwan mengeluarkan perintah yang kelihatan lebih menepati undang-undang iaitu menghalang daripada memanggil persidangan yang tidak sah. Menurut peguam Sivakumar kalau tidak dikeluarkan perintah itupun, Sivakumar sebagai speaker selama-lamanya tidak akan memanggil persidangan yang tidak sah. Oleh sebab itu, perintah Ridwan tersebut tidak sedikitpun menjejaskan persidangan bawah pokok yang diadakan, kerana boleh jadi persidangan tergempar yang dipanggil itu adalah sah sebagaimana dakwaan pakar-pakar pelembagaan dan peguam Sivakumar sendiri. Sekiranya persidangan itu sah, maka jelas sekali perintah Ridwan itu tidak terpakai dalam kes persidangan bawah pokok tersebut.

Malah lebih mengejutkan, perintah Ridwan itu mungkin boleh ditafsirkan sebagai mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan. Berdasarkan kenyataan peguam-peguam Zambri, mereka menuntut supaya mahkamah menghalang persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar dan persidangan-persidangan yang seumpamanya di masa akan datang. Akan tetapi perintah Ridwan itu tidak menyentuh status persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar semalam, seperti tidak memasukkan persidangan itu dalam kategori persidangan yang dihalang oleh perintah yang dikeluarkan. Oleh sebab itu, ia terbuka kepada pelbagai tafsiran undang-undang.

Boleh jadi perintah Ridwan itu tidak menyentuh langsung status persidangan bawah pokok semalam dan boleh jadi ia boleh ditafsirkan sebagai tidak membenarkan permohonan peguam-peguam Zambri yang memohon untuk menghalang persidangan tersebut. Jika tafsiran kedua ini dipakai, maka perintah Ridwan itu secara tidak langsung mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan. Sekiranya perintah Ridwan itu mengesahkan persidangan bawah pokok tersebut, maka Zambri dan exco-exconya dengan sendiri digantung, manakala Nizar telah mendapat semula undi percaya mengekalkan jawatannya. Dr Abdul Rahman (SUK) dan Abdullah Antong (Su DUN) benar-benar menjadi pelandok yang tersepit sekarang.

Monday, 2 March 2009

Kini Raja pun 'Derhaka' kepada Sultan

(Berikut adalah surat terbuka Raja Petra Kamaruddin kepada Ir Nizar berkaitan kemelut politik di Perak. Kalau mengikut trend pemikiran UMNO seolah-olah surat ini 'derhaka' kepada Sultan.)


Datuk Seri,

Saya akan menulisnya secara ringkas dan manis. I am going to make this short and sweet. Tak ada lagi artikel cheong hei daripada saya. Mereka dapat mengunci bangunan menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, jika itu kehendak mereka. Bangunan itu tidak penting. Jika bangunan itu tidak dapat digunakan — umpamanya, musnah akibat banjir atau gempa — adakah bermakna sidang Dewan Undangan juga tidak boleh diadakan [di tempat lain]? Tentu saja boleh. Sidang boleh diadakan di mana saja, tidak semestinya di dalam dewan tersebut.

Malam ini, sekarang, pergilah cari tempat lain supaya sidang Dewan Undangan Negeri esok dapat dijalankan. Luluskan undi percaya terhadap kepimpinan anda sebagai Menteri Besar. Luluskan segala usul lain, termasuk usul untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian, segeralah memandu ke Bukit Chandan dan sembahkan kepada baginda Tuanku akan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri itu.

Andainya Tuanku enggan memberi perkenan terhadap suatu yang secara terang sejajar dengan undang-undang, cabarlah baginda, jika perlu, cetuskan Krisis Perlembagaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 52 tahun negara ini. Rakyat telah bersedia. ‘Revolusi’ seterusnya ini tidak akan menjadi rusuhan kaum ala 13 May. Ia akan menjadi satu Perjuangan Kelas. Dan saya bersama Rakyat dalam perjuangan ini, jangan pedulikan latarbelakang kerabat Di-Raja saya itu. Saya bercakap sebagai raja tetapi bersuara untuk Rakyat.

Percayalah, terdapat ramai lagi anggota kerabat yang sependapat dengan saya. Jangan biarkan beberapa orang yang duduk di tampuk kuasa itu mengertak dan menakutkan anda sehingga anda fikir anda keseorangan, mewakili Rakyat, menghadapi Kesultanan. Tidak, kami semua bersama dengan anda, begitu juga anggota kerabat yang lain. Tangkaplah seladang itu melalui tanduknya dan jatuhkan ia dengan menarik tanduk itu sehingga ke bawah kakinya. Walaupun telah ditakdirkan seladang itu memakai mahkota. Rakyat telah bangkit. Jangan sesekali mengaku kalah.

Bersungguh-sungguhlah meneruskan perjuangan atau selamanya kelebihan itu akan hilang. Dan jika anda gagal bersungguh-sungguh meneruskan perjuangan ini, ingatlah bahawa Rakyat tidak akan memaafkan dan anda akan kehilangan kepercayaan kami buat selamanya.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Patek yang hina sembah Tuanku dan memohon perkenan agar Tuanku jangan kecewakan Rakyat. Hasrat Rakyat ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan. Biarlah ini juga menjadi hasrat Tuanku.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

[Terjemahan bebas arifabdull terhadap Open letter to Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tulisan RPK]

Wednesday, 25 February 2009

DAP Semakin Berubah Berbanding UMNO

Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah sebuah parti multi-racial yang berpegang kepada satu ideologi politik iaitu 'Social Democracy'. Ideologi ini merupakan alternatif kepada ideologi Liberalism Capitalism yang diamalkan oleh kebanyakan negara blok Barat. Socialism Democracy juga merupakan alternatif kepada Socialism Karl-Marx dan Komunisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara blok Timur. Jerman adalah antara negara yang mula-mula diperintah oleh parti yang berhaluan Social Democracy melalui parti Social Democracy Party (SDP). Negara-negara lain adalah seperti New Zealand dan Norway.

Dari segi ideologi, DAP tiada beza dengan UMNO kerana kedua-duanya berpegang kepada ideologi sekular yang dicipta oleh falsafah pemikiran manusia. UMNO semasa ditubuhkan merupakan sebuah parti yang mendukung ideologi Nationalism dan selepas Merdeka UMNO mewarisi ideologi Liberalism British dalam menerajui Malaysia. Apabila Tun Razak mengambil alih teraju pemerintahan dari Tunku Abdul Rahman, beliau cenderung kepada pendekatan Social Democracy. Penggubalan DEB adalah antara contoh amalan Social Democracy yang turut mendapat sokongan DAP pada awalnya, sehinggalah DEB disalahgunakan untuk kepentingan elit-elit Melayu.

Tun Razak semasa belajar di England banyak dipengaruhi oleh ideologi ini kerana beliau menyertai sayap Labour Party. Labour Party selalu dikenali sebagai parti yang mendukung ideologi Social Democracy ataupun dianggap sebagai pendukung Socialism sederhana Robert Owen. Semasa memerintah, Tun Razak memperkenalkan banyak pendekatan seperti membuka tanah-tanah pertanian yang dikaitkan dengan Rancangan Buku Hijau, diikuti dengan membuka Bilik Gerakan Negara. Kesemua pendekatan ini adalah begitu asing bagi negara-negara yang mendukung aliran Laissez Faire. Tindakan Tun Razak ini menyerlahkan lagi pengaruh Social Democracy yang didukunginya.

Ketika Dr Mahathir mengambil alih teraju negara, banyak pihak meramalkan beliau akan menuruti pendekatan Tun Razak. Dr Mahathir pernah satu ketika dituduh oleh seorang pimpinan pelajar Univeristi Malaya, Yazid Othman, sebagai Socialist. Yazid yang ketika itu Presiden PMUM menuduh Dr Mahathir sedemikian ekoran kenyataan Dr Mahathir yang berbau Socialism ketika melakukan lawatan ke luar negara. Bagaimanapun, setelah menerajui negara, Dr Mahathir mempunyai ideologi sendiri yang tidak Socialism dan tidak juga Liberalism. Disebabkan ketidaktentuan itu, ramai pemerhati politik menganggap Dr Mahathir berpegang kepada ideologi Pragmatism

Para pendukung UMNO selalu menuduh DAP sebagai 'adik kandung' kepada PAP Singapura. Tuduhan ini ada asasnya kerana selepas penyingkiran Singapura daripada Malaysia, konfrantasi antara UMNO dan PAP berterusan. Sepertimana PAP mempunyai 'adik kandung' di Malaysia, UMNO juga didakwa oleh PAP mempunyai 'adik kandung' di Singapura. Sejarah konfrantasi UMNO dan PAP ini memerlukan kepada kupasan lain kerana wujud tuduhan-tuduhan yang menganggapnya sebagai sendiwara. Ramai pengkaji-pengkaji sejarah termasuk Dr Ramlah Adam yang begitu dikenali sangat rapat dengan UMNO mempunyai persepsi negatif terhadap Tunku Abdul Rahman.

Kemuncak kebencian UMNO kepada DAP adalah selepas Pilihanraya 1969, iaitu apabila DAP hampir menggugat UMNO khususnya Dato Harun di Selangor. Kedudukan UMNO-Perikatan dan DAP di Selangor selepas Pilihanraya tersebut adalah 50-50, yang menyaksikan Dato Harun mungkin tumbang. Sebenarnya kedudukan DAP pada ketika itu adalah sama seperti PPP di Perak dan Gerakan di Pulau Pinang. Ketiga-tiga parti ini dilihat berada dalam satu barisan untuk menghadapi UMNO-Perikatan. Terdapat juga dakwaan bahawa kesemua ini adalah dirancang dari jauh oleh PAP di Singapura, lanjutan daripada konfrantasi UMNO dan PAP sebelum ini.

Sekiranya benar dakwaan ini, maka bukan sahaja DAP yang terlibat tetapi PPP dan Gerakan juga terbabit sama. Namun demikian sisi hitam PPP dan Gerakan telah diputihkan apabila mereka menyertai UMNO untuk menubuhkan Barisan Nasional (BN). Dalam Pilihanraya 1969, Gerakan berjaya menerajui Pulau Pinang, manakala PPP kekurangan hanya 2 kerusi untuk menerajui Perak. Kedua-dua parti ini menyertai UMNO untuk menubuhkan BN selepas Tragedi 13 Mei 1969. Yang tinggal hanyalah DAP yang berdiri meneruskan perjuangannya sebagai parti pembangkang. Kesemua latar belakang ini dijadikan peluru oleh UMNO untuk menyerang DAP sebagai parti yang anti Melayu.

Kalaulah DAP menyertai BN sudah pasti tuduhan itu akan lenyap. Bagaimanapun, adakah benar DAP anti Melayu atau DAP hanya anti UMNO? Adakah bila sesuatu parti itu anti UMNO bermakna parti itu juga anti Melayu? Sepanjang sejarah politik negara, telah muncul parti-parti yang anti UMNO seperti parti yang ditubuhkan oleh Dato Onn iaitu IMP dan Parti Negara. Demikian juga parti yang ditubuhkan oleh Tengku Razaliegh iaitu Semangat 46 yang anti UMNO (baru) pimpinan Dr Mahathir. Kesemua parti ini tidak pula disebut sebagai anti Melayu. Beza parti-parti ini dengan DAP ialah pimpinan mereka Melayu, sementara DAP majoriti kepimpinan bukan Melayu.

Bagaimanapun, DAP hari ini telah jauh berubah berbanding DAP pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Perubahan itu berlaku seiring dengan perubahan senario politik negara yang semakin matang dan menolak politik perkauman. DAP telah mula meletakkan ideologi 'Social Democracy'nya sebagai ideologi yang merentasi semua kaum. Hari ini mereka telah turut memperjuangkan nasib golongan Melayu tertindas seperti yang dilakukan oleh Lim Guan Eng di Melaka dan menyuarakan isu tanah wakaf di Pulau Pinang. Generasi baru DAP semakin meninggalkan politik perkauman sempit seperti yang mereka amalkan semasa berkonfrantasi dengan UMNO dahulu.

Yang masih belum berubah ialah UMNO, yang terus mengekalkan politik perkaumannya yang sempit. Ketika hampir semua parti di Malaysia menuju kepada politik berasaskan ideologi, hanya UMNO yang masih mengekalkan trend lamanya. MCA dan MIC sendiri dilihat mula menapak untuk berubah. Untuk UMNO melakukan perubahan itu sangatlah sukar kerana politik perkauman adalah nyawa UMNO. UMNO kini sedang bertarung untuk mempertahankan nyawanya. Apa-apa sahaja isu bermula daripada DEB kepada babi, bermula daripada azan kepada sultan, akan dijadi sajian politik perkauman. Kedua-dua UMNO dan DAP berpegang kepada ideologi sekular, cuma bezanya DAP sekarang sedang berubah.

Tuesday, 24 February 2009

Begini Rupanya Wajah DAP Perak

(Artikel ini ditulis oleh Misbahul Munir, Setiausaha Politik MB Perak)

UMNO menuduh Hj Nizar boneka DAP, mengikut telunjuk Nga dan Ngeh, pentingkan Cina dari Melayu, setiap ucapan kena rujuk DAP, kenyataan akhbar juga ikut kehendak DAP, beri kuasa DAP agih tanah pada Cina dan sebagainya. Hari ini saya nak cabar kerajaan haram BN dedahkan semua yang didakwa dengan bukti-buktinya, lapor pada SPRM atau polis dan seretlah Hj Nizar dan semua EXCO ke mahkamah. BN ada kuasa haram, gunakanlah kuasa haram untuk mengiyakan apa yang kamu dakwa.

Sebenarnya itu semua dakwaan kosong, fitnah, palsu, tak ada modal nak cari isu, mereka-reka isu palsu supaya rakyat terpedaya, media pula dikuasai oleh mereka, Samad Majid dari FM Perak pula buat lapuran dalam Berita Perak di Radio setiap hari. Setiap dakwaan dan tuduhan tidak pula Hj Nizar sebagai MB dan EXCO diberi peluang menjawabnya. Hubungan antara pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup intim, saling memahami, tidak pernah menimbulkan isu yang sensitif samada agama atau yang menyentuh hak orang Melayu. Hj Nizar pula setiap kali memulakan ucapan dalam apa sahaja majlis samada majlis itu dihadiri ramai orang bukan Islam atau tidak, pasti muqaddimah ucapannya dimulakan dengan petikan ayat-ayat al Quran, diterjemah dan diberi kupasan untuk tujuan dakwah kepada mereka. Kadang-kadang diterjemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka lebih memahaminya.

Nga, salah seorang EXCO DAP sentiasa mengikuti ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Hj Nizar dan bertanya saya dari ayat mana dan surah apa. Saya beritahu ayat dan surah yang dibaca. Katanya dia mahu study di rumah ayat yang dibaca oleh Hj Nizar. Di mini perpustakaan Nga ada terjemah al quran dalam bahasa Inggeris, dia cari ayat tersebut dan dikajinya. Akhirnya beliau kagum dengan Hj Nizar, menurut Nga ayat-ayat Quran yang dibaca Hj Nizar mesti ada kaitan dengan majlis yang diadakan. Malahan, beliau turut mencari mana-mana ayat al Quran yang berkaitan dengan prinsip keadilan, kebajikan, integriti, ketelusan dan amanah, beliau bertanya saya dan meminta saya mengajarnya bagaimana cara menyebut dalam bahasa Arab, saya menulis dalam huruf rumi ayat-ayat tersebut dan ternyata dibacanya dalam ucapan dan ceramah walaupun pelat, diterjemah dan dihurai dengan begitu baik prinsip-prinsip tersebut mengikut ajaran al Quran.

MCA, MIC dan semua parti komponan BN yang lain, ada atau tidak pemimpin mereka membuka al Quran, membaca dan menterjemah serta mengulas mana-mana konsep mengikut ajaran Islam. Seingat saya, tidak ada pemimpin MCA dan MIC yang berbuat demikian, sebab itu mereka tidak faham Islam walaupun berkawan dengan UMNO sejak sekian lama, apatah lagi UMNO yang menjadi rakan mereka sendiri tidak faham Islam. Sebaliknya, DAP sejak berkawan dengan PAS, sama-sama memerintah Perak khususnya, cukup memahami konsep keadilan, amanah dan kebajikan mengikut ajaran Islam. Bahkan mereka juga tahu hukum Hudud yang selama ini mereka diberi gambaran yang salah oleh media dan pemimpin BN.

Qari dan Qariah Perak telah menjuarai tilawah al Quran peringkat Kebangsaan. Ngeh dari DAP mencadangkan kepada MB Perak supaya mereka diberi anugerah berupa sumbangan, MB setuju beri 5 ribu setiap seorang, Ngeh cadang 10 ribu setiap seorang, sebab mereka telah mengharumkan nama Perak. Malahan turut dicadangkan kerajaan taja mereka mengerjakan haji atau umrah. Cadangan tersebut diberi perhatian oleh MB dan bersetuju buat majlis dan beri sumbangan 10 ribu seorang dan jurulatihnya 5 ribu.

Seorang Tok Guru pondok dari Pengkalan Hulu yang juga ahli majlis fatwa negeri Perak yang dikenali dengan nama Pak Teh. Pak Teh ada pondok yang mempunyai murid yang agak ramai, pondok Pak Teh agak uzur, muridnya ramai, gurunya pula tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Pak Teh ada memohon kira-kira 45 ekar tanah hutan di belakang pondoknya. Tanah hutan tersebut dipohon sejak bertahun-tahun dahulu untuk diusahakan dengan pertanian. Pak Teh mengadu pada Dato' Seri Hj Nizar sempena lawatan kerja MB Perak ke Pengkalan Hulu. Di pejabat, MB mengarahkan pegawainya menyemak semula permohonan Pak Teh, dalam semakan MB, didapati permohonan Pak Teh sudah lengkap laporannya di PTG, semua Jabatan berkaitan menyokong permohonan Pak Teh dengan mengatakan tiada halangan untuk diberi pertimbangan kelulusan, tetapi fail tersebut tidak diangkat ke mesyuarat EXCO untuk diluluskan, Hj Nizar terus mengarahkan PTG menyediakan fail segera untuk diangkat ke mesyuarat EXCO supaya diberi pertimbangan kelulusan.

Dan mesyuarat EXCO terus meluluskan, Ngeh bertanya kepada MB mengapa hanya 45 ekar sahaja yang diluluskan, tanah kerajaan luas lagi di Pengkalan Hulu, untuk mencari dana bagi tujuan pendidikan Ngeh mencadangkan diberi sahaja 100 ekar. Tujuan Pak Teh mohon tanah kata Negh bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kepentingan bagi melahirkan tokoh-tokoh ulama di Perak. Itu kata Cina DAP yang sering ditohmah oleh UMNO. Tajol Rosli jadi MB Perak sejak 10 tahun dulu bersama dengan EXCO muslim yang lain, Pak Teh pula ahli Majlis Fatwa negeri Perak, permohonan tanah yang diajukan kepada MB BN ketika itu diabaikan. Sepatutnya mereka malu dengan Ngeh yang nampaknya lebih prihatin terhadap perkembangan pendidikan Islam di Perak.

DAP tidak pernah membantah apa sahaja cadangan mengenai hal ehwal Islam, apabila bantuan perkapita diberi semula kepada Sekolah Agama Rakyat, EXCO DAP tidak membantah. Mereka tidak pula meminta supaya sekolah-sekolah Cina turut diberi bantuan perkapita. Permohonan-permohonan untuk tujuan baik pulih masjid, surau, sekolah-sekolah agama sering diluluskan oleh MB, DAP dan EXCOnya tidak juga membantah atau dengki. Program-program Islam yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Negeri seperti buka puasa dan solat tarawikh di dataran DBI, kempen solat, tazkirah setiap hari sepanjang Ramadhan menggunakan pembesar suara dan juga azan Zohor di Surau SUK menggunakan pembesar suara tidak pernah dibantah oleh DAP.

Sebenarnya DAP dengan semua ADUNnya jauh lebih baik, prihatin, mudah mesra dan pandai menyesuaikan diri berbanding dengan MCA dan MIC. Sebab itu, mereka ditolak oleh pengundi Cina dan India. Orang Melayu juga yang payah berubah, tetapi Insya Allah saya yakin, perkembangan politik mutaakhir ini menunjukkan orang Melayu juga akan berubah untuk menolak BN secara total dalam pilihanraya akan datang.

Monday, 23 February 2009

Dato Onn Terlebih Derhaka Berbanding Nizar

(Artikel ditulis oleh Sdr Mohd Fadhli Ghani seorang pakar sejarah politik Malaysia terutama kurun ke-20)

Pemimpin UMNO dan UMNOlah yang mempelopori siri penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu selepas abad ke - 20. Dato' Onn adalah antara tokoh politik pertama yang mencetuskan siri penderhakaan ini. Pada tahun 1920, Dato' Onn secara terbuka telah mengkritik Sultan Johor dengan begitu keras kerana Sultan Johor telah melelong harta bapanya yang gagal membayar hutang negeri sehingga kematiannya. Sultan Johor ketika itu sangat murka di atas penderhakaan yang berterusan sehingga dipecat dari jawatan dan dibuang ke Singapura pada 1927.

Dua orang adek beradeknya juga turut melakukan tindakan menderhaka kepada Sultan, iaitu abangnya Dato' Abdullah Jaafar (ketika itu MB Johor), Abdullah Jaafar menghina dan memburukkan nama sultan di luar negeri, akhirnya beliau dipecat dari jawatannya sebagai Menteri Besar dan ditarik balik gelarannya. Kakaknya Che Dara Jaafar turut diambil tindakan kerana bersekongkol dengan penderhakaan ini (walaupun Che Dara ketika itu menjadi isteri Sultan Ibrahim), kedua-duanya dihukum buang negeri.Ketiga-tiga adek beradek ini menjadi keluarga terbuang akibat penderhakaan ini.

Mereka menetap di Singapura, Dato' Onn tetap meneruskan penderhakaan ini di Singapura melalui akhbar Warta Malaya yang beliau menjadi pengarangnya. Akhbar ini lantang mengkritik dan memberi sembah derhaka kepada Sultan Johor pada 1930.Beliau kembali ke Johor pada tahun 1936 dan dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor pada tahun 1947. Dalam tempoh berkhidmat sebagai Menteri Besar, beliau telah berkrisis dengan Raja-raja Melayu ekoran cadangannya supaya seorang Melayu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

Raja-raja Melayu amat murka dengan cadangan ini kerana ia meletakkan seorang Melayu lebih tinggi kedudukannya daripada Raja-raja Melayu itu sendiri.UMNO secara terbuka menghina Raja-raja Melayu terutama Sultan Kedah dalam beberapa isu yang berbangkit pada tahun-tahun tersebut. Dalam Mesyuarat Agung UMNO di Butterworth pada 27 Ogos 1949, secara terbuka beliau menyelar dan menuduh Raja-raja Melayu menjaga kepentingan diri daripada orang Melayu, beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British bagi melemahkan UMNO dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

Kemuncak penderhakaan ini ialah apabila Dato' Onn mengajak ahli UMNO menamatkan pemerintahan beraja. Akibatnya, Sultan Kedah berhasrat mengharamkan UMNO di negeri Kedah dan Sultan Johor sendiri memaksa Dato' Onn meletakan jawatan sebagai Menteri Besar pada 17 Jun 1949.Kebiadaban UMNO kepada Raja-raja Melayu sangat terserlah antara tahun 1947-1949, pemimpin UMNO menggunakan platform UMNO untuk menghina Raja-raja Melayu, mereka mencabar kuasa Raja-raja Melayu secara terbuka dan kemuncak penderhakaan UMNO pada tahun 1949 ialah apabila Presiden UMNO (Dato' Onn) pada waktu itu mengajak ahli-ahli UMNO menamatkan sahaja sistem pemerintahan beraja di negara ini.

Thursday, 12 February 2009

Mufti Perak Tumpang Sekaki

Kalaulah tidak kerana Almarhum Ustaz Ishak Baharom Mufti Selangor dipecat, Mufti Perak tidak mungkin menjadi sandaran rakyat untuk membela Islam. Almarhum Mufti Selangor inipun pernah dipermainkan oleh pihak media sehingga beliau mengemukakan bahawa sesiapa yang memakai salib maka dia boleh terjerumus kepada murtad. Jawapan Almarhum telah digunakan oleh pihak media untuk mengaitkan tindakan Tengku Razaliegh yang memakai tengkolok yang ada corak salib padanya. Berikutan itu Almarhum Mufti Selangor sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada media. Selepas itu seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau untuk membela dan bersuara meninggikan kalimah ALlah swt.

Selepas Almarhum dipecat, maka antara mufti yang paling senior ialah Mufti Perak Hj Harussani. Pada beliau rakyat Malaysia mula meletakkan harapan untuk menggantikan peranan Ustaz Ishak Baharom. Sekiranya Almarhum Ustaz Ishak pernah tersilap dipermainkan oleh pihak media tetapi kemudian rakyat boleh menerimanya kembali, demikianlah juga Hj Harussani. Sebelum itu, semasa era 1980 an ramai rakyat yang mengaitkan Hj Harussani sebagai mufti yang selalu bercakap "harus, harus" bila ditanyakan sesuatu soalan. Ketika enakmen Hukum Hudud dan Qisas dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan awal 1990 an, beliau dilihat tidak menyatakan pendiriannya secara jelas.

Kemudian apabila Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan enakmen yang sama, sikap Hj Harussani juga seperti itu. Malah dalam satu ceramah di sebuah Masjid di Subang Jaya beliau kelihatan tidak mendukung usaha itu dengan menyifatkannya sebagai tergesa-gesa sehingga menyebabkan beliau diasak oleh pendengar-pendengar yang tidak berpuas hati dengan penerangan beliau. Demikian juga ketika isu penarikan balik bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat, beliau tidak begitu lantang menentang tindakan Dr Mahathir walaupun beliau adalah lulusan sekolah seumpamanya. Beliau lebih selesa mengambil jalan selamat, iaitu berbincang secara empat mata dengan Dr Mahathir ketika menyambut Dr Mahathir di lapangan terbang Ipoh. Apabila Dr Mahathir dengan tegas menyatakan tidak akan mengembalikan bantuan itu, Hj Harussani dikatakan sedih dan menitiskan air mata.

Mungkin selepas itu beliau mula menyedari bahawa UMNO sememangnya tidak mempunyai keazaman yang penuh untuk membela dan meninggikan Islam. Selepas itu rakyat melihat beliau mula lantang bersuara terutama apabila berkait rapat dengan isu-isu murtad dan liberalisasi agama. Semenjak itu rakyat mula menaruh harapan kepada beliau untuk menggantikan peranan Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Walaupun beliau bukanlah pendukung PAS, tetapi ahli-ahli PAS sendiri boleh menerima beliau apabila banyak pendirian beliau selari dengan pendirian PAS seperti dalam isu polisi moral dan IFC. Malah ahli-ahli PAS juga menyediakan platform kepadanya untuk bersuara berkenaan isu-isu tersebut.

Dari segi keilmuan, sememangnya sukar untuk diukur setinggi manakah keilmuan beliau. Hj Harussani adalah lulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang sekarang telah diturun taraf menjadi sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama. Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya pada ketika itu diterima sebagai bertaraf ijazah atau diploma. Beliau tidak pernah menghabiskan masa untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat keilmuan Islam seperti di Timur Tengah, India dan Pakistan. Beliau juga tidak pernah memondok bertahun-tahun di pondok-pondok traditional di negara ini sebagaimana ulama-ulama dahulu. Berdasarkan sejarah pengajian beliau, paling tidak beliau tidaklah setanding dengan para ilmuan negara ini yang pernah melalui susur galur pengembaraan ilmu seperti itu.

Sekiranya diukur dari segi sejarah perdebatan ilmu, beliau juga tidak begitu berketrampilan untuk duduk bersama para ilmuan Islam yang lain berbahas tentang sesuatu isu Islam. Semasa Pejabat Mufti Perak menganjurkan perbahasan tentang isu bid'ah sepatutnya beliaulah yang kehadapan untuk berbahas isu itu dengan Dr Asri Zainul Abidin. Sebaliknya Pejabat Mufti Perak menjemput Dr Abdul Aziz Hanafi yang merupakan Ahli Majlis Shura Ulama PAS. Beliau hanya dilihat menyerang Dr Asri dari belakang dan tidak pernah berhujah secara berhadapan. Menyedari hakikat tersebut, sekiranya diukur kepada kewibawaan ilmu, mungkin ramai lagi para ulama di Perak yang lebih layak menduduki kerusi Mufti seperti Ustaz Salleh Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Bagaimanapun, beliau sememangnya disayangi oleh Pihak Istana Perak terutama Sultan Azlan sendiri. Dengan sebab itu, dalam Perayaan Jubli Perak Sultan Azlan baru-baru ini, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai paling berjasa kepada Sultan Azlan. Malah dari segi dunia akademik, beliau turut dianugerahkan Doktor Kehormat Shari`ah dari Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Tanpa menafikan sumbangan beliau kepada pentadbiran Agama Islam negeri Perak dan Malaysia, sumbangan beliau dari segi dunia akademik bagaimanapun tidaklah memberansangkan. Namun demikian anugerah yang bersifat akademik seperti ini turut diterima oleh beliau sebagai satu-satunya anugerah Doktor Kehormat Shari`ah yang pernah dianugerahkan oleh Universiti Malaya setakat ini.

Melihat kepada hubungan beliau dengan Sultan Perak, maka tidaklah menghairankan jika beliau mengisytiharkan derhaka kepada Hj Nizar Jamaluddin baru-baru ini. Walaupun telah banyak diperbahaskan dari sudut perundangan tentang kesahihan pemecatan Hj Nizar, iaitu ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Akan tetapi semua pihak, termasuk yang bersetuju dengan pemecatan Hj Nizar ini bersepakat bahawa tindakan Sultan Azlan ini tidak betul dari segi moral. Tidak mungkin pihak Istana Perak tidak mengetahui bagaimana ada ADUN-ADUN yang disembunyikan, ada di kalangan mereka yang diculik dengan menggunakan nama Raja Muda dan ada di kalangan mereka yang diugut. Apakah Istana Perak lebih terkongkong dari 'katak di bawah termpurung'?

Semua pihak termasuk veteran-veteran UMNO dan pihak yang berkecuali seperti SUHAKAM berpendapat cara pengambilalihan kuasa itu tidak bermoral. Malah golongan yang bukan Islam termasuk bekas ADUN Bukit Selambau lebih bermoral dalam menanggapi isu-isu ini. Rakyat negeri Perak tanpa mengira agama kecuali penyokong tegar UMNO melihat tindakan BN yang kemudian diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai tidak bermoral. Tiba-tiba Hj Harussani boleh membenarkan tindakan yang tidak bermoral atau berakhlak seperti ini. Sekiranya usaha melompat parti ini ada melibatkan unsur rasuah seperti yang dikhuatiri, maka adakah kenyataan Hj Harussani ini tidak boleh dilihat sebagai bersekongkol dengan golongan perasuah dan pemberi rasuah.

Hampir sepakat para ulama bahawa rasuah adalah antara dosa-dosa besar yang sangat dimurkai oleh Allah swt. Tiba-tiba Hj Harussani mengiyakan pembentukan sebuah kerajaan secara rampasan kuasa yang rakyat begitu meyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Tindakan Hj Harussani sememangnya akan menyebabkan institusi mufti akan dipandang hina bukan sahaja oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Sudah ramai pelayar internet menyeranah beliau dalam buku pelawat website Pejabat Mufti Perak. Selepas ini diyakini, sekiranya beliau berceramah di mana-mana orang Islam yang tidak berpuashati dengan pendirian beliau akan menyoal dan mempertikaikan tindakan beliau. Beliau tidak lagi akan dihormati sebagaimana sebelum ini.

Mungkin beliau tersilap kerana diperangkap oleh media sebagaimana yang berlaku kepada Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Namun demikian, selepas beliau mengulang-ulangkan pendirian beliau beberapa kali, maka situasinya telah dilihat berbeza. Kalau benar beliau adil beliau boleh menyanggah tindakan Hj Nizar dan pada masa yang sama beliau mesti juga menyatakan pendirian Islam tentang pembentukan kerajaan secara rampasan kuasa yang diyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Malangnya beliau hanya bertindak dengan menyebelahi satu pihak. Beliau kelihatan tidak jijik dengan budaya mengkhianati amanah rakyat dan amalan rasuah yang merupakan antara perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Sepatutnya sebagai seorang mufti beliau gerun untuk tumpang sekaki seperti ini.