Sunday 23 March 2008

Wayang Kulit Politik Terengganu

Setelah hampir dua minggu menelaah kemelut perlantikan MB Terengganu, maka semakin jelas siapakah sebenarnya dalang di sebalik politik wayang kulit tersebut. Kebanyakan politikus termasuk Husam Musa dalam blognya bersetuju bahawa dalang tersebut ialah Khairy Jamaluddin, tetapi mereka mengupas plot drama politik yang agak lazim. Menurut Husam dan beberapa blog yang lain seperti blog antikhairy, PM dan Khairy bermatian mempertahankan Idris Jusoh demi survival projek Patrick Lim di Terengganu. Kemungkinan untuk beralasan seperti itu sememangnya ada, tetapi adakah seringkas itu mainan politik Khairy?

Kita semua tersilap sekiranya menganggap Khairy sedang bersembunyi sambil membilang hari-hari terakhir karier politiknya. Menganggap Khairy sebagai 'budak hingusan' politik adalah sesuatu yang tidak tepat sebagaimana simplistiknya tanggapan awal Dr Mahathir terhadap beliau. Hanya selepas negarawan itu tumpas di kawasannya sendiri Kubang Pasu sekadar untuk menjadi perwakilan UMNO, barulah Dr Mahathir membuka mata bahawa Khairy tidak seperti yang beliau sangka. Malah kemungkinan Khairy didukung oleh sekumpulan 'brilliant' politik sama ada junior atau senior sememangnya tidak boleh dinafikan.

Kemelut perlantikan MB di Terengganu sebenarnya hanyalah wayang kulit yang dipaparkan layar hadapannya kepada rakyat melalui media. Lakonan di sebalik layar hadapan itu adalah konflik dalaman Pak Lah dan Mahathir (Najib) pasca PRU ke 12 yang lalu. Wayang kulit seumpama itu telah berakhir di Perlis dan Selangor, dan bakal berakhir di Terengganu. Selepas ini pentasnya akan dibuka di Melaka. Hampir pasti penamat wayang kulit di Terengganu itu berpihak kepada Pak Lah dan menantunya Khairy, selepas kejayaan seumpama itu ditempa di Perlis dan Selangor.

Dalam kes wayang kulit di Perlis yang menyaksikan tumbangnya Shahidan Kassim, semua pihak tidak menunding jari kepada Khairy. Sebenarnya kekuatan akar-umbi politik Shahidan di Perlis sememangnya kukuh sehingga usaha untuk menyingkirkannya dari jawatan MB dan Ketua Perhubungan UMNO Perlis tidak berjaya dilakukan oleh Khairy sebelum PRU ke 12. Dosa Shahidan kepada Pak Lah hanyalah beliau diragui kesetiaannya oleh Khairy sehingga arahan sulit Khairy kepadanya boleh sampai ke pengetahuan Dr Mahathir. Dalam politik, mereka yang diragui kesetiaannya seharusnya disingkir terutama dalam keadaan getir.

Namun begitu surat watikah Pak Lah yang dipertahankannya sehingga Dr Isa Sabu mengangkat sumpah sama sekali telah mengaburi rakyat menunding jari kepada Pak Lah dan Khairy sebagai punca penyingkiran Shahidan. Cuma tidak diketahui keterlibatan pihak Istana Perlis ini secara langsung atau tidak langsung, tetapi campurtangan Radzi Sheikh Ahmad sememangnya merupakan anasir yang utama. Sehingga hari ini masih ditelaah, mengapa selepas wayang kulit di Perlis ini selesai, Radzi tidak dilantik ke jawatan Menteri dan seterusnya membawa kepada perletakan jawatan beliau. Tempat beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO kemudiannya digantikan pula oleh politikus yang pro Mahathir.

Manakala dalam kes wayang kulit di Selangor pula plot ceritanya agak mudah dibaca. Perletakan jawatan Khir Toyo adalah merupakan pukulan terakhir yang tidak dapat ditepis lagi olehnya. Setelah pelbagai pukulan dikenakan kepadanya selepas PRU ke 11 pada tahun 2004 yang lalu membabitkan beberapa isu seperti Bukit Cerakah sehinggalah kepada usaha untuk membawa semula pengaruh Muhammad Taib dalam PRU ke 12 di Selangor, Khir masih boleh menepis. Tepisan Khir ini disebabkan beliau menerajui tampuk sebuah negeri yang paling strategik bagi UMNO, sehingga usaha memaksakannya meletakkan jawatan sangat sukar demi untuk memastikan Selangor tidak terlepas ke tangan pembangkang. Kini setelah Selangor terlepas kepada pembangkang, tiada lagi halangan untuk memaksa khir berbuat demikian.

Kini rakyat sedang menyaksikan pula episod wayang kulit di Terengganu. Layar hadapannya memaparkan kepada rakyat bahawa Pak Lah mempertahankan Idris Jusoh dan membelakangkan watikah istana. Dalam kes ini, pihak Istana diyakini tidak terlibat dengan permainan wayang kulit ini, tetapi pendirian pihak Istana telah dipergunakan sebaik mungkin oleh Khairy untuk menyingkirkan Idris Jusoh ini. Idris bukanlah orang Pak Lah di Terengganu walaupun selalu menjadi balaci kepada Patrick Lim. Orang kepercayaan Pak Lah khususnya Khairy di Terengganu ialah Wan Farid, yang gagal ditabalkan semasa PRU ke 12 yang lalu.

Kegagalan team Pak Lah di Terengganu semasa PRU ke 12 ini sebenarnya hanya sementara. Sikap tidak gopoh Khairy untuk tidak terus menyingkirkan Idris dalam PRU ke 12 yang lalu adalah satu strategi licik bukan sekadar memberi kemenangan kepada UMNO di Terengganu, tetapi juga untuk mengelakkan banyak pihak menunding jari kepadanya sebagai dalang di sebalik 'grand design' ini. Khairy telah merasai bagaimana getirnya melakukan grand design secara terbuka sehingga beliau selalu dilihat sebagai liablity kepada UMNO. Maka selepas PRU ke 12 berkebetulan dengan pendirian pihak Istana seperti ini, beliau mula memainkan watak dalangnya.

Semua kita boleh menilai adakah Ahmad Said seberani itu untuk berdepan dengan 22 Adun yang menyokong Idris melainkan ada satu kuasa politik di belakangnya. Dalam media hari ini pula telah muncul beberapa sokongan kepada Ahmad daripada ketua-ketua bahagian UMNO termasuk dari luar Terengganu mendesak supaya menghormati watikah istana walaupun Wan Farid masih melakonkan sokongan kepada Idris. Hari-hari yang berikutnya akan dilihat bahawa sokongan kepada Ahmad semakin bertambah dan akhirnya Idris akan menuruti jejak Shahidan. Setelah itu siapa boleh menunding jari kepada Pak Lah sebagai punca penyingkiran Idris?

Di mata rakyat dan ahli-ahli UMNO yang menonton layar hadapan wayang kulit ini, Idris disingkirkan oleh Istana. Namun demikian pihak yang paling gembira dan turut mengambil kesempatan mendalangi penyingkiran ini ialah Khairy. Selepas tumbangnya Idris di Terengganu, hampir keseluruhan negeri dikuasai oleh team Pak Lah dan Khairy kecuali beberapa negeri seperti Melaka. Bagi team Dr Mahathir dan juak-juaknya seperti Kelab Maya Umno serta Prowaris, kekalahan besar UMNO dalam PRU ke 12 akan memungkinkan tumbangnya Pak Lah, tetapi dengan beberapa episod wayang kulit ini jalan Khairy menuju ke puncak semakin cerah.

3 comments:

Head Shot said...

masih baru ya blog ini
ok.teruskan!

abudanial said...

Kemaluan ku membesar.
Kemaluan ku membesar... kerana aku orang Malaysia.
Kemaluan ku membesar... kerana gelagat SPR semasa PRU-12.
Kemaluan ku membesar... kerana gelagat polis semasa PRU-12.
Kemaluan ku membesar... kerana menampakkan kemiskinan pemikiran diantara mereka.
Kemaluan ku membesar... tidak pernah ku dengar, pelancong mendapat escort polis untuk ke Terengganu & Kelantan.
Kemaluan ku membesar... sewaktu kerajaan mengaku Malaysia adalah negeri yang selamat.
Kemaluan ku membesar... kerana keputusan pilihanraya tidak online di zaman yang 'serba canggih' ini.
Kemaluan ku membesar... kerana masih ada sistem undi pos.
Kemaluan ku membesar... kerana sangat banyak pemberian hadiah sebelum PRU.
Kemaluan ku membesar... kerana kos PRU boleh membina beberapa hospital.
Kemaluan ku membesar...

pemantau said...

Itulah percakapan dan pemikiran manusia yg tidak menggunakan akal anugerah Allah.Mereka fikir,mereka lebih bijak daripada Allah Pencipta Alam.Jgn bimbang,tidak lama lagi akan terserlahlah pembohongan mereka kepada rakyat Malaysia.Mereka kena ingat bahawa Allah menerima doa orang-orang dizalimi tanpa ada hijab antara Allah dan hambaNya.Jgn mereka fikir,mereka boleh terlepas begitu saja.