Tuesday 25 March 2008

Peluang Terakhir Buat Ku Li

Dari segi ketokohan politik Tengku Razaleigh (Ku Li) bukanlah tandingan Pak Lah. Nama Ku Li sebenarnya sebaris dengan tokoh-tokoh besar politik UMNO yang lain seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Nama ketiga-tiga mereka mulai tersohor di arena politik tanahair semasa zaman pemerintahan Tun Razak, malah Tun Razak dilihat meletakkan harapan kepada mereka untuk menerajui politik orang Melayu selepas ketiadaannya. Pak Lah pada ketika itu hanyalah pegawai kerajaan yang baru berjinak-jinak dengan politik. Ketokohan politik Ku Li semakin terserlah di zaman Hussien Onn apabila beliau dilantik ke jawatan Menteri Kewangan, iaitu antara kementerian terpenting dalam kerajaan Malaysia.

Dalam UMNO Ku Li telah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 lagi sebaris dengan Dr Mahathir pada ketika itu. Apabila Tun Razak meninggal dunia, Hussien Onn telah dipilih sebagai Perdana Menteri. Nasib Ku Li agak kurang baik kerana beliau tidak terpilih untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri walaupun nama beliau antara yang disebut-sebut ke jawatan tersebut ketika itu. Kelicikan politik Ku Li dapat dilihat bilamana beliaulah yang bertanggungjawab untuk menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan sebagaimana yang diperakuinya sendiri semasa bekerjasama dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Ketika Hussein Onn 'meletak jawatan' sebagai Perdana Menteri dan tempatnya diganti oleh Dr Mahathir, sekali lagi nasib tidak menyebelahi Ku Li apabila beliau gagal merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau kalah kepada Musa Hitam sekaligus menyebabkan beliau gagal untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Semenjak itu beliau terus mencuba untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO sehingga berlaku persaingan yang hebat antara mereka berdua. Walaupun Dr Mahathir mengambil pendirian berkecuali, tetapi ramai pihak melihat beliau lebih cenderung kepada Musa Hitam berbanding Ku Li. Dengan tidak diduga-duga pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 Ku Li bekerjasama pula dengan Musa Hitam untuk melawan Dr Mahathir sehingga hampir-hampir Dr Mahathir tumbang.

Perseteruan yang berlaku di peringkat tertinggi UMNO ini seterusnya telah membawa kepada pengharaman UMNO dan perpecahan sehinggalah Ku Li kemudiannya tersingkir. Beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) setelah usahanya untuk menubuhkan semula UMNO gagal. Beliau turut disertai oleh ramai tokoh-tokoh UMNO yang lain seperti Rais Yatim dan Manan Othman. Menjelang PRU pada tahun 1990 beliau telah menubuhkan APU bersama-sama PAS, Hamim serta Berjasa dan Gagasan Rakyat bersama-sama DAP serta PRM. PRU pada tahun 1990 telah menyaksikan hagemoni politik BN tergugat kerana mereka hilang banyak kerusi khususnya di kawasan bandar dan Kelantan pula jatuh kepada PAS (APU).

Bagaimanapun pada PRU tahun 1995, APU dan Gagasan Rakyat gagal mengulangi kejayaan tahun 1990 menyebabkan masa depan politik Ku Li mulai kelam. Beliau mengambil keputusan untuk membubarkan S46 dan menyertai semula UMNO. Bermula daripada titik inilah sinar politik Ku Li semakin malap. Kalaulah beliau terus mengekalkan S46 kemungkinan beliau akan terus menjadi figure yang penting dalam politik tanah air, apalagi pada tahun 1998 berlaku satu lagi episod penting dalam perkembangan politik Malaysia. Selepas menyertai semula UMNO beliau terus kehilangan sokongan kerana penyokongnya sendiri seperti Rais Yatim dan Zainal Abidin Zin telah diberikan kedudukan dalam UMNO dan kerajaan oleh Dr Mahathir. Tinggallah Sabree Chik yang menjadi gurkha setia kepada Ku Li.

Kemudian apabila Pak Lah mengambil alih teraju UMNO pada tahun 2003, nasib Ku Li terus tidak berubah. Malah gurkha Ku Li, Sabree Chik pula telah diberikan kedudukan oleh Pak Lah. Tinggallah Ku Li keseorangan dalam UMNO sehingga untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pun beliau tidak mendapat pencalonan kecuali daripada kawasannya sendiri. Namun sebagai seorang ahli politik Ku Li tidak pernah berputus asa dengan cuba meraih sokongan daripada NGO-NGO Melayu. Melalui sokongan NGO-NGO Melayu ini beliau berharap akan dapat melonjakkan suaranya dalam arena politik tanahair sekurang-kurangnya dia dilihat masih aktif dalam berpolitik. Hakikatnya beliau telah terpisah jauh daripada arus perdana politik UMNO.

Bagaimanapun Allah swt menentukan nasibnya tidak selalu malang apabila UMNO mengalami pukulan yang teruk dalam PRU ke 12 baru-baru ini. Kemalangan bagi UMNO pada PRU tersebut merupakan peluang keemasan untuk Ku Li kembali ke arus perdana politik Malaysia. Namun begitu Ku Li kini masih keseorangan sedangkan budaya politik dalam UMNO tidak memungkinkan beliau melonjak secara keseorangan. Jika tidak beliau hanya akan mengulangi kegagalannya untuk mencabar Pak Lah dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang lalu. Ku Li mesti membina kumpulan atau dalam bahasa politik selalu disebut 'team'. Siapakah yang akan menyertai team Ku Li ini?

No comments: