Thursday, 5 February 2009

Isu Perak: Bacaan Politik Cikgu Pa Betul

Ketika Anwar Ibrahim mewarwarkan pengambilalihan Kerajaan Pusat yang disasarkan 16 Februari 2008 yang lalu, Mustafa Ali (Cikgu Pa) adalah antara tokoh politik yang mengambil langkah tidak popular. Cikgu Pa menyatakan pembentukan itu tidak mungkin berlaku kerana tidak mungkin MP akan menyeberang dari sebuah parti yang sedang memerintah. Tindakan melawan arus ini sesuatu yang hampir tidak mungkin berlaku berdasarkan sejarah politik Malaysia. Sebaliknya yang selalu berlaku ialah penyeberangan ahli MP atau ADUN kepada parti pemerintah. Beliau cuba memberi gamabaran realistik bahawa tindakan Anwar itu sesuatu yang sukar berdasarkan iklim politik Malaysia.

Telahan Cikgu Pa ini telah dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk mereka yang rapat dengan Cikgu Pa sendiri. Mereka menganggap Cikgu Pa tidak berkongsi semangat untuk menjatuhkan pemerintahan BN sehingga memperkecilkan usaha merampas kuasa secara melompat parti. Bukan sekadar itu, Tuan Guru Mursyidul Am juga menempelak kenyataan Cikgu Pa yang dianggap tidak menyokong agenda PR. Kesemua pertikaian ini menyebabkan akhirnya pandangan Cikgu Pa terpinggir, malah beliau kelihatan berada di pihak yang salah. Bagi menjernihkan suasana beliau memohon kemaafan daripada Tuan Guru Mursyidul Am.

Cikgu Pa juga tidak begitu menggemari dan 'excited' dengan amalan melompat parti seperti yang cuba dilakukan oleh Anwar kerana tindakan itu tidak melalui jalan demokrasi. Anwar memberi jaminan bahawa selepas PR mengambil alih, Pilihanraya Umum akan diadakan dalam tempoh yang terdekat untuk mendapatkan mandat daripada rakyat. Dalam kes ADUN Bota melompat parti ke PKR, sekali lagi Cikgu Pa begitu konsisten untuk tidak bersetuju dengan amalan ini dengan menyatakan bahawa PAS akan menyokong sekiranya diwujudkan Akta Melompat Parti tetapi dengan syarat MP atau ADUN yang melompat parti itu diberikan hak untuk bertanding semula.

Pandangan Cikgu Pa inipun mungkin tidak menyenangkan para penyokong PR kerana dibuat dalam keadaan ada khabar-khabar angin bahawa ada ADUN BN yang akan melompat ke PR. Sebagaimana dalam peristiwa 16 September ini, sikap Cikgu Pa dalam berpolitik ialah tidak begitu ghairah untuk menyatakan bahawa UMNO lemah dan bodoh. Telahan bahawa Kerajaan BN di peringkat pusat akan tumbang hanya dengan melompat parti adalah sangat simplistik. BN di peringkat pusat mempunyai segala kekuatan termasuk bantuan perisikan dan kewangan. PR tidak boleh semudah itu bertindak, kerana dengan kekuatan yang ada pada BN boleh menyebabkan serangan balas secara mengejut.

Sepatutnya inilah yang diperhatikan oleh PKR, DAP dan sebahagian pimpinan junior PAS. Sikap terlalu ghairah untuk menarik MP dan ADUN BN untuk melompat parti akhirnya telah memakan diri. Bila mana ADUN Bota menyeberang kepada PR maka kesemua mereka semakin yakin strategi 16 September boleh dicapai dalam tempoh yang terdekat. Bagaimanapun keghairahan ini telah menyebabkan mereka alpa sehingga tidak menyedari bahawa ADUN Bota itu sekadar umpan. Hari ini terbukti bahawa keghairahan untuk mendukung amalan melompat parti ini akhirnya memakan diri. BN dan UMNO tidaklah selemah dan sebodoh yang mereka sangka, sebagaimana yang diperingatkan oleh Cikgu Pa.

Cikgu Pa bukanlah seorang ahli politik yang berkepentingan. Beliau telah menyertai kabinet Malaysia ketika usianya masih terlalu muda. Beliau telah melalui pengalaman yang sangat berharga menghadapi segala tipu helah UMNO dan BN. Beliau pernah jatuh bangun dalam politik sehinggalah yang terakhir mengambil keputusan untuk tidak mahu lagi bertanding jawatan tertinggi PAS untuk memberi laluan kepada generasi muda. Bagaimanapun pengalaman politiknya begitu berharga. Beliau bukanlah ahli politik yang telah tamat tempoh seperti yang didakwa. Dalam hal tertentu pandangan politiknya lebih tajam termasuklah berbanding dengan Anwar sendiri.

Wednesday, 4 February 2009

Empat Pilihan Di Tangan Sultan Perak

Situasi di Perak kini dalam keadaan yang tidak menentu, dengan PR dan BN masing-masing berusaha untuk meminta perkenan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbudin Shah. PR memohon perkenan daripada Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN memohon perkenan daripada Sultan untuk membentuk kerajaan Baru. Maka di tangan bagindalah sekarang untuk menentukan siapakah yang akan menerajui Negeri Perak untuk hari seterusnya. Keputusan Sultan Perak ini sangat besar maknanya berkebetulan baginda baru menyambut ulang tahun Jubli Perak pemerintahan baginda. Situasi yang ada seperti inilah yang menjadikan baginda benar-benar berperanan sebagai pemerintah berdaulat dan tidak berpihak, yang akan dikenang dalam sejarah pemerintahan beraja di Malaysia.

Baginda Sultan Perak mempunyai pilihan untuk memperkenankan pembubaran DUN Perak sebagai yang dituntut oleh Menteri Besar sekarang. Kuasa untuk memperkenankan pembubaran DUN itu terletak di tangan Baginda. Sekiranya baginda memperkenankan permohonan ini, baginda akan dilihat sebagai bertindak bijak untuk memberi semula mandat kepada rakyat untuk memilih siapakan yang bakal menerajui negeri Perak. Namun begitu tindakan seperti ini bukanlah penyelesaian terbaik, kerana pilihan ini akan menyebabkan usaha untuk melompat akan terus berlaku di masa akan datang. Mana-mana kerajaan yang mendapat kepercayaan rakyat secara majoriti mudah akan sentiasa terdedah kepada ketidakstabilan dan rampasan kuasa secara tipuhelah jijik dan mual.

Pilihan yang lain, Sultan Perak boleh memperkenankan pembentukan kerajaan baru oleh BN. Sekiranya baginda memperkenankan pembentukan kerajaan baru ini, maka baginda akan dilihat berpihak malah akan dianggap dipergunakan oleh BN untuk menyempurnakan tipu helah yang jijik dan memualkan tersebut. Baginda Sultan Perak yang terkenal dengan ketegasan dan kebijaksanaan tidak mungkin akan dipengaruhi dengan budaya politik tidak bermaruah yang diamalkan oleh BN. Sekiranya Baginda mengambil tindakan seperti ini, sejarah hitam akan terpalit kepada pemerintahan baginda, kerana bertindak untuk menyokong mereka yang mengkhianati kepercayaan rakyat Baginda. Secara umum, rakyat baginda telah memberi mandat kepada PR untuk memerintah dalam PRU yang lalu.

Sebagai Sultan yang bijaksana, Baginda boleh menjadi pendamai antara kedua pihak dengan mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan campuran antara PR dan BN. Pilihan ini lebih praktikal berbanding dua pilihan sebelum ini. Dalam konteks ini baginda sekali lagi memainkan peranan yang berkesan sebagai pemerintah sebenar kepada negeri Perak dengan menggunakan kuasa budi bicara mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih stabil melalui pembentukan kerajaan campuran tersebut. Sekiranya kerajaan campuran itu berjaya dibentuk, kerajaan itu tidak mungkin tergugat lagi dengan permainan kotor politik. Sebaliknya masing-masing akan berusaha untuk menunjukkan prestasi terbaik bagi mendapat kepercayaan rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

Pilihan yang terakhir yang ada di tangan Baginda Sultan ialah mengekalkan Kerajaan Negeri yang sedia ada sebagai sebuah kerajaan minoriti. Baginda mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian kerana Baginda boleh menggunakan budibicara baginda menyerahkan mandat kepada mana-mana pihak yang dilihat mendapat sokongan majoriti. Sokongan majoriti itu boleh jadi datang daripada ADUN dan boleh jadi datang daripada rakyat. Majoriti yang datang daripada rakyat diterjemahkan dalam PRU yang lalu, manakala majoriti yang datang daripada ADUN sentiasa boleh berubah berdasarkan lompat-melompat. Oleh itu Baginda boleh menggunakan budibicara itu untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada. Sekiranya ini pilihan Sultan Perak, Baginda akan dilihat sebagai Sultan yang tegas. Malah lebih penting lagi akan menamatkan sejarah lompat-melompat parti yang telah berlaku sejak selepas merdeka.

Latarbelakang Baginda sebagai Bekas Ketua Hakim Negara menjadi pentunjuk bahawa tidak mungkin pilihan kedua diambil. Baginda Sultan Azlan telah teruji untuk memutuskan keputusan yang adil semasa menjadi Ketua Hakim sebelum ini. Baginda juga telah melihat bagaimana institusi kehakiman telah menjadi bahan ketawa apabila ketua-ketua hakim yang selepasnya menjadi balaci politik kepada pihak tertentu. Kali ini institusi istana pula menjadi perhatian, sedangkan Bagindalah yang sedang menjadi perhatian seluruh negara. Dengan pengalaman yang luas memberi keadilan semasa menjadi hakim, maka Baginda diyakini akan bertindak dengan saksama kepada situasi yang berlaku sekarang.

Monday, 2 February 2009

Anwar Kelihatan Bersetuju Dengan Dakwaan Ini?

(Berikut kami siarkan artikel terjemahan dari Malaysia Today yang di dapati dalam blog Perakxpress, yang kemudiannya turut dimuatkan pada awalnya di ruang utama blog Anwar Ibrahim. Kami siarkan tapa sebarang suntingan.)

Dua EXCO PKR ini telah hilang. Mereka telah hilang sejak empat hari lalu dan tiada sesiapa yang tahu dimana mereka tetapi mereka bukan ‘hilang’, sebaliknya berada didalam tangan pemimpin Umno. Dan UMNO mahukan mereka bersetuju kepada satu perjanjian. Terima RM10 juta seorang dan ‘menyeberang’ kedalam Umno ataupun dihantar kepenjara diatas tuduhan rasuah. Pada hari dimana dua EXCO PKR ini ditahan dan di lindungi oleh Umno, seorang ADUN UMNO melompat kedalam PKR. Ini menghancurkan rancangan Umno. Mereka hanya memerlukan dua ADUN PKR untuk meruntuhkan Pakatan Rakyat diPerak. Tetapi apabila ADUN Umno menyeberang kedalam PR, perancangan ini tergendala.

Sekarang mereka memerlukan tiga. Mereka kemudianya menawarkan bekas ADUN Umno ini jawatan Menteri besar. Sekiranya dia bersedia kembali kedalam Umno dan BN merampas Perak dari PR, dia akan diberikan jawatan Menteri Besar. Umno memerlukan Nasruddin kembali kedalam Umno, kalau tidak…menahan dua EXCO PKR ini tidak memberi apa-apa makna. Walaupun dua EXCO ini bersetuju menerima RM10 juta, Umno masih gagal merampas Perak dari PR. Walaupun mereka berjaya menahan dua EXCO PKR ini dan mengancam dengan pelbagai ugutan, Nasrudin telah menghalang perancangan mereka. Kini mereka mengugut Nasrudin..” Altantuya telah mati dan Bala telah hilang.” Apakah Nasrudin akan menerima nasib yang sama?”

Apa yang berlaku? Perancangan Umno untuk memerangkap Jamaludin dan Osman telah dirancangkan sebaik saja Pilihanraya Kuala Terengganu berakhir. Pada masa itu, Umno tidak menyangka ADUN mereka sendiri akan menyeberang kedalam PKR. Najib mahukan Perak dirampas untuk menutup ‘kemaluan’ beliau yang hilang didalam dua pilihanraya kecil yang lalu. Jamaludin dan Osman telah ditawarkan sejumlah RM10 juta setiap orang dan tuduhan mereka didalam kes rasuah akan digugurkan. Jamaludin dan Osman sudah bersedia untuk menerima tawaran ini dan hanya menunggu masa yang sesuai. Walaubagaimanapun, perancangan ini telah dapat dihidu oleh Anwar dan Anwar telah mengarahkan Hj. Ismail untuk mempercepatkan usaha penyeberangan ADUN-ADUN Umno kedalam PKR untuk menghalang perancangan Umno ini.

Jamaludin dan Osman sebenarnya telah pun hilang pada hari Jumaat minggu lepas. Dan apabila mengetahui ‘kehilangan dua EXCO ini, Anwar telah mengarahkan Hj. Ismail membawa Nasrudin keKuala Lumpur dan terus mengumumkan kemasukan Nasrudin kedalam PKR. Ini telah menghancurkan perancangan Najib untuk merampas Perak dari PKR. Sekiranya Anwar terlewat untuk bertindak, dan Jamaludin dan Osman bertindak lebih awal, maka Pakatan Rakyat Perak sudah pastinya tumbang. Sebenarnya, ada seorang lagi ADUN Umno yang menyertai Nasrudin ke Kuala Lumpur, tetapi hanya Nasrudin yang membuat pengumuman. Pasal apa? Yang tu aku tak dibenarkan cerita. Pandai-pandai la sendiri….

Selepas hari itu, pelbagai usaha telah dibuat oleh Umno untuk memujuk Nasrudin kembali kedalam Umno, malah telah di janjikan jawatan Menteri Besar sekiranya Nasrudin bersedia kembali kedalam Umno. Dan jangan terkejut…tawaran ini dibuat oleh Jamaludin sendiri yang menghubungi isteri Nasrudin! Tidak diketahui sama ada Jamaludin diugut ataupun dengan kerelaan sendiri ketika membuat tawaran bagi pihak Umno ini. tetapi apa yang jelas, Umno begitu terdesak sehingga sanggup melakukan apa saja untuk merampas Perak dan mengembalikan ‘kemaluan’ Najib yang hilang.

Setakat ini, masih tidak diketahui apakah langkah Umno selanjutnya, dan aku jugak tak boleh nak cerita apakah yang sedang dilakukan oleh PKR. ramai yang menghantar email dan SMS bertanya, malah ada yang terlalu risau. Dan ada yang marah kat aku…bila aku kata ..”Relax!” No.no.no….jangan risau! kalau setakat lompat melompat…aku tak risau. Ini macam main poker. Dan Anwar ada beberapa kad lagi yang masih belum dibuka. Kecuali kalau Umno main kotor…. menggunakan kekerasan. Yang tu aku tak tau. Orang yang terdesak macam Najib mampu melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya. Kalau Altantuya boleh mati…Bala boleh hilang…macam-macam boleh jadi.

Friday, 16 January 2009

Di Atas Kertas PAS Boleh Menang

Hari ini adalah hari pembuangan undi untuk Piliharaya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. Menurut perhitungan di atas kertas, PAS melalui calonnya Abdul Wahid Endut boleh mencapai kemenangan. Faktor utama yang membolehkan PAS mencapai kemenangan ialah sokongan padu daripada pengundi-pengundi Cina di DUN Bandar dan keinginan pengundi Melayu untuk melakukan perubahan. Faktor-faktor lain turut memberi kesan tetapi tidaklah sebesar kedua-dua faktor tersebut. Sekiranya tiada penipuan, dengan keizinan Allah PAS akan mencapai kemenangan.

PRK kali ini sangat penting untuk menguji keberkesanan strategi UMNO bermain dengan isu-isu perkauman selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu. Seperti sebuah artikel yang pernah diterbitkan oleh blog ini selepas PRU yang lalu, tindakan UMNO bermain dengan isu-isu perkauman akan memerangkap diri. UMNO seperti tidak menyedari bahawa punca kegagalan besar mereka dalam PRU yang lalu ialah peralihan undi secara besar-besaran pengundi Cina dan pengundi India. Mereka tidak menghadapi masalah dengan sokongan pengundi-pengundi Melayu.

Secara rasional, UMNO sepatutnya berusaha untuk mengendurkan isu-isu perkauman dan bersikap lebih toleran dengan golongan bukan Melayu. Akan tetapi UMNO seperti telah 'berkerat rotan', seolah-olah langsung tidak mengharapkan pengundi-pengundi Cina dan pengundi-pengundi India kembali menyokong mereka. Isu-isu yang sepatutnya boleh disejukkan telah diperhangatkan secara besar-besaran oleh media pro-UMNO. Kesemua perkara yang berlaku di tanahair terutama di Perak, Selangor dan Pulau Pinang tidak terpisah daripada perkauman.

Pada ketika yang sama muncul NGO-NGO 'mee segera' yang bercakap dengan nada ultra-malay seperti satu agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu. Mereka ini mula bercakap secara perkauman tanpa mengendahkan segala isu-isu sensetif yang jelas mengguris hati kaum-kaum bukan Melayu. Kemudian pemimpin-pemimpin UMNO menyambutnya dengan kata-kata sokongan, sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin parti komponen bukan Melayu dalam BN turut tersinggung. Seolah-olah menjadi ultra-malay adalah tiket yang paling dihargai untuk menduduki kerusi kepimpinan UMNO selain politik wang.

Kesemua ini akan menjarakkan lagi UMNO dengan pengundi-pengundi bukan Melayu. Maka PRK ini menjadi gelanggang terbaik untuk menguji kejayaan percaturan UMNO ini. Apakah tindakan 'berkerat rotan' ini akan menguntungkan mereka? Parlimen Kuala Terengganu sebenarnya melambangkan beberapa kawasan parlimen di negeri-negeri Malay Belt terutama di Pahang. Sekiranya sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu terus beralih arah dengan strategi 'berkerat rotan' ini tidak mustahil beberapa parlimen yang seumpamanya akan jatuh ke PR dalam PRU akan datang termasuklah Pekan.

Selain daripada itu, strategi 'berkerat rotan' ini akan juga dinilai sama ada akan boleh meningkatkan sokongan pengundi Melayu. Bolehkah dengan segala isu-isu perkauman yang telah dimainkan akan menyebabkan pengundi-pengundi Melayu lari dari PAS terutamanya. Sehingga hari ini, pengundi-pengundi Melayu tidak melihat PAS sebagai ancaman terhadap survival mereka. Sebaliknya telah timbul satu kecenderungan untuk beralih kepada PAS bagi membela kepentingan Melayu dan Islam. Kelemahan UMNO hari ini, telah mencabut ketakutan yang ada pada kaum Melayu untuk menyokong PAS.

Kakitangan kerajaan, golongan profesional dan golongan muda dari kalangan kaum Melayu sudah tidak takut lagi untuk menyokong PAS. Segala ugutan UMNO terhadap mereka seperti yang dilakukan sebelum-sebelum ini sudah lapuk. Bagi mereka esok atau lusa belum tentu UMNO akan terus berkuasa. Mereka telah melihat sendiri khurafat yang mempercayai UMNO tidak boleh kalah akhirnya terbukti palsu, apabila UMNO tumbang di negeri-negeri yang tidak disangka. Oleh kerana itu, tidak perlu lagi takut kepada UMNO.

Lebih daripada itu, sudah ada satu kecenderungan kaum Melayu untuk memperkukuhkan PAS bagi mengimbangi pengaruh DAP dalam PR. Golongan ini melihat PAS perlu diberi kekuatan sebagai pihak yang mewakili suara Melayu dalam PR. Sekiranya PAS tidak mempunyai kekuatan, maka tiada suara Melayu yang kuat sekiranya PR berjaya menerajui kerajaan sama ada dalam jangka masa terdekat atau selepas PRU akan datang. Secara lebih jelas, peranan yang dimainkan oleh UMNO sebagai tulang belakang kerajaan sebelum ini perlu segera dialihkan kepada PAS.

Berdasarkan kepada kedua-dua faktor tersebut, maka parlimen Kuala Terengganu boleh jatuh dengan mudah kepada PAS. Dengan jumlah pengundi Cina yang mencecah 11 % dan jumlah pengundi Melayu dari kalangan kakitangan kerajaan terutama guru, golongan profesional dan golongan muda yang agak ramai di parlimen ini, PAS berdasarkan perhitungan atas kertas boleh menang dengan agak selesa. Bagaimanapun, PRK kali ini adalah saat yang paling genting bagi UMNO dan bakal PM Najib. Saat yang begitu genting ini memungkinkan apa sahaja boleh berlaku, bukan sekadar pengundi hantu bahkan bentuk-bentuk penipuan lain yang tidak terfikirkan oleh PAS dan PR buat ketika ini.

Thursday, 8 January 2009

Benarkah Anwar Menyokong Israel?

Saya bukanlah penyokong tegar Anwar kerana ada beberapa perkara yang saya setuju dan tidak setuju dengannya. Keakrabannya dengan beberapa tokoh Barat bisa sahaja memalitkan beliau dengan Zionism walaupun pada ketika yang sama beliau turut akrab dengan al-Qaradhawi. Tetapi menuduh sesuatu yang tiada hujung pangkal adalah sesuatu yang tidak bermoral dan seperti kata Anwar sasau. Saya pernah diminta hadir kursus BTN dan saya berhujah secara ilmiah dengan fasilitatornya termasuk berkaitan isu Anwar. Kasihan mereka dan penyedia modul yang tidak dilengkapi hujah-hujah yang mantap disebabkan ketiadaan bukti.

Di dalam blog Anwar ada seorang yang bernama Munirah bertanya mengapa Anwar terlibat dengan Annapolis Summit 2007. Munirah menyatakan keterlibatan Anwar dengan persidangan tersebut menunjukkan Anwar menyokong Israel. Provokasi Munirah ini telah dipanjangkan oleh seorang yang menggelarkan dirinya Pochong dalam ruangan forum Tranungkite. Kemudian beberapa orang yang dipercayai cyber troopers UMNO menghentam Anwar dan memprovok penyokong PAS supaya memisahkan diri dengan Anwar. Antara nama-nama samaran yang mungkin cyber troopers UMNO ialah Kyerule, DrCeroi, Pasyurga dan lain-lain.

Begitu terdesak cyber troopers UMNO untuk memecahkan PR yang diketuai oleh Anwar, TGHA dan Lim Kit Siang. Malah individu yang mengaku Dr (DrCeroi) yang saya percaya bukan seorang yang berilmu tinggi berkemungkinan juga adalah seorang cyber trooper. Saya yakin mereka tidak menguasi BI dan kalaupun menguasai mereka tidak baca sehingga habis kenyataan yang turut disokong oleh Anwar. Sebenarnya Annapolis Summit yang diadakan pada 20 November 2007 diusahakan oleh US melalui Setiausahanya Rice dan menjemput hampir semua kuasa besar dunia termasuk Russia, negara-negara Arab, negara-negara dunia Islam, wakil UE dan wakil UN.

Jelas sekali, Anwar yang tidak berjawatan apa-apa kecuali NGO tiada 'locus standi' untuk bersama dalam persidangan itu. Saya percaya kalau Dr Mahathir dijemput dia juga akan pergi. Malah mengikut senarai jemputan, Syed Hamid Albar juga turut hadir. Manakala surat kenyataan bertarikh 10 November 2007 yang turut disokong oleh Anwar itu lebih bersifat 'conditional supporting letter' (surat sokongan bersyarat) atau 'demand statement' (kenyataan tuntutan) yang biasa dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada individu atau berkumpulan bagi mengemukakan cadangan-cadangan kepada mana-mana persidangan.

Keterlibatan dengan surat kenyataan itu tidak boleh disabitkan sebagai menyokong persidangan itu, betapa pula untuk menyokong kewujudan Israel. Lebih menarik lagi surat kenyataan itu menuntut perkara-perkara yang biasa dituntut oleh pimpinan-pimpinan Islam. Dalam surat kenyataan itu menyebut supaya HAMAS dan Syiria turut tidak dipencilkan dalam persidangan itu, kerana pemencilan mereka tidak akan menjadikan perbincangan menjurus kepada kejayaan. Mereka yang menyokong surat tersebut menyatakan sebarang gencatan senjata akan gagal tanpa keterlibatan daripada HAMAS.

Dalam surat kenyataan yang disokong oleh Anwar juga menyebut menghapuskan kekangan terhadap Gaza perlu diberi perhatian dan penduduknya perlu diberi kebebasan untuk melakukan kegiatan ekonomi seperti biasa. Tuntutan ini sama dengan tuntutan HAMAS sehingga ia menjadi salah satu syarat mereka untuk tidak melancar roket dan komit dengan gencatan senjata seperti dalam krisis yang terbaru. Surat kenyataan itu turut menuntut Annapolis Summit membekukan penjajahan dan perkembangan pendudukan Israel di Palestine.

Selain daripada itu, surat kenyataan itu menyarankan supaya Annapolis Summit respon terhadap beberapa isu penting sebagai elemen yang penting supaya persidangan ini tidak mengulangi kegagalan beberapa persidangan yang lalu. Mereka menyarankan supaya Green Line yang diputuskan pada tahun 1967 diambil kira dan Jurusalem dibahagikan kepada dua iaitu di bawah Israel dan di bawah Palestine. Kota-kota suci juga mesti ada satu pentadbiran yang saksama bagi memberi hak kepada Islam, Kristian dan Yahudi melakukan kegiatan agama mereka.

Mereka juga menyarankan supaya pelarian Palestine diberi keadilan dan pampasan yang sewajarnya disebabkan pendudukan haram Israel. Malah mereka juga menuntut supaya persidangan tersebut menggesa Israel memberi kedaulatan kepada Palestine. Bagi mereka perkara ini merupakan perkara krtikal yang mesti dilakukan sekiranya Annapolis Summit mahu mencapai perdamaian di Timur Tengah. Sekiranya tidak Annapolis Summit akan mengulangi kegagalan. Sememangnya isu Palestine ini sangat sukar diselesaikan apalagi untuk kembali semula sepertimana sebelum terbentuknya entiti haram Israel. Bagaimanapun surat kenyataan ini boleh dilihat tuntutan untuk penyelesaian sementara bagi mewujudkan keamanan di Timur Tengah.

Oleh sebab itu, Anwar adalah wajar untuk berdiri bagi menyatakan tuntutan-tuntutan bersama individu-individu lain sepertimana yang terdapat dalam surat ini. Yang menghairankan, bagaimana surat ini boleh difahami oleh cyber troopers UMNO sebagai menyokong Israel dan memencilkan Hamas. Yang jelas UMNO lah yang telah memencilkan HAMAS dan mengutamakan FATAH kerana sefahaman dengan mereka. UMNO dan FATAH adalah sinonim kerana mereka banyak melakukan penyelewengan dan rasuah. Di Palestine, FATAH dikenali sebagai mereka yang banyak menyeleweng dan melakukan rasuah sehingga rakyat berpaling kepada HAMAS yang begitu dikagumi dengan agenda-agenda kebajikan mereka.

Wednesday, 19 November 2008

Bagaimana Kalau Dr Mahathir Sertai PAS?

Kritikan Dr Mahathir kepada Pak Lah beransur reda berikutan dengan persetujuan Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO menjelang Mac tahun depan. Bagaimanapun, Dr Mahathir terus mengkritik UMNO dan kadangkala bakal pengganti Pak Lah, Najib Tun Razak. Sudah beberapa kali beliau menyatakan bahawa UMNO sudah tidak lagi relevan disebabkan amalan politik wangnya dan kelemahan kepimpinannya. Malah beliau turut menyatakan bahawa kemungkinan UMNO akan kalah teruk dalam PRU ke 13 akan datang seperti tidak lagi dapat dielakkan.

Tindakan beliau yang terus mengkritik UMNO ini telah dibuat pelbagai tafsiran oleh pemerhati-pemerhati politik. Ada kalangan pemerhati-pemerhati politik melihat Dr Mahathir mahu melakukan 'come back' setelah melihat kelemahan UMNO yang begitu ketara, di samping menghadapi kemaraan Anwar Ibrahim. Terdapat juga pandangan yang melihat tindakan beliau sebagai 'silent campaign' untuk anaknya yang bertanding Ketua Pemuda UMNO. Demikianlah juga, terdapat pemerhati politik yang melihat beliau cuba mengimbangi ancaman terhadap proksinya Najib yang sedang menghadapi pelbagai isu berkaitan peribadinya.

Bagaimanapun, tidak juga harus ditolak bahawa kemungkinan beliau benar-benar telah hilang keyakinan dengan UMNO untuk terus menerajui negara. Dikatakan kekecewaan inilah yang telah diluahkan kepada seorang pimpinan veteran PAS dalam pertemuan tertutup antara mereka berdua. Dr Mahathir dikatakan telah meletakkan harapan yang tinggi kepada PAS sebagai alternatif kepada tonggak politik Melayu-Islam di negara ini. Sekiranya benarlah pengkhabaran ini, adakah Dr Mahathir akhirnya akan menyertai PAS? Dan sekiranya beliau menyertai PAS, bagaimanakah kesannya terhadap politik negara?

Keputusan politik Dr Mahathir sememangnya sukar diduga. Beliau kadangkala bertindak di luar perkiraan politik umum, sebaliknya lebih berpandukan perkiraan politiknya sendiri. Beliau pernah mengambil beberapa tindakan nekad sepanjang kareer politiknya. Malah semasa memerintah Malaysia, beliau telah mengambil beberapa tindakan berani berkaitan polisi pembangunan negara. Meskipun tindakan nekad dan berani beliau ada yang positif dan tidak kurang juga yang negatif, sekurang-kurangnya beliau tidak terkongkong dengan orang lain dalam membuat keputusannya.

Oleh sebab itu, keputusan Dr Mahathir untuk menyertai PAS bukanlah sesuatu yang mustahil. Betapa pula PAS dilihat umum sebagai sebuah parti politik berteraskan Islam dan turut memperjuangkan kepentingan Melayu. Sepanjang tiga dekad yang lalu, selepas penyingkiran daripada BN, PAS begitu konsisten dari segi pendirian dan pencapaiannya. Kesemua faktor-faktor menjadikan PAS sebagai pilihan yang terbaik bagi vateran politik seperti Dr Mahathir. PAS pula dilihat begitu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja sebelum ini, justeru kemungkinan keputusan Dr Mahathir menyertai PAS tidak menimbulkan masalah dalam parti.

Kemungkinan ini akan menjadi lebih kencang sekiranya Mukhriz tidak mendapat tempat dalam pemilihan UMNO akan datang. Demikianlah juga, sekiranya Pak Lah atau kemnya terus menerajui kepimpinan UMNO, maka dorongan untuk bertindak sedemikian menjadi lebih kuat. Perhimpunan Agung UMNO Mac akan datang seperti 'menang jadi abu kalah jadi arang', yang mungkin lebih hebat daripada kesan pertembungan tahun 1987 dan 1998. Kesemua natijah ini dipercayai akan mempengaruhi Dr Mahathir untuk membuat satu lagi kejutan politik meskipun ketika usianya semakin lanjut.

Sekiranya Dr Mahathir mengambil keputusan seperti ini, kesannya terhadap politik tanahair adalah cukup signifikan. Keputusan Dr Mahathir untuk keluar daripada UMNO sekiranya diteliti telah memberi kesan besar kepada kerjaya politik Pak Lah sehingga hampir sampai ke penghujung. Demikian juga tindakan Dr Mahathir untuk mengkritik kerajaan Pak Lah turut memberi kesan kepada pencapaian BN dalam pilihanraya baru-baru ini. Oleh kerana itu, sekiranya beliau mengambil sikap menyertai PAS, kesannya terhadap politik tanahair juga tidak kurang hebatnya.

Paling tidak keputusan itu akan dirasai dalam Pakatan Rakyat (PR) sendiri yang kini 'berketuakan' Anwar Ibrahim. Kemungkinan berlaku satu episod persaingan baru antara Dr Mahathir dan Anwar dalam politik negara dan secara khususnya dalam PR. Dr Mahathir mungkin tidak sebegitu bebas bertindak sekiranya beliau menjadi ahli PAS kerana tertakluk kepada disiplin parti, tetapi beliau mempunyai pendengar yang tidak sekadar dari kalangan ahli PAS pada ketika itu. Beliau ada akses dengan beberapa institusi strategik di Putrajaya yang memungkinkan beliau bebas bersuara.

Beliau boleh bersuara sebagai seorang negarawan bukannya sebagai ahli PAS ketika itu. Keterikatannya dengan PAS sebagai ahli biasa akan menyebabkan beliau lebih mudah untuk melebarkan pengaruhnya dalam PAS dan PR. Sekiranya pengaruhnya semakin meluas, maka apakah natijahnya tidak akan bertembung semula dengan Anwar? Yang diperlukan oleh Dr Mahathir ialah platform dan pendengar yang berpengaruh dan beriwabawa. Kedua-dua platforrm dan pendengar yang berpengaruh dan berwibawa itu pada masa kini terdapat pada PAS. Maka tindakan nekad Dr Mahathir kali ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Friday, 7 November 2008

Khairy Layu Sebelum Berkembang

Khairy Jamaluddin atau KJ tidaklah begitu dikenali sebelum ini, sehinggalah hubungan persemendaannya dengan Pak Lah melalui perkahwinan dengan anak perempuannya telah meluncurkan dirinya ke persada politik tanah air. Malaysia bukanlah baru mempunyai seorang lepasan Oxford, tetapi telah beratus atau mungkin beribu yang telah graduate daripada universiti tersebut. Status graduan Oxford tidak sedikitpun membantu KJ naik dalam politik UMNO, kerana kejayaan naik dalam UMNO lebih banyak bergantung kepada politik mentor dan politik wang.

Ketika KJ baru mula berjinak dengan politik di pejabat Pak Lah dan mendiami sebuah kondomonium berhampiran Bangsar, tiada siapapun mengenalinya. Beliau cuba menyelitkan dirinya dalam kelompok yang mendapat pengaruh daripada mahasiswa terutama ketika reformisi sedang memuncak pada tahun 1999. Namun begitu tiada seorangpun pemimpin mahasiswa yang berminat untuk bernaungkan kepada KJ. Hanya seorang mereka yang terlibat dengan mahasiswa yang berjaya dipengaruhinya pada ketika itu, iaitu Stephen Doss yang pada ketika itu cenderung kepada Anwar Ibrahim.

Stephen Doss itu sebenarnya bukanlah mahasiswa tetapi pelajar ijazah Sarjana yang ada hubungan dengan Ezam Mohd Noor, tetapi kemudiannya berpaling tadah mengampu KJ. Selain daripada beliau, mahasiswa ketika itu tidaklah dapat dipengaruhi oleh KJ, walaupun KJ berjaya mengemukakan satu badan perunding antara mahasiswa dan kerajaan yang dinamakan MPPK. Kejayaan menasihati Pak Lah menubuhkan MPPK itu tidak cukup untuk menaikkan namanya dalam politik apa lagi dalam politik UMNO yang penuh dengan dengki khianat dan politik kotor.

Bintang KJ dalam politik hanya cerah selepas perkahwinannya dengan Nori, anak Pak Lah. Tidak diketahui sejauh mana cintanya pada Nori, adakah lebih tinggi daripada cintakan jawatan dalam UMNO atau lebih kurang. Perkahwinan inilah yang telah menyebabkan beliau mulai naik dalam UMNO dan mula mendapat kepercayaan tidak berbelah bahagi Pak Lah. Kesempatan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh KJ untuk menempatkan rakan-rakannya di tempat-tempat yang strategik dalam politik UMNO seperti tingkat empat dan akhbar.

Kelicikan politik KJ yang paling terserlah ialah apabila beliau selalu dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab membebaskan Anwar Ibrahim dan kemudiannya menawarkan kemudahan kepada Anwar dari segi urusan imegresen semasa beliau berubat di Jerman. Beliau juga dilihat selalu berdamping dengan Pak Lah dengan lagak seorang penasihat terutama ketika Pilihanraya 2004 yang lalu. Kejayaan besar BN dalam pilihanraya itu secara tidak langsung dilihat sebagai kejayaan besar Pak Lah dan KJ. Dengan kejayaan itu beliau telah berjaya meluaskan pengaruhnya dengan lebih baik.

Dalam UMNO beliau mula naik dengan mendadak, dan mula memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam usianya yang begitu muda. Ketua Pemuda yang selalunya dilihat lemah oleh parti pembangkang, kelihatan menjadi boneka sewaktu KJ menjadi naibnya. Pergerakan Pemuda UMNO dilihat berketuakan KJ, manakalah Hishamuddin Tun Hussien lebih dilihat sebagai sedang dalam transisi untuk melepaskan jawatannya. KJ cuba mencantas sesiapa sahaja yang cuba menghampiran takhta itu sepertimana apa yang pernah dialami oleh Dr Khir Toyo.

Bagaimanapun bintang politik KJ tidak bersinar untuk selamanya. Kekalahan BN dalam pilihanraya baru-baru ini telah menyebabkan kemalapan. Serangan Dr Mahathir selepas pilihanraya tersebut yang ditujukan langsung kepada Pak Lah akhirnya telah memaksa Pak Lah untuk meletak jawatan lebih awal. Keputusan itu secara tidak langsung telah menjejaskan peluang KJ. Seperti yang dijangka KJ hanya kuat kerana adanya Pak Lah, walaupun Pak Lah seorang yang lemah. KJ kuat bukan kerana batang tubuh Pak Lah, tetapi jawatan Pak Lah. Walaupun Pak Lah masih selepas jawatannya hilang, KJ tetap akan layu bersama dengan impiannya dalam UMNO.