Friday 15 April 2011

Tsunami 2008 Berulang di Sarawak?

Kecenderungan rakyat ketika suasana kempen di Sarawak dalam Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini, kelihatan seperti apa yang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung semasa Pilihanraya Umum (PRU) 2008 yang lalu. PRN kali ini benar-benar berbeza dengan PRN-PRN yang telah berlangsung sebelum ini, apabila rata-rata rakyat di Sarawak terutama golongan muda memperlihatkan kecenderungan untuk berubah. Masyarakat bandar pula begitu ketara kecenderungan mereka untuk 'menghumban' BN sepertimana kecenderungan pengundi-pengundi bandar di Semenanjung. Manakala golongan bukan Islam termasuk golongan pribumi tidak lagi fobia untuk menaikkan lambang PAS sama ada baju atau bendera.

PRN Sarawak kali ini bolehlah dianggap sebagai permulaan PRN generasi kedua Sarawak selepas menyertai Malaysia pada tahun 1963. Golongan muda yang lahir sekitar 1980 an merupakan antara golongan teramai menjadi pengundi. Generasi yang lahir selepas 1980 an ini atau Generasi Y selalu dilihat sebagai golongan yang sedar politik walaupun tidak menyertai mana-mana parti. Mereka bersedia untuk membuat perubahan apabila dirasakan perlu, tidak seperti generasi sebelumnya yang lazimnya berpolitik berasaskan ketaatan (loyalty politics). Mereka adalah generasi yang celik maklumat, yang tidak mudah dimomokkan hanya dengan satu aliran penyebaran maklumat.

Semasa PRU 2008 yang lalu, generasi seperti inilah yang telah membuat tsunami politik di pantai barat Semenanjung. Maka tidak hairanlah, keberadaan mereka yang seumpamanya di bumi kenyalang pada PRN kali ini, boleh membawa impak yang sama kepada negeri Sarawak. Suasana di kalangan generasi muda terutama bahagian pantai utara Sarawak begitu berbeza sekali apabila mereka yang tanpa mengira golongan, daripada golongan terpelajar sehingga mat rempit, rata-rata menzahirkan kecenderungan politik mereka menyokong pembangkang tanpa rasa takut. Sekiranya fenomena ini diterjemah kepada kertas undi, BN Sarawak mungkin boleh tumbang dalam PRN kali ini.

Bagi para pengundi bandar pula, kecenderungan menyokong pembangkang sangat ketara sepertimana yang berlaku di Semenanjung pada PRU 2008 yang lalu. Dengan komposisi terbesar pengundi bandar dari kalangan kaum Cina, mereka telah memberi sambutan yang luar biasa kepada kempen-kempen yang dianjurkan oleh pembangkang. Gelombang perubahan pengundi-pengundi di kawasan bandar di Sarawak seperti menggambarkan berlaku perubahan besar di negeri tersebut. Parti komponen BN yang mewakili kaum Cina, SUPP, kelihatan begitu mundur pada kali ini sepertimana nasib yang menimpa MCA pada PRU yang lalu.

Para pengundi Cina, selalunya akan 'bersepakat' melakukan perubahan secara bersama dalam sesuatu pilihanraya besar sepertimana yang berlaku di Semenanjung 2008 yang lalu. Sepertimana juga masyarakat Melayu Kelantan, para pengundi Cina boleh membuat sesuatu keputusan di luar dugaan. Suasana yang menunjukkan boleh berlakunya keputusan di luar dugaan ini semakin ketara di kalangan para pengundi Cina di Sarawak. Sekiranya ini berlaku, DAP dijangka akan menyapu bersih kerusi-kerusi kawasan bandar, dan menjadikan nasib SUPP sama seperti nasib MCA di Semenanjung semasa Tsunami 2008.

Satu lagi fenomena luar biasa yang sedang berlaku di Sarawak ialah fobia terhadap PAS sebagai sebuah parti Islam, seperti telah terhapus. PAS yang sebelum ini begitu ditakuti dengan momokan sebagai golongan ekstrim oleh BN, tidak mendapat tempat di kalangan para pengundi bukan Islam dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Sebelum ini, PAS selalunya sangat sukar menang di kawasan-kawasan yang komposisi pengundi bukan Islamnya lebih 25%. Dengan sebab itu, PAS lebih selesa bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu khususnya di negeri-negeri lingkaran Melayu di Semenanjung.

Bagaimanapun, pada PRU 2008 yang lalu, situasi ini telah berubah. Dalam PRN Sarawak kali ini, suasana yang sama telah berlaku, iaitu para pengundi bukan Islam termasuk kaum peribumi Iban tidak lagi segan-silu dan takut-takut untuk bersama-sama dengan kempen PAS. Bendera PAS telah dikibarkan di rumah-rumah panjang, manakala pengundi-pengundi bukan Islam tidak lagi takut untuk membawa lambang-lambang PAS. Suasana ini begitu jauh berbeza dengan pilihanraya-pilihanraya di Sarawak sebelum ini. Melihat kepada perubahan tersebut, tidak mustahil BN Sarawak akan 'digulingkan', iaitu perkataan yang kerap keluar di kalangan peribumi Sarawak mutakhir ini.

Perubahan-perubahan yang berlaku memperlihatkan PRN Sarawak kali ini lain daripada yang lain. Dengan sasaran PR untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRN kali ini, sasaran tersebut kemungkinan besar boleh tercapai. Malah dari sumber-sumber yang rapat dengan Anwar Ibrahim, sasaran tersebut mungkin menjadi lebih jauh, iaitu ke arah menumbangkan BN Sarawak. Meskipun PR dan Anwar sendiri begitu berhati-hati mensasarkan sasaran untuk menguasai Sarawak, persiapan ke arah itu telah mula difikirkan. Kini seluruh pemerhati politik sedang menunggu-nunggu detik itu; Apakah gelombang kecil atau tsunami besar akan berlaku pada 16 April ini?

No comments: