Saya bukanlah penyokong tegar Anwar kerana ada beberapa perkara yang saya setuju dan tidak setuju dengannya. Keakrabannya dengan beberapa tokoh Barat bisa sahaja memalitkan beliau dengan Zionism walaupun pada ketika yang sama beliau turut akrab dengan al-Qaradhawi. Tetapi menuduh sesuatu yang tiada hujung pangkal adalah sesuatu yang tidak bermoral dan seperti kata Anwar sasau. Saya pernah diminta hadir kursus BTN dan saya berhujah secara ilmiah dengan fasilitatornya termasuk berkaitan isu Anwar. Kasihan mereka dan penyedia modul yang tidak dilengkapi hujah-hujah yang mantap disebabkan ketiadaan bukti.
Di dalam blog Anwar ada seorang yang bernama Munirah bertanya mengapa Anwar terlibat dengan Annapolis Summit 2007. Munirah menyatakan keterlibatan Anwar dengan persidangan tersebut menunjukkan Anwar menyokong Israel. Provokasi Munirah ini telah dipanjangkan oleh seorang yang menggelarkan dirinya Pochong dalam ruangan forum Tranungkite. Kemudian beberapa orang yang dipercayai cyber troopers UMNO menghentam Anwar dan memprovok penyokong PAS supaya memisahkan diri dengan Anwar. Antara nama-nama samaran yang mungkin cyber troopers UMNO ialah Kyerule, DrCeroi, Pasyurga dan lain-lain.
Begitu terdesak cyber troopers UMNO untuk memecahkan PR yang diketuai oleh Anwar, TGHA dan Lim Kit Siang. Malah individu yang mengaku Dr (DrCeroi) yang saya percaya bukan seorang yang berilmu tinggi berkemungkinan juga adalah seorang cyber trooper. Saya yakin mereka tidak menguasi BI dan kalaupun menguasai mereka tidak baca sehingga habis kenyataan yang turut disokong oleh Anwar. Sebenarnya Annapolis Summit yang diadakan pada 20 November 2007 diusahakan oleh US melalui Setiausahanya Rice dan menjemput hampir semua kuasa besar dunia termasuk Russia, negara-negara Arab, negara-negara dunia Islam, wakil UE dan wakil UN.
Jelas sekali, Anwar yang tidak berjawatan apa-apa kecuali NGO tiada 'locus standi' untuk bersama dalam persidangan itu. Saya percaya kalau Dr Mahathir dijemput dia juga akan pergi. Malah mengikut senarai jemputan, Syed Hamid Albar juga turut hadir. Manakala surat kenyataan bertarikh 10 November 2007 yang turut disokong oleh Anwar itu lebih bersifat 'conditional supporting letter' (surat sokongan bersyarat) atau 'demand statement' (kenyataan tuntutan) yang biasa dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada individu atau berkumpulan bagi mengemukakan cadangan-cadangan kepada mana-mana persidangan.
Keterlibatan dengan surat kenyataan itu tidak boleh disabitkan sebagai menyokong persidangan itu, betapa pula untuk menyokong kewujudan Israel. Lebih menarik lagi surat kenyataan itu menuntut perkara-perkara yang biasa dituntut oleh pimpinan-pimpinan Islam. Dalam surat kenyataan itu menyebut supaya HAMAS dan Syiria turut tidak dipencilkan dalam persidangan itu, kerana pemencilan mereka tidak akan menjadikan perbincangan menjurus kepada kejayaan. Mereka yang menyokong surat tersebut menyatakan sebarang gencatan senjata akan gagal tanpa keterlibatan daripada HAMAS.
Dalam surat kenyataan yang disokong oleh Anwar juga menyebut menghapuskan kekangan terhadap Gaza perlu diberi perhatian dan penduduknya perlu diberi kebebasan untuk melakukan kegiatan ekonomi seperti biasa. Tuntutan ini sama dengan tuntutan HAMAS sehingga ia menjadi salah satu syarat mereka untuk tidak melancar roket dan komit dengan gencatan senjata seperti dalam krisis yang terbaru. Surat kenyataan itu turut menuntut Annapolis Summit membekukan penjajahan dan perkembangan pendudukan Israel di Palestine.
Selain daripada itu, surat kenyataan itu menyarankan supaya Annapolis Summit respon terhadap beberapa isu penting sebagai elemen yang penting supaya persidangan ini tidak mengulangi kegagalan beberapa persidangan yang lalu. Mereka menyarankan supaya Green Line yang diputuskan pada tahun 1967 diambil kira dan Jurusalem dibahagikan kepada dua iaitu di bawah Israel dan di bawah Palestine. Kota-kota suci juga mesti ada satu pentadbiran yang saksama bagi memberi hak kepada Islam, Kristian dan Yahudi melakukan kegiatan agama mereka.
Mereka juga menyarankan supaya pelarian Palestine diberi keadilan dan pampasan yang sewajarnya disebabkan pendudukan haram Israel. Malah mereka juga menuntut supaya persidangan tersebut menggesa Israel memberi kedaulatan kepada Palestine. Bagi mereka perkara ini merupakan perkara krtikal yang mesti dilakukan sekiranya Annapolis Summit mahu mencapai perdamaian di Timur Tengah. Sekiranya tidak Annapolis Summit akan mengulangi kegagalan. Sememangnya isu Palestine ini sangat sukar diselesaikan apalagi untuk kembali semula sepertimana sebelum terbentuknya entiti haram Israel. Bagaimanapun surat kenyataan ini boleh dilihat tuntutan untuk penyelesaian sementara bagi mewujudkan keamanan di Timur Tengah.
Oleh sebab itu, Anwar adalah wajar untuk berdiri bagi menyatakan tuntutan-tuntutan bersama individu-individu lain sepertimana yang terdapat dalam surat ini. Yang menghairankan, bagaimana surat ini boleh difahami oleh cyber troopers UMNO sebagai menyokong Israel dan memencilkan Hamas. Yang jelas UMNO lah yang telah memencilkan HAMAS dan mengutamakan FATAH kerana sefahaman dengan mereka. UMNO dan FATAH adalah sinonim kerana mereka banyak melakukan penyelewengan dan rasuah. Di Palestine, FATAH dikenali sebagai mereka yang banyak menyeleweng dan melakukan rasuah sehingga rakyat berpaling kepada HAMAS yang begitu dikagumi dengan agenda-agenda kebajikan mereka.
No comments:
Post a Comment