Wednesday, 10 June 2009

Keutamaan Perpaduan Bagi PAS

Kemelut berkaitan dengan isu Kerajaan Perpaduan benar-benar telah dipergunakan oleh media-media Pro-Umno untuk menggugat keutuhan perpaduan dalam PAS. Tidak dapat dinafikan isu tersebut telah mewujudkan perselisihan pandangan bukan sahaja di kalangan ahli, tetapi juga di kalangan pimpinan. Bagaimanapun, perselisihan pandangan (khilaf) adalah merupakan perkara normal bagi sesebuah gerakan Islam yang kini telah menjangkau lebih 50 tahun usianya. Yang sangat dituntut dalam menghadapi situasi ini ialah adab al-ikhftilaf sehingga perselisihan pandangan itu membawa kebaikan kepada PAS.

Hukum perpaduan dalam Islam boleh jadi wajib dan boleh jadi haram. Dengan pengertian lain, dalam situasi tertentu perpaduan adalah wajib dan dalam situasi yang lain perpaduan itu boleh jadi haram. Hakikat ini dapat difahami daripada firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 2 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Jelas sekali ayat tersebut menyuruh supaya bekerjasama dalam perkara yang dikehendaki oleh Allah dan melarang diwujudkan kerjasama pada perkara yang dimurkai olehNya.

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa bertindak berpandukan kepada tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, prinsip perpaduan seperti di atas akan menjadi dasar yang paling penting dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak di luar PAS. Seperti satu bidalan yang pernah diungkapkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, “PAS boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menegakkan tuntutan Allah swt malah sekiranya syaitanpun sanggup berbuat demikian PAS boleh berbincang.”

Selain daripada prinsip tersebut, PAS juga bertindak mengikut Fiqh al-Awlawiyat (Fiqh Keutamaan) dalam menilai pihak-pihak yang boleh dijalinkan kerjasama. Antara kesemua perpaduan itu, sudah pasti perpaduan dalam jamaah menjadi keutamaan yang tertinggi. Sebagai sebuah harakah Islamiyah yang berjuang mendaulatkan tuntutan Allah swt, perpaduan dalam harakah adalah terlebih utama. Keutuhan perpaduan yang ada dalam PAS menjadi faktor terpenting bagi melangsungkan perjuangan meninggikan kalimah Allah swt. Sehubungan dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Saff ayat 4 bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Keutamaan perpaduan seperti ini dapat dilihat bilamana Rasulullah saw terlebih mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar, sebelum baginda mengambil tindakan untuk mewujudkan kerjasama dengan golongan bukan Islam di Madinah termasuklah kaum Yahudi. Peristiwa ini menjelaskan bahawa perpaduan di kalangan para pendukung Islam menjadi teras terpenting kepada kerjasama-kerjasama dengan pihak yang lain. Menyedari hakikat itu, perpaduan dalam PAS sewajarnya menjadi perkara paling utama bagi pimpinan dan ahli.

Dengan wujudnya perpaduan dalam PAS, maka para pimpinan telah menerokai pula kategori perpaduan peringkat kedua iaitu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima prinsip-prinsip perjuangan PAS, antara prinsip yang terpenting ialah menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Secara lebih khusus, PAS menamakan perpaduan kategori ini sebagai Tahalluf Siyasi (persepakatan politik). Penerokaan terhadap perpaduan kategori ini adalah memenuhi tuntutan al-Quran, antaranya firman Allah swt dalam surah al-Mumtahinah ayat 8 dan 9 bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman juga adalah sebagai mengikuti tindakan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw yang menyukai Hilf al-Fudul (persepakatan fudul). Meskipun persepakatan itu berlaku semasa zaman jahiliyah, Rasulullah saw sangat menyukainya dan baginda diriwayatkan menyebut “sekiranya sewaktu Islam aku diajak kepada persepakatan seumpama itu, nescaya aku menyahutnya”. Dalam sebuah hadis sahih, baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud:
Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama-sama bapa-bapa saudaraku satu persepakatan di rumah Abdullah bin Jad`an, yang amat aku sukai lebih daripada unta yang merah. (riwayat Ahmad).

Bersandarkan kepada nas-nas tersebut, maka PAS membentuk persepakatan politik dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka bersama-sama mendukung perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Malah PAS juga mewujudkan persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang turut memperjuangkan perkara tersebut. Sehingga hari ini PAS terus komited dengan agenda menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman seperti yang dipertegaskan dalam Muktamar Tahunan di Ipoh tahun lalu.

Setelah berjaya menerokai perpaduan peringkat kedua tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi Awang melontarkan pula satu lagi pandangan kehadapan iaitu Kerajaan Perpaduan. Lontaran itu bukanlah satu ketetapan dalam PAS kerana pandangan itu belum diputuskan secara matang di dalam PAS sendiri dan juga PR. Seperti yang dilihat hari ini, pandangan tersebut mencetuskan pro dan kontra termasuklah di kalangan pimpinan PAS. Bagaimanapun perselisihan pandangan ini merupakan sesuatu yang normal bagi PAS yang merupakan ‘Government in Waiting’.

Konsep Kerajaan Perpaduan atau National Unity Government sememangnya telah dikupas panjang lebar dalam buku-buku teks sains politik. Bagaimanapun adakah itu yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Presiden PAS? Saya percaya, beliau akan memberikan penjelasan tentang perkara itu tidak beberapa lama lagi. Yang pasti, cetusan Tuan Guru Presiden itu berkait rapat dengan pihak yang selama ini menceroboh keadilan dan melakukan kezaliman terhadap rakyat dan terhadap PAS sendiri, iaitu Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Seperti yang disebut oleh Mursyidul Am, BN dan UMNO telah melakukan pelbagai kezaliman terhadap rakyat termasuklah kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin olehnya sejak hampir 20 tahun yang lalu. Menurut beliau lagi, UMNO bertanggungjawab menindas para ulama dan melakukan penyiksaan terhadap mereka terutamanya pada dekad 1960-an. BN dan UMNO juga mewujudkan pelbagai akta draconian dan menyuburkan budaya rasuah. Yang terbaru, melakukan rampasan kuasa yang tidak demokratik di Perak. Pendek kata, BN dan UMNO adalah paksi kejahatan dan kezaliman dalam negara ini.

Bagaimanapun PAS sejak dahulu lagi membuka pintu perbincangan dengan sesiapa sahaja berdasarkan prinsip-prinsip yang diperjuangkan oleh PAS. Semasa almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS turut membuka pintu perbincangan dengan BN dan UMNO tetapi mestilah diwujudkan suasana kondusif. Hari ini, Presiden PAS turut mengambil sikap yang sama iaitu membuka perbincangan dalam isu-isu yang berkaitan dengan pencabulan demokrasi, salahguna kuasa, keruntuhan kehakiman dan lain-lain.

Berdasarkan pandangan Presiden PAS, saya melihat pintu perpaduan yang dicetuskan adalah bersumber sebuah hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
Tolonglah saudaramu yang zalim (penzalim) dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: Kami menolongnya apabila dia dizalimi, sedangkan sekiranya dia zalim bagaimana kami menolongnya? Rasulullah bersabda: Jauhkan dia atau halangnya dari melakukan kezaliman, itulah pertolongan kepadanya.

Hadith di atas mengajar kita supaya membuka pintu perbincangan dengan golongan pendukung kezaliman seperti Bn dan UMNO dengan matlamat untuk menghindarkan mereka daripada melakukan kezaliman. Seperti yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden baru-baru ini, pintu perbincangan itu diterokai dengan mendahulukan perkara-perkara yang UMNO dan BN begitu ketara melakukan pencerobohan terhadapnya seperti isu demokrasi, rasuah dan kehakiman.

Jelas sekali perpaduan kategori ini kurang keutamaannya daripada perpaduan kategori pertama dan perpaduan kategori kedua. Sekiranya jalan kepada perpaduan untuk menolong golongan penzalim ini akan merosakkan perpaduan dalam PAS dan persepakatan dengan PR, sudah pasti PAS akan mendahulukan perpaduan yang lebih awla (utama). Yang penting setiap ahli perlu memberi keyakinan kepada pimpinan tertinggi PAS, yang sudah pasti tidak akan terlepas pandangan kepada Fiqh Keutamaan seperti ini.

No comments: