Saturday, 12 September 2009

UMNO Menghantar Pengkaji ke Jepun

Tanpa diduga Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah memerintah Jepun secara berterusan selama 54 tahun, telah kecundang dalam Pilihanraya Kebangsaan Jepun akhir bulan lalu. Parti LDP begitu banyak berjasa untuk membawa negara matahari terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Bagaimanapun dalam pilihanraya baru-baru ini parti itu kecundang kepada sebuah parti pembangkang baru, iaitu Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti yang cenderung kepada haluan sederhana-kiri.

Kekalahan mengejut LDP ini telah mencatatkan sejarah baru dalam politik Jepun apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang langsung tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah. Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada krisis dalaman LDP yang memuncak ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum ini Junichiro Koizumi pada tahun 2006. Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri Jepun Taro Aso, yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan perletakan jawatan bagi memikul tanggungjawab kekalahan teruk LDP.

Berikutan dengan kekalahan LDP itu, UMNO sebagai tunjang BN yang memerintah Malaysia telah menghantar sebuah kumpulan untuk mengkaji faktor-faktor kekalahan LDP tersebut. UMNO benar-benar bimbang nasib LDP ini akan menimpa mereka berkebetulan umur pemerintahan UMNO akan genap 54 tahun menjelang ulangtahun kemerdekaan negara pada tahun 2011 kelak, iaitu beberapa bulan sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Malah bukan sekadar umur, faktor-faktor kekalahan LDP yang lain juga telah ada pada UMNO.

Ramai pemerhati politik melihat dasar liberalisasi LDP sejak tahun 1990 an menyumbang kepada kekalahan besar parti itu. Dasar liberalisasi tersebut telah memberi tumpuan kepada golongan peniaga dan korporat dan mengabaikan rakyat teramai. Kesannya dasar tersebut telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Jepun. Dasar yang sama telah dilaksanakan oleh Malaysia sejak era pemerintahan Dr Mahathir pada dekad 1980 an. Bagaimanapun pelaksanaannya pada ketika itu secara terpilih.

Pada dekad 1990 an, Dr Mahathir melonggarkan sedikit lagi dasar kawalannya terutama dalam sektor tertentu seperti pendidikan dan teknologi komunikasi sehinggalah berlakunya krisis kewangan tahun 1997. Semasa era pemerintahan Pak Lah, dasar liberalisasi ini diperluaskan kembali oleh penasihat-penasihat Pak Lah di tingkat empat. Salah satu bukti yang jelas ialah perkongsian kepentingan asing di Wilayah Iskandar di samping beberapa dasar yang lebih liberal seperti dasar yang berkaitan dengan teknologi automatif.

Semasa era Najib hari ini, beliau dilihat lebih agresif memperkenalkan dasar liberalisasi ini. Baru-baru ini, beliau telah bertindak melonggarkan kawalan pemilikan saham asing. Beliau juga telah memberikan komitmen untuk meneruskan dasar perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat yang masing tergantung sehingga hari ini. Malah dalam ucapan beliau melancarkan program 1 Malaysia, dasar liberalisasi kelihatan turut diberikan penekanan penting. Kesan dasar ini akan melebarkan lagi jurang golongan kaya dan miskin yang telah sedia lebar sebelum ini.

Sepertimana LDP, UMNO masih mengharapkan kesetiaan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus menyokong mereka. Kesetiaan orang Jepun kepada pemerintah sememangnya dikenali dunia, sehingga dianggap sebagai ciri-ciri tamadun mereka yang penting. Sehingga kini institusi raja di Jepun masih dikekalkan disebabkan semangat kesetiaan itu, walaupun peranan Maharaja Jepun itu tidaklah sepenting dahulu. Kesetiaan mereka itulah turut menjadi faktor LDP kekal begitu lama sejak 54 tahun lalu.

Selain daripada itu, kepimpinan LDP yang kerap bertukar khususnya semasa dekad 1990 an turut menyumbang rakyat terus meletakkan harapan kepada mereka. Setiap kali berlakunya pertukaran kepimpinan, maka rakyat akan meletakkan harapan baru kepada parti itu. Perdana Menteri Jepun sebelum ini, Junichiro Koizumi, adalah antara yang paling lama memegang jawatan iaitu dari tahun 2001 hingga 2006. Sepertimana LDP, UMNO juga sedang menggunakan pendekatan yang sama untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Penolakan rakyat terhadap LDP, turut diwarnai oleh kemunculan parti yang berhaluan sederhana-kiri seperti DPJ. Parti seperti ini lebih dilihat pro rakyat, bukannya pro korporat. Penolakan kepada parti-parti yang pro korporat seperti telah menjadi trend mutakhir ini bermula di Amerika Latin, dan yang terkahir di Jepun. Menarik sekali, lawan UMNO iaitu PAS, PKR, DAP, PRM dan PSM turut mempunyai ciri-ciri sederhana-kiri tersebut. Malah parti-parti itu telah mendapat tempat di kalangan golongan kelas menengah.

Fenomena-fenomena ini telah menyebabkan UMNO benar-benar bimbang. Diberitakan mereka telah menghantar para pengkaji untuk mengkaji kekalahan LDP di Jepun.

1 comment:

wansalman said...

Walau apa pun rencah yang Umno akan gunakan saya sanagt2 berharap agar ia akan menjadi duri dalam daging mereka sendiri.Tak sabar nak hapuskan Umno dari muka bumi ni,tapai selagi ada golongan tua & penykong kuli batak jahil murakkab ni selagi itulah Umno masih bernyawa.

Golongan-golongan jahil ini lah yang memenangkan Umno baruah ni.
Saya berdoa agar Umno kali ini akan di nyah dari muka bumi Malaysia.Apabila mereka tiada kuasa lagi hendak lah pemerintah baru merampas paspot,harta mereka di siasat,jika tidak sepadan dengan gaji hendaklah di rampas & di pulangkan semula pada rakyat pemilik nya.

Bekas2 pemimpin Umno ni mesti di bicarakan walau pun pada masa itu mereka sudah nyanyok.Tangkap mereka satu-satu.Jangan di biarkan walau seorang pun,pada masa itu baru lah mereka rasa betapa sulit hidup mereka akibat perbuatan mereka sendiri.

Tangkap juga ketua Sprm,Polis dan mana-mana anjing yang berburu atsa nama Umno.