Thursday 26 June 2008

Pakatan Rakyat Berkubur Menjelang September

Bulan September 2008 khususnya pada tanggal 16, sedang ditunggu oleh semua pihak kerana tarikh itu akan menjadi noktah sejarah yang begitu penting dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN). Janji Anwar Ibrahim untuk merintis jalan ke Putrajaya selewat-lewatnya September ini semakin dilihat bukan janji kosong. Sebagaimana Anwar pernah berjanji bahawa dia akan menjejak jawatan tertinggi dalam UMNO dan kerajaan dalam tempoh yang singkat sewaktu beliau mula menyertai UMNO, terbukti beliau hampir melakukannya sehinggalah akhirnya taktik kotor Dr. Mahathir merencatkan cita-cita tersebut. Demikianlah janjinya untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara menjelang September ini.

Janji Anwar itu sudah mula menampakkan riaknya apabila SAPP mula bertindak untuk menyokong undi tidak percaya kepada Pak Lah. Bagaimanapun, sebenarnya masih terlalu banyak halangan yang harus ditempuh oleh Anwar untuk sampai ke puncak sama ada dari luaran atau dalaman Pakatan Rakyat (PR). Antara halangan yang paling besar ialah kerapuhan muafakat dalam PR. Oleh sebab itu, kemungkinan bulan September ini menyaksikan peristiwa sebaliknya berlaku kepada Anwar tidak boleh diperkecilkan. Tidak mustahil tarikh keramat kerajaan BN dijangka tumbang berpusing 180 darjah kepada tarikh berkuburnya PR.

Dengan tidak menafikan peranan media massa mengadu-domba untuk mewujudkan keretakan dalam PR, pada ketika yang sama tiada satu inisiatif besar dilakukan oleh Anwar untuk menemukan ideologi kedua-dua parti yang berbeza dalam PR iaitu PAS dan DAP. Anwar yang sebelum ini begitu dikenali antara pencetus dialog antara peradaban kelihatan gagal untuk mendialogkan PAS dan DAP. Wawasan Anwar di peringkat antarabangsa begitu besar iaitu untuk mendialogkan Islam dan Barat. Disebabkan wawasan yang besar itu Anwar selalu dilihat manusia berwajah dua. Beliau dilihat sebagai golongan pro Islam kerana hubungannya yang rapat dengan gerakan Islam dan ulama-ulama tersohor seperti al-Qaradhawi. Beliau juga dilihat pro Barat kerana hubungannya dengan Barat melalui beberapa tokoh seperti Kessingger.

Ketokohan Anwar dalam usahanya mendialogkan Islam dan Barat ini diperakui sehingga beliau diundang ke sana dan ke mari. Beliau selalu mengkhabarkan dalam blognya sekejap beliau ke US, sekejap beliau ke Semenanjung Arab. Minggu ini beliau bersidang bersama para Kapitalis, minggu hadapan beliau berwacana bersama cendikiawan Islam. Populariti beliau mungkin lebih tinggi berbanding bekas Presiden Iran Muhammad Khatami yang mempelopori dialog antara peradaban di Persidangan Agung PBB tahun 2002 yang lalu. Kalaulah Anwar tidak berada di penjara pada waktu tersebut, kemungkinan beliaulah juara yang akan mengusulkan idea dialog antara peradaban itu.

Malangnya Anwar yang berwawasan begitu besar itu tidak mampu untuk mendialogkan antara PAS dan DAP. Sebaliknya dalam beberapa keadaan PAS semakin merasa terpinggir apatah lagi selepas ini mereka bukan sahaja berhadapan dengan DAP dalam PR tetapi jika terlaksana janji Anwar PAS akan turut berhadapan dengan parti-parti dari Malaysia Timur yang sebahagian besarnya diterajui oleh pimpinan-pimpinan beragama Kristian. Dengan erti kata yang lain, sememangnya wajar PAS memikirkan survival mereka dalam PR sekiranya agenda Islam yang di bawa oleh PAS akan terus dipinggirkan. PAS sebelum ini telah begitu toleran sehingga menggugurkan istilah 'Negara Islam' dalam manifestonya demi menjayakan persefahaman.

Sikap lunak PAS telah tidak dihargai oleh rakan-rakan yang lain sehingga persoalan sekecil konsert sambutan 100 hari kemenangan PR di Selangor, pandangan Pemuda PAS tidak diendahkan. Dewan Pemuda PAS Selangor sekadar mahu peraturan penganjuran konsert seperti yang dicadangkan oleh JAKIM dan pandangan Mufti Selangor dijadikan panduan, tetapi hasrat itu disanggah. PKR dan DAP hari ini benar-benar seumpama 'kadok naik junjung'. Survival dasar perjuangan PAS dalam PR semakin terumbang-ambing betapa lagi selepas ini kemasukan parti-parti lain yang pendirian mereka terhadap Islam tidak jauh berbeza dengan pendirian DAP.

PAS bukanlah parti kecil yang boleh diperkotak-katikkan seperti itu. Kalaulah bukan disebabkan tindakan tidak demokratik BN terhadap PAS sebelum dan semasa pilihanraya, PAS boleh menang lebih besar berbanding PKR dan DAP. Semenjak PRU ke-8 tahun 1990, undi popular PAS di peringkat Nasional begitu konsisten iaitu sekitar 16% - 17%. Konsistensi peratusan tersebut menggambarkan kekuatan akar-umbi PAS dalam politik Malaysia. Sekiranya peratusan undi popular PAS itu diterjemahkan di Parlimen, PAS sepatutnya memperolehi sekitar 40 kerusi parlimen. Oleh kerana itu, PAS tidak seharusnya dilihat parti nyamuk oleh PKR dan DAP.

Meskipun sehingga semalam PAS masih tetap mendukung PR sebagaimana kenyataan akhbar Timbalan Presiden PAS, ruang untuk PAS bekerjasama dengan UMNO masih terbuka luas. UMNO telah menunaikan salah satu syarat untuk mewujudkan suasana kondusif bagi melangsungkan perbincangan dengan PAS, iaitu mengembalikan penerbitan Harakah kepada dua kali seminggu. Apakah PAS akan teragak-agak untuk berkerjasama dengan UMNO sekiranya UMNO memberi ruang yang lebih besar dalam BN untuk PAS melaksanakan agenda Islamnya? Bagaimana kalau UMNO memberi ruang kepada pelaksanaan Hukum Hudud, Qisas dan Ta'zir di Kelantan dan Terengganu setelah enakmennya hanya menunggu untuk dilaksanakan? Bagaimana pula kalau Pak Lah bersetuju menterbalikkan Islam Hadhari kepada Hadharah Islamiyah? Bagaimana kalau Pak Lah memberi ruang yang begitu besar untuk PAS melaksanakan agenda Amar Makruf dan Nahi Mungkar?

PAS tidak perlu menyertai BN untuk ditawarkan janji-janji itu, cukup sekadar keluar dari PR dan tidak menyokong sebarang undi tidak percaya kepada Pak Lah. Sememangnya sukar bagi ahli-ahli PAS menerima kerjasama dengan UMNO dalam BN, tetapi tidak sukar bagi ahli-ahli PAS untuk menerima keluar dari PR. Apa perlu PAS berada dalam dalam PR sekiranya dasar dan agenda perjuangan Islam tidak dihormati terutama oleh DAP setelah PAS begitu toleran sebelum ini? PAS bukan mahu memaksa agenda dan dasarnya kepada golongan bukan Islam. Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu bukannya dikenakan ke atas golongan bukan Islam. Jelas sekali PKR dan DAP tidak mahu memahami perjuangan PAS.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh Anwar, sekadar mengharapkan rakan-rakan lamanya dalam PAS seperti Kamaruddin Jaafar akan terus memastikan jalinan kerjasama dalam PR. Anwar sepatutnya telah mendialogkan PAS dan DAP bukan sekadar bercakap dengan nada retorik tentang dialog antara peradaban hampir satu dekad yang lalu. Demikian juga NGO-NGO yang pro PR sepatutnya telah berusaha untuk mendialogkan PAS dan DAP sebagaimana yang dilakukan oleh NGO-NGO yang pro UMNO. Sekiranya usaha ini tidak diberi perhatian, menjelang bulan September ini menyaksikan PR akan berkubur bukannya PR akan menggantikan BN menerajui negara.

Friday 13 June 2008

Mengapa Pak Lah Memilih Untuk Tidak Popular?

Tindakan Pak Lah untuk menaikkan harga minyak telah menimbulkan satu lagi ketidaktentuan politik di Malaysia. Kenaikan yang begitu besar sudah pasti mengejutkan sesiapa termasuk musuh politik nombor satu Pak Lah iaitu Dr Mahathir. Kejutan itu menyebabkan Dr Mahathir juga turut mengkritik tindakan tersebut sebagaimana yang difahami daripada tulisan beliau di blognya. Secara jelas boleh disimpulkan bahawa Pak Lah bertindak dengan satu tindakan yang boleh membuka lebih banyak serangan ke atas pentadbirannya ataupun paling tidak tindakannya itu seperti memilih untuk tidak popular. Di sini timbul persoalan mengapa beliau bertindak sedemikian dalam keadaan iklim politik dirinya dan UMNO tidak menentu?

Sememangnya senang untuk kita mencari jawapannya sekiranya berdasarkan kepada logik yang mudah, iaitu Pak Lah benar-benar terdesak disebabkan kantung negara untuk melangsungkan pembangunan benar-benar telah kontang. Malah ada juga yang turut menambah, iaitu apabila BN dan UMNO kalah di lima buah negeri khususnya Selangor dan Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan telah kekurangan sumber pendapatan daripada berpuluh-puluh GLC di negeri-negeri tersebut. Jawapan berdasarkan logik yang mudah itu boleh jadi ada kebenarannya. Betapa pula Pak Lah telah merombak dan memotong perbelanjaan termasuk dalam RM ke-9 yang selalu dilabelkan sebagai pelan pembangunan Pak Lah yang pertama.

Bagaimanapun, masih ada keraguan terhadap jawapan tersebut kerana sepertimana yang dimaklumi antara sumber kewangan utama jentera Kerajaan Persekutuan ialah keuntungan hasil petroleum negara melalui Petronas. Kenaikan harga minyak dunia sehingga ke paras yang paling tinggi dalam sejarah sudah tentu membanjirkan semula kantung negara. Pendapatan negara hasil daripada petroleum ini dijangka meningkat lebih sekali ganda berbanding tahun 2007. Tiada yang dapat menghalang pertambahan kantung negara ini melainkan jika benarlah tanggapan bahawa simpanan petroleum negara telah dipajakkan kepada pihak asing sebagaimana yang didakwa oleh beberapa tokoh parti pembangkang.

Berdasarkan kepada alasan tersebut, kemungkinan ada satu lagi agenda politik yang sedang diatur oleh Pak Lah dan Khairy di sebalik tindakan memilih untuk tidak popular ini. Agenda ini adalah susulan dengan kemasukan semula 'Mr Ombudsman' Ezam ke dalam UMNO. Malah, sewajarnya dilihat dalam keadaan sekarang sehingga Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, tindakan Pak Lah tidak dapat dipisahkan daripada agenda menghadapi Dr Mahathir dan proksinya. Oleh sebab itu, tindakan Pak Lah memilih untuk tidak popular dengan menaikkan harga minyak secara melampau ini tidak mungkin dapat dipisahkan dengan agenda menghadapi Dr Mahathir tersebut.

Pak Lah sebenarnya sedang menggunakan 'senjata-senjata pemusnah besar' untuk menghadapi Dr Mahathir. Antara senjata pemusnah besar Pak Lah menghadapi Dr Mahathir ialah isu kehakiman, isu ketelusan Petronas, isu kegagalan penswastaan, isu rasuah dan isu kemerosotan sektor pertanian. Kesemua isu ini telah disembunyikan dengan sempurnanya semasa Dr Mahathir berkuasa sehingga pekungnya seperti tidak lagi dapat dicium kebusukannya. Bagaimanapun pekung itu telah dibuka satu demi satu sebagai usaha untuk menutup mulut Dr Mahathir dan seterusnya memastikan Pak Lah terus berkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini.

Lihat sahaja isu kehakiman, tindakan Pak Lah membuka pekung ini telah menyebabkan Dr Mahathir seperti cacing kepanasan untuk menangkis satu demi satu serangan Pak Lah tersebut. Setakat ini isu kehakiman yang berkaitan dengan surat yang ditulis oleh Hakim Syed Ahmad Aidid belum lagi dibangkitkan. Sekiranya surat ini disiasat semula, pasti Dr Mahathir semakin kepanasan. Kemuncak tindakan Pak Lah berkaitan dengan isu kehakiman ini ialah menyiasat semula ketelusan perbicaraan Anwar Ibrahim yang berkemungkinan merupakan senjata pemusnah besar terakhir yang digunakan untuk menghadapi Dr Mahathir. Kesemua tindakan berkaitan isu kehakiman ini akan berhenti sekiranya Dr Mahathir tidak lagi menjadi ancaman.

Kenaikan harga minyak baru-baru ini dilihat satu lagi agenda untuk melancarkan satu lagi senjata pemusnah besar terhadap Dr Mahathir. Mengapa Pak Lah menaikkan sekarang tidak seperti yang disebut-sebut pada bulan Ogos? Mengapa peningkatannya begitu besar? Mengapa selepas Ezam masuk semula ke dalam UMNO? Sekiranya persoalan-persoalan tersebut disingkap maka dapat dilihat kemungkinan tindakan ini adalah untuk menghadapi Dr Mahathir menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Peningkatan harga minyak yang begitu besar akan menyebabkan desakan rakyat menjadi semakin kuat. Berkemungkinan inilah yang diharapkan oleh Pak Lah.

Bagi meningkatkan lagi desakan rakyat, pihak pembangkang akan diberi ruang yang lebih luas untuk menyatakan bantahan termasuk melalui forum-forum di media massa sebagai yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini. Kemungkinan juga perhimpunan-perhimpunan rakyat di jalanan tidak di ganggu sangat bagi menarik lebih ramai lagi rakyat berhimpun. Sasaran utama rakyat dalam isu kenaikan harga minyak ini ialah Petronas. Dalam debat yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini, beliau turut membangkitkan tentang ketelusan Petronas. Desakan demi desakan oleh rakyat akan berterusan sehinggalah kemuncaknya rakyat mendesak disiasat perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya.

Sekiranya Pak Lah bersetuju dengan desakan rakyat untuk mendedahkan perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya, maka sejarah Sujuruhanjaya DiRaja menyiasat video V K Linggam sekali lagi berulang. Sama ada disedari atau tidak, 22 tahun daripada kurang lebih 33 tahun perbelanjaan Petronas adalah di bawah pentadbiran Dr Mahathir, iaitu dua pertiga. Rakyat pasti lebih teruja sekiranya Pak Lah meminta 'Mr Ombudsman' barunya mengetuai siasatan terhadap perbelanjaan Petronas ini. Natijah akhirnya akan menyebabkan Dr Mahathir semakin kepanasan melainkan beliau mengambil pendirian untuk mengotakan janjinya sebelum bersara iaitu menumpukan hari-hari tua beribadat di masjid.

Pak Lah adalah orang politik, maka tindakannya sebagai Perdana Menteri tidak dapat lari daripada agenda politik. Sukar difahami sekiranya orang politik mengambil tindakan untuk tidak popular melainkan sekiranya beliau benar-benar terdesak. Kedudukan ekonomi negara dengan kenaikan harga minyak dunia yang begitu mendadak sebenarnya menjadikan kantung negara lebih selesa bukannya lebih terdesak. Oleh sebab itu, tindakan untuk memilih tidak popular ini sudah pasti mempunyai agenda politik yang lain, khususnya di saat Pak Lah dan Khairi sedang melakukan 'count down' menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Kenaikan harga minyak tidak boleh menunggu sehingga Ogos kerana bahagian-bahagian UMNO telah mula bermesyuarat. Sedarlah kita kini mengapa rancangan menaikkan harga minyak Ogos ini tiba-tiba berubah.