Friday, 13 June 2008

Mengapa Pak Lah Memilih Untuk Tidak Popular?

Tindakan Pak Lah untuk menaikkan harga minyak telah menimbulkan satu lagi ketidaktentuan politik di Malaysia. Kenaikan yang begitu besar sudah pasti mengejutkan sesiapa termasuk musuh politik nombor satu Pak Lah iaitu Dr Mahathir. Kejutan itu menyebabkan Dr Mahathir juga turut mengkritik tindakan tersebut sebagaimana yang difahami daripada tulisan beliau di blognya. Secara jelas boleh disimpulkan bahawa Pak Lah bertindak dengan satu tindakan yang boleh membuka lebih banyak serangan ke atas pentadbirannya ataupun paling tidak tindakannya itu seperti memilih untuk tidak popular. Di sini timbul persoalan mengapa beliau bertindak sedemikian dalam keadaan iklim politik dirinya dan UMNO tidak menentu?

Sememangnya senang untuk kita mencari jawapannya sekiranya berdasarkan kepada logik yang mudah, iaitu Pak Lah benar-benar terdesak disebabkan kantung negara untuk melangsungkan pembangunan benar-benar telah kontang. Malah ada juga yang turut menambah, iaitu apabila BN dan UMNO kalah di lima buah negeri khususnya Selangor dan Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan telah kekurangan sumber pendapatan daripada berpuluh-puluh GLC di negeri-negeri tersebut. Jawapan berdasarkan logik yang mudah itu boleh jadi ada kebenarannya. Betapa pula Pak Lah telah merombak dan memotong perbelanjaan termasuk dalam RM ke-9 yang selalu dilabelkan sebagai pelan pembangunan Pak Lah yang pertama.

Bagaimanapun, masih ada keraguan terhadap jawapan tersebut kerana sepertimana yang dimaklumi antara sumber kewangan utama jentera Kerajaan Persekutuan ialah keuntungan hasil petroleum negara melalui Petronas. Kenaikan harga minyak dunia sehingga ke paras yang paling tinggi dalam sejarah sudah tentu membanjirkan semula kantung negara. Pendapatan negara hasil daripada petroleum ini dijangka meningkat lebih sekali ganda berbanding tahun 2007. Tiada yang dapat menghalang pertambahan kantung negara ini melainkan jika benarlah tanggapan bahawa simpanan petroleum negara telah dipajakkan kepada pihak asing sebagaimana yang didakwa oleh beberapa tokoh parti pembangkang.

Berdasarkan kepada alasan tersebut, kemungkinan ada satu lagi agenda politik yang sedang diatur oleh Pak Lah dan Khairy di sebalik tindakan memilih untuk tidak popular ini. Agenda ini adalah susulan dengan kemasukan semula 'Mr Ombudsman' Ezam ke dalam UMNO. Malah, sewajarnya dilihat dalam keadaan sekarang sehingga Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, tindakan Pak Lah tidak dapat dipisahkan daripada agenda menghadapi Dr Mahathir dan proksinya. Oleh sebab itu, tindakan Pak Lah memilih untuk tidak popular dengan menaikkan harga minyak secara melampau ini tidak mungkin dapat dipisahkan dengan agenda menghadapi Dr Mahathir tersebut.

Pak Lah sebenarnya sedang menggunakan 'senjata-senjata pemusnah besar' untuk menghadapi Dr Mahathir. Antara senjata pemusnah besar Pak Lah menghadapi Dr Mahathir ialah isu kehakiman, isu ketelusan Petronas, isu kegagalan penswastaan, isu rasuah dan isu kemerosotan sektor pertanian. Kesemua isu ini telah disembunyikan dengan sempurnanya semasa Dr Mahathir berkuasa sehingga pekungnya seperti tidak lagi dapat dicium kebusukannya. Bagaimanapun pekung itu telah dibuka satu demi satu sebagai usaha untuk menutup mulut Dr Mahathir dan seterusnya memastikan Pak Lah terus berkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini.

Lihat sahaja isu kehakiman, tindakan Pak Lah membuka pekung ini telah menyebabkan Dr Mahathir seperti cacing kepanasan untuk menangkis satu demi satu serangan Pak Lah tersebut. Setakat ini isu kehakiman yang berkaitan dengan surat yang ditulis oleh Hakim Syed Ahmad Aidid belum lagi dibangkitkan. Sekiranya surat ini disiasat semula, pasti Dr Mahathir semakin kepanasan. Kemuncak tindakan Pak Lah berkaitan dengan isu kehakiman ini ialah menyiasat semula ketelusan perbicaraan Anwar Ibrahim yang berkemungkinan merupakan senjata pemusnah besar terakhir yang digunakan untuk menghadapi Dr Mahathir. Kesemua tindakan berkaitan isu kehakiman ini akan berhenti sekiranya Dr Mahathir tidak lagi menjadi ancaman.

Kenaikan harga minyak baru-baru ini dilihat satu lagi agenda untuk melancarkan satu lagi senjata pemusnah besar terhadap Dr Mahathir. Mengapa Pak Lah menaikkan sekarang tidak seperti yang disebut-sebut pada bulan Ogos? Mengapa peningkatannya begitu besar? Mengapa selepas Ezam masuk semula ke dalam UMNO? Sekiranya persoalan-persoalan tersebut disingkap maka dapat dilihat kemungkinan tindakan ini adalah untuk menghadapi Dr Mahathir menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Peningkatan harga minyak yang begitu besar akan menyebabkan desakan rakyat menjadi semakin kuat. Berkemungkinan inilah yang diharapkan oleh Pak Lah.

Bagi meningkatkan lagi desakan rakyat, pihak pembangkang akan diberi ruang yang lebih luas untuk menyatakan bantahan termasuk melalui forum-forum di media massa sebagai yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini. Kemungkinan juga perhimpunan-perhimpunan rakyat di jalanan tidak di ganggu sangat bagi menarik lebih ramai lagi rakyat berhimpun. Sasaran utama rakyat dalam isu kenaikan harga minyak ini ialah Petronas. Dalam debat yang dihadiri oleh Salahuddin Ayub baru-baru ini, beliau turut membangkitkan tentang ketelusan Petronas. Desakan demi desakan oleh rakyat akan berterusan sehinggalah kemuncaknya rakyat mendesak disiasat perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya.

Sekiranya Pak Lah bersetuju dengan desakan rakyat untuk mendedahkan perbelanjaan Petronas semenjak penubuhannya, maka sejarah Sujuruhanjaya DiRaja menyiasat video V K Linggam sekali lagi berulang. Sama ada disedari atau tidak, 22 tahun daripada kurang lebih 33 tahun perbelanjaan Petronas adalah di bawah pentadbiran Dr Mahathir, iaitu dua pertiga. Rakyat pasti lebih teruja sekiranya Pak Lah meminta 'Mr Ombudsman' barunya mengetuai siasatan terhadap perbelanjaan Petronas ini. Natijah akhirnya akan menyebabkan Dr Mahathir semakin kepanasan melainkan beliau mengambil pendirian untuk mengotakan janjinya sebelum bersara iaitu menumpukan hari-hari tua beribadat di masjid.

Pak Lah adalah orang politik, maka tindakannya sebagai Perdana Menteri tidak dapat lari daripada agenda politik. Sukar difahami sekiranya orang politik mengambil tindakan untuk tidak popular melainkan sekiranya beliau benar-benar terdesak. Kedudukan ekonomi negara dengan kenaikan harga minyak dunia yang begitu mendadak sebenarnya menjadikan kantung negara lebih selesa bukannya lebih terdesak. Oleh sebab itu, tindakan untuk memilih tidak popular ini sudah pasti mempunyai agenda politik yang lain, khususnya di saat Pak Lah dan Khairi sedang melakukan 'count down' menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. Kenaikan harga minyak tidak boleh menunggu sehingga Ogos kerana bahagian-bahagian UMNO telah mula bermesyuarat. Sedarlah kita kini mengapa rancangan menaikkan harga minyak Ogos ini tiba-tiba berubah.

No comments: