Tuesday, 29 July 2008

Berlakukah Tsunami Politik Dalam PAS?

Kepada generasi baru PAS, isu-isu mutakhir berkaitan dengan muzakarah dan muqabalah ini seakan-akan membawa satu tsunami politik kepada parti tersebut. Kelihatannya saf kepimpinan PAS pusat sendiri seolah-olah tiada kesepakatan berkaitan dengan perbincangan dan pertemuan dengan UMNO tersebut. Paling akhir, Ketua Penerangan PAS Pusat saudara Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Saudara Hanifah Maidin telah bertindak agak agresif menyalahkan individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi PAS yang dikatakan tidak telus dalam berterus-terang. Sebelum inipun telah ada polemik yang tersembunyi atau terserlah di kalangan saf pimpinan PAS pusat tentang isu tersebut.

Sekiranya di peringkat saf kepimpinan PAS pusatpun telah wujud kegelisahan, betapa pula saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi. Rata-rata di kalangan mereka begitu gelisah untuk melihat perkembangan seterusnya, adakah kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan UMNO atau terus bersama Pakatan Rakyat (PR). Ahli-ahli di peringkat akar umbi sememangnya gelisah untuk bersatu dengan UMNO kerana merekalah pada hakikatnya berhadapan dengan UMNO sejak lebih 50 tahun yang lalu. Setelah beberapa dekad bersinsing lengan dengan akar-umbi UMNO, tiba-tiba wujud kemungkinan PAS dan UMNO akan bekerjasama. Faktor inilah yang menyebabkan kegelisahan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi.

Selain daripada faktor pertama berkaitan dengan hubungan yang tidak harmoni dengan UMNO di peringkat akar-umbi, PAS juga tidak mungkin boleh menerima UMNO yang penuh dengan sejarah busuk dan hanyir. Sejak mencapai kemerdekaan UMNO yang menerajui kepimpinan negara telah terpalit dengan amalan-amalan yang tidak demokratik, menindas rakyat, menzalimi seteru politik, korupsi, nepotisme dan lain-lain lagi. Manakala PAS secara konsisten mengkritik UMNO disebabkan amalan-amalan tersebut atas dasar mencegah kemunkaran. Setelah lebih 50 tahun jatuh-bangun berhadapan dengan UMNO yang melakukan dosa-dosa ini, amatlah sukar bagi ahli-ahli PAS bersekongkol dengan mereka.

Faktor ketiga yang menyebabkan ahli-ahli PAS gelisah ialah kebimbangan terhadap tuduhan PAS sebagai pengkhianat dalam PR. Keputusan PRU yang lalu jelas menunjukkan PAS mendapat undi yang begitu besar dari kalangan bukan Islam. Kepercayaan yang ditunjukkan melalui kertas undi oleh masyarakat bukan Islam ini merupakan satu lembaran baru kepada dakwah PAS. Sepatutnya kesempatan yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan dakwah kepada mereka, antaranya dengan menunjukkan kesetiaan kepada PR. Malah sepanjang sejarah PAS tidak pernah berkhianat dalam berkerjasama dengan parti lain.

Ketiga-tiga faktor inilah yang menyukarkan ahli-ahli PAS dan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi untuk bekerjasama dengan UMNO. Bagi beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sepeti Mahfuz dan Hanifah, mereka berhasrat menyuarakan suara akar-umbi PAS yang begitu gelisah dengan tindakan-tindakan beberapa pimpinan di peringkat kepimpinan tertinggi PAS. Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Nasharuddin, Timbalan Presiden, yang selalu di anggap sebagai golongan elit dalam PAS yang tidak begitu turun ke peringkat akar-umbi. Beliau juga sering dianggap sebagai lebih mesra dengan golongan kelas elit dalam masyarakat sesuai dengan 'life-style' nya.

Situasi yang berlaku hari ini sebenarnya bukanlah satu fenomena baru dalam PAS, sebaliknya telah berlaku berulang-ulang kali. Kegelisahan di peringkat akar-umbi terhadap keputusan kepimpinan PAS paling ketara pernah berlaku ketika PAS menyertai UMNO dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional (BN) pada tahun 1970-an. Penyertaan PAS ini telah mendapat banyak tentangan di peringkat akar-umbi, malah terdapat juga pimpinan-pimpinan PAS yang meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar daripada PAS. Sebahagian daripada mereka tawaquf (tidak lagi aktif) walaupun masih menjadi ahli. Kesemua mereka hanya kembali kepada sediakala apabila PAS disingkirkan oleh BN.

Ketika PAS berura-ura untuk berkerjasama dengan Parti Semangat 46 (S46), sekali lagi berlaku kegelisahan di peringkat akar-umbi khususnya di Kelantan. Hasil daripada kegelisahan tersebut, lahirlah golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islah, yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan ulama. Mereka telah mengambil sikap untuk menentang PAS dalam PRU tahun 1990. Akhirnya golongan inilah pula bersekongkol dengan UMNO yang pernah ditohmahkan dengan label yang tidak sanggup didengar oleh telinga. Bagaimanapun situasi ini agak lebih ringan kerana Parti Semangat 46 tidak dilihat sebagai UMNO dan mereka sanggup menerima Islam sebagai al-Din.

Yang paling terakhir ialah pada tahun 1998, ketika almarhum Ustaz Fadzil mengambil pendirian untuk menziarahi Anwar Ibrahim ketika beliau diambang kejatuhan. Tindakan almarhum tidak begitu disenangi oleh beberapa pimpinan PAS dan mewujudkan kegelisahan di peringkat akar-umbi. Mujurlah, selepas itu berlaku pemecatan Anwar yang seterusnya menyatukan kaum Melayu sehingga tidak memungkinkan kegelisahan dalam PAS itu terus berkembang. Pimpinan PAS dan ahli-ahli yang gelisah sebelum itupun turut sama bersimpati dengan Anwar, lalu membenarkan tindakan almarhum yang dibuat atas kebijakan politiknya sendiri. Sekiranya episod reformasi tidak berlaku kemungkinan sejarah 1990 akan turut berulang.

Sebenarnya banyak lagi episod-episod seumpama ini berlaku dalam PAS semenjak daripada almarhum Ustaz Ahmad Fuad sehinggalah hari ini. Kesemua ini berlaku atas dasar kecintaan semua pimpinan dan ahli kepada dasar perjuangan PAS untuk meninggikan kalimah Allah swt. Oleh sebab itu, isu muzakarah atau muqabalah ini tidaklah begitu besar sekiranya dibandingkan dengan beberapa peristiwa yang pernah berlaku dalam PAS. Yang penting ialah kesetiaan ahli kepada PAS sebagai wadah menegakkan Islam di samping keterbukaan mereka terhadap kebijakan politik yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi. Mereka perlu memberi kepercayaan kepada pimpinan yang mereka lantik sendiri melalui forum yang sah dalam parti.

Setiap kepimpinan yang bersilih-ganti mempunyai kebijakan politik mereka masing-masing. Almarhum Ustaz Fadzil yang begitu dikagumi dari segi kebijakan politiknya, turut mendapat kritikan hebat khususnya di awal-awal beliau menerajui PAS. Ketika itu usia kepimpinan beliau masih terlalu muda ketika keputusan di buat untuk bergabung dengan S46. Jika dibandingkan usia kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi hari inipun yang baru menjangkau enam tahun, masih terlalu awal untuk kita menilai kebijakan politik beliau. Demikian jugalah dengan Ustaz Nasharuddin yang baru menjangkau empat tahun menjawat Timbalan Presiden, sudah tentu memerlukan kematangan yang lebih dalam usianya yang masih muda.

Dalam situasi ini, sudah pastilah yang sangat dituntut ialah kematangan politik supaya setiap tindakan pimpinan dan ahli PAS tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menghancurkan parti dan hubungan dengan PR. Sayyidina Ali ketika ditanya tentang kekalutan yang belaku dalam kepimpinan beliau menjawab: "Sewaktu Abu Bakar dan Umar memerintah, pengikut-pengikutnya seperti aku, manakala sewaktu aku memerintah, pengikut-pengikutnya adalah seperti kamu". Sekiranya ahli-ahli PAS seperti penarik beca dan lain-lain meneladani kata-kata Saiyyidina Ali ini, maka situasi yang berlaku dalam PAS tidak akan menjadi tsunami, sebaliknya hanyalah ombak besar yang terjahannya hanya sampai ke tepian pantai.