Tuesday 8 April 2008

Daripada DEB kepada Babi

Tidaklah diketahui apakah motif sebenar media-media pro Umno memainkan isu-isu yang berbau perkauman. Semenjak kekalahan BN di lima buah negeri, media-media pro Umno begitu ghairah memutarbelitkan isu-isu berkaitan DEB, Negara Islam dan yang terakhir projek penternakan babi di Selangor. Siapakah dalang yang merancang manipulasi isu-isu ini setelah penglipulara Umno Zainudin Maidin bersara? Sekiranya dalang yang merancang manipulasi isu-isu ini adalah Menteri Penerangan sekarang, maka ketara benar kedangkalannya dalam politik walaupun beliau bekas pensyarah sains politik. Jika bukan beliau, kemungkinan Ketua Penerangan Umno yang mungkin tidak menyedari tindakannya akan memakan diri.

Keputusan PRU yang lalu sememangnya jelas menunjukkan bahawa BN dapat bertahan disebabkan oleh undi kaum Melayu khususnya mereka yang berada di luar bandar. Manakala kaum Cina dan India majoriti besar daripada mereka memberikan undi kepada pembangkang. Demikian juga sebahagian besar kaum Melayu yang berada di bandar-bandar yang boleh dikelaskan sebagai golongan pertengahan Melayu, mereka memberikan undi kepada pembangkang. Pola pengundian seperti itu telah diterjemahkan dengan kemenangan pembangkang di negeri dan kawasan yang tidak dijangka. Sesungguhnya pola pengundian seperti itu begitu berbeza dengan PRU pada tahun 1999.

Selepas PRU 1999, jelas sekali BN dan Umno khususnya kehilangan sokongan kaum Melayu, maka sesuailah mereka cuba meraih semula sokongan kaum Melayu dengan memperkenalkan Islam Hadhari di samping menampilkan calon-calon yang kelihatan Islamik seperti Amran Kasimin, Firdaus Ismail dan Masitah Ibrahim. Berbagai program untuk menarik kaum Melayu seperti kelas tuisyen percuma, meniupkan semula semangat DEB atau menghunuskan keris tidak bersarung diharapkan dapat mengembalikan sokongan kaum Melayu. Pada masa yang sama secara senyap BN mewujudkan persempadanan semula yang dapat mengekalkan kemenangan dengan memastikan undi kaum Cina dan India sebagai penentu.

Natijah daripada manipulasi isu-isu tersebut dan kelicikan mewujudkan sempadan-sempadan baru kawasan pilihanraya, BN mencapai kemenangan besar dalam PRU 2004. Bagaimanapun pada PRU 2008 perancangan mereka meletakkan undi kaum Cina dan India sebagai penentu telah memakan diri, apabila kaum Cina dan India memberikan undi kepada pembangkang. Sekaligus BN telah kehilangan 5 negeri disebabkan percaturan politik yang silap. Kemungkinan untuk BN memperbetulkan semula sempadan-sempadan kawasan pilihanraya sebelum PRU akan datang adalah tipis dengan ketiadaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Oleh sebab itu undi kaum Cina dan India terus menjadi penentu dalam PRU akan datang paling tidak di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kini sekali lagi Umno akan melakukan percaturan yang silap apabila memainkan isu-isu berbau perkauman seperti DEB dan projek penternakan babi. Isu-isu tersebut dimainkan berkemungkinan dengan tujuan memporak-porandakan Pakatan Rakyat, di samping menarik sokongan kaum Melayu. Namun Pakatan Rakyat tidak mungkin terjejas terutama mereka sekarang sedang berkuasa menerajui lima buah negeri. Kepimpinan PAS, DAP dan PKR tidak sebodoh yang mereka sangka, mudah melatah apabila diajukan dengan isu-isu seumpama ini. Tidak dinafikan Umno mungkin akan dapat menarik sokongan kaum Melayu, tetapi sokongan Melayu tidak lagi menjadi faktor penentu yang kuat. Malah dalam PRU 2008 yang lalupun, majoriti kaum Melayu telah sedia menyokong BN dan Umno.

Yang jelas isu-isu berbau perkauman yang dimainkan akan mengekalkan atau menambahkan sokongan kaum Cina dan India kepada PAS dan PKR. Kaum Cina dan India semakin jelas kefahaman mereka tentang pendirian PAS dan PKR terhadap isu DEB yang termasuk dalamnya pemberian tender secara terbuka. Mereka juga dapat melihat pendirian PAS yang boleh menangguhkan agenda Negara Islam dalam situasi masyarakat majmuk yang tiada kefahaman yang jelas tentangnya. Dalam isu projek penternakan babi, kaum Cina dan India boleh melihat keterbukaan pimpinan PAS tentang hak-hak mereka sebagai bukan Islam. Dengan sebab itu, isu-isu seumpama ini akan terus mengukuhkan sokongan kaum Cina dan India kepada PAS dan PKR.

Sekiranya dalam PRU 2008 baru-baru ini, sokongan mereka kepada PAS dan PKR mungkin disebabkan undi protes mereka kepada BN, maka dengan isu-isu berbau perkauman yang terus ditimbulkan ini, pada PRU akan datang sokongan mereka akan terus bertambah kerana ia turut disertai dengan kesedaran. Semakin galak media-media pro Umno memainkan isu-isu berbau perkauman ini, semakin jelaslah pendirian sebenar PAS dan PKR terhadap hak-hak bukan Islam dan semakin kukuhlah sokongan kaum Cina dan India kepada kedua-dua parti tersebut. Dalam keadaan kemungkinan yang besar kaum Cina dan India terus menjadi undi penentu dalam PRU akan datang, maka percaturan media-media pro Umno ini umpama menggali kubur sendiri.

No comments: