Friday 16 January 2009

Di Atas Kertas PAS Boleh Menang

Hari ini adalah hari pembuangan undi untuk Piliharaya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. Menurut perhitungan di atas kertas, PAS melalui calonnya Abdul Wahid Endut boleh mencapai kemenangan. Faktor utama yang membolehkan PAS mencapai kemenangan ialah sokongan padu daripada pengundi-pengundi Cina di DUN Bandar dan keinginan pengundi Melayu untuk melakukan perubahan. Faktor-faktor lain turut memberi kesan tetapi tidaklah sebesar kedua-dua faktor tersebut. Sekiranya tiada penipuan, dengan keizinan Allah PAS akan mencapai kemenangan.

PRK kali ini sangat penting untuk menguji keberkesanan strategi UMNO bermain dengan isu-isu perkauman selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu. Seperti sebuah artikel yang pernah diterbitkan oleh blog ini selepas PRU yang lalu, tindakan UMNO bermain dengan isu-isu perkauman akan memerangkap diri. UMNO seperti tidak menyedari bahawa punca kegagalan besar mereka dalam PRU yang lalu ialah peralihan undi secara besar-besaran pengundi Cina dan pengundi India. Mereka tidak menghadapi masalah dengan sokongan pengundi-pengundi Melayu.

Secara rasional, UMNO sepatutnya berusaha untuk mengendurkan isu-isu perkauman dan bersikap lebih toleran dengan golongan bukan Melayu. Akan tetapi UMNO seperti telah 'berkerat rotan', seolah-olah langsung tidak mengharapkan pengundi-pengundi Cina dan pengundi-pengundi India kembali menyokong mereka. Isu-isu yang sepatutnya boleh disejukkan telah diperhangatkan secara besar-besaran oleh media pro-UMNO. Kesemua perkara yang berlaku di tanahair terutama di Perak, Selangor dan Pulau Pinang tidak terpisah daripada perkauman.

Pada ketika yang sama muncul NGO-NGO 'mee segera' yang bercakap dengan nada ultra-malay seperti satu agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu. Mereka ini mula bercakap secara perkauman tanpa mengendahkan segala isu-isu sensetif yang jelas mengguris hati kaum-kaum bukan Melayu. Kemudian pemimpin-pemimpin UMNO menyambutnya dengan kata-kata sokongan, sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin parti komponen bukan Melayu dalam BN turut tersinggung. Seolah-olah menjadi ultra-malay adalah tiket yang paling dihargai untuk menduduki kerusi kepimpinan UMNO selain politik wang.

Kesemua ini akan menjarakkan lagi UMNO dengan pengundi-pengundi bukan Melayu. Maka PRK ini menjadi gelanggang terbaik untuk menguji kejayaan percaturan UMNO ini. Apakah tindakan 'berkerat rotan' ini akan menguntungkan mereka? Parlimen Kuala Terengganu sebenarnya melambangkan beberapa kawasan parlimen di negeri-negeri Malay Belt terutama di Pahang. Sekiranya sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu terus beralih arah dengan strategi 'berkerat rotan' ini tidak mustahil beberapa parlimen yang seumpamanya akan jatuh ke PR dalam PRU akan datang termasuklah Pekan.

Selain daripada itu, strategi 'berkerat rotan' ini akan juga dinilai sama ada akan boleh meningkatkan sokongan pengundi Melayu. Bolehkah dengan segala isu-isu perkauman yang telah dimainkan akan menyebabkan pengundi-pengundi Melayu lari dari PAS terutamanya. Sehingga hari ini, pengundi-pengundi Melayu tidak melihat PAS sebagai ancaman terhadap survival mereka. Sebaliknya telah timbul satu kecenderungan untuk beralih kepada PAS bagi membela kepentingan Melayu dan Islam. Kelemahan UMNO hari ini, telah mencabut ketakutan yang ada pada kaum Melayu untuk menyokong PAS.

Kakitangan kerajaan, golongan profesional dan golongan muda dari kalangan kaum Melayu sudah tidak takut lagi untuk menyokong PAS. Segala ugutan UMNO terhadap mereka seperti yang dilakukan sebelum-sebelum ini sudah lapuk. Bagi mereka esok atau lusa belum tentu UMNO akan terus berkuasa. Mereka telah melihat sendiri khurafat yang mempercayai UMNO tidak boleh kalah akhirnya terbukti palsu, apabila UMNO tumbang di negeri-negeri yang tidak disangka. Oleh kerana itu, tidak perlu lagi takut kepada UMNO.

Lebih daripada itu, sudah ada satu kecenderungan kaum Melayu untuk memperkukuhkan PAS bagi mengimbangi pengaruh DAP dalam PR. Golongan ini melihat PAS perlu diberi kekuatan sebagai pihak yang mewakili suara Melayu dalam PR. Sekiranya PAS tidak mempunyai kekuatan, maka tiada suara Melayu yang kuat sekiranya PR berjaya menerajui kerajaan sama ada dalam jangka masa terdekat atau selepas PRU akan datang. Secara lebih jelas, peranan yang dimainkan oleh UMNO sebagai tulang belakang kerajaan sebelum ini perlu segera dialihkan kepada PAS.

Berdasarkan kepada kedua-dua faktor tersebut, maka parlimen Kuala Terengganu boleh jatuh dengan mudah kepada PAS. Dengan jumlah pengundi Cina yang mencecah 11 % dan jumlah pengundi Melayu dari kalangan kakitangan kerajaan terutama guru, golongan profesional dan golongan muda yang agak ramai di parlimen ini, PAS berdasarkan perhitungan atas kertas boleh menang dengan agak selesa. Bagaimanapun, PRK kali ini adalah saat yang paling genting bagi UMNO dan bakal PM Najib. Saat yang begitu genting ini memungkinkan apa sahaja boleh berlaku, bukan sekadar pengundi hantu bahkan bentuk-bentuk penipuan lain yang tidak terfikirkan oleh PAS dan PR buat ketika ini.

No comments: