Wednesday 30 July 2008

Muzakarah Matangkan Politik Malaysia

Pembentukan kerajaan campuran sememangnya merupakan satu fenomena baru dalam politik Malaysia. Selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, sekurang-kurangnya 3 buah negeri telah di perintah atas muafakat parti-parti politik untuk membentuk kerajaan campuran. Sebelum daripada ini, Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi oleh UMNO telah memerintah dengan selesa di bawah satu parti gabungan. Walaupun BN adalah gabungan parti-parti politik, tetapi setiap parti politik itu tidak bebas untuk membuat keputusan. Malah dalam perkara-perkara yang bersabit dengan kepentingan rakyat, MP dan ADUN mereka tiada kebebasan melainkan menyokong apa sahaja yang telah ditentukan oleh kerajaan BN.

Pembentukan sebuah kerajaan campuran sudah tentulah berbeza dengan amalan politik BN dalam membentuk kerajaan. Kerajaan campuran yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat (PR) seharusnya membawa satu kematangan politik yang baru, iaitu setiap parti yang membentuk pakatan itu mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat. Setiap parti juga mempunyai hak untuk bersetuju dan tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan yang dibentuk oleh kerajaan campuran dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Kebebasan yang seperti inilah yang akan menghalang komplot-komplot di kalangan parti-parti yang memerintah untuk mengkhianati rakyat.

Dalam situasi yang lebih ideal, setiap MP dan ADUN dalam parti-parti yang membentuk kerajaan campuran itu juga mempunyai kebebasan politik. Mereka boleh menyuarakan apa sahaja yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat, walaupun suara mereka itu tidak selari dengan kehendak parti yang diwakili ataupun kerajaan campuran yang dibentuk. Maka setiap MP dan ADUN tidak akan menjadi burung kakak tua yang mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh kerajaan campuran, sebaliknya keputusan kerajaan campuran itu akan terpaksa melepasi tapisan-tapisan yang banyak. MP dan ADUN itu bertindak bebas untuk kebaikan rakyat secara umum.

Sememangnya sukar parti-parti politik yang membentuk kerajaan campuran dan ahli-ahli mereka untuk menerima kematangan politik seperti ini. Setelah lebih 50 tahun politik Malaysia dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN, maka sangatlah sukar untuk setiap parti politik dan ahli-ahlinya menerokai satu tahap kematangan politik tersebut. Demikianlah sukar untuk menerima bagaimana Dewan Pemuda PAS Selangor boleh menentang program-program hiburan tidak bermoral yang dianjurkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang mereka dukungi. Malah paling sukar untuk menerima kesediaan PAS untuk berbincang dengan UMNO dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu.

Satu perkara yang paling menghantui mereka ialah bagaimana kestabilan politik boleh terjamin dengan adanya kebebasan seperti ini? Sekiranya setiap parti mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan tanpa terikat dengan pakatan politik, maka bolehkah kerajaan campuran yang dibentuk itu stabil? Jika setiap MP dan ADUN bebas bersuara untuk menyokong dan membangkang, maka bolehkan kerajaan campuran itu memerintah dengan selesa? Persoalan-persoalan seperti ini pastinya menghambat mereka yang telah 50 tahun dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN. Sedangkan semua mereka mengakui gaya pemerintahan BN itulah yang telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran dan pakatan politik yang dibentuk akan terjamin selama mana wujudnya persefahaman yang tinggi di dalam kerajaan campuran dan pakatan politik tersebut. Persefahaman yang tinggi ini akan tercapai sekiranya setiap parti meletakkan asas kebersamaan yang kukuh. Dalam konteks Pakatan Rakyat asas yang telah dibentuk ialah bersama menegakkan keadilan, menolak kezaliman, menghapuskan rasuan dan lain-lain. Pada masa yang sama setiap parti perlu menghormati dasar perjuangan yang didukung oleh parti-parti masing-masing sebagai satu perbezaan yang tidak mungkin dielakkan. Di sinilah dapat dilihat kepentingan dialog yang berterusan dan hidup.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran juga terletak di atas tindakan kerajaan memenuhi tuntutan masyarakat madani (civil society) yang mewakili rakyat teramai. Sebaliknya yang berlaku hari ini, parti-parti dalam PR bertindak memenuhi tuntutan masyarakat madani yang mewakili golongan penyokong tegar mereka. Golongan penyokong tegar ini hanyalah mewakili tidak lebih dari 30% para pengundi yang menyokong PAS, PKR dan DAP. Selebihnya adalah rakyat yang mengundi atas dasar menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan lain-lain janji yang disepakati bersama oleh PR. Malangnya setiap parti dalam PR ini hanya cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka sahaja.

PAS sememangnya cuba memenuhi setiap tuntutan penyokong tegar mereka khususnya di kalangan orang Melayu. Mereka diwakili oleh kumpulan masyarakat madani seperti TERAS, ABIM dan lain-lain. Manakala DAP pula akan cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka seperti Suaram, Aliran dan lain-lain. Sedangkan golongan yang majoriti menyokong PR atas dasar menyokong asas kebersamaan PR tidak diwakili oleh mana-mana pihak. Hakikatnya golongan inilah yang sepatutnya ditonjolkan dan dipenuhi tuntutan mereka. Usaha-usaha perlu dibuat untuk memberi platform kepada golongan ini melalui forum-forum sehingga ke peringkat akar-umbi.

Menyedari hakikat tersebut, tindakan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan UMNO merupakan satu langkah menerokai kematangan politik di negara ini. Perbincangan dengan UMNO bukan untuk menghasilkan penyatuan sebaliknya untuk membincangkan perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat. Pada ketika yang sama PAS tetap terus bersama PR selama mana PR meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Perkara inilah yang disentuh oleh Presiden PAS dalam temuramah dengan Harakah baru-baru ini, iaitu PAS mempunyai hak untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja. Beliau juga menyebut dalam PR tiada siapa yang menjadi ketua, sebagai menggambar PR bukanlah BN.

Kebijakan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan tertinggi PAS ini sememangnya sukar diterima pada masa kini. Akan tetapi apabila minda politik rakyat akan menganjak dalam memahami sebuah sistem demokrasi, maka kebijakan politik seperti ini akan diperakui. Garisan penamat ini mungkin masih jauh kerana di kalangan saf kepimpinan PAS sendiri masih belum menerima kebijakan politik yang diterokai, sebaliknya mengharapkan PR akan memerintah sepertimana amalan pemerintahan BN. Gaya pemerintahan BN yang mengongkong setiap parti komponen, MP dan ADUN nya untuk membuat keputusan dan bertindak seharusnya disimpan di muzium sebagai bahan kenangan sejarah.

1 comment:

al-chechen said...

Seelok eloknya muzakarah atau apa saja sewaktu dengannya dibuat setelah PAS menguasai Pusat. Dalam keadaan UMNO 50/50 ia tidak lebih dilihat cuba untuk menyelamatkan survival politik mereka sahaja. Setelah PAS menguasai Pusat buatlah apa kerjasama sekali pun ahli dan penyokong tidak akan marah.